11 March 2018

ALBERT ENSTEIN

Albert Einstein (14 Mac 1879 – 18 April, 1955) adalah seorang ahli fizik teori berbangsa Jerman yang telah dipandang sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20. Beliau mengemukakan teori kerelatifan dan membuat banyak sumbangan utama kepada perkembangan mekanik kuantum, mekanik statistik dan kosmologi. Einstein telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dalam tahun 1905 serta “khidmatnya kepada Fizik Teori”.
Selepas teori relatif amnya dirumus pada November 1915, Einstein mencapai kemashyuran di seluruh dunia. Dalam budaya pop, namanya sering disinonimkan dengan kecerdasan.
Kehidupan peribadi
Dilahirkan di Ulm di selatan negera Jerman anak kepada Hermann Einstein dan Pauline, Einstein dibesarkan di Munich. Walaupun beragama Yahudi, keluarganya tidak mengamalkan agama. Einstein tidak berupaya bertutur sehingga berumur tiga tahun. Menurut teori terbaru tentang perkembangan mentalnya, beliau dianggap menghidapi sindrom Asperger, sejenis penyakit yang berkaitan dengan autisme.
Pada tahun 1894, keluarga Einstein berpindah ke Milan selepas kegagalan perniagaan elektrokimia ayahandanya. Einstein dihantar oleh ibubapanya ke Switzerland untuk menghabiskan pendidikan menengah selepas kegagalannya dalam peperiksaan kemasukan “Institut Teknologi Persekutuan Swiss” (Eidgenössische Technische Hochschule) di Zurich disebabkan kegagalannya bahagian sastera walaupun beliau sungguh kukuh dalam bahagian sains dan matematik. Pada 1896, Einstein menyerahkan kerakyatan Jermannya untuk mengelakkanpengerahan tentera dan menjadi seorang yang tidak bernegara.
Selepas menghabiskan pendidikan menengahnya, Einstein memasuki Institut Politeknik Zurich selama empat tahun untuk mengambil pengajian perguruan bagi mengajar sains di sekolah menengah. Walaupun cerdik, beliau bukan merupakan seorang penuntut yang luar biasa. Pada tahun 1900, Einstein mencapai diploma perguruannya dan diterima sebagai rakyat Switzerland pada 1901.
Pada 1902, seorang anak perempuan luar nikah yang dilahirkannya selepas Einstein jatuh hati pada Mileva Mariv, seorang penuntut kolejnya yang berbangsa Hungary. Beliau tidak pernah melihat anaknya yang diserahkan untuk dijadikan anak angkat. Dua tahun kemudian, mereka berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki, iaitu Hans dan Eduard Albert. Hans menjadi seorang profesor dalam kejuruteraan hidraulik di Universiti California, Berkeley, sedangkan Eduard menghidapi skizofrenia dan kemudian maut di rumah sakit otak.
Pada tahun 1905, Einstein mencapai ijazah kedoktorannya selepas penyerahan tesisnya, “Cara baru untuk menentu dimensi molekul” (“Eine neue Bestimmung der Moleküldimensionen“).
Einstein bercerai dengan Mileva pada 1919 dan berkahwin dengan Elsa Löwenthal, saudari sepupunya yang berumur tiga tahun lebih daripada Einstein. Elsa rela menjaganya sewaktu beliau menghidapi penyakit patah jiwa serta penyakit perut yang amat teruk. Mereka tidak mempunyai anak daripada perkahwinan ini.
Rumah dua tingkat Einstein di 112, Mercer Street, Princeton.
Einstein meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi, 18 April 1955 di Hospital Princeton di New Jersey. Mayat beliau dibakar pada hari yang sama tanpa sebarang adat istiadat di Trenton, New Jersey mengikut hasratnya. Abu mayatnya disebar di lokasi yang tidak dapat dipastikan.
Dr. Thomas Stoltz Harvey, ahli patologi yang melaksanakan autopsi Einstein, telah mengawet otaknya. Walau bagaimanapun, Harvey tidak mendapati sebarang yang luar biasa mengenai otak Einstein, akan tetapi pada 1999, analisis lanjutan oleh sepasukan di Universiti McMaster mendedahkan bahawa otak Einstein tidak mempunyai bahagian operkulum parietal. Sebagai ganti, lobus parietal inferiornya lebih lebar sebanyak 15% daripada yang biasa. (Bahagian parietal inferior bertanggungjawab kepada pemikiran matematik, kognisi visuospatial, dan imejan pergerakan.) Otak Einstein juga didapati mengandungi 73% lebih banyak sel glia daripada otak yang biasa.
Kerjaya
Selepas memperolehi ijazahnya, Einstein tidak dapat menjadi guru kerana kekasarannya telah menjengkelkan kebanyakan daripada profesornya. Walau bagaimanapun, ayahanda seorang rakan sedarjahnya menolongnya mendapat pekerjaan sebagai penolong pemeriksa teknik (kelas ketiga) di sebuah Pejabat Paten Switzerland pada tahun 1902. Di sini, Einstein bertugas selama tujuh tahun.

No comments: