06 March 2018

Al Fatehah




Mafhum firman Allah:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian bagi Allah , Tuhan semesta alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang Menguasai (Yang Memerintah) hari pembalasan. Hanya Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau saja kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan ni`mat kepada mereka; bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. (Surah al-Fatehah 1-7).
Surah al-Fatehah mengandungi tujuh ayat. Ia diturunkan di Mekah dan dikenali sebagai Fatihah al-Kitab lantaran statusnya berada di awal surah mengikut susunan al-Quran. Ia dinamakan Umm al-Kitab (Ibu Kitab) kerana isi dan tujuannya yang luas merangkumi isi al-Quran secara keseluruhannya. Surah ini juga dinamakan al-Sab`u al-Matsani yang bermaksud “tujuh yang diulang-ulang” kerana tujuh ayat ini sentiasa diulang bacaannya setiap rakaat dalam solat. Dalam memperkatakan tentang keutamaan surah ini, al-Imam al-Bukhari menukilkan sebuah hadis dalam Shahihnya; Daripada Abu Said al-Mu’alla r.a berkata “Rasulullah mengatakan kepadaku “Bukankah sudah aku beritahu mu sebesar-besar surah dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini?”. Lalu beliau memegang tanganku semasa kami semua ingin keluar. Aku menjawab “Wahai Rasulullah! Engkau telah nyatakan “Aku akan ajarmu sebesar-besar surah dalam al-Quran” lalu menyebutnya “Alhamdulillahirabbil ‘alamin”.
Berkaitan ayat 1hingga ayat 5, kebanyakkan para ahli tafsir sependapat mengenai huraiannya. Namun bagi ayat 6 hingga ayat 7, huraian (syarah) tentangnya boleh dikatakan terbahagi kepada dua pendapat, iaitu sepertimana yang dinyatakan dalam;
i) Tafsir al-Jalalain: Tunjukilah kami jalan yang lurus iaitu jalan yang Engkau telah berikan ni’mat kepada mereka dan bukannya jalan mereka yang dimurkai (iaitu golongan Yahudi) dan bukan juga jalan mereka yang sesat (iaitu golongan Nasrani). Dengan kata lain, Golongan yang mendapat hidayah itu bukanlah golongan Yahudi dan juga golongan Nasrani.
ii) Al-Tafsir al-Wajiz ala Hamish al-Quran al-‘Azim: Tunjukkanlah kami di jalan yang lurus lagi jelas serta tidak bengkok, iaitu Islam dan Iman. Iaitu jalan yang Engkau telah kurnikan ni’mat kepada mereka daripada kalangan para malaikat, para anbiya, siddiqin, golongan syuhada’, orang-orang solehin dan bukan daripada kalangan mereka yang Engkau murkai; iaitu mereka yang angkuh dan tergelincir daripada kebenaran, golongan yang jauh dserta dalam keadaan jahil daripada kebenaran yang terdiri daripada para pengikut mazhab-mazhab sesat yang menyalahi ajaran Islam serta orang-orang jahat dan munafiqin.
Sementara bagi kalimah “Amin” yang bermaksud “Perkenankanlah doa kami wahai Tuhan” merupakan satu ungkapan doa dan disepakati secara ijma’, ia bukan ayat al-Quran. Al-Syahid Sayyid Qutb mengupas tentang surah ini dalam Tafsir al-Zilal: “ Seseorang muslim mengulangi menyebut surah pendek ini yang mengandungi 7 ayat sebanyak 17 kali sekurang-kurangnya sehari semalam dan lebih daripada jumlah itu apabila dia mengerjakan solat-solat sunat”.
Dalam pada itu, para ulama’ juga berselisih pendapat tentang al-Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim) بسم الله الرحمن الرحيم adakah ia ayat al-Quran atau hanya sekadar doa sahaja?. Namun para ulama’ bersepakat bahawa perkataan Bismillah yang termaktub dalam surah al-Naml (Semut) adalah sebahagian daripada ayat al-Quran. ( انه من سليمان و انه بسم الله الرحمن الرحيم ). Berkaitan dengan perkataan Bismillahhirahmanirrahim pada permulaan surah al-Fatehah, ringkasnya ada tiga pendapat, iaitu;
i) Mazhab Syafie: Bismillah pada awal surah itu adalah sebahagian daripada surah al-Fatehah. Antara dalil yang dipegang oleh mazhab ini ialah (1)hadis Nabi daripada Ibn Abbas r.a “Rasulullah pernah memulakan bacaan dalam solat dengan bismillahirahmanirrahim”.
ii) Mazhab Maliki: Perkataan bismillah pada awal surah al-Fatehah bukan ayat al-Quran dan bukan sebahagian daripada surah al-Fatehah. Begitu juga pada awal surah-surah lain, al-Basmalah bukanlah ayat al-Quran. Mazhab ini berpegang dengan dalil hadis daripada Aisyah r.a; “Rasulullah memulakan solat dengan takbiratul-Ihram dan bacaan Alhamdulillahi rabbil alamin”.
iii) Mazhab Hanafi: Perkataan bismillah itu merupakan pelengkap bagi al-Quran. Ia diturunkan sebagai pemisah antara setiap surah dan ia bukan ayat al-Quran. Mazhab ketiga pula berpegang dengan dalil hadis al-Qudsi yang dinyatakan oleh Abu Hurairah r.a “Aku dengar Rasulullah berkata Allah Azza wa Jalla berfirman “ Aku bahagikan antara Aku dan hambaKu kepada dua dan kepada hambaKu segala apa yang dipinta”. Apabila seorang hamba berkata “Alhamdulillahi rabbil alamin”. Allah Taala berfirman “HambaKu memujiKu”. Apabila seorang hamba berkata “Al-Rahman al-Rahim” Allah Taala berfirman “HambaKu menyanjungKu”. Apabila seorang hamba berkata “Maliki yaumiddin, Allah Taala berfirman “HambaKu memuliakan Aku”. Dan Apabila seorang hamba berkata “Iyyaka na’budu wa Iyyaka nasta’in hingga ke akhir surah ini, Allah Taala berfirman “Ini adalah antara Antara dan hambaKu dan bagi hambaKu segala apa yang dipinta”.
Sehubungan ini, para fuqaha’ Islam juga berselisih pendapat mengenai bacaan al-Basmalah (bismillahirahmanirahim) dalam solat;
i) Al-Imam Maliki menegah bacaan al-Basmalah dalam semua solat fardhu sama ada secara nyaring ataupun secara perlahan, semasa pendahuluan surah al-Fatehah dan juga semasa memulakan bacaan surah-surah lain. Al-Imam Malik berpendapat bacaan al-Basmalah hanya harus dalam solat sunat (Nawafil).
ii) Al-Imam Abu Hanifah menggalakkan seseorang yang mengerjakan solat agar membaca al-Basmalah secara perlahan (sembunyi suara) bersekali dengan surah al-Fatehah pada setiap rakaat solat. Adalah lebih baik jika ia dibaca setiap kali sebelum dibaca surah-surah lain.
iii) Al-Imam Syafie: Membaca al-Basmalah adalah WAJIB dalam setiap solat.
iv) Al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Basmalah hanya perlu dibaca secara perlahan (tidak dengan suara nyaring) dan tidak disunatkan membacanya dengan suara nyaring.
Sementara itu, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hanbal sependapat mengatakan bahawa bacaan surah al-Fatehah adalah syarat sah solat. Sesiapa yang berkemampuan membacanya tetapi meninggalkannya maka solatnya tidak sah. Manakala al-Imam al-Tsauri dan Abu Hanifah berpendapat sah solat tanpa bacaan al-Fatehah tetapi amat tercela (makruh) dan sekurang-kurangnya perlu diganti dengan 3 ayat pendek yang lain ataupun ayat panjang. Para fuqaha’ bersepakat bahawa seseorang makmum yang mendapati imam sedang rukuk, maka dia tidak wajib membaca al-fatehah (memadailah dengan bacaan imam). Namun jika seseorang makmum mendapati imam sedang berdiri (belum rukuk), maka dalam masalah ini para fuqaha berselisih pendapat;
1) Al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal mengatakan bacaan al-Fatehah di belakang imam adalah wajib sama ada dalam solat secara sirriyyah (secara sembunyi bacaannya) ataupun solat jahriyyah (secara nyaring bacaan).
2) Al-Imam Malik berpendapat makmum hanya perlu membaca al-Fatehah di belakang imam semasa dalam solat sirriyyah sahaja dan bukan dalam solat jahriyyah.
3) Al-Imam Abu Hanifah; Seseorang makmum tidak wajib membaca al-Fatehah di belakang imam sama ada dalam solat sirriyyah ataupun solat jahriyyah.

No comments: