اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
Allahyarham Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said (1912-1964)
Mufti Pertama Negeri Sembilan Dan
Pemimpin Al-Tariqah Al-Ahmadiyyah Al-Rashidiyyah
Al-Dandarawiyyah
Oleh : Dr. Mahmud Saedon Awang Othman
Tuan Haji Ahmad dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan
Seremban pada 26 Rabiulawal 1328 bersamaan 1912 dan meninggal dunia pada 7
Januari 1964. Tetapi dalam buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan bertajuk ” Tokoh – Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1) – 2001
halaman 236, tarikh lahir ulama ini ialah 6 April 1910. Mendapat pendidikan
awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau
kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau menunaikan haji sewaktu
berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di
Mekah selama 7 tahun.
Setelah Tuan Hj. Muhammad Said Al-Linggi kembali ke
rahmatullah pada tahun 1345H, pemimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah telah
dikendalikan oleh anak lelaki beliau bernama Tuan Haji Abdullah saudara kandung
yang tertua Allahyarham Tuan Hj. Ahmad. Pada masa itu Pusat al-Tariqah
al-Ahmadiyyah berada di Ampangan, di mana tempat ini telah di asaskan oleh Tuan
Haji Mohd Said sebelum wafatnya (1) dan di sinilah terletaknya rumah Tuan Haji
Abdullah. Dalam hubungan ini Tuan Hj. Ahmad menegaskan antara lain….”kemudian
daripada wafatnya (Tuan Haji Mohd Said) berdirilah kemudian daripadanya salah
seorang daripada anaknya dengan seelok-elok pendirian kemudian daripada sempurnalah
baginya pemandangan Tuhan al-Amin al-Allam dan yang demikian dengan ittifaq
yang besar daripada ikhwan dan isyarat setengah daripada mereka yang adalah
atasnya pekeliling ini tariqah pada ini masa dan telah menjadi akan dia oleh
Allah Ta’ala mereka yang dipercayai atas segala pekerjaannya dan khalifah
baginya atas sekelian kelakuannya dan rahsia-rahsianya dan iaitu saudara
kandungan kami al-Fadhil al-Syeikh Abdullah hafidhahullah waffaqahu lima
yuhibbu wayardhahu Amin.”(2)
Tuan Haji Ahmad Pembantu Kanan Tuan Haji Abdullah
Setelah kembali dari pengajiannya di Makkah al-Mukarramah
selama lebih kurang tujuh tahun (1927-1934), Tuan Haji Ahmad telah menyebarkan
ilmu pengetahuannya sebagai menyambung tugas mengembangkan Islam dan ilmu-ilmu
tradisi yang diwarisi dari ayahanda beliau dan juga nenekanda beliau, yang mana
keturunan beliau ini adalah titisan darah ulama Islam yang terkenal (3).
Sebelum beliau menyambung pelajarannya di Makkah, beliau telah menerima
pendidikan awal di bidang syariah dan tasawwuf, khususnya tentang perjalanan
al-Tariqah al-Ahmadiyyah, amalan-amalan zikir dan sebagainya (4). Dengan asas
yang kuat ini tidaklah menghairankan sekiranya beliau menjadi pembantu kanan
Tuan Haji Abdullah di dalam memimpin Tariqah ini, dan kemudian mengambil alih
kepimpinannya setelah Tuan Haji Abdullah kembali ke rahmatullah.
Dengan kepulangan Allahyarham Tuan Haji Ahmad dari Makkah,
maka lahirlah seorang lagi tokoh penting memimpin al-Tariqah al-Ahmadiyyah
khususnya di Negeri Sembilan, dan umumnya di kawasan ini. Kedua-dua tokoh ini
berkerjasama di dalam mempertahankan Tariqah ini dan mengembangkannya. Mereka
bantu-membantu, seperti aur dengan tebing. Amat tepat sekali apa yang di
katakana oleh Sidi Abu al-Abbas (5) “ peranan kedua beradik ulama ini di dalam
mempertahankan Tariqah ini dan mengembangkannya ibarat Nabi Musa a.s dengan
saudaranaya Nabi Harun a.s (6)”, kedua-dua tokoh ini pernah bertemu dan belajar
dengan Saidi Abu al-Abbas di Makkah sebelum kembali ke tanah air (7).
Tuan Haji Abdullah selalu menugaskan Tuan Haji Ahmad supaya
mengetuai majlis-majlis zikir dan haul yang di adakan di Kampung Ampangan atau
di tempat-tempat lain. Tuan Haji Abdullah akan hadir sama jika tidak ada
apa-apa keuzuran (8). Ini banyak memberikan pengalaman kepada Tuan Haji Ahmad
sebagai satu isyarat bahawa pemimpin kedua Tariqah ini adalah di pegang oleh
Tuan Haji Ahmad, seperti yang dibayangkan oleh Sidi Abu Abbas al-Dandarawi. Dan
sebagai persediaan bagi beliau untuk mengambil alih pimpinannya jiaka Tuan Haji
Abdullah telah tiada. Dan inilah yang berlaku.
Kerjasama dan bantu-membantu antara tokoh ini berjalan terus
dan sewajarnyalah diikuti oleh mereka yang datang kemudian demi kepentingan dan
perkembangan Tariqah ini. Walaupun kedua tokoh ini tinggal berlainan tempat,
Tuan Haji Abdullah di Ampangan dan Tuan Haji Ahmad di Kampung Pondok Rasah,
namun ianya tidak sedikit pun menjejaskan keeratan kerjasama di antara kedua
mereka. Kedua tokoh ini saling merujuk antara satu sama lain. Jawapan kepada
anak-anak murid dari Tuan Haji Abdullah: Apa kata Ahmad? Ha itulah dia! Atau
kata-kata Tuan Haji Ahmad kepada muridnya: Apa kata Bang Lah itulah dia! Adalah
perkara yang menjadi kelaziman (9) seolah-olah tidak terdapat apa-apa perbezaan
fikiran dan pendapat di antara kedua tokoh ini di dalam persoalan-persoalan
yang ada hubungan dengan Tariqah ini. Jika majlis-majlis haul diadakan di
Ampangan, Tuan Haji Ahmad akan memerintahkan anak-anak muridnya ke Ampangan
bagi sama-sama berkhidmat mempersiapkan persediaan-persediaan haul dan sama
menghadiri majlis tersebut (10). Tradisi yang baik ini berjalan terus sehingga
wafat Tuan Haji Abdullah pada tahun 1965 di kebumikan berhampiran dengan makam
ayahandanya Tuan Hj. Mohd Said al-Linggi.
Dengan itu Tuan Haji Ahmad pun mengambil alih kepimpinan
al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan dengan sendirinya Pusat Tariqah ini berlih ke
Kampung Pondok Rasah (11). Ini merupakan tanggungjawab yang tidak dapat
dielakkan lagi yang harus dilaksanakan dengan baik dan sempurna oleh Tuan Haji
Ahmad. Melaksanakan amanah dan tanggungjawab inilah, dasar segala tindak tanduk
beliau di dalam mengendalikan pimpinan tariqah ini sehinggalah berjaya dan
bersih dari penyelewengan mana-mana pihak.
Al-Madrasah al-Saidiyah Dan Peranannya Di Dalam Perkembangan
al-Tariqah al-Ahmadiyyah
Setelah Tuan Haji Ahmad kembali ke tanah air dari Makkah
setelah menuntut ilmu disana lebih kurang tujuh tahun, beliau telah menyebarkan
ilmu pengetahuannya kepada umat Islam setempat. Beliau telah mengambil daya
usaha mengajar di masjid-masjid dan surau-surau di Seremban. Dan
kawasan-kawasannya seperti Sega, Rantau, Kuala Sawah hinggalah ke daerah
Rembau. Di samping beliau mengajar ilmu-ilmu syariah seperti Fiqh dan Tauhid,
beliau juga mengajar ilmu Tasawwuf di samping membimbing pelajar-pelajarnya cara-cara
beramal dengan amalan-amalan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, zikir-zikirnya, dan
memahamkan kepada mereka tentang ajaran-ajaran Tariqah ini (12). Sambutan yang
diberikan adalah menggalakkkan tambahan pula usaha-usaha ini adalah merupakan
sambungan kepada usaha-usaha ayahanda beliau Tuan Haji Mohd Said.
Tidak cukup dengan itu, dalam masa yang sama beliau
mendirikan pondok yang akhirnya diberi nama al-Madrasah al-Saidiyyah.
Bersempena dengan nama ayahanda Tuan Haji Mohd Said. Bolehlah dikatakan bahwa
tujuan beliau mendirikan Madrasah ini ialah untuk mengajar dan menyebarkan
ilmu-ilmu Islam yang tradisional, ini tidaklah terkecuali dari mengajarkan ilmu
Tasawwuf, khususnya ajaran-ajaran al-Tariqah al-Ahmadiyyah.
Satu perkara yang menarik mengenai madrasah ini ialah ianya
lebih dikenali di kalangan masyarakat Negeri Sembilan dengan nama : Pondok
Sheikh Haji Ahmad. Dari nama inilah yang akhirnya nama tetap kepada tempat
kediaman Tuan Haji Ahmad iaitu Kampung Rasah Seremban sekarang ini.
Pelajar-pelajar yang datang ke Madrasah al-Saidiyyah ini,
datang dari berbagai-bagai tempat dan negeri di Malaysia dan juga dari seberang
laut seperti Siak (13). Mereka tinggal di pondok-pondok yang didirikan sekitar
tempat kediaman Tuan Haji Ahmad tempat belajar mereka ialah surau. Surau ini
masih ada hingga sekarang, walaupun telah menerima sedikit sebanyak perubahan
fizikalnya.
Seperti juga pondok-pondok di seluruh tanah air, di Pondok
Rasah ini pelajar-pelajar dikehendaki patuh pada disiplin yang telah ditentukan
seperti disiplin pakaian, akhlak, makanan, pelajaran, sembahyang berjemaah dan
lain-lain lagi, seperti disiplin-disiplin yang kebiasaanya terdapat di
pondok-pondok yang lain, di tambah dengan disiplin yang seharusnya diikuti oleh
pengikut-pengikut al-tariqah al-Ahmadiyyah seperti zikir-zikir tertentu yang
dikehendaki untuk diamalkan, menghadiri majlis-majlis zikir dan haul. Di bulan
puasa pula pondok ini mempunyai program yang tersendiri berbeza dengan
bulan-bulan yang lain. Pada bulan ini pelajar-pelajar digalakkan berzikir.
Malahan kadang-kadang Tuan Haji Ahmad sendiri memimpin pelajar-pelajar berzikir
dari selepas tengah malam hingga subuh. Mereka juga digalakkan membaca al-Quran
dan diajarkan cara sembahyang Tarawih sepuluh rakaat yang biasanya dilakukan
oleh al-Tariqah ini. Pelajar-pelajar dikehendaki tidur selepas tengah Maghrib
dan bangun selepas tengah malam untuk bersahur sebelum subuh dan hanya tidur
semula selepas subuh. Bolehlah dikatakan pada bulan puasa, mereka berehat di
waktu siang, beramal dan belajar di waktu malam.
Bagi pelajar-pelajar yang telah lama belajar dan didapati
layak untuk mempelajari ilmu Tasawwuf yang lebih mendalam, mereka di ajarkan
dengan kitab-kitab Tasawwuf seperti al-Hikam dan ada pula sebahagian dari
mereka diajar dan digalakkan bermuqarabah (14). Muqarabah ialah satu-satu
disiplin al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang penting. Di antara tempat-tempat yang
pernah dijadikan tempat bermuqarabah ialah Masjid Rasah (15) yang masih wujud
hingga kini.
Pembentukan madrasah ini secara langsung dan tidak langsung
membawa kepada penyebaran Tariqah inike daerah-daerah dari mana murid-murid itu
dating, mereka ini dengan sendirinya menjadi ejen penyebaran Tariqah ini
setelah tamnat pengajian mereka di Madrasah ini. Bolehleh dikatakan bahawa
matlamat yang penting dari penubuhan Madrasah ini ialah untuk meneruskan
perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti yang telah digariskan oleh
al-Marhum Tuan Hj. Mohd Said. Di antara to koh-tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah
yang mendapat didikan beliau ialah Tuan Haji Abdul Rashid, Tuan Hi. Mohd, Tuan
Hj. Mohd Hamid, Tuan Hj. Mohd Noor. Mereka ini adalah adik-adik kepada
Allahyarham.
Pimpinan Al-Tariqah Al-Ahmadiyyah Selepas Tuan Haji Abdullah
Sebagaimana yang telah di nyatakan bahawa setelah Tuan Haji
Abdullah kembali ke rahmatullah, maka secara automatis pimpinan al-Tariqah
al-Ahmadiyyah telah dipegang oleh Tuan Haji Ahmad. Sesuai dengan kedudukan
beliau sebagai pembantu kanan kepada kekandanya dan kebolehan beliau di dalam
memimpin al-Tariqah ini tidak boleh dipersoalkan. Tambahan pula beliau ini
memang terkenal sebagai seorang yang alim di dalam ilmu-ilmu tradisi Islam dan
termasuklah ilmu Tasawwuf, ajaran dan disiplin-disiplin Tariqah ini. Malahan
beliau telah banyak mengarang kitab-kitab berhubung dengan perkara-perkara ini
dan hasil-hasil karya beliau di dalam bidang ini amat berharga, di samping itu
keseluruhan ikhwan-ikhwan yang kanan-kanan telah datang menemui Tuan Haji Ahmad
tanda pengakuan mereka di atas kepimpinan beliau menggantikan kekanda beliau
(16). Namun demikian terdapat juga beberapa orang murid bercita-cita untuk
menggantikan Tuan Haji Abdullah seolah-olah ini adalah peluang keemasan yang
ditunggu-tunggui untuk mengisi kekosongan pimpinan, di dalam sejarah perkara
seperti ini lumrah berlaku sesuai dengan tabiat semulajadi manusia, ini tidak
terkecuali di dalam perebutan khalifah-khalifah Islam-atau cuba meragui tentang
kepimpinan Tuan Haji Ahmad.
Tuan Haji Ahmad yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan
pimpinan telah bertindak dengan cepat dan tegas membanteras unsur-unsur ini
supaya jangan sampai merebak yang boleh menjejaskan kedudukan dan Samat
al-Tariqah al- Ahmadiyyah(17). Beliau memanggil mereka-mereka yang berkenaan ke
rumahnya di Pondok Rasah secara bergilir-gilir di hari-hari yang berlainan di
antara mereka yang pernah dipanggil ialah :
1. Tuan Haji Hassan (al-Marhum)
2. Tuan Haji Ta’in (al-marhum)
3. Tuan Haji Sulaiman (al-Marhum)
4. Tuan Haji Jani
5. Tuan Haji Husain Ma;un
6. dan Che Yusuf (18)
Tujuan mereka dipanggil ialah untuk memberitahu perkara
sebenarnya kepada mereka mengenai perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan
tanggungjawab yang dipikul oleh Ketua Tariqah ini. Dengan ini beliau telah
meredakan keadaan dan membanterasnya.
Lebih jauh dari itu beliau telah menulis surat terbuka
ditujukan kepada ikhwan yang kanan-kanan demi membanteras dan menghapuskan
unsur-unsur perpecahan di dalam Tariqah ini, antara lain beliau berkata :
(19)…”menjauhkan fitnah terhadap perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan
terhadap Asyaduna al-Kiram dan terhadap Tuan Guru kita (Tuan Haji Abdullah)
adalah lebih utama daripada memperbuat perkara-perkara yang boleh dengan
sebabnya tercacat perjalanan Asyaduna al-Kiram kerana ini, maka adalah Tuan dan
Jamaah tuan dinasihatkan supaya mengambil berat dengan pengetahuan agama
mengikut sebagaimana yang diwajibkan dan beramal dan berzikir akan Allah dengan
cara yang bersih dan sunyi daripada riya’ dan Sum’ah.
Begitulah beliau dengan tegas memperingati pengikut-pengikut
Tariqah ini supaya menuntut ilmu agama supaya perjalanan mereka menepati dengan
kehendak ajaran Tariqah ini. Di samping menghindarkan perkara-perkara yang
boleh mencemarkan nama baik Tariqah dan tuan-tuan gurunya. Jangan sampai timbul
penyelewengan dan fitnah. Di dalam para yang lain beliau dengan tegas
mengarahkan supaya beramal hendaklah dengan ilmu yang ikhlas. Antara lain
beliau berkata : (20)…”pada pengetahuan saya, beramal itu dengan ilmu, beramal
dengan ketiadaan ilmu itu adalah sebesar-besar bala pada sisi agama dan lagi
beramal itu adalah semata-mata ikhlas bagi Allah Ta’ala bukannya kerana siapa
dan bukannya kerana apa dan bukannya kerana mencari satu makam atau satu
keadaan yang membesarkan pandangan makhluk Allah Ta’ala maka mana-mana satu
keadaan amalan yang tersebut dengan ini semua adalah sia-sia sahaja kerana ini
maka eloklah tuan dan jamaah tuan mengambil pengetahuan dengan perkara-perkara
seumpama ini supaya tiadalah mudah-mudahan pekerjaan dan amalan tuan yang
dikerja akannya dengan penat lelah itu tersia-sia sahaja di sisi Allah Ta’ala.
Lebih jauh dari itu Tuan haji Ahmad telah menegaskan tujuan
zikir ialah untuk membersihkan diri untuk mewujudkan perpaduan dan kekumpukkan,
dari itu hendaklah ianya dibina di atas ilmu, ikhlas dan yang memimpin itu
hendaklah benar-benar berkelayakan dan berkebolehan dalam hal ini beliau dengan
tegas berkata : (21)”…perjalan berzikir akan Allah Ta’ala ialah perjalanan yang
penting pada masa akhir zaman iaitu masa kita sekarang kerana ia adalah satu amalan
yang boleh membersih hati dan menghilang akan kekaratannya dan dengan yang
demikian maka adalah ia sebab yang boleh mencantumkan di antara satu dengan
yang lain dan berpegang dengan jalan yang betul dan menjauhkan daripada
berpecah belah…”
Selepas itu Tuan Haji Ahmad mencabar kewibawaan
mereka-mereka ini dari segi kepimpinan Tariqah yang sejati yang seharusnya
mempunyai kelebihan-kelebihan sebagai bukti dakwaan (dalam erti kata yang lain
kalau ianya dipimpin oleh Sheikh yang murshid tentu sahaja ianya mempunyai
kelebihan-kelebihan- ini menurut ukuran Tuan Haji Ahmad dan dalam hal ini
beliau berkata : (22) “…tetapi di dalam amalan zikir yang tuan dan jamaah tuan
mengerjakannya maka apakah satu bukti yang menunjukkan kepadanya oleh qabul dan
berkat zikir yang tuan dan jemaah tuan supaya boleh diisytihar dan
diagung-agungkan akannya.”
Kemudian beliau telah mensarankan perkara-perkara yang
sewajarnya dilakukan oleh Sheikh Tariqah Ahmadiyyah di majlis-majlis haul dan
majlis-majlis zikir di antara lain beliau berkata : (23) “…sebagaimana yang
telah diadatkan bagi ahli al-Tariqah al-Ahmadiyyah bahawa mereka itu memperbuat
akan haul guru-guru mereka itu Asyaduna al-Kiram dan pada ketika itu adalah
mereka itu berhimpun kerana haul-haul yang tersebut dan adalah mereka itu
mengadakan padanya akan majlis zikir atau ilmu akhirat atau ilmu Tariq supaya
adalah demikian itu sebagai satu panduan atau pengajaran bagi mereka itu.”
Sebagai penutup kepada surat beliau tersebut beliau
mengharapkan kerjasama dari mereka antara lain beliau berkata : (24)
“..tiadalah dapat saya berkata panjang selain daripada berharap kerjasama tuan
dan jemaah tuan di atas memahamkan apa-apa yang telah saya sebutkan akannya.
Dan ini adalah semata-mata nasihat bagi membetulkan haluan jalan daripada
terpesong atau tersesat dan Tuhan yang mengurniakan ke atas kita sekelian akan
taufiq dan hidayat…”
Dengan ini jelas kepada kita gambaran tentang perjalanan
zikir dan juga orang-orang yang memimpin zikir yang dikehendaki oleh al-Tariqah
al-Ahmadiyyah seperti yang dijelaskan oleh Tuan Haji Ahmad tadi. Tindakan tegas
dalam menjaga perjalanan Tariqah ini supaya tidak menyeleweng atau disalah
gunakan oleh mana-mana pihak yang telah dilakukan oleh Tuan Haji Ahmad ini
amatlah berkesan. Satu contoh yang lain pula untuk lebih jelas cara beliau
bertindak ialah : Pada 3hb. Julai 1960 beliau telah menerima pengaduan bahawa
terdapat seorang bernama Lebai Ma’aruf – pengikut al-Tariqah al-Ahmadiyyah –
telah memberi Ijazah kepada Lebai Sami’un dan melantiknya sebagai khalifah
al-Tariqah ini di Sungai Baru, Kampung Lundang. Apabila sahaja beliau mendapat
pengaduan tadi dengan segera beliau menyiasat dan tindakan segera beliau
memanggil orang yang berkenaan iaitu Lebai Ma’ruf (25).
Ini beberapa contoh yang menunjukkan bagaimana beliau telah
bertindak tegas, segera dan teliti di dalam perjalanan Tariqah ini supaya jauh
dari penyelewengan atau perkara-perkara yang boleh merosakkannya.
Tuan Haji Ahmad Mufti Dan Ketua Tariqah
Tuan Haji Ahmad dilantik menjadi Mufti Negeri Sembilan yang
pertama pada tahun 1950 adalah atas pemilihan dan persetujuan ulamak Negeri
Sembilan di dalam satu persidangan ulamak di Negeri Sembilan, yang
dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu (26) dan bukan
atas permintaan atau permohonan jawatan yang lazimnya dilakukan bagi memenuhi
sesuatu jawatan kosong kerajaan. Pada awalnya beliau tidak bersetuju di atas
lantikan tersebut keengganan beliau ini akhirnya kalah kerana desakan-desakan
yang kuat dari ulamak Negeri Sembilan dan juga pembesar-pembesar Negeri
Sembilan sendiri (27). Tambahan pula mereka ini sama ada pengikut atau
bersimpati dengan perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, dan kewibawaan Tuan Haji
Mohd Said ayahanda Tuan Haji Ahmad masih tegak dan kukuh di negeri ini. Di samping
desakan dari sebahagian orang ramai dan ikhwan, konsep memenuhi hajat orang
lain memainkan peranan di dalam penerimaan jawatan ini. Di samping itu bonda
beliau al-Marhumah Siti Zubaidah bersetuju dan mendesak beliau agar menerima
jawatan tersebut (28) atas dasar taat kepada ibu juga menjadi faktor penentu
bagi beliau.
Untuk makluman bahawa pemimpin-pemimpin al-Tariqah
al-Ahmadiyyah yang terdahulu dan beliau adalah bebas dari jawatan-jawatan rasmi
Kerajaan, seperti Tuan Haji Mohd Said dan juga Tuan Haji Abdullah malahan
Tuan-tuan Guru Tariqah ini yang lainnya pun demikian juga. Jadi secara tidak
langsung, beliau adalah orang yang pertama makan gaji di kalangan pemimpin
Tariqah ini. Ini dengan sendirinya merupakan pemecahan tradisi di dalam cara
kepimpinan Tariqah ini. Adakah ini boleh menjejaskan kewibawaan kepimpinan
al-Tariqah al-Ahmadiyyah? Jawapannya ialah : Sejarah telah membuktikan bahawa
ianya tidak menjejaskan malahan jika dihalusi akan didapati banyak
hikmat-hikmat yang tersirat di sebalik penerimaan jawatan tersebut. Untuk
makluman seterusnya bahawa sebelum beliau bersetuju menerima jawatan ini beliau
telah bersembahyang Istikharah berminggu-minggu lamanya, hasil istikharah
beliau itulah yang menjadi faktor utama beliau menerima lantikan tersebut (29).
Dan sudah sewajarnya ianya tidak bertentangan dengan kehendak tuan-tuan guru
Tariqah ini kerana orang sufi pada umumnya percaya kepada isyarat-isyarat dan
alamat-alamat yang salihah dan menghormatinya. Ini adalah keyakinan saya
sendiri.
Di dalam mengendalikan tanggungjawab beliau sebagai seorang
Mufti dan dalam masa yang sama sebagai seorang pemimpin Tariqah beliau amat
hati-hati dan cermat supaya jawatan yang satu tidak mempengaruhi yang lainnya
atau sebaliknya, hingga jelas garis-garis kasar yang boleh dirasa memisahkan di
antara dia sifat dan tanggungjawab yang ada pada beliau. Inilah merupakan suatu
kejayaan kepada kekuatan peribadi beliau. Sebagai bukti, beliau melarang
pengikut-pengikutnya mengadakan majlis zikir di Masjid terutama selepas Jumaat
kecuali ia merupakan kawasan yang banyak pengikut Tariqah ini atau ahli-ahli
Masjid itu bersepakat menerimanya atau sudah menjadi tradisi turun temurun bagi
Masjid dan jemaah melakukan demikian seperti Masjid Penajis Rembau. Dan begitu
juga beliau melarang digantung tahlil al-Tariqah al-Ahmadiyyah di Masjid iaitu:
Atau amalan-amalan yang lainya. Kecuali dengan kehendak
ahli-ahli Masjid tersebut dengan suka rela mereka (30).
Dalam hubungan yang sama, beberapa persoalan yang menyentuh
perkara-perkara yang mempunyai hubungan rapat dengan perjalanan dan disiplin
Tariqah secara umum ini termasuklah al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti persoalan
keramat, wali, tawassuf dan bernazar kepada kubur-kubur auliya’ telah
dikemukakan oleh sesetengah pihak kepada beliau atas sifat beliau sebagai Mufti
Kerajaan Negeri Sembilan di antaranya ialah surat dari Haji Abdullah, Seremban
bertarikh 6hb Oktober 1952. Walaupun beliau mempunyai kewibawaan untuk memberi
jawapan-jawapan yang jitu kepada persoalan seperti di atas sebagai Mufti
Kerajaan Negeri Sembilan dan seorang yang alim di dalam ilmu Tasawwuf, namum
demikian beliau tidak bertindak dengan sewenang-wenang malahan dengan cara yang
teliti. Beliau telah mengeluarkan satu surat terbuka ditujukan kepada lebih
dari 20 orang ulamak Negeri Sembilan sama ada yang berjawatan di dalam kerajaan
atau tidak. Surattersebut berbunyi:
Tuan,
Diharap mendapat keterangan terhadap perkara-perkara yang
tesebut di bawah ini:
1. Apa takrif wali
2. Adakah didapati semasa ini mereka-mereka yang dikatakan
baginya auliya’ Allah Ta’ala.
3. Adakah sabit keramat bagi mereka itu kemudian daripada
wafat mereka itu.
4. Apakah hukum bertawassul dengan mereka itu pada masa
hayat dan mati mereka itu.
5. Apakah hukum bernazar kepada kubur mereka itu.
Hal inilah wassalam (31)
Ternyata tujuan beliau ialah ingin meninjau pendapat
rakan-rakannya ulamak Negeri Sembilan di dalam perkara-perkara yang tersebut di
atas sebelum mengeluarkan fatwa atas nama Mufti Negeri Sembilan dan bukan atas
nama tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah sedangkan beliau mempunyai karya-karya yang
bercetak di dalam persoalan-persoalan di atas tadi seperti kitab:
ﺍﺗﺤﺎﻒ ﺫﻭﻯ ﺍﻠﺮﻏﺒﺎﺖ ﺑﺑﻴﺎﻥ ﮐرﺍﻤﺎﺕ ﺍﻻﻭﻠﻴﺎء ﻓﻰ ﺍﻠﺤﻴﺎﺓ ﻭﺒﻌﺩ ﺍﻠﻤﻤﺎﺕ
dan lain-lain lagi (32).
Menjadi amalan bagi ahli al-Tariqah al-Ahmadiyyah
bersembahyang terawih sepuluh rakaat dengan mempunyai doa-doa khas dan ma’thur.
Sedangkan kebiasaan masyarakat Melayu bersembahyang terawih dua puluh rakaat,
walaupun Tuan Haji Ahmad menjadi Mufti Negeri Sembilan namun beliau tidak
mengarahkan supaya umat Islam di Negeri Sembilan bersembahyang terawih sepuluh
rakaat seperti yang diamalkan oleh ahli Tariqah ini. Malahan kebebasan
diberikan kepada ahli jemaah untuk memilihnya sama ada sepuluh atau dua puluh
rakaat.
Walaupun Tuan Haji Ahmad telah menghasilkan karya sebuah
kitab berhubung dengan cara bersembahyang terawih sepuluh rakaat (33) sebagai
takliq kepada tulisan ayahanda beliau Tuan Haji Mohd Said al-Linggi.
Saya percaya sikap dan pendirian al-Marhum ini menyebabkan
ianya berjaya dan dihormati sebagai seorang Mufti dan tokoh al-Tariqah
al-Ahmadiyyah yang berwibawaan dan disegani.
Ijazah Mentalkinkan al-Tariq al-Ahmadiyyah
Tiap-tiap Tariqah mempunyai cara-cara tersendiri bagi
menerima anggota barunya. Al-Tariqah al-Ahmadiyyah juga mempunyai cara yang
tersendiri, mudah dan ringkas. Mereka yang berminat untuk menjadi pengikut
Tariqah ini hendaklah menemui tokoh-tokohnya atau mereka-mereka yang
diijazahkan untuk mentalkinkan Tariqah ini. Majlis ini boleh diadakan di rumah
tokoh-tokoh tadi atau mereka yang telah diijazahkan atau di surau dan Masjid
atau di mana-mana sahaja tempat diadakan majlis zikir atau haul.
Jika kita kembali kepada zaman yang lebih awal lagi, kita
akan mendapati bahawa al-Marhum Tuan Haji Mohd Said pernah memberikan ijazah
mentalkinkan al-Tariqah al-Ahmadiyyah ini kepada beberapa orang murid-murid
kanan beliau seperti Faqih Mohd Noor, Tuan Haji Hussain, Datuk Samad (Rembau),
Tuan Lebai Ibrahim dan lain-lain lagi, tetapi sebahagiannya telah ditarik
kembali ijazah mereka kerana didapati melanggar disiplin Tariqah ini (34) hanya
yang diketahui Datuk Samad dan Tuan Lebai Ibrahim yang masih kekal ijazah
mereka hingga ke zaman Tuan Haji Abdullah dan Tuan Haji Ahmad(35)
Semasa al-Tariqah al-Ahmadiyyah di bawah pimpinan Tuan Haji
Ahamd tidak pernah diketahui atau didengar yang beliau pernah memberikan ijazah
mentalkinkan Tariqah ini kepada mana-mana murid beliau (36). Mungkin beliau
berpendapat bahawa masanya tidak sesuai bagi beliau untuk berbuat demikian atau
ada sebab lain yang mendorong beliau bersikap demikian, seperti beliau telah
melihat dan menyaksikan bagaimana setengah murid-murid kanan ayahanda beliau
telah ditarik kembali ijazah mereka kerana melanggar disiplin. Maka jika
langkah yang sama diikuti oleh beliau besar kemungkinan mereka bukan sahaja
melanggar disiplin bahkan akan menimbulkan fitnah dan perpecahan. Ini terbukti
dengan persoalan Labai Ma’ruf dan surat terbuka (37).
Dewasa ini Ijazah mentalkin ini dipegang oleh
saudara-saudara beliau seperti Tuan Hj. Mansor, mereka ini berada di Seremban
dan Tuan Haji Abdul Rashid di Singapura.
Majlis Haul Dan Zikir
Di dalam mengadakan majlis haul dan zikir. Tuan Haji Ahmad
amat berhati-hati supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap perjalanan Tariqah
ini dan majlis-majlis zikir dan haulnya. Kerana cara berzikir ahli-ahli Tariqah
ini mungkin akan menimbulkan salah faham di kalangan mereka yang tidak memahami
hakikatnya. Oleh itu beliau selalu mengadakan majlis-majlis zikir dan haul ini
dikediamannya di Kampong Pondok Rasah dan kawasan-kawasan yang ramai pengikut
Tariqah ini seperti Rembau, Linggi, Rantau, Port Dickson dan lain-lain. Di
kawasan Kuala Pilah sendiri Tuan Haji Ahamad hanya mengadakan majlis ini di
Kampong Terachi(39) sahaja (40), Tuan Haji Ahmad tidak mengadakan majlis
seperti ini dengan berleluasa dan di dalam pemilihan tempat beliau amat teliti
(41).
Majlis haul yang diadakan biasanya dibuat di kawasan Padang
yang luas yang membolehkannya diadakan dalam bentuk lengkungan bulat (halaqah).
Ini pernah dilakukan di halaman rumah Encik Mohd Isa, Tuan Haji Ahmad kurang
gemar menggunakan Masjid Rasah sebagai tempat diadakan majlis ini kecuali jika
hari hujan (42). Ini adalah mengelakkan dari mengganggu penggunaan masjid oleh
orang lain yang bukan menjadi ahli Tariqah ini.
Dalam hal ini beliau berkata : Bahawa barang yang memperbuat
akan dia oleh ahli bagi al-Tariqah al-Ahmadiyyah daripada berhimpun pada berzikir
dan berkeliling baginya dan berpelahan baginya pada satu kelakuan dan berkuat
dengannya pada satu kelakuan seperti barang yang adalah diterima daripada
guru-guru mereka haruslah ianya lagi tiada ditegah bahkan adalah ia afdhal
(43).
Kemudian beliau memberikan alasan-alasan kenapa dikatakan
ianya afdhal, di samping menyatakan perkara-perkara yang seharusnya dijaga
semasa mengadakan majlis-majlis tadi. Antara lain beliau berkata : kerana
bahawa perbuatan mereka itu akan yang demikian dan berkekalanlah mereka itu
atasnya pada sepanjang masa daripada ketiadaan berubah menunjuklah ia atas
bahawasa demikian itu tiadalah ia melainkan mengasadkan wajah Allah Ta’ala
daripada ketiadaan bahawa dirupai padanya akan ada riya’ sama sekali dan tiada
dirupai menyakiti daripada mereka itu bagi orang yang tidur atau yang membaca
al-Quran atau bagi yang beribadat pada satu tempat pada kelakuan yang apabila
berkuat mereka itu dengannya dan mengangkat oleh mereka itu dengan ramai akan
suara yang demikian itu dengan himpunan ridha dan ittifaq (44).
Majlis-majlis haul yang pernah diadakan bagi mengingati
perjalanan tokoh-tokoh penting al-Tariqah al-Ahmadiyyah ini ialah:
1. Saidi Ahmad bin Idris, wafat 21 Rejab 1253 H
2. Saidi Ibrahim al-Rashidi, wafat 9 Sya’ban 1291 H
3. Saidi Mohd Dandarawi, wafat 29 Muharram 1327H
4. Saidi Mohd Said al-Linggi, wafat 12 R.Awal 1345 H
Majlis-majlis haul ini diadakan bertujuan untuk mengingati
tokoh-tokoh penting Tariqah ini seperti yang telah disebutkan tadi. Dengan cara
diadakan setiap tahun menepati hari-hari wafat mereka. Ini akan menguatkan lagi
hubungan dengan Tuan-tuan Guru dan perjalanan Tariqah seperti yang telah
digaris dan dilandaskan. Ia bukanlah bertujuan untuk bermegah-megah atau kerana
riya’ dan sam’ah (45). Pada keseluruhannya adalah bermaksud di dalam hubungan
menghormati guru dan mengenang jasa dan dalam pengertian Adab antara murid
dengan guru.
Di dalam hubungan ini, tujuan Tuan Haji Ahmad amat teliti
dan berhalus demi mencapai maksud di atas tadi. Selain dari berzikir, diadakan
bacaan al-Quran, syarahan agama yang berbentuk nasihat, qasidah yang berbentuk
puji-pujian dan tawassul kepada Tuan-tuan Guru Tariqah ini. Manaqib dan riwayat
hidup serta perjalanan Tuan-tuan Guru yang kerananya diadakan haul diceritakan
untuk menjadi iktibar dan ikutan. Fadhilat-fadhilat zikir, kedudukan ibadat dan
perjalanan Tariqah ini pun disentuh sebagai panduan dan pengajaran bagi
ahli-ahli Tariqah ini.(46)
TUAN HAJI AHMAD DI ZAMAN TERAKHIRNYA
Yang dimaksudkan dengan zaman terakhir beliau ialah zaman
selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan setelah Yang Di Pertuan Agong
Pertama dilantik (47). Di zaman ini beliau terlalu sibuk menghadapi
golongan-golongan masyarakat yang berbeza-beza disebabkan terdedahnya beliau
kepada zaman baharu beliau Mufti Negeri Sembilan, juga Mufti yang berurusan
dengan Kerajaan Pusat Persekutuan, guru yang mengajar kepada murid-murid, Ketua
al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang banyak pengikut di samping suami kepada empat
orang isteri dan ayah hampir empat puluh orang anak. Ternyata beliau telah
melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan sempurna di dalam
kesibukan-kesibukan tadi.
Selain dari majlis-majlis haul beliau mengadakan
majlis-majlis zikir di surau rumahnya pada tiap-tiap malam Jumaat. Selain dari
malam Jumaat diadakan juga zikir-zikir ini kadang-kadang dipimpin oleh
murid-murid beliau, ini berdasarkan keluangan masa beliau. Tempatnya tidaklah
semestinya di surau malahan juga diadakan di rumahnya sendiri. Tugas mengajar
yang telah dilakukan oleh beliau sejak kembali dari Mekah diteruskan juga walau
pun tidak sehebat sebelum perang dunia kedua kerana tugas-tugas lain namum
ianya tetap diteruskan walau pun hanya secara sederhana sahaja hingga ke akhir
hayat beliau. Masa mengajar ialah selepas subuh tiap-tiap hari hingga kira-kira
jam tujuh pagi (48).
Rumah beliau sentiasa sibuk dengan orang-orang yang
berziarah dengan tujuan dan maksud berbeza-beza. Ada yang menziarahi beliau
sebagai tanda hormat, ada yang mengharapkan doa-doa saleh beliau, ada yang
menuntut amalan doa-doa dan bermacam-macam lagi. Ini selain dari yang datang
kerana ingin menjadi pengikut Tariqah atau memang telah menjadi pengikutnya.
Mereka-mereka ini datang dari segala lapisan masyarakat. Dari Kota dan Desa,
miskin dan kaya, dari golongan bangsawan, pembesar-pembesat, pentadbir,
pegawai, alim ulamak dan rakyat biasa dan tidak ketinggalan mereka-mereka yang
bukan Islam.
Meninggal Dunia
.
Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang (
Selasa), Tuan Haji Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat
jawatan Mufti. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau. Amin…
NOTA
1. Tuan Haji Muhammad Nur, adik kandung Tuan Haji Ahmad,
pernah bertemu dan bermurid kepada Sidi Abu al-Abbas
2. Ahmad bin Muhammad Said, Kanzul Muid
3. Ibid hal 7.
4. Sumber lisan dari Tuah Haji Muhammad Nur
5. As-Sayyid Abu al-Abbas ialah anak kepada As-Sayyid
Muhammad Al-Dandrawi yang telah memimpin Tariqat Ahmadiyyah setelah wafat
ayahanda.
6. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur.
7. Sama
8. Sumber dari Tuan Haji Daud Umar, Murid Tuan Hj. Ahmad
hingga kini menetap bersama keluarga beliau.
9. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur
10. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar
11. Sama
12. Sumber lisan dari Tuan Haji Murtadza
13. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Omar
14. Sama
15. Sumber lisan dari Tuan Imam Taat, murid tua kepada Tuan
Haji Muhammad Said dan berguru juga kepada Tuan Haji Ahmad
16. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad Nur
17. Sama
18. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar
19. Tuan Haji Hassan ialah anak sulong kepada Tuan Haji
Abdullah dan telah cubaditonjolkan oleh beberapa orang murid Tuan Haji Abdullah
sebagai pemimpin Tariqat ini.
20. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh 15,
1956
21. Ibid
22. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh
September 15, 1956
23. Ibid
24. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said, bertarikh
September 15, 1956
25. Ibid
26. Surat Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said kepada Tuan
Lebai Ma’aruf, bertarikh Julai 5, 1960
27. Sumber lisan dari Tuan Hj. Sidek Taat
28. Sumber lisan dari Tuan Hj. Daud Umar
29. Sumber dari Tuan Haji Daud Umar
30. Surat dari Mufti Negeri Sembilan pada November 13, 1952,
No. PUNS/216/52
31. Ahmad bin Muhammad Said, Ithaf Zawi Al-Raghban,
Singapura : Jawi Press, 1358H
32. Ahmad bin Muhammad Said, Ta’aliq di atas faedah pada
menyebutkan kaifiyat Tarawih sepuluh rakaat. Singapura Jawi Press, 1356H 21
halaman
33. Sumber lisan dari Tuan Haji Daud Umar
34. Sama
35. Sama
36. Perkara ini telah disentuh di bawah tajuk “Pimpinan
Tariqah Ahmadiyyah selepas Tuan Haji Abdullah
37. Sama
38. Jauhnya kira-kira 12 batu dari Seremban
39. Sumber dari Tuan Haji Daud Umar
40. Sama
41. Sama
42. Ahmad bin Muhammad Al-Qawl al-Wafi tanpa tahun, halaman
14
43. Ahmad bin Muhammad Al-Qawl al-Wafi, halaman 15
44. Surat Ahmad bin Muhammad Said, pada September 15, 1965
45. Surat Ahmad bin Muhammad Said, pada September 15, 1965
46. Yang Di Pertuan Agong Yang Pertama ialah Tuanku Abdul
Rahman, Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan
47. Sumber lisan dari Tuan Haji Muhammad ‘Abid, anak kepada
Tuan Haji Ahmad bin Muhammad Said.
PERINGATAN :
HAUL ALLAHYARHAM AS-SHEIKH HAJI AHMAD BIN AL-SHEIKH MOHD
SAID PADA 22 SYAABAN 1421H (SABTU) BERSAMAAN 18 NOVEMBER, 2000 (HAUL YANG KE –
36 TAHUN)
No comments:
Post a Comment