Thursday, February 9, 2012

Bagaimana Untuk Menjadi Peniaga Berjaya

Perniagaan merupakan salah satu cabang untuk menjana pendapatan dan ekonomi harian tidak kira bagi pihak individu atau berkumpulan. Malah, dalam Islam sendiri telah menyatakan bahawa perniagaan adalah 9/10 daripada pintu rezeki. Sedikit sebanyak hal ini telah menggambarkan bahawa perniagaan boleh menjadi satu peluang kepada kita untuk mencari rezeki. Yang penting, perlu ada modal dan usaha untuk mengembangkan perniagaan. Akan tetapi, perlu diingat bahawa perniagaan bukan mahu mengejar keuntungan semata-mata kerana dalam perniagaan kerugian juga menjadi satu lumrah. Islam sendiri ada menggariskan tujuan perniagaan mengikut perspektif Islam iaitu untuk memperbesar dan memperluaskan aktiviti syariat atau bertujuan ibadah dan mendapat pahala yang banyak. Oleh itu, dalam perniagaan, kita perlulah senantiasa mencari keredhaan ALLAH SWT iaitu dengan cara menetapkan niat yang betul serta menjalankan perniagaan dengan sebaik-baiknya. Selain itu, dalam perniagaan juga, ada etika yang perlu dipatuhi. Tujuan etika perniagaan tidak lain tidak bukan untuk memastikan para peniaga Muslim khususnya, menghindarkan sifat-sifat yang keji lantas sentiasa mengamalkan sifat-sifat terpuji sepanjang menguruskan perniagaan. Apakah yang dimaksudkan dengan sifat-sifat terpuji ini? Ianya adalah seperti berikut:

Jujur dan Amanah – Jangan Menipu

Jujur dan amanah!! Itulah sifat utama yang perlu ada pada seorang peniaga Muslim. Seseorang peniaga yang menipu dalam jualannya tidak selamanya akan terus memperoleh keuntungan. Masyarakat pada hari ini semakin bijak menilai dan menganalisis pastinya akan dapat menghidu penipuan yang dijalankan. Akhirnya, kerugian akan berpatah balik kepada peniaga kerana kepercayaan para pembeli semakin berkurangan. Maka atas sebab itu, Islam telah mengunjurkan agar setiap Muslim yang menjalankan urusniaga mestilah bersifat jujur dengan perniagaannya. Jangan sesekali menjual barangan yang telah rosak, menipu sukatan atau timbangan, menjual sesuatu dengan mengambil keuntungan yang sangat besar sehingga menyukarkan pembeli dan sebagainya. Dari segi amanah pula, seseorang peniaga Muslim tidak sepatutnya berbuat seleweng demi meraih keuntungan semata-mata. Aktiviti jual beli yang diselangi dengan perbuatan pecah amanah hanya merugikan kedua-dua belah pihak. Pecah amanah ini seringkali berlaku kepada syarikat-syarikat besar yang mana ada dalam kalangan ahlinya yang membocorkan rahsia syarikat kepada pihak-pihak berkepentingan. Apa yang boleh diperkatakan, pecah amanah boleh berlaku disebabkan sifat tamak yang membuak-buak dalam diri. Berpunca daripada ini juga, boleh timbul permasalahan yang lain seperti rasuah dan sebagainya. Sayangnya, ramai peniaga Muslim pada hari ini yang bersikap tidak sabar dan gelojoh untuk meraih keuntungan dalam perniagaan sehingga ada dalam kalangan mereka yang sanggup menipu dan memperdaya para pengguna. Dalam Al-Quran dengan jelas telah menyebut dan mengangkat martabat orang-orang yang bersikap jujur iaitu melalui Surah al-Taubah ayat 119 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang jujur.”

Melalui ayat ini, dengan jelas telah menunjukkan kepada kita bahawa kejujuran itu merupakan sifat yang penting dan terpuji serta patut diamalkan bukan hanya dalam konsep perniagaan sebaliknya juga dalam hal-hal kehidupan seharian.

Hindari Riba’

Apa itu riba? Mengikut pengertian Syarak, riba ialah akad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan Syarak ketika akad atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya. Pasti masih ramai para peniaga Muslim yang belum mengetahui tentang konseptual riba dengan lebih mendalam. Tetapi, apa yang boleh diperkatakan adalah riba merupakan suatu perbuatan yang diharamkan oleh ALLAH SWT untuk diamalkan dalam perniagaan. Firman ALLAH SWT dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian adalah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal ALLAH SWT telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada ALLAH SWT. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah, 2:275)

Konsep riba pada hari ini dilihat semakin berleluasa tidak kira dalam perniagaan yang kecil mahupun yang besar dan tidak dinafikan begitu ramai dalam kalangan peniaga Muslim juga terlibat dengan amalan riba. Perlu diketahui bahawa riba terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Riba Al-Fadhl, Riba Al-Yad, dan Riba’ Al-Nasi’ah.


Riba Al-Fadhl


Riba jenis ini bermaksud riba yang dibayar lebih kepada sesuatu pihak yang menukarkan barang. Sebagai contoh, satu kilo beras mahsuri ditukarkan dengan satu kilo beras yang lain iaitu berlainan jenis dan kualiti.

Riba Al-Yad


Riba yang dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis akad jual beli. Contohnya, seseorang individu yang berakad sebanyak RM50.00 tetapi apabila diluar akad dibayar RM60.00.

Riba Al-Nasi’ah


Riba Al-Nasi’ah adalah riba yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya. Mengambil contoh pinjaman yang dilakukan hanyalah sebanyak RM100.00 tetapi yang perlu dibayar semula adalah berjumlah RM120.00.

Oleh itu, para peniaga Muslim perlulah menjauhi amalan riba dalam menjalankan perniagaan masing-masing. Riba tidak langsung menguntungkan malah hanya memudaratkan serta turut mengundang dosa dan balasan seperti yang telah disebutkan di dalam Al-Quran Al-Karim. Riba juga hanya akan menyukarkan dan menindas pihak pembeli atau pengguna kerana mereka perlu membayar lebih untuk mendapatkan sesuatu keperluan. Dalam situasi yang lain, riba boleh dikategorikan sebagai satu pemerasan dan penindasan terhadap orang-orang miskin kerana mereka akan terus terbeban untuk menjelaskan hutang sedia ada disebabkan bunga yang sentiasa bertambah apabila hutang lambat dibayar. Konklusinya, hindarilah riba!! Riba hanya akan mendorong pelakunya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam sangat menekankan agar umatnya senantiasa berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat.

Saling Redha-Meredhai

Perniagaan yang baik adalah perniagaan yang mempunyai elemen saling redha meredhai antara satu sama lain iaitu antara penjual dengan pembeli. Dalam erti kata lain, jual beli yang dijalankan secara paksa adalah tidak dibenarkan sama sekali. Setiap pembeli mempunyai hak untuk membeli dan keputusan untuk membeli atau tidak sesuatu barangan terletak kepada mereka. Maka, adalah tidak wajar sama sekali sekiranya seseorang penjual memaksa orang lain untuk membeli barangan yang dijual. Bukan itu sahaja, paksaan juga boleh menimbulkan pergaduhan dan perselisihan antara kedua-dua belah pihak. Persoalannya, mengapakah elemen saling redha-meredhai penting dalam diri setiap peniaga dan pembeli? Hal ini demikian kerana, Firman ALLAH SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (atau ambil) harta orang lain secara batil (tidak sah) melainkan melalui perniagaan (yang dilakukan secara) redha-meredhai antara kamu.” (Al-Nisa, 4:29)

Bagi mencapai sifat redha-meredhai, para peniaga dan pembeli juga seharusnya mempunyai satu sikap lain iaitu boleh bertolak ansur sesama sendiri. Umumnya, tawar-menawar sudah menjadi satu kebiasaan dalam perniagaan di antara pihak penjual dengan pihak pembeli. Oleh itu, kedua-dua belah pihak perlu mengetahui akan had atau batas dalam tawar-menawar. Sekiranya boleh, tidak menjadi masalah untuk para peniaga bertolak ansur dengan memberikan harga yang lebih rendah dan berpatutan seperti yang ditawarkan oleh pembeli. Akan tetapi, pihak pembeli juga seharusnya sedar supaya mereka tidak meminta harga yang terlalu rendah kerana boleh mendatangkan kerugian kepada pihak peniaga. Oleh itu, bermula daripada sinilah perlunya sikap bertolak ansur antara satu sama lain dan hasil daripada bertolak ansur tersebut boleh menimbulkan rasa saling redha-meredhai antara penjual dengan pembeli sekiranya proses jual beli tersebut berlaku.

Tujuan Islam menekankan konsep saling redha-meredhai antara satu sama lain adalah untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak yang akan tertindas. Perniagaan sepatutnya berjalan dalam suasana yang harmonis dan boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Perlu difahami bahawa konsep perniagaan sangat luas. Perniagaan boleh juga diklasifikasikan sebagai suatu kontrak iaitu kedua-dua belah pihak yang berkontrak mestilah mendapat keuntungan masing-masing. Sikap redha-meredhai adalah bertujuan menghindarkan rasa tidak puas hati dan tertipu yang berkemugkinan boleh berkembang menjadi suatu masalah yang lebih besar.



Jauhi Sikap Tamak!!



Tamak merupakan sikap yang perlu dijauhi oleh setiap peniaga Muslim. Sikap tamak hanya akan memakan diri sendiri. Setiap peniaga Muslim perlu berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan rezeki. Peluang yang datang dalam perniagaan seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya. Namun perlu diingat, janganlah sesekali kita mengambil hak atau peluang orang lain dalam perniagaan dengan niat untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda. Pepatah Melayu ada menyebut, ‘orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.’ Hakikatnya, pepatah ini adalah benar.

Jauhilah sikap tamak sebaliknya amalkanlah sikap bantu-membantu antara satu sama lain. Bantu-membantu antara para peniaga dengan para peniaga atau para peniaga dengan pembeli sudah pasti dapat menyuburkan lagi ekonomi semasa dan perniagaan juga akan bertambah baik. Sebagai seorang peniaga Muslim, kita perlu sentiasa berusaha dan percaya bahawa rezeki ditentukan oleh ALLAH SWT. Sekiranya kita berusaha dengan cara yang baik, InsyaALLAH kita akan memperolehi rezeki yang baik. Jika sebaliknya berlaku, kita juga boleh memperoleh rezeki tetapi fikirkanlah tentang status rezeki yang diperolehi sama ada halal atau haram.

Perlu diketahui, perniagaan merupakan suatu pekerjaan yang amat diredhai oleh ALLAH SWT sekiranya diuruskan dengan betul dan baik. Dalam perniagaan juga, untung dan rugi menjadi satu risiko yang biasa. Bagi mana-mana peniaga Muslim yang telah menjalankan perniagaan dengan sebaik-baiknya, tetapi masih mengalami kerugian, jangan sesekali berputus asa. Teruskan berusaha dan berikhtiar untuk memajukan perniagaan anda kerana usaha yang berterusan pasti akan membuahkan hasil pada masa akan datang. Elakkanlah daripada bersikap tamak dan gelojoh serta hindarkanlah konsep riba dalam perniagaan anda. Masih banyak cara dan strategi berkesan yang boleh diguna pakai bagi mengembangkan lagi perniagaan yang anda usahakan. Berniagalah dengan mengikut pandua-panduan yang telah digariskan oleh Islam kerana sudah pasti tidak akan membawa kepada kerugian sebaliknya boleh membawa kejayaan kepada anda baik di dunia mahupun di akhirat nanti. Semoga kita semua sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat daripada-Nya. InsyaALLAH.

No comments:

News Today

Loading...

YouTube

Loading...