Peristiwa Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian spiritual Rasulullah s.a.w pada masa lalu, sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.
Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.
Banyaknya pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut. Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah s.a.w dalam keadaan jaga, buraq yang dinaiki Nabi s.a.w, pertemuan Rasulullah dengan para nabi, misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.
Sayyid Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan, ”Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad s.a.w. Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu. Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”
Hanya dalam satu malam, Allah s.w.t ‘mencipta perjalanan’ bagi Rasulullah s.a.w untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya, mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkan-Nya perintah menunaikan solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasulullah dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).
Banyak berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir majoriti ulama mengatakan bahawa ia terjadi dengan jasad dan roh. Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular di kalangan umat Islam.
Sebenarnya, peristiwa Isra dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w tidak banyak meninggalkan hadis yang berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru tentang Israk dan Mikraj.
Sejarah membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj. Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam kitab As-Sirah karya Muhammad Bin Ishaq (85 H –151 M). Kitab adalah karya tertua dan pertama yang berisi dalil-dalil autentik atau dapat dipertanggungjawabkan yang membicarakan perihal Israk dan Mikraj.
Setelah itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi autentiknya tidak dapat dipertanggungjawabkan. Dengan demikian, maka lahirlah pula pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah s.a.w, selebihnya dengan roh yang suci.
Dalam hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan kajian yang mendalam dan usaha yang optimum untuk meneliti hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah s.a.w tersebut. Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau palsu semata.
Apakah sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w? Dan yang lebih penting ialah untuk melihat apakah kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah ketika peristiwa itu terjadi.
Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang-orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghibur diri Rasulullah s.a.w yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawa baginda.
Tahun yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah s.w.t telah ‘mengisrakmikrajkan’ Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung. Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.
Sheikh Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar aI-Islam, “Ketika Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar telah lenyap dalam diri Rasulullah saw.” Malah dikatakan bertambah yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.
Namun begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan ‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi semata-mata atas kehendak Allah s.w.t, sesuai dengan kekuasaan dan kudrat-Nya. Allah menperjalankan Muhammad sesuai dengan kehendak-Nya untuk memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Malah sesetengah ulama mengatakan perjalanan agung itu sama sekali tidak ada kaitan dengan hiburan dan pencarian kesenangan dan kebahagiaan luaran diri Rasulullah, tetapi terkandung di dalamnya perintah untuk menggunakan akal fikiran dan mata hati untuk mencari hikmah lebih besar yang terdapat di dalam peristiwa agung itu.
Dalam hal ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali menulis bahawa hikmah Israk dan Mikraj ini adalah seperti yang berikut: “Allah ‘Azza wa Jalla memberi kesempatan kepada Rasulullah untuk melihat tanda-tanda dan kejadian yang amat luar biasa, yang terjadi di atas kekuasaan Allah, agar lahir keyakinan dan penyerahan diri kepada Allah dalam kalbu, dalam menghadapi tekanan orang-orang kafir pada waktu itu.”
Sejarah juga mencatatkan bahawa sebelum Nabi Musa a.s diutus menjadi nabi, Allah telah memperlihatkan kepadanya keajaiban-keajaiban kekuasaan-Nya, dengan memerintahkan Musa a.s melempar tongkat yang tergenggam di tangannya, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Allah berfirman: ’Lemparkanlah ia, wahai Musa.’ Lalu dilemparkanlah tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang menjalar dengan pantas. Allah berfirman: ‘Peganglah ia dan jangan takut. Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula, dan kepitkanlah tanganmu ke ketiakmu, nescaya ia keluar menjadi putih cemerlang tanpa cacat, sebagai mukjizat yang lain pula untuk Kami perlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Kami yang sangat besar.” (Surah Thaha: 19-23)
Ketika kalbu Musa a.s dipenuhi rasa takjub akan kejadian yang ajaib tersebut, tumbuhlah rasa iman dan keyakinan yang kukuh dalam dirinya kepada Allah. Pada ketika itulah Allah berfirman kepada Musa a.s, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pergilah kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampui batas.” (Surah Thaha: 24)
Al-Ghazali menjelaskan lagi bahawa kita semua telah memahami bahawa hasil daripada Israk dan Mikraj telah memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah yang teragung, meskipun hal itu terjadi dua belas tahun setelah pengangkatan (penobatan) Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasulullah s.a.w.
Apa yang terjadi pada Musa a.s jelas berbeza dengan Muhammad s.a.w. Dan apa yang kelihatan pada Musa terjadi sebelum pengangkatan dirinya sebagai nabi, sedangkan kepada Muhammad terjadi dua belas tahun setelah pengangkatannya sebagai nabi dan Rasulullah. Nilai yang tersirat daripada perbezaan tersebut menunjukkan apa yang terjadi pada Nabi dan Rasul adalah untuk meyakinkan umat (kaum) mereka akan kebenaran risalah dan kenabian yang ditugaskan itu. Ini merupakan satu pembuktian untuk para musuh yang tidak mempercayai adanya risalah dan tugas kenabian daripada Allah s.w.t, dan tugas kenabian yang disandang Rasulullah s.a.w lebih daripada apa yang ditugaskan kepada para nabi terdahulu, dan tahap Muhammad lebih tinggi daripada para nabi dan rasul terdahulu itu.
Dr Ahmad Syalabi mengatakan bahawa nilai pendidikan dari perjalanan agung ini adalah sebagai medium penyaringan untuk mengetahui siapa sebenarnya pengikut nabi yang setia dan kukuh imannya. Dan siapa pula yang pura-pura beriman kerana nabi merasa perlu mengetahui masalah ini disebabkan tugas kenabian setelah hijrah adalah amat berat , penuh dengan jihad dan peperangan, serta pengorbanan bukan sahaja berupa harta benda, tenaga, bahkan nyawa demi menegakkan agama Islam.
Sheikh Abu Ali Fadhal bin Hasan ath-Tusi telah merumuskan tentang pemahaman hakiki mengenai peritiwa Israk dan Mikraj dan pandangan ini dianggap terbaik dari sebilangan pendapat yang ada. Di antara yang dirumuskannya adalah:
·Allah telah ‘menciptakan perjalanan’ Rasulullah itu pada malam gelap gelita, dari Masjidil Haram, Mekah.
·Ia hanya berlaku sekali sahaja sebagaimana pendapat majoriti.
·berlaku dalam keadaan jaga (bukan mimpi)
·Dengan roh dan jasad
·Terjadi setahun sebelum Hijrah
·Menaiki buraq yang tidak diketahui hakikat bentuknya, kecuali oleh Allah s.w.t
·Menuju Baitulmaqdis (sekarang Palestin)
·Perjalanan itu sampai ke Sidratul Muntaha.
·Dalam Mikraj, telah diwajibkan solat lima waktu bagi diri baginda dan umatnya.
·Kemudian kembali ke Mekah dan perkara itu terjadi pada malam yang sama.
·Orang musyrik tidak menpercayainya, terutama Abu Jahal.
·Abu Bakar adalah antara sahabat yang sangat meyakini dan mempercayai khabar ini, manakala yang lain ada yang lemah imannya dan menjadi murtad.
·Al Quran menerangkan peristiwa ini dengan begitu sederhana dan simbolik. Oleh hal yang demikian itu, kita perlu berhati-hati dalam melihat hadis-hadis dan periwayatan mengenainya.
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu ‘perjalanan agung’ yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa takwa dan keimanan terhadap Allah s.w.t menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad s.a.w. Oleh hal yang demikian itu, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketakwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah s.w.t.
Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendaki-Nya.
No comments:
Post a Comment