Usahawan Selebriti Lelaki di Malaysia
Dato Wan Mohamad Sani Salleh
Mungkin ramai yang tidak mengenali Dato Wan Mohamad Sani Salleh. Tetapi jika disebut tentang bekas model pelakon dan anggota kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusoff pada lewat 90an? Ha, sudah tentu ramai yang katakan, “Oh dia ke?!”
Jejaka berusia 34 tahun berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Kolej Sunway ini merupakan antara usahawan merangkap artis yang paling berjaya dalam bidang perniagaan. Dianugerahkan Darjah Dato Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran dato pada 2009, beliau kini adalah pengarah urusan SANI United Sdn Bhd (SUSB). Sebelum ini Dato Sani Memulakan perniagaan dengan membuka bengkel membaiki kenderaan. Pada tahun 2003 Dato Salleh menubuhkan SUSB dengan 2 lagi rakan kongsi yang menarik diri tak lama kemudian yang menyebabkan Dato Sani terpaksa mengambil risiko dengan seorang pekerja dan hanya pada 2006 barulah menyaksikan SANI Express berada di jalanraya dengan 6 buah bas. Kini setelah 7 tahun berlalu SUSB memiliki lebih 150 pekerja dan mempunyai bangunan 3 tingkat sendiri Wisma Dato’ Sani yang terletak di Klang Sentral.
Bercerita tentang khidmat yang disediakan, 25 buah bas 2 tingkat telah beroperasi yang di lengkapi teknologi keselamatan dari Sweden bernilai 40 juta yang dapat mengesan ketidakfungsian teknikal lebih awal. Kaunter tiket juga diliputi CCTV yang disambungkan dengan ibupejabat bagi melancarkan operasi. Ibu pajabat di Klang sentral juga memiliki pusat latihannya sendiri. Bagaimanapun SUSB tak lari dari krisis apabila kemalangan maut melibatkan bas syarikatnya yang menyebabkan kes ini disiasat oleh LPKP.
Figura ini sebenarnya merupakan seorang yang sangat bercita-cita sendiri dan ketika beliau mencapai satu tahap dimana beliau mula befikir bagaimanakah hidupnya jika terus berada di bidang seni dan hiburan yang benar-benar bergantung kepada bakat dan peminat. Oleh yang demikian, beliau telah mengubah arah tuju hidupnya dengan memulakan perniagaan perkhidmatan bas ekspres.
Destinasi ke Pantai Timur sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.
“Biasalah, dulu masa jadi artis memang saya main-main. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu. Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” adalah kata-kata figura hebat yang dipetik dari artikel hasil temuramah wartawan hiburan di Wisma Dato Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.
Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau. Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan. Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.
Dalam artikel yang sama, dapat diteka yang artis ini sangatlah down to earth! Katanya, “saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik”. Dan disebabkan Dato Sani ini masih bujang (peluang hebat untuk artis-artis wanita di luar sana), beliau mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.
SANI Express mensasarkan untuk memiliki 100 bas dan meneroka semua laluan di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi. Menurut beliau, sebanyak RM100 juta akan dilabur untuk tujuan itu dan beliau mensasar untuk memiliki 500 kakitangan dalam tempoh berkenaan. Selain itu, beliau juga melibatkan diri dalam perniagaan perhotelan dan hartanah.
Ezany Nizariff
Seorang lagi selebriti lelaki yang tidak kurang hebatnya ialah Ezany Nizariff, jejaka berusia 36 tahun yang popular dengan watak Irfan dalam drama bersiri Natasha, sekarang sudah bergelar usahawan belacan. Rupanya sejak setahun lalu, syarikatnya EMP Sdn. Bhd, sudah menghasilkan ‘Belacan Ezany’. Bermula secara kecil-kecilan, Ezany kini mampu berbangga apabila kicap dan belacannya telah berada di pasaraya terkemuka seperti Giant, Mydin dan Jaya Jusco. Malah artis ini kini mempunyai kilang di Lestary Perdana, Seri Kembangan, Selangor.
Memulakan karier sebagai pelakon, Ezany ke sana ke mari menghadiri uji bakat dengan menaiki pengankutan awam sahaja. Apabila semakin naik, usahawan muda ini berkereta Satria warna hijau. Setelah memperoleh pendapatan yang lumayan melalui drama-drama popular beliau, keretanya bertukar kepada Kia Sorento dan kini beliau sudah pun memiliki kereta BMW dan dua buah kondominium hasil pendapatan berniaga!
Satu sifat Ezany yang boleh dipuji ialah beliau tidak berasa malu menjual belacan kerana katanya belacan adalah salah satu perencah masakan Melayu.
“Sejak dulu belacan memang tidak boleh dipisahkan daripada masakan kita walaupun ia sedikit berbau. Sebab itu kalau kita sebut belacan, dengan sendirinya kita tahu ia berkaitan dengan masakan Melayu. Sebab itu pada setiap bungkus Belacan Ezany tertera gambar saya, siap bersongkok dan berpakaian baju Melayu,” kata Ezany dalam satu petikan surat khabar yang mengumpulkan golongan artis berniaga.
Kini, kilang belacan Ezany di Sungai Berambang, Perlis dah boleh keluarkan 50,000 ketul belacan sebulan. Belacan yang dijual seberat 150 gram dan 70 gram itu dihasilkan oleh 10 wanita kampung dengan menggunakan udang geragau. Belacan yang diusahakan syarikat usahawan muda ini menggunakan seratus peratus udang geragau. Tetapi ada juga yang dibuat dengan menggunakan campuran ikan dan udang.
Selain belacan, syarikat Ezany turut mengedar kunyit serbu, rempah ikan, rempah kurma dan pelbagai lagi perencah masakan. Apabila jenama Ezany sudah terkenal terutamanya di kalangan peminatnya, Ezany dengan bijak mengambil peluang untuk menjual sos tomato dan sos cili dan turut mempunyai jenama pakaiannya sendiri iaitu Grassjeans yang kini dijual di Jaya Jusco. Beliau memang ahli perniagaan yang pandai merebut peluang!
KRU
Beralih kepada usahawan yang ketiga, nama trio tiga adik beradik ini sudah memang tersangat dikenali diseantero Asia. KRU. Tiga aksara yang melambangkan kesungguhan, muzik, inovasi dan teknologi tiga artis Melayu yang boleh dibanggakan. Kumpulan yang sudah lebih sedekad membabitkan diri dalam perniagaan berkisarkan muzik ini bijak menggunakan segala peluang yang ada untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri seni.
Kejayaan mengukir nama dalam dunia seni suara turut memberi kesan kepada penghasilan filem termasuk aspek pentadbiran dan penerbitan. Malah sejak akhir-akhir ini Kru sibuk mengukuhkan kedudukan mereka untuk menjadi satu jenama di medan antarabangsa. Semua syarikat milik mereka disatukan di bawah satu entiti di beri nama KRU STUDIOS, malah sudah mempunyai cawangan di luar negara.
Perkembangan positif dalam dunia perniagaan bukan saja membanggakan tiga beradik itu malah kalangan yang mengikuti kemajuan kerjaya seni mereka. Perkara itu turut dikongsi semua pihak. Dek kesibukan dan urusan perniagaan yang semakin berkembang, syarikat yang berpusat di Setiawangsa ini sudahpun mengalihkan operasinya ke Cyberjaya tidak lama lagi.
KRU bermula dari bawah, mereka mendaki setiap anak tangga untuk menuju ke puncak dan yang paling penting, mereka tidak menunggu peluang, mereka menciptanya! Pada peringkat awal perniagaan pada 1992, mereka hanya menyewa bilik kecil. Kakitangannya, adalah Norman Abdul Halim, vokalis KRU dan ibu. Apabila perniagaan mereka sudah berkembang, mereka berpindah ke Setiawangsa seterusnya membeli blok perniagaan itu pada 1996 dan 1997. Disebabkan pejabat di Setiawangsa yang agak padat dengan jumlah pekerja yang semakin ramai dan pelbagai perancangan yang sedang giat diatur, pihak pengurusan KRU iaitu mereka sendiri bertekad untuk berpindah ke sebuah lokasi yang lebih selesa. BERKELUASAN 15.39 ekar di atas sebidang tanah di Cyberjaya, KRU Studios dilengkapi pelbagai kemudahan canggih untuk tujuan penerbitan, ia dilihat sebagai simbol kejayaan kepada KRU yang ditunjangi tiga beradik popular, Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim serta Edry Abdul Halim.
Bangunan tersebut dilengkapi dengan studio penerbitan audio, studio suntingan, studio pengimejan digital dan studio animasi visual kesan khas. Selain itu, ia juga menyediakan dua pentas persembahan yang masing-masingnya berkeluasan 2,500 dan 10,000 kaki persegi untuk tujuan persembahan konsert dan rakaman program-program televisyen. Selain itu, ia juga menyediakan bilik-bilik serbaguna seperti bilik pakaian, bilik solekan serta bilik untuk artis.
Tak cukup dengan itu, KRU Studios turut tidak lupa untuk menyediakan ruang untuk set penggambaran luar terutama untuk perfileman, ruang pejabat untuk disewa oleh syarikat produksi yang bukan sahaja daripada bidang filem malah pengiklanan. Dan yang paling utama, KRU Studios mampu berbangga apabila studionya di Cyberjaya turut menawarkan sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang kini banyak digunakan dalam industri penerbitan.
Bidang muzik telah mereka kuasai. Feminin, Elite, Adam AF2, Dafi, Innuendo, Ezzlyn-semua adalah artis rakaman KRU yang rata-ratanya Berjaya di arena muzik tanah air. Kini, KRU lebih menumpukan kepada bidang filem, sesuatu yang mereka memang ingin terokai dari umur remaja lagi. Dengan adanya KRU Studios ini, KRU merancang untuk menghasilkan 12 buah filem dalam setahun dan menggiatkan penghasilan penerbitan-penerbitan lain. Meskipun Thailand dan beberapa negara rantau Asia memiliki teknologi HD, KRU Studios menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih murah di samping lokasinya strategik.
KRU sememangnya artis yang tidak pernah kenal erti BEREHAT. Buktinya, mereka telah pun menghasilkan sebuah dokumentari berorientasikan budaya tempatan untuk pasaran luar. Dokumentari itu berkisar tentang keris, wau, batik dan kehidupan masyarakat Bajau Laut serta penduduk Portugis di Melaka. Yang membanggakan ialah dokumentari itu telah berjaya dipasarkan di 22 buah negara dan ada dokumentari terbabit berjaya memenangi anugerah dalam satu majlis penganugerahan di Bali, Indonesia tahun lalu.
Kejayaan Norman bersama dua adiknya, Yusry dan Edry adalah berdasarkan usaha mereka membina perniagaan sejak 1992 dari modal sebanyak RM2,000 sahaja. Tetapi kini, mereka sudah ada aset bernilai jutaan ringgit termasuk bangunan sendiri yang berharga RM4.8 juta. Norman, 36 tahun, ialah Presiden dan Ketua Eksekutif kepada syarikat KRU Capital Sdn Bhd yang mempunyai 6 anak syarikat iaitu KRU Music Group, KRU Publishing, KRU Communications, KRU Films, KRU Media dan KRU Matrix. KRU Capital juga telah mengembangkan sayapnya ke Amerika Syarikat dan Singapura dengan penubuhan KRU America Inc. dan KRU Singapura Pte Ltd.
Usahawan Selebriti Wanita di Malaysia
Neelofa
Perniagaan kini sudah menjadi aktiviti kedua bagi golongan artis terutamanya yang wanita. Mana taknya, semuanya hendak perfect dan up-to-date kalau bercerita tentang wanita, apatah lagi artis! Baru-baru ini . Pelakon Jiwa dan Lara, Neelofa atau Lofa, 22 tahun ni bukan saja aktif berlakon, dia kini mengusahakan pernigaan kasut tumit tinggi. Neelofa ada sebuah blog (neelofaheels.blogspot.com) yang khas untuk mempromosi dan menjual kasut kasut dengan jenama Lofa. Beliau akan menukarkan nama jenama Lofa itu kepada nama dia sendiri iaitu “Neelofa” dalam waktu terdekat.
Kini perniagaan kasut Lofa sudah berjalan selama 1 tahun lebih. Usahawan cantik molek ini sedang berusaha untuk memperkembangkan perniagaan kasut tumit tingginya dengan mempelbagaikan material produk, tekstur dan warna kasut. Kasut kasut dalam koleksinya dijual dengan hargar sekitar RM 150 hingga 350 setiap pasang. Kasut-kasut ini bukan direka oleh Lofa tapi Lofa pilihnya daripada sebuah katalog dan sumbernya dari luar negara. Kasut ini dibuat penjenamaan semula dengan menggunakan nama Lofa pada mulanya.
Walaupun masih muda, beliau bercita-cita tinggi untuk membuka cawangan. Dan baru-baru ini, beliau sudahpun mendaftarkan syarikat dengan nama Neelofa Sdn Bhd di MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri). Neelofa dan sorang lagi artis, Fizo Omar telah mendapat geran RM200,000 untuk mengusahakan perniagaan mereka. Geran itu akan digunakan untuk mempromosi dan rebrandingkan kasut kasut tumit tinggi selain menampilkan konsep dan rekaan baru. Anak kelahiran Kelantan ini dikatakan akan membuka sebuah gudang khas sama ada di Shah Alam atau Damansara untuk memudahkan proses penghantaran dan penyimpanan kasut-kasutnya.
Sememangya orang Kelantan memang bijak berniaga!
Fasha Sandha
Baiklah, usahawan artis wanita yang kedua ini amatlah popular. Hampir semua rangkaian TV baik yang percuma mahupun yang berbayar selalu menayangkan wajah jelita beliau. Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 27, yang selama ini dikenali sebagai pelakon popular menerusi filem dan drama bersiri televisyen kini menambah satu lagi portfolio dirinya. Daripada gelombang seni, wanita cekal itu menjana satu transformasi besar. Fasha kini adalah Pengarah Urusan Chinta Hair Salon & Beauty.
Beroperasi sekitar hujung Februari 2011, salun kecantikannya menawarkan perkhidmatan daripada memotong, mewarna hinggalah meniup kering rambut. Di samping itu, salun tersebut turut menawarkan khidmat urutan, bengkel solekan dan rawatan wajah. Fasha juga berhasrat menjadikan salun tersebut sebagai pusat sehenti dalam berkongsi maklumat mengenai kecantikan dan penampilan dengan wanita-wanita yang meminati skop yang serupa.
Mesti ramai yang mengganggap artis popular seperti beliau mudah sahaja untuk menyimpan modal untuk dibuatberniaga. Sebenarnya tidak! Selama setahun Fasha tidak menuruti nafsu membeli-belah semata-mata mahu menyimpan wang untuk pelaburan bisnesnya. Bukan senang untuk dilakukan oleh seorang artis wanita popular!
Tetapi kenapa namanya Chinta? Kata Fasha, Chinta diambil sempena nama watak dalam drama terbarunya yang bermaksud seorang gadis yang sungguh bertuah kerana dirinya tak lekang dengan kasih dan sayang. Justeru, beliau inginkan salunnya mempunyai aura yang sama antara beliau dengan para pelanggan yang berkunjung. Disebabkan pengaruh yang sangat mendalam terhadap drama itu, Fasha meronakan warna ungu dan putih pada dekorasi salunnya. Tema warna yang sama digunakan pada montaj drama berkenaan. Bagi rekaan dalaman yang dilihat begitu sofistikated pula, ideanya digembleng bersama ahli keluarga.
Chinta menggunakan khidmat jurusolek terkenal, Mohd. Shahrul Azlan Abd. Rauf, 32, yang dikenali sebagai Deq Sha. Deq Sha yang pernah menata rias nama-nama besar seperti Liyana Jasmay dan Scha Al-Yahya telah bekerjasama dengan Fasha sejak pelakon itu berusia 18 tahun.
Fasha juga melantik pendandan rambut kegemarannya, Connie untuk memberi sentuhan gaya yang dikehendaki para pelanggannya. Selain itu, empat stafnya yang lain turut memiliki segala kemahiran tentang salun.
Walaupun ini perniagaan pertama Fasha, pertaruhan kepada bisnes tersebut bukan satu eksperimen. Sedar bahawa dirinya kosong dengan pengalaman, Fasha Sandha yang lakonannya memang boleh meruntun jiwa sesiapa sahaja tidak segan bertanya kepada mereka yang telah melalui asam garam dan jatuh bangun dalam bisnes.
Demi Chinta, usahawan muda itu akan mengurangkan masa berlakonnya. Katanya, dia tidak sabar untuk mengikuti kursus kecantikan selama enam bulan di salah sebuah institut untuk menajamkan skilnya. Jadi, kepada sesiapa yang bertuah, mungkin mereka berpeluang mendapat sentuhan seorang yang bernama Fasha Sandha!
Dan seperti yang dijangka,salun yang terletak di Wangsa Maju itu bukan sahaja dikunjungi oleh rakan artis malah turut menjadi tumpuan orang ramai. Kebanyakan yang datang membuat rawatan spa atau rambut akan datang lagi kerana rata-rata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi oleh tiga orang kakitangannya, Zetty, Ewin dan Mario.
Salun yang beroperasi setiap Selasa hingga Ahad dari pukul 11 pagi hingga 9.30 malam itu turut menerima sentuhan istimewa Fasha. Beliau berada di salun empat kali seminggu, biarpun sibuk dengan penggambaran. Memandangkan bisnenya berjalan lancar, beliau bercadang untuk membuka dua lagi cawangan Chinta. Satu di Johor Bahru, tempat kelahiran saya dan Perlis. Selain mengutamakan keselesaan pelanggan, Salun Chinta juga amat menitik beratkan soal keselamatan. Fasha sanggup mengeluarkan bajet lain untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV), sistem amaran dan mengupah seorang pengawal keselamatan mengawasi premisnya.
Dato’ Siti Nurhaliza
Usahawan yang ketiga untuk dibicara ini ialah siapa lagi kalau bukan Penyanyi No 1 Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza. Pelancaran produk kosmetik dan penjagaan kulit jenamanya sendiri iaitu “SimplySiti” sememangnya mendapat sambutan hangat daripada peminat beliau yang pastinya sangatlah ramai di seluruh negara termasuk di Singapura, Brunei dan Indonesia.
Pelaburan besar telah dibuat untuk menghasilkan produk kecantikan bermutu merangkumi penjagaan kulit SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age dan SimplySiti Acne Solution selain Krim Simply 5 yang istimewa. Harapan ahli perniagaan muda ini adalah supaya produk sulung beliau mampu menembusi pasaran negara luar terutama jiran terdekat iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia selain Timur Tengah memandangkan ia diiktiraf halal oleh Jakim. Ini penting kerana majoriti bakal pembeli produk ini adalah terdiri daripada golongan orang islam.
Memanfaatkan pengalaman menjadi duta produk kecantikan seperti Maybelline & Pantene, semua produk SimplySiti dipasarkan di lebih 200 rangkaian farmasi Watson seluruh negara dan pasar raya Jusco. Kehadiran suami beliau, Dato’ Khalid sebagai rakan kongsi yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan sememangnya membantu menjayakan perniagaan kosmetik beliau.
Mesti ramai yang ingat produk ini hanya sekadar untuk menambah satu lagi punca pendapatan figura terkenal ini. Tak mungkin beliau sendiri memakainya. Betul? Stigma itu salah! Dato’ Siti telah menggunakan dan menguji produk yang diproses ketika R&D dijalankan selama 6 bulan sebelum ianya berjaya dipasarkan kepada orang ramai.
Menggunakan khidmat ahli saintis dari Korea, bahan-bahan yang digunakan dalam produk SimplySiti semuanya berunsurkan bahan-bahan semula jadi seperti ekstrak daun Prunella Vulgaris yang mampu merawat semuala luka dan radang kulit. Sepertimana yang diketahui, Korea merupakan pusat pembikinan dan pembuatan produk kosmetik yang terunggul di dunia, Dato Siti dan pasukannya telah membawa beberapa ahli saintis Korea ke Malaysia untuk mengkaji dan merasai cuaca di sini supaya mereka faham masalah dialami oleh wanita-wanita di Malaysia. Hebat, bukan?
Tetapi ini tidak bermaksud percaturan beliau lancar. Baru-baru ini produk kosmetik SimplySiti dikatakan mengunakan berus bulu babi dalam produknya. Menjawab spekulasi yang mampu menggagalkan perniagaan sekaligus mencemarkan imej baik yang dipelihara beliau, Dato’ Siti menafikan dakwaan tersebut dengan segera. Sejurus selepas itu, dalam masa beberapa hari sahaja, kesemua produk keluaran syarikat tersebut disahkan secara rasmi telah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebelum dipasarkan kepada umum. Alah bisa tegal biasa lah katakan kalau menghadapi dugaan ketika berniaga kan?
Dan seperti yang boleh diagak, jualan produk SimplySiti sangat memberansangkan walaupun baru satu bulan ia dilancarkan. Dato Siti lah katakan, personaliti yang hebat, kareer yang mantap, sudah tentu jualan pun mengkagumkan!
Dynas
Beralih kepada pelakon dan pengacara Wan Edrinas Wan Mokhtar, 28 tahun. Bak kata Daphne Iking, Dynas merupakan wanita yang paling matang dan berfikiran jauh mengenai perancangan masa depan walaupun dia rakan termuda di kalangan teman mereka yang lain seperti Yasmin Hani, Atilia, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair.
Mengakui tentang hal tersebut, ibu beranak satu ini begitu teliti dengan setiap perancangan yang dilakukannya. Kerana semangat dan kecekalannya juga, perancangan memiliki sebuah butik khas buat ibu-ibu moden terlaksana jua. Kini beliau boleh berbangga dengan Butik Dynas Nursing Attire atau DNA telah dilancarkan di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Selangor.
Tetapi mengapa perniagaan pakaian ibu mengandung? Bekas pengacara Beat TV berasa tidak selesa dengan pakaian mengandung yang berada di pasaran. Beliau sendiri menghadapi kesukaran untuk mencari pakain mengandung yang sesuai dan moden ketika mengandungkan Khyra Khalisa. Malah pakaian khas buat ibu yang menyusukan anak juga sukar untuk dicari di Malaysia dan hal tersebut membuatkan Dynas mula mengilhamkan beberapa pakaian yang sesuai.
Beliau berpendapat, semakin kurang para ibu yang memberikan susu mereka kepada anak-anak dan salah satu faktornya adalah tiada pakaian yang sesuai buat mereka lebih-lebih lagi buat ibu yang berkerjaya. Dengan rekaan pakaian untuk ibu ini, artis jelita ini berharap tiada lagi ibu-ibu mengandung mahupun yang menyusukan anak malu dengan gelaran ‘ibu’ kerana pemakaian yang kurang moden.
Sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan wang sejumlah RM150,000 untuk membuka butik Dynas Nursing Attire (DNA), pada mulanya beliau tidak ada keberanian dan kurang yakin untuk membuka perniagaan bersendirian lebih-lebih lagi terpaksa mengeluarkan modal yang besar tanpa membuat pinjaman. Bagaimanapun, keluarga, ibu dan seorang rakan daripada Nurturing Concept iaitu Rita yang telah menaikkan semangat dan menyokong beliau untuk bergerak sendiri dalam perniagaan ini.
Graduan Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini seperti yang diketahui ramai amat peka pada penjagaan kecantikan diri secara luaran dan dalaman. Bergelar ibu juga bukanlah satu alasan untuk dirinya semakin malas dengan penjagaan diri. Walaupun bergaya moden, Dynas juga tetap menjaga kecantikannya dengan amalan tradisional Melayu.
No comments:
Post a Comment