Thursday, February 9, 2012

Teknik Langsai Hutang Pinjaman Perniagaan

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan hutang. Terdapat pelbagai jenis hutang, ia boleh berupa hutang budi, hutang barang dan hutang wang. Sehingga ada pepatah Melayu yang menyebut, “Hutang budi dibawa mati”. Begitulah besar kesan hutang dalam kehidupan kita. Manakala hutang wang pula bermaksud wang milik orang lain atau badan lain yang telah dipersetujui lalu dipinjamkan kepada kita. Apabila ia milik orang lain, maka ia harus dikembalikan semula mengikut janji yang telah ditetapkan. Wang yang telah kita gunakan itu wajib dibayar semula.

Setiap usahawan yang berjaya pernah menghadapi hidup yang amat sukar. Sehingga membuat pinjaman daripada pelbagai agensi atau bank. Berkat kesabaran dan usaha yang tidak putus telah membuktikan mereka berjaya melarikan diri dari beban hutang dan mampu menjalani hidup dengan senang. Kerana kejayaan itu tidak datang dengan mudah. Ia harus disertakan dengan usaha dan kekuatan diri yang paling tinggi. Tetapi masih ramai juga yang gagal membayar hutang. Perkara ini mungkin disebabkan beberapa faktor dalaman diri si pemiutang itu sendiri. Mereka gagal untuk mengubah hidup dan tidak berani menyahut cabaran.

Banyak cara dan teknik yang dilakukan ramai orang untuk membayar hutang yang telah dibuat. Walau bagaimanapun, cara dan teknik ini tidak akan berkesan jika tiada kesedaran dalam diri si pemiutang itu sendiri. Sekiranya kita liat untuk membayar hutang, hidup kita akan dibayangi perasaan tidak senang dan hidup sentiasa diburu kekesalan. Apabila semua hutang perniagaan telah dilangsaikan, kita mempunyai potensi untuk terus mengembangkan perniagaan kerana tidak perlu membayar hutang lagi. Keuntungan yang kita dapat adalah keuntungan bersih. Nama kita juga akan bersih dan tiada lagi pihak yang cuba menikam kita dari belakang kerana hutang yang belum dilunaskan. Selain itu, kita juga tiada musuh, kerana hutang yang belum dibayar menjadi punca kita dibenci orang lain. Agensi yang pernah memberikan kita pembiayaan suatu ketika dahulu berani memberi kita membuat pinjaman lagi kerana hutang lama telah dilangsaikan. Kita juga akan menambah bilangan kawan dan ramai pelabur yang berani melabur kerana rekod kita yang telah bersih daripada hutang. Mari kita pelajari beberapa teknik melangsaikan hutang perniagaan

Berfikiran positif, motivasi diri dan berdisiplin

Nilai-nilai ini mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam membantu kita melunaskan hutang. Katakan kita membuat pinjaman daripada MARA, Majlis Amanah Rakyat sebanyak RM 5000.00 untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan membeli sebuah mesin jahit industri yang kita gunakan untuk menerima tempahan jahit baju dari rumah. Berfikiran positif mampu membuka minda kita untuk melakukan pelbagai pekerjaan yang telah kita rancangkan. Duit hasil tempahan jahit baju secara kecil-kecilan itu boleh kita simpan untuk membayar hutang yang telah dibuat. Motivasi dalam diri sangat mempengaruhi pembayaran hutang. Berfikiran positif dan motivasi perlu disertai dengan disiplin juga. Jika kita tidak disiplin, hutang yang dibuat gagal dibayar. Disiplinkan diri dengan menetapkan bahawa hutang mesti dibayar setiap bulan sehingga habis.

Berusaha dengan lebih gigih

Selain itu, kita mesti berusaha dengan lebih gigih untuk membayar hutang yang dibuat. Hutang perniagaan mempunyai tempoh bagi pembayaran balik. Tetapi, jika cepat kita membayarnya adalah lebih baik. Jika tidak, kita hanya mampu bekerja dengan lebih gigih untuk membayar hutang. Contohnya, dengan memiliki mesin jahit yang telah diberi, kita boleh menerima tempahan menjahit dengan lebih banyak. Hasil kerja yang memuaskan akan menyebabkan pelanggan akan datang lagi kepada kita. Katakan kita hanya memulakan bidang ini secara sambilan sahaja, selepas pulang dari tempat kerja kita boleh sambung menjahit baju apabila tiba di rumah. Semua orang mempunyai komitmen masing-masing, mungkin mahu memasak untuk keluarga, menguruskan anak-anak, atau mengemas rumah. Tetapi jika mahu berjaya kita mesti berusaha untuk mendapatkannya. Azam yang tinggi tidak menjadikan sebarang alasan sebagai batu penghalang untuk berjaya. Jadikan minat terhadap bidang yang diceburi sesuatu yang menyeronokan sehingga kita tidak merasa jemu melakukannya.

Bayar hutang walau dalam jumlah yang kecil

Teknik yang seterusnya adalah bayar hutang walau dalam jumlah yang kecil. Semua orang sedia maklum jika pembabitan awal dalam dunia perniagaan tidak menjanjikan pulangan yang lumayan. Cukup sekadar mampu melabur untuk pusingan modal yang berikutnya sahaja. Oleh sebab faktor itu, wang yang diterima perlu disimpan dan dibuat bayaran balik. Kita mesti tetapkan jumlah hutang yang boleh kita bayar di awal tempoh pinjaman itu. Mungkin pada bulan pertama kita membayar sebanyak RM 100.00 sahaja. Apabila permintaan semakin meningkat, wang yang diterima juga semakin banyak, tidak salah kita kita membayar dalam jumlah yang banyak. Jika tidak, hutang yang dibuat lambat dilunaskan. Bayar sedikit demi sedikit, lama kelamaan jumlah wang itu akan susut dan habis. Katakan pula kita membayar sebanyak RM 150.00 sebulan dan lakukannya secara konsisten. Sehelai baju kurung boleh disiapkan dalam masa satu hari, dan upah menyiapkannya sekitar RM32 sepasang. Jadi, sebulan kita mampu meraih pendapatan sampingan sebanyak RM 960.00 dengan hanya menjahit baju dari rumah. Tetapkan pula untuk membayar sebanyak RM300.00 sebulan, selama 16 bulan hutang itu akan langsai.

Hutang yang paling kecil perlu dibayar dahulu

Dengan teknik ini, jumlah semua hutang perlu dikumpulkan sebagai kiraan besar. Kemudian mula membayar hutang bermula dengan nilai yang paling kecil. Katakan semua hutang berjumlah RM 20000.00. RM 15000.00 baru sahaja dipinjam untuk membuka sebuah kedai menjahit. Baki RM5000.00 adalah pinjaman awal membeli sebuah mesin jahit industri. Setelah setahun menjahit di rumah, timbul keinginan untuk membuka kedai dan mahu menjadikannya sebagai pendapatan sepenuh masa pula. Jumlah yang perlu dibayar dahulu adalah pinjaman RM 5000.00. Apabila hutang itu berjaya dilangsaikan, pinjaman RM 20000.00 pula perlu dibayar. Jadi, kita akan nampak kesannya apabila membayar hutang ini walaupun bermula dengan nilai yang kecil. Perjanjian bayaran balik perlu dipatuhi, contohnya apabila menjadikan bidang ini pekerjaan sepenuh masa kita perlu membayar sehingga RM 450.00 sebulan. Jumlah ini adalah jumlah yang telah dipersetujui semasa memohon pembiayaan dahulu.

Jangan libatkan Ahlong

Sanggupkah anda melihat keluarga sendiri sengsara akibat diburu lintah darat? Kerana, hutang yang dipinjam perlu dibayar berkali ganda. Silap-silap nyawa sendiri yang akan melayang. Pinjaman dengan lintah darat sangat mudah diluluskan walau dalam jumlah yang banyak. Lintah darat bukan sahaja memburu si pemuitang, sebaliknya cuba mengapa-apakan ahli keluarga yang terdekat. Berhubungan dengan lintah darat adalah cara yang hanya mengundang masalah. Hanya golongan yang pendek akal sahaja akan membuat pinjaman daripada lintah darat untuk membayar hutang. Dalam ayat yang paling singkat, jangan mengadakan sebarang hubungan dengan lintah darat. Kelak, diri sendiri yang susah.

Kesimpulan

Semua masalah akan selesai sebaik sahaja kita selesai membayar hutang. Selepas itu, kita mampu menarik nafas lega dan mampu hidup dengan senang. Kita juga boleh menjadi seorang menjadi usahawan yang berjaya. Perniagaan kecil sudah boleh diperbesarkan dan sudah mampu untuk mengupah pekerja. Tetapi teknik ini perlu dipatuhi jika tidak mahu dibelenggu hutang. Jika mahu meluaskan lagi perniagaan yang ada, pemohonan pembiayaan boleh dipohon lagi kerana hutang lama sudah dibayar dan rekod kita juga bersih darinya. Kita juga sudah mampu membeli sedikit aset seperti kereta dan rumah. Kesimpulanya, teknik-teknik melangsaikan hutang pinjaman perniagaan ini bermula dari dalam diri kita sendiri. Kekuatan fizikal dan mental diperlukan bagi merealisasikan impian ini.

No comments:

YouTube

Loading...