اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
Allahyarham Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang (1915-2003)
Allahyarham Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang (1915-2003)
Dipetik daripada buku
Tokoh Ulama Silam: Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang,
Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, 2007
LATAR BELAKANG
Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang merupakan anak jati
Negeri Sembilan. Beliau dilahirkan di kampung Kanchung, Rantau, pada 16
Februari 1915, berdasarkan catatan di dalam sijil kelahiran[1]. Beliau
merupakan anak hasil daripada perkongsian hidup antara ayahandanya Haji Sijang
bin Kulup, dan bondanya Rahmah binti Mohd Noh. Dato’ Haji Abdullah Bin Haji
Sijang mempunyai empat orang adik-beradik, iaitu dua orang lelaki dan dua orang
perempuan. Mereka ialah Haji Mahmud, Hajjah Fatimah, Cik Rogayah, dan Itam bin
Sijang yang meninggal dunia pada waktu kanak-kanak.
ZAMAN KANAK-KANAK & PENDIDIKAN
Dato’ Haji Abdullah Bin Sijang ialah seorang kanak-kanak
pintar, dan terang hati. Beliau mula belajar mengaji al-Quran pada usia 5 tahun
daripada bapa saudara sebelah ibunya, iaitu Tuan Haji Yaakub bin Mohd Noh, dan
Husin bin Maksum. Beliau Berjaya khatam al-Quran pada usia lapan tahun. Dato’
Haji Abdullah Bin Haji Sijang mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu
Rantau dari darjah satu hingga darjah lima. Berkat dorongan dan doa ibu bapa,
bapa saudaranya dan keizinan keluarga. Pada tahun 1929, Beliau mula merantau
pada usia 14 tahun untuk menambah ilmu di dada. Destinasi pertama yang dituju
ialah Pondok Darul Wataniah yang terletak di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pondok
ini diteraju oleh ulama terkemuka Tanah Melayu pada ketika itu, iaitu Tuan Guru
Haji Abdullah Bin Fahim, atau dikenali dengan Syeikh Abdullah Fahim. Di
madrasah inilah Dato’ Haji Abdullah Bin Sijang mempelajari pelbagai ilmu
keagamaan seperti fiqh, tauhid, asuhan tilawah al-Quran, ulum syariah , sejarah
islam, akhlak islamiah, malah ilmu falak dan lain-lain. Dalam masa Darul
Wataniah di bawah kemudiran Sheikh Abdullah Fahim, tuan guru tersebut telah
menggunakan pendekatan yang pragmatik[2] dan moderate[3] dalam hal pengurusan
sekolah, dan dalam pengajaran. Sayugia diingati, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji
Sijang dalam usia mudanya juga terdidik dengan gaya pemikiran terbuka.
Pada tahu 1931, beliau menyertai Sekolah Agama Idrisiah di
Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana mengikut gurunya Sheikh Abdullah Fahim yang
telah mendapat pelawaan daripada Baginda Sultan Perak ketika itu, iaitu
Almarhum DYMM Sultan Yusof untuk menjadi mudir di Madrasah Idrisiah. Madrasah
ini terletak berhampiran dengan Istana Bukit Chandan dan menjadi tumpuan
golongan istana dan pembesar Perak untuk menghantar anak-anak belajar.
Pada tahun yang sama (1931) Dato’ Haji Abdullah Bin Haji
Sijang telah menyertai sekolah pondok yang dipimpin oleh Tuan Haji Shamsuddin
bin Haji Isa, yang terletak di Beranang, Selangor.
Setelah tamat pengajiannya di pondok tersebut, beliau telah
kembali ke pangkuan keluarganya semula di Kanchung, Rantau. Pada ketika itu,
usianya baru mencapai 17 tahun. Namun beliau telah menunjukkan keperibadian dan
akhlak yang tinggi, dengan menjadi siak dan bilal muda masjid Kampung Kanchung.
Selain itu, beliau membantu bapa saudaranya mengajar anak-anak kampung
mempelajari al-Quran. Untuk menyara kehidupan, beliau menorah getah di kebun milik
keluarganya, di samping melakukan kerja-kerja kampung. Walaupun pada usia yang
muda, dan masih dalam tanggungan ibubapa, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang
telah menujukkan sikap berdikari, dan bertanggungjawab. Justeru beliau sentiasa
menjadi contoh kepada rakan seangkatannya, dan mendapat pujian di kalangan yang
lebih tua daripadanya.
Sebagai seorang pencinta ilmu, Dato’ Haji Abdullah Bin Haji
Sijang sentiasa menanam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi, terutamanya ke Makkah. Sayugia diberitahu, beliau mendapat
inspirasi ini daripada mantan guru kesayangannya, Sheikh Abdullah Fahim yang
lahir dan membesar di Makkah. Dalam pada itu, muncul pula Pergerakan Melayu
Muda (KMM) yang bergerak cergas bagi menjana perubahan khalayak umat islam
melalui penulisan Majalah al-Imam, yang dipelopori oleh Sheikh Tahir Jalaluddin
al-Falaki dan rakan-rakannya. Hal ini telah merangsang semangat Dato’ Haji
Abdullah Bin Haji Sijang untuk menambah ilmu dan berbakti kepada agama, bangsa
dan Negara.
Sebagai langkah mempersiapkan diri untuk tujuan itu, pada
tahun 1935, pada usia 20 tahun, beliau telah berangkat ke Pondok Pasir Mas,
Kelantan, dan menuntut di sana selama 3 tahun. Akhirnya pada tahun 1937, Dato’
Haji Abdullah Bin Haji Sijang telah berangkat ke Makkah dan belajar di Madrasah
Solatiyah hingga ke peringkat tinggi. Semasa di Makkah, beliau telah mendalami
Tarikat Ahmadiah daripada Tuan Guru Mohd Shafie bin Mohd Salleh bin Abdul
Rahman[4], anak murid kepada Syed Ismail Nawab, yang juga pembantu kanan kepada
Sayyidi Ibrahim al-Rashid. Adapun Tuan Guru Mohd Shafie merupakan ulama
tasawwuf yang mengajar di Kota Makkah, dan menerima ijazah tarikat sezaman
dengan Tuan Tabal dan Sheikh Mohd Sa’id al-Linggi.
Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang berada di Makkah selama
13 tahun, dan kembali ke tanah air pada tahun 1948. Kejayaan Dato’ Haji
Abdullah Bin Haji Sijang menamatkan pengajian di Madrasah Solatiyah amatlah
membanggakan. Hal ini kerana kedatangan beliau di Makkah, bukan dilimpahi
kemewahan malah beliau hanya dibekalkan dengan tambang oleh ayahandanya, di
samping doa dan restu keluarga. Namun, apa yang nyata ialah ketinggian peribadi
menjadikan beliau amat disenangi oleh guru-guru dan rakan sepengajian.
KEHIDUPAN BERKELUARGA
Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang dijodohkan oleh orang
tuanya dengan calon pilihan keluarga iaitu Hajah Siti Tijah binti Sani
sekembalinya dari Makkah pada April 1948. Pada ketika itu, Dato’ Haji Abdullah
Bin Haji Sijang berumur 31 tahun sementara isterinya berusia 13 tahun. Hasil
daripada perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan zuriat seramai tiga orang.
Mereka ialah Latifah Haji Abdullah, lulusan Universiti Malaya yang kini
mengikut suaminya yang bertugas sebagai Diplomat di Hanoi, Vietnam. Anak kedua
ialah Abdul Wahid Abdullah, lulusan Institut Teknologi Mara, dan kini bertugas
di Bank Negara Kuala Lumpur. Anak bongsu, Mohd Fauzi Abdullah, lepasan Institut
Teknologi Mara, kini menetap bersama bondanya, Datin Hajjah Tijah binti Sani
yang tercinta di kediaman mereka, di perkarangan Masjid Jamek Dato’ Haji
Abdullah Bin Haji Sijang, Port Dickson. Dengan ketokohan dan jasa Dato’ Haji
Abdullah Bin Haji Sijang, masjid tersebut dimatrikan dengan nama beliau.
LATAR BELAKANG DATIN HAJJAH TIJAH BINTI SANI
Datin Hajjah Tijah binti Sani dilahirkan pada 1936, di
Kampung Siliau, Rantau, Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak kepada pasangan
Sani bin Haji Khamis dan Siti binti Maarof. Beliau sempat memasuki alam
persekolahan selama dua tahun di Sekolah Melayu Siliau, dan kemudiannya
terhenti kerana penaklukan tentera Jepun.
Datin Hajjah Tijah binti Sani bertemu jodoh dengan Dato’
Haji Abdullah Bin Haji Sijang ketika umurnya 13 tahun. Sebagai anak dara sunti,
beliau menimba ilmu dunia dan akhirat dengan ayah dan bonda serta suaminya.
Tanpa pendidikan formal, beliau berjaya membantu suaminya mendidik anak-anak
sehingga berjaya. Falsafah beliau ialah sentiasa patuh dan taat kepada suami
dan memberi sepenuh tumpuan kepada urusan rumahtangga. Sifat peribadi beliau
lemah lembut, tetapi tegas dan sabar serta sentiasa menyokong perjuangan suami
yang menjadikan keluarga Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang sentiasa aman dan
bahagia.
Dato’ Haji Abdullah Bin Haji Sijang amat menekankan
pendidikan agama dalam membentuk keperibadian anak-anaknya. Dato’ Haji Abdullah
Bin Haji Sijang membuat peraturan supaya anak-anaknya wajib khatam al-Quran
sebelum usia baligh. Dalam konteks pemilihan kerjaya anak-anak, beliau dianggap
seorang yang agak liberal[5].
Beliau memberikan kebebasan penuh kepada anak-anak untuk
membentuk dan memilih kerjaya masing-masing. Walaubagaimanapun asas pendidikan
agama amat ditekankan kepada anak-anak. Beliau dan isteri sentiasa mengambil
tanggungjawab membimbing anak-anak dalam aspek kerohanian.
PERKEMBANGAN KERJAYA DATO’ HAJI ABDULLAH BIN HAJI SIJANG
Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang telah dilantik menjadi Naib
Kadi Pantai pada Jun 1949. Sumber yang rapat dengan Dato’ Haji Abdullah bin
Haji Sijang menyatakan bahawa, beliau hanya bersetuju menerima perlantikan
tersebut setelah dipujuk oleh Sheikh Ahmad al-Haj, Mufti Kerajaan Negeri
Sembilan ketika itu. Dikatakan bahawa, Sheikh Ahmad telah mengunjungi kediaman
Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang sebanyak dua kali. Lantaran sifat zuhud
beliau, tawaran tersebut ditolak pada kali pertama, kerana Dato’ Haji Abdullah
bin Haji Sijang merasakan dirinya tidak layak untuk memikul tanggungjawab
tersebut. Setelah diyakinkan dan dipujuk oleh Sheikh Ahmad yang juga merupakan
rakan dan idolanya, barulah Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang bersetuju untuk
menerima tawaran tersebut.
Pada tahun 1957, beliau telah dilantik menjadi Kadi Port
Dickson menggantikan Tuan Haji Abdul Malik yang telah dinaikkan pangkat menjadi
Kadi Besar Negeri Sembilan. Pada tahun 1962, Majlis Mesyuarat Agama Negeri
Sembilan telah mengesahkan perjawatan Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang
sebagai Kadi Besar Port Dickson. Beliau telah berkhidmat sehingga tahun
persaraan 1970, dan disambung kontrak perkhidmatannya sehingga tahun 1979.
Semasa memulakan khidmatnya, beliau menerima gaji sebanyak
RM 160.00 sebulan dan gaji maksimum yang diterima pada akhir perkhidmatannya
ialah RM 425.00. Sementara itu, bayaran pencen yang diterimanya ialah RM 270.00
sebulan.
Sebelum 1963, beliau menjalankan tugas sebagai Kadi secara
bersendirian di kuarters jalan Seremban. Hanya pada tahun 1963, kerajaan telah
melantik seorang pembantu pejabat bagi membantu tugas-tugas Kadi. Sebagai Kadi,
beliau menjalankan tugas yang pelbagai, antaranya mendaftarkan nikah,
kahwin/cerai, menjaga urusan masjid sekitar Port Dickson, dan urusan lain bagi
masyarakat Islam di sekitar Port Dickson. Masalah kekurangan tenaga kerja,
kekurangan peralatan pejabat dan masalah komunikasi pada sekitar tahun
1950-1960-an adalah antara masalah umum yang dihadapi oleh kadi-kadi pada zaman
tersebut. Hal ini disahkan oleh Yang ‘Arif Dato’ Hussin bin Harun, Ketua Hakim
Syarie hari ini di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. Menurut Yang Arif
Dato’ Hussin, kadi-kadi pada zaman tersebut diselia oleh Kadi Besar, selain
rujukan terus dibuat kepada Mufti Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun,
kadi-kadi daerah sering menggunakan budi bicara dan inisiatif masing-masing
dalam tugasan mereka oleh sebab masalah kekurangan infrastruktur dalam
pentadbiran. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah awal tahun 1980-an, sewaktu
Yang Arif Dato’ Hussin memulakan perkhidmatan sebagai Kadi.
Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang telah berkhidmat sebagai
Kadi Port Dickson sehingga tempoh persaraan wajib beliau pada tahun 1970.
Memandangkan ketokohan beliau tiada tandingan, Kerajaan Negeri Sembilan telah
bersetuju memanjangkan tempoh perkhidmatannya sehinggalah tahun 1979. Pada
tahun 1980, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan,
sehinggalah pada tahun 2000.
SUATU KEHILANGAN
Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Daripada Abdullah bin Amr al-‘As r.a berkata : Aku mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahawasanya Allah s.w.t tidak mencabut
(menghilangkan) akan ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia. Tetapi Allah
s.w.t menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah
ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai
pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan
berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.
(Hadith Riwayat Muslim)
Justeru itu kehilangan beliau sebagai salah seorang tokoh
agama amat dirasai oleh umat Islam di Negeri Sembilan khususnya di daerah Port
Dickson. Dato’ Haji Abdullah bin Haji Sijang pulang ke rahmatullah pada jam
3:55 petang 25 Mei 2003 di Hospital Daerah Port Dickson dalam usia 89 tahun.
Semoga Allah s.w.t menempatkan rohnya di kalangan orang yang beramal soleh dan
muttaqin.
Al-Fatihah
[1] Waris dekatnya berpendapat, Allayarham lahir pada tahun
1914.
[2] Mempunyai sifat atau pendirian yang lebih mementingkan
(mengutamakan) kesan-kesan sebenar sesuatu daripada ciri-ciri teori. Bersifat
praktikal, banyak memperhitungkan keadaan dan akibat yang sebenarnya terdapat
atau akan timbul – Kamus Dewan cetakan kelima edisi ketiga terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka tahun 2000
[3] Tidak keterlaluan / sederhana – Kamus Dewan cetakan
kelima edisi ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2000
[4][4] Beliau ialah Muhammad al-Syafie bin Muhammad Saleh
bin Abdul Rahman yang berasal dari negeri Kedah. Beliau terkenal sebagai
seorang sufi di kalangan ulama’ Tasawwuf di Mekah di antara akhir kurun yang
ke-19 dan permulaan kurun ke-20 Miladi. Tarikh kelahiran beliau yang sebenar
tidak dapat diketahui secara tepat tetapi tarikh beliau meninggal dunia ialah
pada tahun 1950 Miladi di Mekah seperti yang disebut oleh banyak riwayat.
Tok Syafie telah berumah tangga dengan seorang wanita
berbangsa Arab dan perkahwinan itu kekal hingga ke akhir hayat. Menurut dari
seorang muridnya, Haji Mansor bin Haji Said, Tok Syafie ialah seorang Sufi yang
mahsyur yang memiliki berbagai-bagai keajaiban. Antaranya beliau menyatakan,
“Apabila Tok Syafie mengajar Ilmu Tasawwuf kepada para murinya, maka
mengalirlah rasa takjub ke dalam hati-hati mereka. Hal ini adalah kerana beliau
mengajar dalam keadaan menangis khususnya apabila menyentuh persoalan zat Allah
Taala dan sifat-sifat-Nya. Allah telah mengurniakan kepada beliau kelebihan dan
keistimewaan. Apabila beliau bercerita tentang Allah dan syurga, seolah-olah
syurga berada di hadapan para pendengar. Begitulah juga halnya apabila beliau
mensifatkan serta menjelaskan perihal gerhana matahari dan bulan serta warna-warni
serta warna-warni yang meliputi peristiwa tersebut, para pendengar seolah-olah
melihat warna hijau, kuning, biru dan lain-lain berada di hadapan mereka serta
seakan-akan mereka dapat menyentuhnya.
Kemudian apabila beliau menjelaskan sifat air laut yang masin,
kami seolah-olah melihat laut terbentang di hadapan kami. Tok Syafie sangat
suka memuji ayah kami yakni Sheikh Muhammad Said khususnya apabila saya dan
Sheikh Ahmad ada bersama-sama di dalam pengajiannya dan pengajian yang dihadiri
oleh anak-anak muridnya sendiri. Ya! Tok Syafie ini memang memiliki maqam kasyf
yang hebat di samping karamahnya yang lain. Beringat-ingatlah kamu!
Adapun Sheikh Daud yang telah dijelaskan tentangnya sebelum
ini adalah seorang daripada murid Tok Syafie. Di samping itu antara muridnya
yang lain termasuklah Sheikh Mansor bin Muhammad Said dan Sheikh Ahmad bin
Muhammad Said al-Linggi, Sheikh Abdul Rahman bin Othman, Sheikh Tok Selehor,
kedua-duanya ulama yang terakhir ini adalah dari Kelantan.
Tarikat Ahmadiah mula berkembang di Mekah al-Mukarramah.
Kemudian melalui anak-anak murid Tok Syafie dari Asia Tenggara khususnya
Malaysia, Ilmu Tasawwuf serta tarikat Ahmadiah telah berkembang dengan
pesatnya.
Dalam pengajarannya, Tok Syafie menggunakan kitab-kitab
Tasawwuf berbahasa Melayu seperti kitab al-Minhal al-Sofi karangan Sheikh Daud
Fathani, Syarh al-Hikam al-‘Athaiyyah terjemahan Sheikh Abdul Malek (Tok Pulau
Manis), Syarh al-Hikam Abu Madyan oleh Sheikh Daud Fathani dan Dur al-Nafis
oleh Sheikh Muhammad Nafis al-Banjari. Tok Syafie juga mengajar Ilmu Tasawwuf
falsafah menurut acuan al-Syeikh al-Akbar ibnu ‘Arabi berpandukan kitab Fusus
al-Hikam dan lain-lain. Selain itu, Tok Syafie juga menghasilkan karyan
berbahasa Melayu ketika berada di Mekah seperti Kanz al-Sa’adah Fi Bayan
Istilahat al-Sufiyyah. Kitab ini masih lagi dalam bentuk manuskrip. Di samping
itu, beliau juga adalah khadam kepada al-Tariqat al-Ahmadiah.
[5] Liberal : Berfikiran terbuaka, berpandangan bebas,
fahaman bebas
No comments:
Post a Comment