بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Soalan:
Musykil sikit tentang bacaan al-Quran saya yang merangkak-rangkak, hari-hari saya
bersungguh ingin membaca dengan betul. Namun sekarang terdapat banyak alat-alat canggih, saya dengar dari situ dan saya ikut cara mereka baca. Bagaimana pandangan ustaz dan dari hadis-hadis Nabi SAW tentang penggunaan alat-alat ini.
Sekian, terima kasih
Salam Ramadan Al Mubarak
Pak Ngah
.
Jawapan:
.
Saya amat terharu dengan kesungguhan Pak Ngah membaca al-Quran walaupun merangkak-rangkak. Teringat saya kepada hadis Nabi SAW di mana baginda bersabda, “Orang yang mahir membaca al-Quran setaraf dengan malaikat yang mulia lagi taat (al-Safarah al-Kiram al-Bararah). Adapun orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tersangkut-sangkut dan bersusah payah membacanya, dia akan dapat dua pahala.” (Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab, Bab, No. 798). Nasihat saya kepada Pak Ngah agar meneruskan usaha mulia ini sehingga akhirnya berdiri setaraf dengan martabat para malaikat.
.
Adapun berkenaan dengan alat-alat canggih yang dijual di pasaran, yang memperdengarkan bacaan al-Quran al-Karim, saya nasihatkan Pak Ngah seperti berikut: Pertama, pastikan alat-alat itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri. Jika diluluskan, maka tiada masalah untuk Pak Ngah menggunanya untuk membantu memperelokkan bacaan al-Quran. Menggunakan alat-alat moden ini termasuk dalam urusan dunia, di mana Rasulullah telah bersabda, “Kamu semua lebih mengetahui tentang urusan duniamu.” (Hadis sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab al-Fada’il, No. 2363).
Dengarlah bacaan daripada alat-alat itu, kemudian ikutlah membaca. Kedua, walaupun alat-alat itu mendapat kelulusan KDN, Pak Ngah tetap perlu cuba sedaya-upaya untuk memperbetulkan bacaan al-Quran dengan memperdengarkan bacaan Pak Ngah kepada seorang Ustaz yang berkemahiran dalam ilmu tajwid. Ini kerana, alat-alat itu hanya dapat memperdengarkan bacaan dan tidak dapat mengenal pasti kesilapan bacaan kita. Buatlah perkara yang kedua ini walaupun seminggu sekali.
.
Sumber:
Soal Jawab Agama
Dr. Fadlan Mohd. Othman
Utusan.com.my@agama
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
No comments:
Post a Comment