اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
ALLAHYARHAM TUAN GURU GALAU Haji Zakaria Mohd Kari ( 1882 –
1954)
ALLAHYARHAM TUAN GURU GALAU
Haji Zakaria bin Mohd Kari ( 1882 – 1954)
Disusun oleh
Unit Buhuth Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Haji Zakaria bin Mohd Kari juga dikenali dengan panggilan
Fakih Kiak atau Tok Guru Galau. Galau adalah satu kampung tidak jauh dari pekan
Seri Menanti. Beliau dari suku Tanah Datar Seri Menanti iaitu orang lingkungan
Istana. Beliau dilahirkan pada tahun 1882 Masihi bersamaan 1299 Hijrah di
Kampung Tanah Datar, Seri Menanti, Kuala Pilah. Beliau berumahtangga dengan
Aisyah bt Toha dan dikurnikan 7 cahaya mata iaitu Hj. Abdullah (meninggal di
Mekah), Hj. Mahmad (meninggal di Mekah), Hj. Mukhtar (meninggal di Mekah), Hj.
Yahya (meninggal di Mesir), Hjh. Kalsom, Hjh. Fatimah dan Hj. Hafidz.
Pendidikan
Tok Guru Galau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu
Seri Menanti dan kemudiannya berguru dengan Allahyarham Tuan Haji Darun Haji
Ibrahim. Bagi meluaskan pengetahuan ilmu agamanya, beliau mengaji pula di
sekolah pondok di Patani selama 10 tahun. Selepas itu beliau berguru pula
dengan Tuan Guru Haji Che’ Dol atau lebih dikenali Tuan Guru Che Doi di Gajah
Mati, Kedah Darul Aman selama 10 tahun lagi. Nama penuh beliau ialah Haji
Ismail bin Mustafa al Fathani. Beliau merupakan pengasas pondok Gajah Mati,
Pendang, Kedah. Gurunya ini merupakan anak murid kepada ulama terkenal iaitu
Tok Wan Din al Fathani atau Syeikh Wan Muhamad Zainal Abidin yang berasal dari
Kampung Sena Janjar, Pattani ( lahir tahun 1233H/ 1817 dan meninggal dunia pada
18 Zulhijjah 1325 / 21 Januari 1908). Sewaktu Tok Guru Galau menunaikan haji
antara tahun 1925 hingga 1927, beliau mengambil kesempatan belajar lagi di
Mekah Al Mukarramah. Tuan Guru Galau menimba ilmu dengan ulama melayu terkenal
di sana iaitu Tuan Guru Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Pak De
‘E.
Mengajar
Apabila kembali ke kampung halamannya, Tuan Guru Galau
membuka pondok pengajian di perkarangan Masjid Galau. Di samping itu, beliau
mengajar di beberapa buah masjid dan surau sekitar Daerah Kuala Pilah. Antara
anak didik beliau yang memegang jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan ialah Tuan
Haji Ali yang merupakan bekas Kadi Daerah Kuala Pilah dan Ahli Jawatankuasa
Syariah Negeri Sembilan.
Di pondok, Tuan Guru Galau mengajar berbagai cabang ilmu
agama. Beliau terkenal dengan kepakaran dalam bidang nahu dan Bahasa Arab.
Antara kitab yang diajar oleh beliau di pondok tersebut ialah kitab
al-Mukhtasar dan Kawakib Mutammimah ( kitab Nahu ), Faridah al Faraid ( ilmu
Tauhid ) dan Matla’ al-Badrain (kitab Fiqh ). Tuan Guru Galau juga seorang yang
alim dalam bidang al-Quran sehingga beliau mampu mendengar dan memperbetulkan
bacaan 2 orang yang mengaji al-Quran di hadapannya sekali gus.
Pada setiap minggu pula, beliau mengadakan kuliah tasawwuf
yang dihadiri bukan sahaja penduduk setempat, malah yang tinggal di luar Daerah
Kuala Pilah. Tuan Guru Galau merupakan Syeikh kepada Tarikat Syatariah dan
tidak dapat dipastikan sama ada beliau mengambil Ijazahtarikat tersebut di
Pattani atau Mekah. Pada setiap hari Khamis malam Jumaat pula,
pengikut-pengikut Tarikat Syatariah akan berkumpul dan mengadakan majlis zikir
di pondok Masjid Galau.
Kealiman, ketinggian ilmu agama dan keperibadian akhlak
beliau memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Mengikut sumber, beliau pernah
mendapat tawaran menjadi Kadi Daerah Kuala Pilah tetapi beliau menolaknya
kerana beliau lebih selesa mencurahkan ilmunya secara bebas.
Keistimewaan
Tuan Guru Galau juga terkenal dengan keistimewaan dan
karamat beliau. Menurut Ustaz Yusof bin Musa berusia 78 tahun yang merupakan
salah seorang anak murid beliau, ketika Tuan Guru Galau masih hidup, kolam dan
perigi di Masjid Galau tidak pernah kering walaupun pada ketika itu kemarau
selama 5 bulan.
Pada ketika zaman pemerintahan Jepun, pondok pengajian Tuan
Guru Galau tidak pernah dikacau oleh tentera Jepun. Selain itu, beras simpanan
beliau juga tidak pernah dirampas dan sentiasa cukup. Sesiapa yang bertembung
dengan Tuan Guru Galau di jalanan pasti akan turun dari basikalnya sebagai
tanda hormat kepada beliau tidak kira sama ada orang itu berbangsa Melayu, Cina
atau India. Diceritakan, Tuan Guru Galau pernah meredah hujan untuk ke tempat
beliau mengajar dan apabila tiba di sana didapati pakaian beliau tidak basah.
Meninggal Dunia
Tok Guru Galau meninggal dunia dalam tahun 1954 ketika
berusia 72 tahun dan disemadikan di Tanah perkuburan Tanjung Sepam, Seri
Menanti. Ketika meninggal dunia, Mufti pada ketika itu Syeikh Haji Ahmad Mohd
Said tidak membenarkan jenazah Tuan Guru Galau dimakamkan di perkarangan Masjid
Galau, sebaliknya meminta jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Islam
yang berhampiran supaya orang yang dikebumikan di sekeliling tanah perkuburan
beliau turut mendapat keberkatan. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas
rohnya…… Al-Fatihah.
Sumber maklumat dan kajian:
1) Temuramah bersama Ustaz Hafidz bin Haji Zakaria anak
lelaki Tuan Guru Galau di kediamannya di Kg. Umor, Sri Menanti pada 11 Januari
2007.
2) Temuramah bersama Ustaz Yusof bin Musa bekas anak murid
Tuan Guru Galau di kediamannya Kg. Bukit Senaling, Ulu Pilah pada 14 Januari
2007.
3) Website : http://sungaiujung.blogspot.com/
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
NAMA
ALAMAT
NO TELEFON
Ustaz Haji Hafidz b Haji Zakaria
( anak lelaki tuan guru Galau )
No.8, Kg. Umor, 71550 Seri Menanti, Kuala Pilah
064979287
Ustaz Haji Yusof Musa
( anak murid tuan guru Galau )
No 20 A, Kg Bukit, Senaling, Ulu Pilah 70200 Kuala Pilah
06-4979613
No comments:
Post a Comment