Assalamualaikum
29 ZULHIJAH 1433 HIJRAH
Alam kubur juga dinamakan sebagai alam barzakh. Erti barzakh ialah pemisah. Alam kubur berada di antara alam dunia dan alam akhirat. Ertinya ia adalah pemisah antara keduanya. Roh manusia akan tinggal di alam kubur dari saat dia mati sehinggalah saat tibanya hari kiamat di mana dia akan dibangkitkan kembali dengan jasad yang baru.
Hidup dalam alam kubur tiada jangka masa yang boleh dihitung. Mereka yang telah mati dari sejak zaman Nabi Adam as sehingga kini masih lagi berada di alam kubur mereka. Alam kubur adalah rumah bagi roh manusia sementara menunggu kedatangan hari kiamat. Alam kubur boleh menjadi taman syurga bagi roh manusia baik dan menjadi salah satu dari lubang neraka bagi roh manusia yang jahat.
Bagaimanakah suasana alam kubur itu?
Suasana hidup dalam alam kubur adalah sangat hebat dan dasyat kerana :-
- ia belum pernah kita tempuhi.
- jangka masa yang tidak dapat dihitung lamanya.
- tiada sesiapa yang dapat menolong diri kita.
Keadaan sebenar alam kubur tidak dapat dibayangkan dengan sebenarnya kerana ia adalah salah satu dari perkara ghaib yang disampaikan Nabi Muhammad saw. Untuk melambangkan suasana alam kubur itu, ia diberi beberapa nama yang melambangkan keadaan alam kubur itu.
Nama-nama alam kubur adalah seperti :-
- Rumah gelap.
- Rumah azab.
- Rumah binatang berbisa.
- Rumah yang ceraikan kita dari ahli keluarga untuk selama-lamanya.
- Rumah kekal iaitu rumah yang bila kita masuk tidak akan keluar lagi.
Dari nama-nama yang diberi ini dapatlah kita bayangkan bagaimanakan keadaan rumah yang akan kita diami kelak. Di rumah ini kita akan mengetahui perkara-perkara yang telah dijanjikan kepada setiap ahli kubur. Perkara-perkara itu ialah :-
- himpitan kubur
- soalan kubur
- azab kubur
[ (klik sini untuk penerangan)]
Apabila mayat dikuburkan di tanah perkuburan, rohnya juga akan memasuki alam kubur yang merupakan satu alam ghaib. Roh yang memasuki alam kubur akan disambut oleh 2 Malaikat penjaga kubur yang bernama Malaikat Munkar dan Malaikat Naakir. Malaikat Munkar adalah tukang soal sementara Malaikat Naakir adalah tukang cabuk (azab). Roh manusia itu terbahagi kepada 2 jenis iaitu:-
- Roh manusia jahat.
- Roh manusia baik.
Roh Manusia Jahat.
Apabila amalan jahat melebihi amalan baik maka manusia itu digolongkan sebagai manusia jahat. Manusia yang banyak melakukan maksiat akan menghadapi azab ketika hendak menghembuskan nafas terakhirnya. Azab ini akan berterusan sehingga ia mati kemudian memasuki alam kubur dan seterusnya dimasukkan ke neraka.
Keadaan roh manusia jahat ketika memasuki alam kubur.
Apabila masuk roh manusia jahat ke alam kuburnya, himpitan kubur akan segera berlaku. Himpitan kubur bagi roh manusia jahat adalah amat dasyat dan tidak dapat dibayangkan kesakitan yang sedang dihadapi roh tersebut. Setelah itu soalan kubur akan terus bermula. Bagaimana roh menjawab soalan-soalan Malaikat Munkar bergantung kepada amalan yang telah dilakukan selama hidup di alam dunia ini. Roh manusia jahat tidak dapat menjawab soalan-soalan kubur kerana amalan mereka adalah bertentangan dengan ajaran agama. Semasa hidup mereka menjauhkan diri dari ALLAH, Nabi-NYA, al-Qur'an dan mempunyai hubungan buruk sesama manusia. Setiap kali mereka gagal menjawab, Malaikat Nakiir akan mencabuk roh manusia jahat itu dengan cabuk yang bernama 'mirzaabakh' iaitu cabuk yang jika diturunkan di alam dunia tiada daya diangkat oleh sekelian manusia dan jin. Soalan-soalan kubur dan azab kubur akan berterusan ke atas roh manusia jahat ini sehinggalah datangnya hari kiamat.
Selain dari azab kubur itu, Malaikat akan membukakan satu lubang dari neraka supaya dapat dilihat roh manusia jahat itu akan tempat kediamannya di akhirat kelak. Maka bertambahlah sengsara yang dirasakan oleh roh manusia jahat itu. Kerana kesengsaraan yang tidak tertanggung itu, roh manusia jahat sentiasa berharap agar kiamat akan segera terjadi supaya mereka terlepas dari siksaan azab kubur.
Roh Manusia Baik.
Bila timbangan amal baik melebihi dari amal kejahatanya maka ia adalah dari golongan manusia baik. Orang yang baik amalannya akan menghadapi maut dengan tenang kerana sudah ada persiapan dan bekalan yang cukup. Mereka merasa tenang kerana merasa dekat dengan ALLAH swt. dan sudah bersedia dan gembira untuk kembali kepada-NYA.
Maksud dari hadith Nabi saw bahawa kurangkan dosa akan mudahkan sakaratulmaut. Erti kurangkan dosa ialah banyakkan amal yang baik dan soleh.
Ketika manusia baik itu akan menghembuskan nafas terakhirnya, malaikat akan turun menenangkannya dan mengalu-alukan rohnya ke alam kuburnya. Orang yang didatangi malaikat ketika menghadapi sakaratulmaut ialah orang-orang yang mempunyai 2 ciri berikut :-
- Orang yang bertauhidkan ALLAH sepanjang hidupnya tanpa ada syirik sedikit pun.
- Orang yang tetap (istiqamah) dalam ibadahnya.
Keadaan roh manusia baik ketika memasuki alam kubur.
Roh manusia baik juga akan merasai himpitan kubur. Namun himpitan kubur bagi roh manusia baik ialah seumpama pelukan mesra seorang ibu kepada bayinya. Roh manusia baik diterima dengan baik juga oleh penjaga kubur. Amalan yang dibawa akan menjawab segala soalan yang ajukan oleh Malaikat Munkar dengan benar dan betul. Kemudian Malaikat akan membukakan satu lubang dari taman-taman syurga supaya dapat dilihat oleh roh manusia baik itu akan tempat kediamannya di akhirat kelak. Selepas itu roh manusia baik itu akan tidur seperti pengantin baru (aman dan nyenyak). Roh manusia baik akan terus tidur sehinggalah saat tibanya hari kiamat di mana mereka akan dibangkitkan kembali untuk memasuki alam yang seterusnya iaitu alam akhirat (alam masyar).
** Orang mati syahid terlepas dari azab kubur namun tetap akan menghadapi soalan kubur.
====================================================================================
🕋🕌💜💛💚💙💗💖💕💓❤
No comments:
Post a Comment