07 July 2019

Bitcoin. Halal @ Haram

Al Halal Wal Haram Fil Bitcoin

Al halal wal haram fil Bitcoin

Mukadimah

Ana diminta untuk memberi komen tentang status hukum penggunaan bitcoin, maka di sini ana cuba untuk memberikan penjelasan secara mudah dan ilmiah berlandaskan neraca ilmu Islam.

Kedudukan bitcoin dalam fiqh Islam

Ulama’ Islam membahagikan ajaran Islam kepada tiga teras utama iaitu aqidah, ibadah dan muamalah. Aqidah adalah teras ajaran terhadap keyakinan ajaran Islam, manakala ibadah pula adalah teras ajaran bagaimana mengabdikan diri kepada tuhan, dan muamalat pula adalah tentang urusan manusia dengan perkara duniawi.

Sudah pasti bitcoin bukanlah isu akidah mahupun ibadah. Maka, usul fiqh yang perlu digunakan untuk berinteraksi dengan kedudukan bitcoin adalah usul fiqh dalam hal muamalat. Kaedahnya berbunyi,
اَلأَصْلُ فِى اْلأَشْيَاءِ اْلإِ بَا حَة حَتَّى يَدُ لَّ اْلدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ

“Hukum asal dari sesuatu (muamalah) adalah mubah sampai ada dalil yang melarangnya (memakruhkannya atau mengharamkannya)”
Dalam erti kata lain, apa-apa barang mahupun servis adalah harus untuk dijual asalkan menepati kehendak asal jual beli iaitu aqad (persetujuan antara penjual dengan pembeli) dan tiada unsur haram yang dibuktikan jelas.

Maka kedudukan asal bitcoinmahupun transaksi dan penggunaannya adalah halal dan harus menurut kaedah di atas kerana tiada dalil yang menunjukkan bitcointerlibat dengan hal-hal yang haram dalam hal muamalat semisal penjualan babi, alcohol, riba dan gharar.

Apa itu bitcoin?

Adakah bitcoin matawang? Adakah bitcoin komoditi? Ataupun sekuriti? Rujuk perbahasannya di sini https://coin.my/2017/09/19/apa-klasifikasi-matawang-krypto/. Ana membuat kesimpulan yang bitcoin ini tidak menepati syarat dalam ketiga-tiga kumpulan berkenaan. Bitcoinperlu berada dalam kumpulan yang baru iaitu “digital commodity” (komoditi digital). Genre baru ini perlu diwujudkan kerana bitcoin memiliki ciri-ciri yang unik yang tidak dapat disamakan dengan tiga kumpulan tersebut.

Tidak mungkin ianya matawang kerana sifat matawang sepatutnya stabil. Mana mungkin seketul karipap berharga 20 sen hari ini, keesokan harinya mungkin berharga RM2. Sifat bitcoin yang terlalu “volatile” seakan pasaran saham yang naik dan turun tidak mungkin dapat dijadikan sebagai mata wang.

Begitu juga komoditi yang memerlukan sesuatu yang bersifat fizikal untuk disandarkan. Contoh mudah komoditi adalah beras, besi dan minyak masak. Bitcoin pula berdiri sendiri dengan integriti teknologi blockchain secara digital tanpa perlu disandarkan pada mana-mana komoditi fizikal.

Sudah semestinya bitcoin bukanlah sekuriti kerana ianya bukan milik mana-mana syarikat yang mengeluarkan saham melalui stock, bond tau options. Jika ia mahu dianggap sekuriti, maka perlu digubal terma baru sekuriti barangkali.

Di mana haramnya bitcoin?

Apabila hukum asalnya adalah mubah (harus), maka perlu ditelusuri di manakah unsur yang membolehkan ia menjadi haram.

  1. Unsur haram seperti alcohol dan babi, tiada.
  2. Unsur judi, tiada.
  3. Unsur riba dan gharar (uncertainty/ketidakpastian), tiada.

Bagaimana penggunaan bitcoin boleh menjadi haram?
Sebagaimana senjata tidak bersalah jika ada yang menggunakan senjata untuk merompak, begitulah kaedah yang patut dipegang oleh ahli fiqh dalam menanggapi isu bitcoin ini. Yang salah ialah si perompak, bukanlah senjata itu.
Pisau dicipta untuk memotong sayur, daging dan lain-lain, bukan untuk merompak. Tetapi jika ia disalahguna, adakah pisau patut diharamkan? Islam bukanlah agama yang membodohkan umat, tidak pula memusuhi teknologi. Maka yang perlu dihukum adalah si perompak, bukanlah pisau itu.
Begitu juga dengan bitcoin, ada pihak tertentu menggunakan bitcoin untuk tujuan mencuci wang haram, jual beli dadah dan menaja pihak pengganas. Adakah salah bitcoin? Mereka yang benar-benar menguasai ilmu fiqh sudah pasti akan ketawa besar jika pengharaman disebabkan sebab musabab seperti itu.
Soalnya, sebelum wujudnya bitcoin, adakah aktiviti mencuci wang haram tidak pernah wujud? Aktiviti mencuci wang haram sudah dilakukan dengan wang fiat melalui pelbagai cara seperti melalui yayasan-yayasan dan perniagaan-perniagaan selama ini. Adakah yayasan dan perniagaan juga perlu diharamkan? Mereka gunakan bitcoin atau wang fiat?
Jual beli dadah dan penajaan keganasan selama ini menggunakan bitcoin? Rasanya, orang berakal tidak akan melakukan kesimpulan sedangkal ini. Ada 1 kaedah fiqh berbunyi,
الحكم على الشيء فرع عن تصوره
“Hukum terhadap sesuatu masalah adalah dari bagaimana seseorang melihatnya.”
Maka, mohon para lebai melihat dengan mata yang lebih tajam dan luas tanpa ada unsur negatif dahulu kerana ianya isu muamalat yang asalnya harus.
Sedangkan wang fiat itu sendiri tidak disepakati keharusan penggunaannya oleh para ulama’, maka janganlah wujud lebai yang menjadi penunggang wang fiat tajaan Yahudi. Maaf, ana bergurau saja.

Kesimpulan

Bitcoin dan transaksinya adalah halaldan harus tanpa syak. Sebagaimana yang telah di fatwakan oleh Fatawa Syabakah Islamiyyah,
فمن ملك شيئًا من تلك النقود الإلكترونية بوسيلة مشروعة، فلا حرج عليه في الانتفاع بها فيما هو مباح

“Sesiapa yang memiliki matawang digital itu dengan cara yang disyariatkan (mubah), maka tidak ada masalah untuk dimanfaatkan, untuk keperluan yang mubah.”
Yang haram adalah perbuatan menyalahgunakan bitcoinsebagaimana menyalahgunakan wang fiat. Yang pasti, tiada bitcoinpalsu manakala wujud wang palsu yang telah merugikan banyak pihak.
Jika ada di kalangan mereka yang masih mahu mengatakan bitcoin dan transaksinya adalah haram walaupun hujahnya sangat dangkal, lemah bahkan rapuh. Terpulanglah, kita berkhilaf dalam urusan ini. Berkhilaf dalam perkara muamalat adalah perkara biasa di kalangan ahli ilmu.

Barlapang dadalah!






No comments: