Bidang perniagaan dan keusahawanan kebanyakanya dikuasai oleh golongan Cina. Tidak hairan jika kehidupan mereka jauh lebih baik daripada kaum lain. Jatuh dan bangun sesebuah perniagaan itu adalah lumrah. Tetapi tidak bagi golongan Cina. Mereka tidak akan mengaku salah dan kalah sekiranya perniagaan yang diceburi itu gagal membawa keuntungan. Pasti akan ada alasan yang diberikan untuk kejadian itu. Asalkan diri sendiri tidak mendapat malu.
Merujuk kepada Kamus Cambridge, “A bad workman blames his tools” dalam pepatah Cina membawa maksud, seseorang yang tidak mahu mengaku salah dalam tugas yang dibuat, sebaliknya menyalahkan kepada perkara atau pihak lain pula. Dalam bahasa yang yang mudah, seorang pemandu yang tidak cermat akan menyalahkan lubang pada jalan yang telah mengakibatkan berlakunya kemalangan, sedangkan diri sendiri yang tidak berhati-hati. Atau juga, seorang yang gagal dalam peperiksaan akan menyalahkan soalan peperiksaan, bukan diri sendiri yang malas belajar.
Pepatah ini cukup terkenal dalam kalangan Orang Cina. Akan tetapi, perkara ini bukan berlaku dalam golongan mereka sahaja. Perkara ini berlaku kepada semua. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru terlibat dengan dunia keusahawanan. Artikel ini ditulis bukan bertujuan untuk mengata keburukan Orang Cina sahaja, bahkan kepada semua usahawan yang tidak boleh menerima kelemahan diri dan tidak mampu mengambil risiko untuk gagal. Apabila seseorang itu telah membuat keputusan untuk terjun ke dunia perniagaan, dia juga perlu bersedia secara keseluruhan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal tiba. Apa lagi jika berita buruk itu adalah kegagalan dalam perniagaan. Hal ini sepatutnya dijadikan pembakar semangat untuk berjaya dalam perniagaan dan bukan menutup malu dengan cara yang sedemikian. Sudah cukup jelas untuk pengenalan ini. Mari kita lihat antara contoh-contoh yang yang pernah berlaku dalam pepatah Cina ini dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.
Antara contoh yang biasa berlaku adalah seperti ini:
Kisah 1:
Lim telah melabur sebanyak RM 8000.00 untuk memulakan bidang pertanian, iaitu penanaman benih getah. Lim telah membelanjakan wang itu untuk kerja-kerja pembersihan ladangnya yang telah lama terbengkalai. Wang itu juga digunakan untuk membeli anak benih pokok getah dari RISDA. Oleh kerana harga pasaran getah yang semakin meningkat naik telah membuatkan Lim ingin mencubanya. Lim merupakan seorang peniaga kedai runcit sepenuh masa di kampung tempat dia tinggal. Kebetulan Lim ada menyimpan wang atas kerja kerasnya berniaga selama ini. Setelah hampir setahun menanam benih anak getah, Lim mendapati pertumbuhan getahnya tidak selari dan dan agak terbantut. Sedangkan cuaca sepanjang tahun itu adalah baik sahaja. Anak-anak getah juga telah dijaga dengan sempurna dan selalu dibaja. Tetapi pertumbuhanya kurang memuaskan. Lalu Lim menyalahkan pihak RISDA kerana menjual anak benih yang tidak berkualiti. Lim tidak pula mengaku bahawa dia tidak mempunyai ilmu dan pengalaman untuk menanam getah.
Kisah 2:
Samad mempunyai kemahiran dalam bidang pembuatan ukiran kayu untuk hiasan dinding. Selepas tampat pengajian, dia telah memohon pinjaman dengan MARA untuk memulakan perniagaan di rumah keluarganya. Hasil kerja Samad adalah baik kerana dia seorang yang teliti dalam segala kerja. Pada tahap awal pembabitannya semua berjalan dengan lancar sahaja. Masuk bulan ketiga, Samad berhadapan dengan sedikit masalah. Ukiran yang biasanya dibuat menjadi tidak kemas. Sedangkan dia menggunakan kayu dari spesis yang sama iaitu kayu Cengal. Hal ini disebabkan kurang tumpuan pada kerja yang dilakukan berikutan tempahan yang semakin banyak. Samad sebaliknya menyalahkan kepada tukul dan pahat yang digunakannya untuk membuat kerja-kerja ukiran. Dalam tidak sedar Samad sebenarnya penat, jadi dia telah terlepas pandang dan sedikit leka dengan tugas yang baru diusahakannya itu.
Kisah 3:
Kavita merupakan seorang pereka fesyen. Selepas tamat pengajian di sebuah kolej terkemuka, dia menerima tawaran bekerja dengan sebuah butik yang terkenal di Malaysia. Semasa masih belajar, Kavita sering memasuki pertandingan rekaan fesyen dan sering juga memenangi pertandingan itu. Dia menjadi orang kepercayaan majikan tempat dia bekerja. Sebarang tugas berat diserahkan kepadanya dan hasilnya sangat memuaskan. Tiba-tiba suatu hari majikan memintanya memotong kain untuk dibuat gaun pengantin. Tugas memotong dan menjahit adalah kepakarannya. Tetapi masih terdapat banyak fabrik yang belum pernah dipotongnya kerana dia selalu memotong dan menjahit jenis fabrik yang sama. Jika tersilap potong, rosak semua kain. Kavita sedar dengan ilmu yang belum cukup diperolehinya kerana tidak semua fabrik mempunyai cara yang sama semasa dipotong. Kerana malu untuk mengakui kekurangan ilmu itu, dia telah menyalahkan kepada kain yang dipotong dengan mengatakan bahawa kain itu sangat lembut dan kedudukannya lari semasa urusan memotong kain dijalankan.
Kisah 4:
Ah Tat merupakan seorang pemandu lori dan seorang penjual ikan di pasar. Setiap hari dia akan memandu lori bersama 2 orang pekerjanya ke Pasar Besar Selayang untuk mengambil barangan basah. Setiap hari dia akan membeli barang dari pasar dengan nilai kira-kira RM 1000.00. Suatu hari, semasa pulang dari membeli stok barangan basah hujan turun dengan lebat. Ah Tat tetap memandu lorinya dengan laju. Disebabkan gagal mengawal lori kecilnya, kemalangan telah berlaku. Lori itu telah terbalik kerana faktor jalan yang licin. At Tat menanggung kerugian yang besar. Tetapi dia masih tidak mahu mengaku salah dan mengatakan jalan itu tidak rata dan licin. Sedangkan dia sendiri yang tidak beringat cara memandu dengan perlahan semasa hari hujan. Akibat kejadian itu, Ah Tat telah kerugian semua barang yang dibelinya dari pasar kerana terbalik di jalanan. Dia juga terpaksa mengeluarkan wang simpanan yang lain untuk membaiki keadaan lorinya yang rosak teruk. Penyesalannya tidak berguna kerana dia masih tidak mahu mengaku kesalahannya.
Kisah 5:
Haji Ismail merupakan seorang peneroka Felda di Pahang. Dia telah terlibat selama 29 tahun dalam dunia penternakan lembu. Seawal penglibatannya, dia turut mengalami kejatuhan yang teruk. Berkat kesabaran itu hidupnya kini lebih senang. Sebagai permulaan untuk meluaskan penternakan keluarga itu, setiap anaknya mendapat hak yang sama dalam pembahagian lembu. Kesemua 6 orang anaknya diberikan 2 pasang baka lembu yang cukup sihat untuk memulakan penternakan. Selepas 2 tahun, 5 orang anaknya telah berjaya membiakkan lembu yang telah dihadiahkan oleh Haji Ismail. Masing-masing telah mempunyai 2 ekor dan seekor anak lembu. Hanya anaknya yang bongsu gagal menyahut cabaran. Kebetulan seekor lembunya telah mati kerana termakan racun. Anaknya telah menyalahkan Haji Ismail sendiri dan menegaskan bahawa lembu yang telah dihadiahkan kepadanya adalah lembu yang mandul dan tidak sihat. Sedangnya dia hanya membiarkan lembunya lepas merata tempat tanpa pemantauan yang baik.
Kisah 6:
Raju pula merupakan seorang bapa tunggal yang telah kematian isteri. Mendiang isterinya telah meninggalkan 3 orang anak kecil dan sebidang tanah di kampung. Kerana terlalu sedih dengan kematian isterinya, dia telah pulang ke kampung dan berniat untuk mengusahakan tanah yang telah ditinggalkan mendiang isterinya. Jadi, berbekalkan RM 3000.00, Raju memulakan pertanian secara kecil-kecilan dengan menjadikannya sebagai pekerjaan sampingan sahaja. Kerana pekerjaan sepenuh masa Raju adalah menjual cendol. Raju telah menyemai pelbagai jenis benih sayur-sayuran seperti cili, timun, kacang panjang, terung dan labu. Raju bekerja dengan gigih kerana bertekad mahu membesarkan anaknya dengan segala kemudahan yang mampu diberikannya. Tetapi sayang, usaha dan titik peluh Raju tidak berbalas. Tanamannya tidak beberapa menjadi. Sebenarnya Raju tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang ini. Kerana dia hanya seorang penjual cendol. Mungkin Raju telah memberikan baja yang salah kepada semua jenis tanamanya. Kemudian Raju sedar akan hal itu dan lebih berhati-hati dalam soal pemilihan baja dan sering bertanya kepada pihak pertanian negeri jika terdapat sebarang persoalan.
Kisah 7:
Susan bertekad membuka sebuah kedai menjual pakaian wanita sebaik bersara daripada sektor kerajaan. Dengan menggunakan wang KWSP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dia telah melabur sebanyak RM 20000.00 untuk memajukan kedai itu. Perniagaan ini dikongsi bersama 2 orang kawannya yang lain. Seawal bulan pertama perniagaannya kurang memberangsangkan. Tetapi kawasan tempat Susan menyewa kedai sewa itu menjadi tumpuan orang ramai. Tambahan pula hanya Susan seorang sahaja yang menjaga kedai itu kerana 2 orang rakan kongsinya mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Apabila menerima tekanan akibat perlu menjaga kedai seorang diri, Susan menjadi tidak bersemangat dan putus asa. Masuk minggu ketiga dia sudah malas membuka kedai. Rakan kongsinya juga bersikap dingin. Akhirnya Susan memarahi rakan kongsinya kerana tidak memberikan kerjasama seperti yang dijanjikan sebelum membuka kedai dahulu. Susan sepenuhnya menyalahkan sikap rakan kongsinya yang hangat-hangat tahi ayam dan hanya pembaziran yang berlaku dengan pelabuarn yang telah mereka buat.
Kisah 8:
Aunty Lily merupakan seorang warga emas yang masih gigih bekerja. Dia telah mengusahakan pekerjaan sebagai pengumpul barangan terpakai yang dikumpulkan di sekitar kilang berhampiran rumahnya sebelum dijual kepada kedai terpakai atau orang tengah. Dia hanya mengayuh sebuah basikal tua yang menjadi kenderaan utamanya untuk bergerak ke mana sahaja. Dengan basikal tua itu juga dia mengumpulkan semua barangan yang dikumpul. Selain itu, dia juga mengumpul tin-tin minuman dan surat khabar lama. Tenaga tua Aunty Lily sudah tidak mengizinkannya untuk mengangkat barang berat lagi. Jadi, dia telah membeli sebuah motosikal roda tiga untuk memudahkan segala urusan. Secara kebetulan dia telah terlanggar batu dan motosikal roda tiganya telah terbabas. Semua barang terpakai yang dikumpulnya bertaburan jatuh. Lalu, dia menyalahkan batu yang berada di tengah jalan yang menyebabkan kemalangan itu berlaku. Sebenarnya Aunty Lily sudah tidak mampu mengawal motosikal roda tiga itu yang sangat berat dengan bebanan yang dibawa.
Inilah antara contoh-contoh yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Kaum Cina, Melayu atau India adalah sama sahaja. Semua kaum mempunyai peluang untuk memperjudikan hidup dan wang. Kerajinan dan kegigihan kaum Cina memang tidak diragui lagi. Kerana bagi mereka falsafah utama dalam perniagaan adalah seperti pertaruhan untuk mati. Oleh itu, mereka tidak boleh tersilap langkah walaupun setapak. Perancangan yang baik menjanjikan pulangan yang besar dan masa depan dijamin cerah. Manakala perancangan secara sambil lewa pula akan akan memudaratkan masa depan. Baik buruk sesebuah perancangan itu bergantung kepada perancangan yang rapid dan teratur. Musuh utama dalam perniagaan Orang Cina adalah takut untuk bersaing, takut untuk mencuba, dan takut untuk menghadapi kegagalan. Golongan ini sentiasa menekankan situasi menang-menang dalam setiap urusan yang dilakukan. Mereka juga tidak berharap dan tidak hanya bermimpi untuk mendapatkan kekayaan dalam sekelip mata. Walau setinggi mana kejayaan golongan ini, apabila gagal dan jatuh, jari pasti ditunding pada penyebab lain.
No comments:
Post a Comment