اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
Allahyarham Tuan Haji Maarof bin Yaakob (1901-1994)
Khalifah ke 37 Tarekat Naqsyabandiah, Negeri Sembilan
Ehsan daripada: http://ulamakito.blogdrive.com/
Latar belakang guru
Tokoh yang kita bicarakan ini berasal dari Lenggeng, Negeri
Sembilan iaitu sebuah mukim yang bersempadan dengan kawasan Ulu Langat
Selangor. Kawasan ini lebih mudah dihubungi melalui jalan Kajang- Seremban.
Sebahagian besar penduduknya ialah berasal dari tanah seberang khususnya masyarakat
Minangkabau. Tuan Haji Maarof dilahirkan pada tanggal 1901 bersamaan lebih
kurang tahun 1322H pada hari Selasa pukul 10.00 pagi di sebuah pondok tengah
sawah Kampung Sungai Bunga. Anak pertama bagi pasangan Yaakob Haji Saman dan
Siti Hajar Haji Arshad asalnya diberi nama Muhamad Jinid, namun bayi ini sering
menghadapi masalah dan mengikut kepercayaan orang-orang tua nama tersebut tidak
serasi bagi batang tubuh anak. Lalu ditukarkan kepada Maarof dengan harapan
akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.
Nenek moyang sebelah ibunya berasal dari tanah Jawa.
Neneknya bernama Inah dan bapanya Haji Arshad dari Jawa Tengah. Mereka
berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dan berkampung di Pulau Besar. Keluarga
ini akhirnya masuk suku mengikut adat negeri ini iaitu berperut kepada Suku
Biduanda. Manakala sebelah bapanya berasal dari Tanah Minang dan bermukim pula
di Kampung Ampang Penajis. Di sanalah bapanya dilahirkan dan ternaung di bawah
Suku Batu Hampar.
Mereka berpindah ke Lenggeng dalam sekitar tahun 1895. Di
sinilah ibu dan bapanya bertemu jodoh. Lima tahun kemudian, mereka dikurniakan
cahaya mata. Pondok penginapan mereka terletak kira-kira di hadapan Masjid
Mandom sekarang.
Pendidikan
Meningkat usia 7 tahun, Maarof pun menjejakkan kakinya di
Sekolah Melayu Pekan Lenggeng kira-kira 2.5 km dari rumahnya. Sekolahnya hanya
beratapkan rumbia dan berdinding papan di tepi sawah. Di sinilah ia bersekolah
hingga menamatkan darjah 5. Kemudian beliau terpilih melanjutkan pendidikan dua
tahun lagi sehinggalah lulus peperiksaan peringkat sekolah rendah. Haji Maarof
mendapat nombor ke lapan dari 2,550 murid yang mengambil peperiksaan itu.
Kejayaan ini membuka peluang kepada beliau untuk menjadi guru kecil (pelatih)
dan diterima mengajar di Sekolah Melayu Pantai, Jalan Jelebu. Sebagai tanda
kelayakannya, Kerajaan British ketika itu menganugerahkan beliau ‘Certificate
For Standard V’ ( 30 Jun 1917) dan ‘Certificate Of Registration Of A Teacher’
pada 28 Oktober 1921. Haji Maarof kemudiannya berpindah pula ke Sekolah Melayu
Mantin (1918). Beliau bertemu jodoh dalam tahun 1921 berkahwin dengan seorang
gadis bernama Ghina bt Muhamad Nuh.
Anggota M.V.I
Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama, Kerajaan kolonial
British telah menubuhkan pasukan tentera simpanan yang dikenali sebagai Malayan
Voluntary Infantry ( MIV) di negeri ini. Maarof telah berkhidmat dalam pasukan
ini ketika masih menjadi guru. Beliau memakai nombor 1619 M.V.I dan terpaksa
berlatih 2 kali seminggu di Seremban dan kemudiannya latihan intensif selama 2 tahun
di Kem Batu 4 Port Dickson dalam tahun 1922. Mungkin tempoh tersebut juga
beliau ditukarkan ke Sekolah melayu Bagan Pinang, Port Dickson. Beliau
berkhidmat dalam pasukan beruniform ini hingga tahun 1924.
Letak jawatan
Dalam tahun 1925, beliau dipindahkan pula ke Sekolah Melayu
Beranang. Di sinilah Haji Maarof meletakkan jawatan sebagai guru secara
sukarela dengan gaji terakhir sebanyak $18.70 sebulan. Bagi memenuhi masa
lapangnya, beliau belajar memandu kereta sehingga memperolehi lesen memandu.
Selepas itu beliau memandu kereta sewa ke Seremban dan bersawah padi di
kampung.
Cita-cita mengaji di pondok
Tuan Haji Maarof pernah bercita-cita belajar ilmu agama
secara mendalam. Antara negeri-negeri sasarannya ialah Pantai Timur, Pattani
dan Kedah. Dalam diam-diam beliau pergi mendapatkan akuan dari Dato’ Klana
Petra Luak Sungai Ujong yang menyatakan Maarof adalah anak buahnya dan
menyokong hasrat beliau untuk merantau menuntut ilmu agama. Surat akuan itu
diperolehi bertarikh 4 Mac 1925. Sayangnya, hasrat beliau tidak mendapat restu
ibunya.
Merantau ke Jambi
Sebetulnya, Haji Maarof masih menanam tekad untuk menuntut
ilmu agama dan dalam tahun 1925, beliau memberanikan diri meminta izin ibunya
untuk ke Jambi pula. Tujuan beliau ialah untuk mencari wang belanja bagi
meneruskan cita-citanya menuntut ilmu agama di Pantai Timur. Kali ini ibunya
mengizinkan, anak muda yang taat kepada ibu dan bapanya itupun bertolaklah ke
Singapura bersama pak ciknya. Mereka bermalam di masjid Kg Jawa sebelum belayar
ke Jambi.
Di Jambi, Haji Maarof bekerja membersihkan kebun getah dan
sebagai pemandu bot tambang di Sungai Jambi. Kemahirannya memandu dan boleh
membaik pulih injin itu telah menarik minat penduduk di Pekan jambi untuk
mendapat khidmatnya. Beliau balik ke Lenggeng semula setelah dimaklumkan ibunya
sakit merinduinya. Kemudian beliau bekerja sebagai ‘Revenue officer grade III
di Kuala Lumpur dengan gaji bulanan sebanyak $35 dan tambahan $5 untuk elaun
basikal. Dia bertugas bermula 11 April 1927 hingga 31 Oktober 1928. Setelah itu
Haji Maarof bertukar beberapa kerja sehinggalah mengambil keputusan untuk
pulang ke kampungnya.
Mengambil Tarekat
Ketika mengajar di sekolah Mantin dalam tahun 1920, Haji
Maarof mengambil tarekat daripada Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad bin Muhamad
al-Baqir di Pantai, Seremban. Sekembalinya dari Jambi itu, Haji Maarof mula
bersuluk. Suluk pertamanya selama 20 hari dan gurunya mengarahkannya membuat
tahlil sebanyak 4 khatam selama sebulan.
Dinyatakan aktiviti bersuluk telah lama diamalkan di kawasan
Lenggeng. Surau suluk pertama dicatatkan ada sejak tahun 1901 di bawah pimpinan
Syeikh Kubung. Kemudian pusat-pusat bersuluk tumbuh di sana seperti di Kampung
Tengah pimpinan Haji Mustaffa, Kg Suluk pimpinan Tuan Faqih, Kg Sungai Macang
oleh Haji Abdullah Haji Ismail dan di Kg Dacing pimpinan Haji Said dan Syeikh
Muda. Dilaporkan di Kg Dacing itu ramai murid-murid berasal dari tanah
seberang.
Ijazah Khalifah
Awal tahun 1940an, Haji Maarof menumpukan masanya berguru
sambil bersuluk di surau Syeikh Haji Ahmad bin Mohd Albaqir di Pantai,
Seremban. Tuan guru itu telah lama mengadakan majlis ilmu di sana dan beliau
merupakan khalifah tarekat Naqsyanbandi kholidiah ke 36 dan murid kepada Syeikh
Ali Redha yang bermastautin di Jabal Qubais Mekah al Mukarramah, penyusun muat
turunkan kedudukan lokasi Qubais ini sebagaimana catatan pengembaraan Ibnu
Battutah iaitu:
“Makkah ialah sebuah kota yang besar dan mempunyai
bangunan-bangunan yang rapat-rapat. Ia berbentuk bujur dan terletak di dasar
sebuah lembah yang dikelilingi oleh bukit bukau. Pengunjung yang datang tidak
akan dapat melihat kota tersebut hingga ia benar-benar sampai di situ.
Bukit-bukau yang mengelilinginya itu tidaklah begitu tinggi. Antara bukit
tersebut ialah Jabal Abu Qubais dan Jabal Qu’aiqi’an iaitu dua buah Jabal
al-Akhsyaban. Jabal Abu Qubais terletak di sebelah selatan kota Makkah dan
Jabal Qu’aiqi’an pula di sebelah baratnya. Di sebelah utaranya terletak Jabal
al-Ahmar. Bersebelahan dengan Jabal Abu Qubais pula terletak Ajyad al-Akbar dan
Ajyad al-Asghar, kedua-duanya curam serta sempit selain Jabal al-Khandamah yang
akan diceritakan kemudian. Tempat-tempat untuk melaksanakan haji iaitu Mina,
‘Arafah dan Muzdalifah, semuanya terletak di timur Makkah. ”
Berkat kesungguhan dan mujahaddah Haji Maarof ketika
menuntut dengan Syeikh Haji Ahmad itu maka beliau terpilih untuk diijazahkan
Khalifah Tarekat dalam tahun 1941. Ketika bertawajuh dalam tahun 1942, Haji
Maarof mengalami sakit teruk hingga melemahkan tubuhnya. Gurunya mengarahkan
murid-murid menyediakan setin minyak tanah air sejuk yang dibacakan surah
Yassin. Selepas khatam tawajuh, Maarof dipimpin rakan-rakannya ke bawah
jambatan sungai yang tidak jauh dari surau suluk mereka. Di atas batu tengah
sungai itulah Haji Marof dimandikan. Dia begitu bersyukur kerana selepas
dimandikan, tubuh badannya kembali sehat dan mampu berjalan tanpa dipapah lagi.
Memimpin jamaah
Selepas kembalinya ke rahmatullah Syeikh Haji Ahmad al-Baqir
pada 1 Syaaban 1362 H bersamaan 30 Julai 1942, Haji Maarof terus bersuluk
dengan Haji Abdullah Haji Ismail di Suluk Sungai Bunga. Haji Abdullah dianggap
guru dan abang tua dalam aliran tarekat ini. Haji Abdullah telah menulis ijazah
( bertarikh 28 April 1952) boleh memimpin tawajuh dan menyuluk bagi Haji Maarof
yang tidak sempat ditulis oleh Syeikh Haji Ahmad dalam tahun 1942. Bertawajuh
dengan Haji Abdullah berjalan hinggalah Haji Abdullah meninggal dunia lebih
kurang tahun 1953/54.
Peninggalan Haji Abdullah, jamaah masih bertawajuh di Masjid
Mandom setiap malam Selasa dan Jumaat di bawah pimpinan Haji Maarof. Kemudian
mereka berpindah pula ke bangunan sekolah lama yang telah ditinggalkan dan lebih
kurang 10 tahun pula mereka menggunakan bangunan tersebut. Akhirnya, dengan
kesepakatan jamaah dan gotong royong telah didirikan surau baru di Kg Hilir
pada 23 Ogos 1965. Surau suluk ini telah didaftarkan di Pejabat Agama dan
kebenaran bertulis untuk menjalankan aktiviti keagamaan turut diberikan oleh
pihak berwajib. Dato Klana Petra, Undang Luak Sungai Ujong turut berkenan hadir
di hari penutup suluk tahun tersebut. Walau bagaimanapun, jamaah ini tidak
lepas dari fitnah orang yang tidak memahami aliran bersuluk atau bertarekat.
Surat bantahan dari individu yang ditujukan kepada pihak berwajib telah
dilayangkan tetapi kelulusan Pejabat Agama Negeri telah lama diperolehi. Malah
dalam surat sokongan jabatan agama negeri bertarikh 23 Disember 1975 antara lain
menyatakan:
“..Jabatan ini adalah sentiasa memberikan sokongan kepada
apa-apa kegiatan keagamaan dan kerohanian yang boleh membawa masyarakat Islam
di negeri ini kembali kepada Allah..”
Mereka juga berharap Tuan Guru Haji Maarof bin Yaakob akan
dapat memimpin masyarakat Islam khasnya di kalangan jenerasi muda ke arah
menghayati ajaran agama dan bertakwa.
Aktiviti jamaah
Surau telah diperbesarkan sesuai dengan pertambahan murid
atau jamaah yang mengikuti majlis pimpinan Haji Maarof. Ramai pengunjung datang
menyertai aktiviti di sini dari merata pelusuk negeri termasuk dari Singapura.
Setiap majlis penutup suluk, jamaah akan mengadakan kenduri dan jiran-jiran
berhampiran yang tidak bersuluk pun turut dijemput serta dalam kenduri
tersebut. Apabila datang hari raya, program menziarahi tuan guru dan majlis
korban turut diadakan. Haji Maarof akan diwakilkan untuk menyembelih binatang
korban murid-murid beliau.
Penutup
Ratusan orang muridnya telah diberi pengakuan mengambil
tarekat dan dibenarkan mengadakan tawajuh di masa hidupnya. Mereka adalah dari
semua lapisan masyarakat dewasa dan berlatar belakang berbagai profession dari
merata negeri. Tidak kira lelaki atau wanita yang ingin mencari keredhaan Ilahi
tidak akan dihampakan oleh Tuan Guru yang soleh itu. Dipercayai bilangan murid
bagi aliran Naqsyabadiah Kholidiah telah mencapai ribuan orang di merata
pelusuk negeri. Selepas pemergiannya, difahamkan majlis tawajuh di surau itu
masih diteruskan oleh menantunya Sheikh Talib.
Hasil perkongsian hidup dengan Hajah Fatimah Idris ( isteri
kedua), Almarhum telah dikurniakan 8 cahaya mata dan mewarisi cucu cicit yang
ramai. Isteri beliau meninggal dunia pada 7 Jun 1987 bersamaan 9 Ramadhan
1407H. Manakala Tuan Guru Syeikh Haji Maarof kembali ke rahmatullah pada tanggal
tahun 1994. Kita berdoa agar jasa dan perjuangan almarhum khalifah
Naqsyabandiah Kholidiah ini mendapat tempat di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment