04 December 2019

Perbendaharaan Yang Tersembunyi

Perbendaharaan Yang Tersembunyi 35. Perbendaharaan Yang Tersembunyi Juru-bicara dalam diri si hamba menyampaikan: ” Allah s.w.t bertitah, ‘Jangan sesiapa mengganggu Keesaan-Ku. Tidak ada sesiapa dapat merobohkan Keperkasaan-Ku. Sesiapa yang mencerobohi Benteng Keperkasaan-Ku akan Aku bakar dengan api Keagungan-Ku dan dia akan binasa! Selamatkanlah diri kamu. Pergilah kamu dan masuklah kamu ke dalam Perbendaharaan-Ku Yang Tersembunyi untuk mengenal Daku sekadar Daku izinkan engkau mengenali Daku'”. Perbendaharaan Yang Tersembunyi itu bernama: Laa Ilaa Ha Illallahh Pintu gerbangnya bernama: Muhammadur Rasulullah Kuncinya bernama: Bismillah Hirrah Maa nirrahim Cahaya yang menerangi di dalamnya bernama: Al Fatihah Kenderaan di dalamnya bernama: Laa Hau lawala kuwataillah billah Dengan izin Allah s.w.t si hamba masuk ke dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi. HAKIKAT ASMA’ (NAMA-NAMA ALLAH S.W.T) Ke mana sahaja kamu hadapkan muka kamu di situ Wajah Allah. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah ) Di dalam Perbendaharaan-Nya Yang Tersembunyi, ke mana sahaja di halakan pandangan hanya Wajah-Nya yang kelihatan. Wajah-Nya disaksikan sebagai: Wajah-Nya menyata melalui sifat-sifat dan nama-nama-Nya. Wajah-Nya disaksikan melalui Jamal-Nya dan Jalal-Nya. Wajah Jamal-Nya menyata melalui nama-nama: ar-Rauf, al-Wadud, al-Halim, al-Karim, al’Afuwwu, al-Ghaffar, al-Mannan, al-Hannan, as-Sobbur, asy-Syakur dan ar-Razak. Wajah Jalal-Nya menyata melalui Nama-nama: al-Jabbar, al-Muntaqim, al-‘Aziz, al-Muta’al, al-Mutakabbir, al-Muhaimin, al-Jalil, al-‘Adzim, al-Kabir, al-Mu’iz, al-Qabidh dan al-Khafidh. Nama-nama Tuhan ada yang menunjukkan kepada sifat dan ada yang menunjukkan kepada Zat. Aspek Zat yang boleh disifatkan dipanggil tasybih dan yang tidak boleh disifatkan dipanggil tanzih. Kesempurnaan jiwa hamba adalah berada di antara kedua-dua aspek tersebut: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya dan Dia Mendengar dan Melihat (Ayat 11 : Surah asy-Syura ) Walaupun Dia tidak serupa dengan sesuatu tetapi Dia adalah Mendengar dan Melihat. Allah s.w.t menyatukan kedua-dua aspek tersebut pada satu ayat. Bila kedua-dua aspek tersebut menyatu pada jiwa si hamba dia akan merasakan ketenteraman dan kedamaian. Ada nama-nama-Nya yang kelihatan sebagai berlawanan di antara satu dengan yang lain. Al-Hayyun menghidupkan dan al-Mumit mematikan. Al-Hadi memberi petunjuk dan al-Muzil menyesatkan. Kelihatan seolah-olah ada perlumbaan di antara nama-nama yang berlawanan sifat. Muncullah as-Salam yang mensejahterakan sehingga tidak berlaku perlumbaan atau perlawanan. Sekaliannya berada dalam kesejahteraan, mengambil bidang masing-masing tanpa mengganggu bidang yang lain. Percantuman dua perkara yang berbeza melahirkan pengenalan yang sebenarnya. Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir, Dia Yang Zahir dan Dia juga Yang Batin. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid ) As-Salam yang mensejahterakan membawa setiap nama kepada ketetapan bidang tugas masing-masing. Bila sekaliannya berada dalam ketetapan as-Samad melengkungi sekaliannya. As-Samad menjadi sempadan bagi satu nama dan juga sempadan bagi sekalian nama-nama. Kesemua nama-nama dikemudikan oleh al-Wahid, memperkenalkan Wahdaniatik, keesaan Tuhan. Al-Wahid memimpin sekalian nama-nama bagi memperkenalkan al-Ahad. Penyaksian terhadap Wahdaniatik Tuhan membawa pengakuan terhadap kedudukan-Nya sebagai al-Malik, Raja yang memerintah dan juga al-Malik-ul-Mulk, Raja kepada segala kerajaan, dan juga Rabbul Arbab, Tuhan yang menguasai sekalian bakat-bakat ketuhanan. Kesemuanya menceritakan yang satu iaitu ALLAH! ALLAH adalah nama yang paling agung yang mengandungi dan menyimpulkan sekalian nama-nama yang lain. ALLAHmenunjukkan terkumpulnya sekalian nama-nama dan ALLAH adalah juga nama bagi Zat. Sesungguhnya ALLAH menguasai segala sesuatu ( Ayat 20 : Surah al-Baqarah )ALLAH yang memegang semua kekuasaan menetapkan: Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia yang menguasai ubun-ubunnya. Dan Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud ) Allah s.w.t menetapkan nama-nama-Nya menjadi hakikat-hakikat yang menguasai sekalian kejadian-Nya. Setiap yang maujud ubun-ubunnya dipegang oleh nama Tuhan dan nama Tuhan yang menjadi hakikat itu mengheret makhluk yang di bawah bidang kekuasaan-Nya pada jalan yang Allah s.w.t telah tentukan. Tidak ada satu makhluk pun boleh bebas daripada nama Tuhan yang menjadi hakikat yang menguasainya. Nama al-Hadi membimbing seseorang kepada jalan yang benar. Semua guru-guru merupakan ‘cermin’ tempat zahirnya kesan kekuasaan al-Hadi. Sesiapa sahaja yang mendapat bimbingan kepada jalan yang lurus dan sesiapa sahaja yang membimbingnya, pada hakikatnya al-Hadi yang memberi bimbingan. Al-Muzil mempunyai kekuatan untuk menyesatkan dan kekuatan ini terzahir pada makhluk-Nya yang bernama iblis. Sekalipun kelihatan iblis yang menyesatkan manusia tetapi iblis bukan berdiri dengan sendiri. Iblis tidak mempunyai sebarang kekuasaan. Allah s.w.t mengizinkan iblis menumpang kekuasaan al-Muzil. Oleh kerana iblis menumpang kekuasaan nama Tuhan maka tidak ada kekuasaan makhluk dapat mengalahkannya. Hanya satu sahaja kekuasaan yang mampu mengatasinya, iaitulah kekuasaan ALLAH yang menguasai segala kekuasaan. Lantaran itu Dia mengajarkan: Daku berlindung kepada ALLAH dari syaitan yang direjamSegala kekuasaan tunduk kepada kekuasaan ALLAH. Allah yang memiliki segala kekuasaan itu menetapkan: Barangsiapa dibimbing oleh Allah pada jalan yang benar, engkau tidak dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, engkau tidak dapat membimbingnya kepada jalan yang benar. ( Maksud Hadis ) Manusia hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Allah s.w.t. Penyerahan kepada Allah s.w.t merupakan kekuatan maksima yang tidak terkalahkan oleh kekuatan yang lain. Oleh kerana nama-nama Tuhan menjadi hakikat yang menguasai segala sesuatu, maka tidak ada makhluk yang dapat mengubah perjalanan hakikat yang menguasainya. Unta tidak boleh meminta menjadi matahari. Bulan tidak boleh meminta menjadi bumi. Gunung tidak boleh meminta menjadi langit. Malaikat tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta menjadi Tuhan. Setiap sesuatu dikawal oleh hakikat masing-masing. Dalam aspek ini setiap kejadian Tuhan tidak mempunyai pilihan. Mereka adalah hamba yang terikat. Sebagai satu kejadian yang dikawal oleh satu hakikat ia bebas bergerak di dalam sempadan hakikatnya. Oleh kerana nama Tuhan menjadi hakikat maka makhluk memperolehi bakat-bakat yang berkuasa melahirkan kesan. Hakikat yang menguasai manusia adalah hakikat yang paling lengkap dan sempurna. Tidak ada yang dapat mengatasi apa yang ada dengan manusia. Keistimewaan hakikat yang menguasai manusia menyebabkan di dalam sempadan kemanusiaan, manusia bebas melahirkan fikiran, perbuatan, kehendak dan pilihan. Dalam aspek ini manusia adalah hamba yang merdeka. Hakikat yang menguasai makhluk itulah yang menyebabkan makhluk mendapat nikmat penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Hakikat menjadi pemangkin atau hijab yang mempertahankan apa yang Tuhan ciptakan. Hubungan wujud makhluk dengan Wujud hakikat adalah perkaitan mumkinul wujud dengan Wajibul Wujud. Wujud hakikat adalah wujud ketuhanan, wujud pemerintah atau pentadbiran ketuhanan. Wujud makhluk adalah wujud yang diperintah, wujud yang menumpang, yang bergantung, berhajat dan berharap kepada wujud yang memerintah. Hakikat bukanlah makhluk. Ia adalah suasana pentadbiran Tuhan. Qadak dan Qadar yang ditentukan Tuhan adalah di dalam sempadan hakikat yang daripada suasana tersebut berlakulah takdir. Takdir tidak menyimpang daripada hakikat yang menguasainya. Setiap makhluk di heret oleh hakikat yang menguasainya. Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kenabian akan menjadi nabi. Sesiapa yang berhakikatkan hakikat kewalian akan menjadi wali. Sesiapa yang berhakikatkan Hakikat Manusia akan menjadi manusia. Tiada perubahan dalam kalimat Allah itu. ( Ayat 64 : Surah Yunus ) Orang yang mengenal dirinya sebenarnya mengenali hakikat yang menguasai dirinya, iaitu suasana ketuhanan yang menguasai kewujudan dan penghidupannya. Mengetahui hakikat ketuhanan yang menguasai diri tidak menjadikan diri itu Tuhan. Tuhan tetap Tuhan tidak berubah menjadi hamba. Hakikat ketuhanan adalah pemerintah dan hamba pula adalah makhluk yang diperintah. Diri tetap berada pada taraf kehambaan walaupun mengenali hakikat ketuhanan. Diri yang menetap pada kedudukan kehambaan dengan menyerah sepenuhnya kepada pemerintah itulah sebenarnya wali Tuhan. Wali Tuhan pada peringkat ini menetap pada makam kehambaan dengan menyaksikan Rububiah pada setiap ketika dan dalam semua suasana. HAKIKAT ALAM DAN HAKIKAT INSAN Satu makhluk dikuasai oleh satu hakikat. Apabila sekalian makhluk dikumpulkan dan dilihat sebagai satu kewujudan sahaja ia dipanggil alam. Hakikat yang menguasai sekalian alam ini dipanggil Hakikat Alam. Manusia merupakan salinan kecil kepada sekalian alam. Apa sahaja yang ingin dilihat pada alam makhluk boleh dilihat pada manusia. Manusia boleh dilihat sebagai malaikat, syaitan, haiwan, bumi yang kaku atau langit yang tinggi, atau apa sahaja anasir alam. Pada manusia ada sifat kebaikan dan ada sifat kejahatan, ada unsur alam bawah yang gelap dan ada unsur alam atas yang terang. Keunikan ciptaan manusia itu menyebabkan manusia mengenal Tuhan dari berbagai-bagai aspek, melebihi pengenalan yang ada dengan makhluk yang lain. Makhluk lain bergerak dalam sempadan yang ditentukan untuknya sahaja. Malaikat yang menjaga langit pertama tidak boleh turun ke dunia dan tidak boleh naik ke langit ke dua melainkan dengan perintah Tuhan kerana sesuatu sebab. Malaikat yang menjaga matahari tidak menggangu urusan bulan. Malaikat yang bertugas memberi rezeki tidak terlibat dengan urusan mencabut nyawa. Setiap malaikat bergerak di dalam sempadannya masing-masing atau di kuasai oleh satu hakikat sahaja. Manusia dikuasai oleh hakikat-hakikat yang berkumpul sebagai satu hakikat. Manusia menguruskan penglihatan, pendengaran, pergerakan dan lain-lain. Manusia mampu melepasi alam bumi, Alam Langit dan sampai ke Arasy, seperti yang dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Manusia dalam aspek kerohaniannya boleh menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib dan menerima perkhabaran daripada Loh Mahfuz. Manusia mempunyai ilmu mengenai semua perkara. Keistimewaan manusia adalah kerana hakikat yang menguasai sekalian alam itu juga adalah hakikat yang menguasai manusia. Bila dipandang hakikat tersebut sebagai hakikat yang menguasai manusia istilah Hakikat Insan digunakan. Setiap makhluk akan hanya mempunyai ilmu menurut hakikat yang menguasainya. Perkara tersebut diketahui kerana maklumat mengenainya ada pada hakikat yang menguasainya. Apa yang tidak diketahui dan tidak mungkin diketahui adalah apa yang tidak termasuk di dalam sempadan hakikat yang menguasainya itu. Pada hakikat yang menguasai lembu tidak ada maklumat tentang 2 + 2 = 4. Mengajar lembu untuk mempercayai bahawa 2 + 2 = 4 adalah perbuatan yang sia-sia dan tidak akan berhasil walaupun dicuba sehingga ke hari kiamat. Pada hakikat yang menguasai manusia ada maklumat tentang matematik, sains dan teknologi, termasuklah teknologi maklumat yang tercanggih, astronomi, perubatan, sastera, pertukangan, penternakan, pertanian dan lain-lain. Oleh sebab itu manusia boleh diajar mengenai perkara-perkara tersebut. Fungsi belajar sebenarnya adalah ‘memperingatkan’ manusia tentang apa yang sudah ada dengannya. Manusia tidak mempelajari perkara baharu kerana semua maklumat sudah pun dibekalkan kepada kejadian manusia sejak manusia yang pertama diciptakan. Dan telah diajarkan kepada Adam sekalian nama-nama…. ( Ayat 31 : Surah al-Baqarah )Oleh yang demikian percubaan mengajar ilmu walau bagaimana rumit sekalipun ia boleh berjaya kerana dia hanya perlu ‘celik’ memandang kepada apa yang sudah tertanam pada kejadiannya yang asli. Hakikat yang menguasai manusia iaitu Hakikat Insan dikenali juga sebagai Hakikat Adam kerana hakikat ini menguasai kejadian Adam a.s dan sekalian keturunannya. Hakikat Insan tidak boleh diketahui dan tidak ada kenyataannya tanpa penciptaan Adam a.s, yang dipanggil juga Bapa Jasad. Adam a.s adalah penggerak kepada alam badan kebendaan. Pada zaman dan ruang yang tidak ada Adam a.s, tidak ada anasir yang bergerak pada tubuh badan. Iblis juga tidak ada. Pada ketika itu semua kejadian berada dalam suasana rohani yang tidak tahu berbuat drrhaka kepada Tuhan. Apabila Allah s.w.t menciptakan Adam a.s dan meneranginya dengan hakikat yang menguasai perjalanan sekalian makhluk, yang terkandung padanya semua bakat dan nilai, maka segala kejadian boleh bergerak pada jalan menyatakan bakat masing-masing. Secara automatik muncullah iblis. Sebelum Adam a.s diciptakan, Azazil yang padanya tersimpan maklumat mengenai kejahatan tidak berupaya menggunakan bakat tersebut. Sebaik sahaja Adam a.s diciptakan maklumat mengenai kejahatan yang terpendam itu sudah boleh menyata dan dengan serta merta Azazil bertukar menjadi iblis. Penciptaan Adam a.s membolehkan anasir jahat memakai tubuh badan. Malaikat yang tidak memerlukan badan kebendaan boleh wujud sebelum Adam a.s diciptakan. Pada zaman sebelum ada Adam a.s semuanya bertaraf malaikat, termasuklah Azazil, Bapa Jin. Semua mereka tidak ada pilihan melainkan beribadat kepada Tuhan. Dalam keadaan yang demikian neraka seolah-olah tidak akan mendapat rezeki. Sebaik sahaja Adam a.s diciptakan keupayaan dan bakat jahat telah mempunyai bekas untuk menyalurkan kejahatannya. Di sinilah letaknya rahsia syariat. Tanpa Adam a.s tidak ada kejahatan, maka syariat tidak diperlukan. Bila syariat tidak zahir hakikat tidak menyata. Semuanya tersembunyi dan tidak ada yang mengenal Tuhan. Bila syariat zahir baharulah ada makrifat tentang Tuhan. Syariat mengandungi kesempurnaan makrifat kerana syariat memperkenalkan Yang Esa melalui dua aspek yang bertentangan. Syariat memperkenalkan yang kanan melalui kewujudan yang kiri, begitu juga sebaliknya. Jika tidak ada kiri tidak akan dikenali kanan. Syariat memperkenalkan cahaya dengan adanya gelap. Jika tidak ada gelap tidak akan diketahui apa itu cahaya. Syariat memperkenalkan taat dengan adanya ingkar. Jika tidak ada ingkar tidak akan diketahui apa itu taat. Syariat memperkenalkan ibadat dengan adanya maksiat. Jika tidak ada maksiat tidak akan diketahui apa itu ibadat. Syariat memperkenalkan pahala dengan adanya dosa. Jika tidak ada dosa tidak akan diketahui apa itu pahala. Satu perkara memperkenalkan lawannya yang satu lagi dan kedua-duanya memperkenalkan penghubung keduanya. Penghubung tersebut memperkenalkan wujud yang menguasai. Penciptaan Adam a.s yang dikuasai oleh hakikat yang sempurna menyebabkan alam menjadi sempurna. Adam a.s adalah pasak alam yang menstabilkan alam. Tanpa Adam a.s neraka akan bergegar kerana tidak ada sesiapa yang akan masuk ke dalamnya. Bila Adam a.s diciptakan neraka menjadi tenteram kerana ia tahu haknya akan ditunaikan. Tanpa Adam a.s, hakikat kenabian dan hakikat kewalian tidak akan ada kenyataan, tidak akan muncul nabi-nabi dan wali-wali ke dunia, maka tidak ada sesiapa mengenal Tuhan. Mengalami suasana Hakikat Insan di dalam Perbendaharaan-Nya yang tersembunyi memakrifatkan hamba dengan Pentadbiran Tuhan ke atas makhluk-Nya, termasuklah manusia. HAKIKAT MUHAMMADIAH (HAKIKAT KEPADA SEMUA HAKIKAT-HAKIKAT) Hakikat Insan yang menguasai keturunan Adam a.s membekalkan segala bentuk maklumat yang diperlukan oleh bangsa manusia untuk menjadi khalifah di bumi. Walaupun begitu Allah s.w.t memperingatkan: Kami firmankan: “Turunlah kamu sekalian dari (syurga) ini, kemudian jika datang pada kamu satu petunjuk daripada-Ku, maka barangsiapa yang menuruti petunjuk-Ku itu, tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka akan berdukacita”. ( Ayat 38 : Surah al-Baqarah ) Walaupun Adam a.s dikuasai oleh hakikat yang membekalkan maklumat yang lengkap namun beliau a.s tetap tertakluk kepada petunjuk yang Allah s.w.t turunkan dari masa ke masa. Ini bermakna ada hakikat yang lebih sempurna dan lebih lengkap serta menguasai Hakikat Insan itu. Pada Hakikat Insan terkumpul segala maklumat mengenai kejadian manusia dan sekalian makhluk, tetapi tidak dibekalkan maklumat mengenai yang bukan manusia dan bukan makhluk. Hakikat yang menyimpan segala maklumat mengenai apa yang ada dengan Hakikat Insan ditambah lagi dengan maklumat mengenai syariat Tuhan, makrifat tentang Tuhan, suasana Ilmu Tuhan dan apa sahaja selain Allah Yang Hakiki, dinamakan hakikat kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Ia lebih dikenali sebagai Hakikat Muhammadiah, kadang-kadang dipanggil sebagai Hakikat Muhammad sahaja. Hakikat Muhammadiah ini merupakan Hakikat yang menguasai Nabi Muhammad s.a.w, sebab itu dinamakan Hakikat Muhammad. Inilah yang membuatkan Nabi Muhammad s.a.w lebih istimewa daripada semua manusia dan sekalian makhluk. Hakikat Muhammadiah atau urusan Tuhan yang menguasai kejadian Nabi Muhammad s.a.w itu adalah juga urusan Tuhan yang menguasai sekalian urusan-urusan Tuhan. Manusia dari segi fitrahnya dihubungkan dengan Hakikat Insan tetapi dari segi Islam, iman, tauhid dan makrifat dihubungkan dengan Hakikat Muhammadiah. Hakikat Muhammadiah menyata melalui Rasul-rasul dan Nabi-nabi. Jika semua keturunan manusia dikuasai oleh Hakikat Insan atau Hakikat Adam, maka semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul dikuasai oleh hakikat yang menyeluruh atau Hakikat Muhammadiah. Adam a.s diperakui sebagai wakil kepada sekalian manusia. Muhammad s.a.w pula menjadi wakil kepada sekalian Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Bila disebut Nabi Muhammad s.a.w ia membawa maksud kesatuan sekalian Nabi-nabi dan Rasul-rasul kerana pada Nabi Muhammad s.a.w terkumpul semua kebaikan para nabi dan para rasul, ilmu sekalian nabi dan rasul, syariat yang dibawa oleh sekalian nabi dan rasul dan semua mengenai Islam, iman, tauhid dan makrifat para Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul Allah yang paling agung, paling sempurna dan paling mulia. Oleh yang demikian sekalian makhluk menyaksikan: Maklumat yang tersimpan pada hakikat yang menyeluruh menyata dengan sempurna pada Nabi Muhammad s.a.w. Apabila disebut Nabi Muhammad s.a.w ia meliputi risalat sekalian Rasul-rasul. Jika disebut Nabi Ibrahim a.s atau Nabi Musa a.s ia membawa maksud satu bentuk risalat daripada risalat yang menyeluruh yang berkumpul pada kerasulan Muhammad s.a.w. Semua nabi-nabi menyaksikan “La ilaha illah Llah Muhammad ur-Rasullullah”. Semua nabi-nabi memberi peringatan tentang kedatangan Muhammad Rasul Allah, Rasul yang paling mulia dan paling sempurna, yang membawa intisari yang lengkap dan menyeluruh bagi maklumat yang terkumpul pada sumber kerasulan iaitu Hakikat Muhammadiah. Walaupun Hakikat Muhammadiah merupakan hakikat yang menyeluruh, tetapi ia bukanlah Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w bukanlah Allah s.w.t dan bukan juga penjelmaan Allah s.w.t. Hakikat Muhammadiah adalah urusan Allah s.w.t ‘yang menyampaikan’ melalui rasul-rasul-Nya apa yang Dia berkehendak menyampaikan. Bila urusan Allah s.w.t ini berhubung dengan Jibrail a.s dan rasul-rasul ia dipanggil wahyu. Wahyu yang terpendam pada sisi Allah s.w.t dipanggil Hakikat Muhammadiah. Bila ia dipandang sebagai penyimpan segala maklumat tentang urusan Tuhan ia dipanggil Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Hakikat Muhammadiah atau urusan Tuhan yang menyeluruh atau Perbendaharaan Yang Tersembunyi itu dikurniakan secara lengkap dan sempurna kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh yang demikian wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah wahyu yang paling lengkap. Risalat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah risalat yang paling lengkap. Kerasulan yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah kerasulan yang paling lengkap dan paling tinggi. Istilah Hakikat Muhammadiah kadang-kadang menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah orang. Perlu difahamkan bahawa Hakikat Muhammadiah pada suasana urusan Tuhan itu tidak turun atau menjelma menjadi Nabi Muhammad s.a.w, apa lagi menjadi orang lain. Urusan Tuhan tetap berada pada tahap urusan Tuhan. Hakikat tetap berada pada tahap hakikat. Apa yang diperkatakan adalah suasana makrifat, penyaksian dalam ilmu dan pengalaman rasa (zauk). Hal atau keadaan hakikat yang sebenarnya hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu. Manusia hanya bercerita menurut kadar makrifat, ilmu dan pengalaman yang ada dengan mereka, sekadar yang Allah s.w.t kurniakan kepada mereka. Pengalaman kerohanian pada peringkat Hakikat Muhammadiah lebih membuat si hamba mengenali kemuliaan dan ketinggian darjat Nabi Muhammad s.a.w, walaupun baginda s.a.w hanyalah seorang manusia keturunan Adam a.s, seperti manusia yang lain. Mengalami suasana Hakikat Muhammadiah melahirkan keasyikan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Sehingga kepada peringkat ini si hamba masih lagi tidak ada perhatian dan kesedaran terhadap dirinya sendiri. Perhatiannya dan kesedarannya hanyalah tertuju kepada apa yang dialaminya dalam suasana Perbendaharaan Yang Tersembunyi. Bila dikuasai oleh keasyikan terhadap Rasulullah s.a.w, apa sahaja yang berkenaan dengan baginda s.a.w sangat memberi kesan pada jiwanya. Dia merasakan kehampiran yang amat sangat dengan Rasulullah s.a.w, seolah-olah tidak terpisah. Ucapan selawat dan salam memberi kelazatan kepada jiwanya. Dia menikmati puji-pujian terhadap Rasulullah s.a.w seakan-akan ia adalah untuknya juga. Dalam suasana yang demikian hatinya dikuasai oleh dua hal sahaja iaitu Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Dia tidak menyaksikan yang lain. Apa yang hatinya menyaksikan adalah kecintaan Allah s.w.t kepada rasul-Nya dan kecintaan serta ketaatan Rasulullah s.a.w kepada Tuhannya. Related posts

No comments: