اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
Allahyarham Syeikh Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad
Jamaluddin ( 1875 – 1926 )
Pengasas Tareket al-Ahmadiah di Negeri Sembilan
Ehsan daripada: http://www.alahmadiyyah-rasah.blogspot.com/
Nama lengkap Haji Muhammad Said bin Haji Muhammad Jamaluddin
bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syaikh Muhammad Said
al-Linggi al-Jawi.
Datuknya, Haji Idris adalah anak kepada Hajjah Rahimah binti
Khatib Musa bin ‘Amaluddin bin Awaluddin @ Dato’ Awal bin Faqih @ Daeng Abdul
Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya
dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan
campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini adalah kerana isteri Khatib Musa yang
bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau.
Manakala Dato’ Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah
Linggi(1783) di Negeri Sembilan.
Satu sumber lain mengatakan nasab sebalah datuk bapanya
sampai ke Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan
demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu’min Linggi bin Syeikh
Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah
berasal dari Hadramaut.
Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835-1888) adalah seorang
tokoh ulama’ Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di
Masjid al-Haram semasa bermukim di kota Makkah. Dia terkenal zahid,
berpendirian memada ( qana’ah ) dan dikurniakan pelbagai karamah. Diceritakan
pada hari kematiannya, dia tidak meninggalkan sebarang wang walau sesen pun!
Ibunya, Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani
adalah seorang Qurra’ yang terkenal elok bacaanya lagi penyantun. Pernah menjadi
guru Qira’at al-Quran baik semasa tinggal di Makkah mahupun ketika berada di
Patani. Murid-muridnya tidak terbilang kerana terlalu ramai.
Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani
yang masyhur keramat itu adalah seorang guru pondok yang terulung pada
zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji
Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajjah Mariam, juga terkenal dengan
kesalihannya. Bapa Hajjah Mariam, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani pula adalah
seorang tokoh ulama’ yang termasyhur pada zamannya, dianugerahi Allah dengan
beberapa banyak keistemewaan yang tersendiri.
Ringkasnya, Muahmmad Said lahir di tengah-tengah rumpun
keluarga alim ulama’ yang terkemuka dan alim turun-temurun.
Kelahirannya:
Muhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi’b Ali Makkah
pada hari Sabtu yang keempat atau yang ketiga daripada bulan Sya’ban tahun 1292
yang bersamaan dengan 25 atau 18 September 1875.
Dipelihara ibu dan neneknya(Hajjah Mariam) . Ketika itu
bapanya sedang berkhidmat di Tanah Jawi.
Zaman Remajanya:
Pada tahun 1882, ketika berusia 7 tahun, Muhammad Said
dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan disana
sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun.
Muhammad Said sungguh bertuah kerana ibunya seorang yang
fasih dalam bidang qiraat al-quran. Ibu yang salihah inilah yang mendidik dan
membentuk peribadinya.Lantaran itu tidak hairanlah jika beliau tergolong
sebagai seorang kanak-kanak yang sangat elok akhlaknya lagi cerdas pula
akalnya.
Guru-guru Awalnya:
Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar
rumah. Empat orang guru awalnya ialah Syaikh Zainal Abidin bin Muhammad
al-Fatani(Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Dato’ Semela), Dato’ Nahu
dan Syaikh Muhammad Nuh yang berasal dari Negeri Kedah. Beliau mempelajari
ilmu-ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Nahu dan macam-macam ilmu lagi.
Dikecualikan Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas
murid datuknya, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani.
Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita
tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam sampai terbit fajar
kerana tidak menyedari matahari telah naik, bahkan ada ketika-ketika mengalir
kedua matanya akan darah daripada terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab.
Setahun kemudian(1888), bapanya meninggal dunia semasa
berusia 54 tahun(Hijri). dan dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri
Sembilan.
Ke Makkah:
Pada tahun 1892, ketika berumur 17 tahun, Muhammad Said
belayar ke kota ilmu Makkah bertujuan mendalami pengajiannya. Antara puluhan
gurunya tersenarailah nama-nama seperti berikut:-
Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
Syaikh Muhammad Nawawi al-Batani
Syaikh Abi Bakr Syata
Syaikh Ahmad al-Manshawi
Syaikh Umar al-Shami
Syaikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafi’i)
Syaikh Abdul karim al-Daghastani
Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat
Syaikh Umar bin Abi Bakr Bajunid
Syaikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani
Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau
Syaikh Zainuddin Sumbawa
Syaikh Wan Muhammad Ali Kutan
Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani
Ke Madinah:
Muhammad Said termasuk di kalangan penuntut yang gigih dan
bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki ke Madinah kerana
menziarahi makam Rasulullah(sesudah bermimpi menemui baginda). Semasa berada di
Madinah beliau berpeluang berguru dengan Sayyid Ja’far al-Barzanji, Mufti
Shafi’i.
Ke Mesir:
Kemudian meneruskan perjalanan ke Bait al-Maqdis dan
akhirnya ke negara Mesir melanjutkan ilmu tentang selok-belok ilmu fiqh empat
mazhab. Disana beliau mendalami ilmu-ilmu syara’, naql dan aqal. Antara lainnya
berguru dengan Syaikh al-Jami’ al-Azhar iaitu Syaikh Shamsuddin al-Anbani dan
dengan Syaikh Ahmad al-Rifa’I al-Malikki, iaitu sebesar-besar ulama’ Mazhab
Malaiki di dalam Azhar zaman itu(1896).
Pulang Ke Makkah:
Selanjutnya beliau pulang semula ke Makkah. Belajar ilmu
tarikat dengan Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi (meninggal dunia di
Madinah pada 19 Februari 1909). Akhir sekali Muhammad Said diberi ijazah
tariqat Ahmadiyah, iaitu pada hujung tahun 1318 Hijrah(bersamaan pertengahan
April 1901).
Alhasilnya, guru Muhammad Said berjumlah 50 orang lebih.
Beliau diketahui alim dalam ilmu-ilmu alat, Usuluddin, Fiqh empat mazhab; juga
ilmu ruhani, Hikmat, Falsafah, al-Quran dan sebagainya.
Sahabat-sahabatnya:
Antara sahabat-sahabat seperguruan termasuk Tuan Mukhtar
Bogor, Tuan Husain Kedah, Pak Wan Sulaiman Kedah, Haji Abdullah Pak Him
Seberang Perai, Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak (meninggal 29 Julai
1921), Sidi Muhammad al-Azhari Makkah dan ramai lagi.
Pulang Ke Tanahair:
Sekitar tahun 1320 H/1902 M, beliau pulang ke Negeri
Sembilan lalu menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu agama, juga
zikir tarikat Ahmadiyah kerana tokoh sufi ini telah dilantik menjadi khalifah
atau wakil peribadi Syaikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu.
Di samping itu, beliau begitu berani cuba mengikiskan
perbuatan bid’ah, pegangan khurafat dan amalan yang didapati bertentangan
dengan syariat yang banyak bersarang dalam masyarakat. Pada peringkat awalnya
tindakan Haji Muhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri.
Namun berkat kesabarannya pemimpin tarikat ini akhirnya dapat mengumpul ramai
pengikut setia.
Selain bergiat di Negeri Sembilan, beliau juga banyak
merantau sambil menyebarkan ilmu-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan
kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo
China(Saigon), Siam (Ayuthia) dan Kelantan.
Di Kelantan:
Ketika Sheikh Muhammad Said tiba di Kota Bharu pada tahun
1905, beliau dapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telah pun
mengembang ajaran tarikat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau,
Kampung Laut dan di Langgar.
Walaupun seguru, pemahaman dan pendekatan mereka berdua
banyak berbeza. Sheikh Muhammad Said menurunkan ilmunya kepada semua lapisan
murid tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahupun bawahan,
lelaki dan perempuan, orang kebanyakan atau terpelajar. Seiring dengan itu
beliau juga mengedarkan karya terjemahannya, Risalat al-Fawa’id sebagai teks
panduan. Perselisihan mereka jelas ketara bilamana banyak kalimat dan
pengertian ayat di dalan risalat al-Fawa’id telah dipinda atau dipadam terus
kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari.
Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari,
kaedah pengajaran Sheikh Muhammad Said terlalu cepat sehingga menimbulkan rasa
majdhub(semacam mabuk) di kalangan pengikut-pengikutnya. Sebab itu ia ditentang
keras oleh sebahagian besar ulama’ Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali
Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama’ yang lain.
Kemuncaknya dibawa ke pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah
ini kepada Syaikh Wan Ahmad al-Fatani sebagaimana yang telah disebut pada awal
tulisan ini.
Dan seperti yang diharap-harapkan oleh Raja Kelantan, Syaikh
Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar bertarikh 5 Safar 1324 (Bersamaan
30 Mac 1906).
Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji
Awang Alim, bapa mertuanya. Sheikh Haji Muhammad Said telah berkahwin dengan
Hajjah Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah suci lagi. Ketika
itu Hajjah Safiah sudah pun janda, berikutan kematian suami pertamanya di
Makkah, iaitu Haji Yusuf bin Haji Puteh.
Anak-anaknya:
Sepanjang hayatnya Sheikh Haji Muhammad Said disebut-sebut
berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seorang isterinya
ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau.
Berikut disenaraikan anak-anaknya yang agak terkenal:
Sheikh Haji Abdullah(1905-1956), Kampung Gedung Lalang,
Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas khalifah Tarikat
Ahmadiyah selepas kematiannya.
Sheikh Haji Ahmad(6 Apri 1910-7 Januari 1964). Khalifah yang
kedua selepas Sheikh Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah(1935) dan Mufti
Negeri Sembilan yang pertama (1950).
Sheikh Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Khalifah
yang ketiga selepas Sheikh Haji Abdullah dan Sheikh Haji Ahmad. Sangat
dihormati dan disegani orang-orang Melayu Singapura.
Sheikh Haji Mansor,Ampangan,Seremban(meniggal 1981)
Sheikh Haji Muhammad Nor(meninggal 1981)
Sheikh Haji Muhammad Hamid
Sheikh Haji Ibrahim(dengan isterinya Hajjah Wan Safiah Kota
Bharu)
Haji Mahadi(1914-20 Februari 1983), Taman Maluri,Kampung
Pandan.Kuala Lumpur.
Peribadinya:
Sheikh Haji Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama’ yang
berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat
zahid, qana’ah, pemaaf, sabar, taqwa, tawadhu’, pemalu, pemurah, wara’, kuat
beramal dan berkhalwat. Dianggap sebagai seorang wali Allah dan doanya makbul.
Beliau suka menolong orang yang dalam kesusahan. Memandang
makhluk-makhluk lain dengan penuh timbang rasa dan kasih-sayang. Semenjak
menuntut ilmu di Makkah dan di Mesir lagi telah terzahir kelebihan-kelebihan
wara’, salih serta keramatnya.
Sebagai seorang ulama’ yang amat dihormati dan dikenali di
Negeri Sembilan, beliau sangat dikasihi Tuanku Muhammad,Yang Dipertuan Besar
Negeri Sembilan (mangkat 1 ogos 1933) dan amat disayangi Dato’ Kelana
Ma’mur(1889-1945).
Karya Tulisannya:
Walaupun Sheikh Haji Muhammad Said ada menghasilkan beberapa
banyak karangan sendiri juga terjemahan, kebanyakannya belum dicetak dan sukar
diperolehi. Antara yang sudah dapat dikesan adalah seperti berikut:
1. Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuaniyyat fi Qawa’id al-Tarikat
al-Shadhilliyah. Disebut juga Risalat al-Fawa’id atau Rasai’l Jawiyyah. Selesai
terjemah pada akhir Rabiulawal 1323 (3 Jun 1905). Membicarakan keistemewaan
Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya,
termasuk cara beramal dan pelbagai faedah lainnya. Tercap di tepi al-Ahzab
al-Irfaniyyah.
2. al-Ahzab al-Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah. Siap
ditulis di Bandar Singapura pada 15 Rabiulawal 1323(18 Jun 1905). Berukuran 18
½ x14 sentimeter dan tebalnya 200 muka. Mengandungi himpunan doa dan hizb.
3.Kashf al-Ghiba an Haqiqat al-Riba.
4.Sullam al-Ta’rif ila ‘Ilm al-Tasrif(ilmu sarf)
5.Risalah Fath(juga mengenai ilmu Sarf).
6.al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris.
7. Makalah Kaifiat mengerjakan Tarawih 10 rakaat.
8.Perjalanan mendirikan Jumaat.
9.Wazifah-wazifah bagi orang yang salik pada permulaan
suluknya.
10.Manuskrip syair arab tanpa tajuk, sepanjang 142 baris
yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan Kaum Wahabi dan
kekarutan mereka.
Meninggal Dunia:
Ajalnya tiba pada malam Ahad, 12 Rabiulawal 1345 bersamaan
18/19 September 1926 ketika berusia 53 tahun (Hijriyah). Lebih 5000 orang
mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negari
Sembilan.Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan
berbukit di Bandar Seremban. Semoga Allah mencucuri rahmat Nya ke atas roh
beliau.
Sebagai mengenang jasa baktinya maka Sekolah Ugama Menengah
Tinggi Negeri Sembilan (ditubuh 1959) yang mulai 1977 diambil alih
pentadbirannya oleh Kementerian Pendidikan dinamakan sempena namanya: SMKA
Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (SHAMS ).
No comments:
Post a Comment