17 December 2019

Cara-cara mengkhusyukkan solat

Cara-cara mengkhusyukkan solat

Cara-cara mengkhusyukkan solat ini dipetik daripada buku ‘Hidup Bertaqwa’ yang ditulis oleh Al-Ustaz Hj. Ismail Kamus. Marilah kita sama-sama renungkan dan amalkan semoga solat kita diterima olehNya, Insyaallah. Mudah-mudahan solat kita tidak menjadi kain buruk yang dilemparkan ke muka kita akibat tidak khusyuk.

1. Sentiasa melaksanakan solat secara berjemaah.
2. Menjaga makan minum terjamin halalnya.
3. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
4. Jangan bersolat dengan menangguh untuk membuang air besar atau air kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
5. Mengambil wudhu’ dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota yang wajib serta mengingati niat atau doa apakala air melalui di tiap-tiap anggota.
6. Memakai pakaian yang bersih dan suci.
7. Tempat sujud dipastikan tiada gambar yang mengganggu fikiran.
8. Mengingati mati dan kemungkinan itu merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup.
9. Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hambaNya.
10. Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang melihat segala gerak geri kita.
11. Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Quran dan segala zikir.
12. Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, salawat ke atas Nabi S.A.W., Istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13. Memandang ke tempat sujud dan tidak terlalu banyak menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam solat.
14. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
15. Memanjangkan sedikit tempoh semasa ruku’ dan sujud.
16. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan kita bersolat.
17. Jangan memandang ke kiri dan ke kanan.

Sambung....


Related posts




7 Langkah (Bukan Lagi Rahsia) Khusyuk Di Dalam Solat



khusyuk
Khusyuk dalam solat

Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat?
Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan masih kacau semasa mendirikan solat?
Bagaimana pula soal penghayatannya?
Adakah kita dapat merasai apa yang telah kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu adakah kita lakukan dengan sedar?
Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?
“Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun 23: 1-2]

Apakah itu khusyuk?

khusyukSolat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat.
Semasa solat, seseorang itu berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya.
Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk hati itu akur, taat dan patuh kepada Allah.
Diriwayatkan apabila para sahabat Rasulullah SAW solat ditengah padang pasir, burung-burung akan hinggap dibahu, malah ada diatas kepala dan badan mereka, kerana menyangka mereka ialah pohon kayu. Begitulah, diam dan pegunnya jasad mereka ketika solat.
Bagaimana pula dengan kita insan biasa untuk khusyuk di dalam solat?
Saya pasti ramai diantara kita sangat teringin dan tercari-cari formula untuk menjadi salah seorang hamba Allah yang khusyuk di dalam solat.
InsyaaAllah, dalam artikel ini akan berkongsi formula yang dengan izinNya, akan membantu kita untuk khusyuk di dalam solat.
.

Tujuh Langkah Menuju Khusyuk Dalam Solat

1. Mencari Pengertian (Faham)
Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat.
Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu per satu.
Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Namun memahami makna sahaja tidak memadai, kita perlu melangkah ke tahap seterusnya.
.
2. Memusatkan Fikiran (Fokus)
Tahap kedua ialah pemusatan fikiran. Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.
Mungkin kita telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama “orang mengigau” dalam tidur.
Sekiranya seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat (mengingati Allah), keadaan ini samalah seperti orang yang sedang memandu kereta.
Fikirannya tetap fokus kepada destinasi yang hendak dituju walaupun sekali – sekala ternampak juga objek-objek dan pemandangan di tepi-tepi jalan.
Semua itu tidak menggangu fokusnya.
Lain pula halnya jika dia “terlalai” dengan pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia tidak sedar bahawa sudah terlajak jauh daripada destinasinya.
.
3. Membesarkan Allah (Rasa ‘Haibah’)
Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu.
Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf dan ayat serta sebutan, tetapi pada makna dan tafsirannya. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘pengertian’.
khusyuk 2Hanya orang yang kenal raja akan bercakap-cakap dengan penuh penghormatan, rasa takut, malu dan rendah diri.
Sebaliknya, orang yang tidak kenal raja, akan bercakap-cakap dengan baginda secara biasa-biasa sahaja.
Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah “Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala makhluk.
Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat.
Oleh itu pada peringkat permulaan, cubalah untuk merasakan kita sedang berhadapan seorang raja yang sangat berkuasa dan kita perlu fokus dihadapanNya.

4. Kagum dan Takut akan Keagungan Allah (Rasa Khauf)
Hasil daripada merasai kebesaran Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara-perkara lain.
Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatan-Nya. Takut akan harimau, kita lari menjauhinya, tetapi takut akan Allah kita datang menghampirinya.
Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.
Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.
.
5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja’)
Apa yang dimaksudkan dengan rasa mengharap?
khusyukRasa mengharap ialah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah.
Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah.
Padahal dalam reality, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang berdosa.
Oleh sebab itu, ulama berpesan dalam keadaan biasa seseorang hendaklah menyeimbangkan rasa  takut dan harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan stabil dan selamat.
Jangan terlalu takut, nanti timbul sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu harap, nanti terjadi sikap sambil lewa serta “berangan-angan” akan keampunan Allah.
Rasa harap dalam solat ini adalah menerusi penghayatan ketika bacaan al-Fatihah (mengharapkan jalan yang lurus), bacaan qunut (mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan bacaan ketika duduk diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas kasihan, ditinggikan darjat, dan lain-lain)
Manakala melalui perbuatan duduk dalam tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk – semuanya melambangkan rasa pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu.
.
6. Rasa Malu dan Hina Diri (Rasa Haya’) dalam solat
Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah.
Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu.
Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir dan banyak “berhutang” kepada Allah.
Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud).
Manakala dubur yang sentiasa disorokkan dibawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!

7. Memakai Pakaian Yang Paling Selesa Dan Paling Cantik Ketika Solat
khusyukUntuk kaedah yang terakhir ini, tidak berkaitan dengan enam kaedah diatas. Nampak seperti remeh, namun ia juga adalah salah satu langkah yang boleh dipraktikkan untuk mencapai khusyuk di dalam solat.
Sebolehnya pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat.
Pilih pakaian  yang diperbuat daripada material yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat.
Dan juga pilihlah yang paling cantik, sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat sukakan kecantikkan.
Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Buat para Muslimah, boleh mencuba koleksi telekung Siti Khadijah yang sangat selesa digunakan untuk mengerjakan solat.  Ianya berbaloi untuk dicuba
.

Penutup: Solat yang Khusyuk Akan Mendidik Hati Membina Rasa Bertuhan

Sebagai ingatan, ada bezanya antara solat yang khusyuk dan solat yang sah. Solat yang khusyuk sudah semestinya sah. Tetapi solat yang sah belum tentu khusyuk.
Solat yang khusyuk ialah solat yang berjaya menyentuh dan mendidik hati, akal dan nafsu manusia. Ia juga akan membina rasa bertuhan.
Rasa bertuhan akan mendatangkan rasa gagah, berani dan optimis dalam hidup.
bahagia
Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda, segala-galanya dapat diatasi dengan baik kerana adanya “talian hayat” denga Yang Maha Berkuasa.
Diri yang lemah akan menjadi gagah apabila hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir oleh Allah. Rasa bertuhan juga menimbulkan harapan dan impian yang sentiasa hidup dan menyala-nyala.
Inilah booster utama dalam usaha meraih kejayaan dalam kehidupan =)
Artikel ini dirujuk dari buku Pesan Hati Untuk Hati, Ust Pahrol Mohamad Juoi. Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca blog Aku Islam.
...

Khusyuk Dalam Solat Itu Rezeki, 13 Cara Ini Buat Otak Fokus Dan Tenang Ketika Menghadap Allah



khusyuk dalam solat
Khusyuk dalam solat itu rezeki. Bila khusyuk hati jadi tenang dan fokus. Selain memahami bacaan dalam solat, anda juga boleh praktiskan 13 cara yang Dr Rizal Abu Bakar, Brain Expert kongsikan ini. Sebelum itu ketahui dahulu bagaimana khusyuk ini boleh mempengaruhi otak.

Bagaimana Khusyuk Pengaruhi Otak

Solat itu tuntutan. Suruhan dari tuhan. Hadiah untuk insan.
Solat bukan sekadar rutin. Bukan juga aktiviti berdiri, rukuk dan duduk. Ia aktiviti libatkan otak.
Lebih menarik ada beza antara solat khusyuk dan tidak. Keduanya terpamer pada otak manusia.
Apabila seorang insan bersolat tanpa khusyuk, otak bahagian prefrontal cortex (PFC) masih terus aktif. Semua aktiviti dunia berlari di minda seperti tayangan movie.
Tiada tenang. Tiada damai. Tiada perkataan baginda “Arihna Ya Bilal” (rehatkan kami Wahai Bilal) bertakhta di sanubari.
Manusia kekal kalut. Kekal bergelut. Gambar imbasan otak sebelah kiri cerita segalanya. Warna kuning tanda otak masih aktif.
Tiada khusyuk.
khusyuk dalam solat
Apabila hadir solat dengan hati. Merunduk menatap bumi, bahagian PFC senyap sunyi. Bukti tuhan diingati dan dikasihi.
Menarik lagi, bahagian lain pula menjadi aktif. Basal Ganglia, pusat reward atau habuan menjadi aktif. Tanda lega dan tenang bersarang di hati.
Anterior Cingulate Gyrus juga tidak terkecuali. Kesedaran emosi dan sosial berpusat di sini. Kurangkan rasa marah dan anxiety.
Rasa ragu hilang. Rasa sangsi tiada lagi beraksi.
Kajian ini dimuat dalam Journal of Physiology tahun 2015. Kajian ke atas orang yang solat. Solat sebagai rutin berbanding dengan memaknai makna ketuhanan.
Kajian ini berikan makna beza. Antara khusyuk dan solat biasa. Solat dengan khusyuk beri kesan luarbiasa pada otak.
Wujud tenang, damai, kuatkan rasa bertuhan.
Saya tertanya-tanya bagaimana dengan solat saya? Solat tuan/puan pula bagaimana?

Solat Dengan Khusyuk

Apabila kita solat dengan khusyuk, aktiviti OTAK bernama Parietal Lobe menjadi kurang aktif. Fokus hanya pada yang satu. Bukan lagi terkenang kunci yang hilang atau apa yang perlu dibuat selepas ini.
Apabila OTAK masih sibuk fikir hal dunia, tandanya Parietal Lobe masih aktif. Soalnya bagaimana mahu kurang aktiviti parietal lobe supaya solat lebih kusyuk?

13 Cara Tenteramkan Parietal Lobe

Untuk tenteramkan bahagian ini perlu PRAKTIS. Setiap hari. Sama seperti orang berlatih sukan.
Tanpa latihan tiada pencapaian.
Caranya MUDAH. Perlu PRAKTIS dahulu.
1. Cari tempat yang tiada gangguan. Boleh jadi bilik tidur atau mana-mana tempat yang sesuai. Jauh dari gangguan untuk 5 minit sebagai permulaan.
2. Duduk dalam keadaan selesa. Cara duduk terpulang. Asal SELESA. Pejamkan mata atau buka bergantung pada tahap SELESA.
3. Bernafas melalui hidung. Rasakan udara yang masuk. Sejuk @ panas. Hembus nafas melalui mulut. Rasakan udara yang keluar.
4. Teruskan bernafas. Fokuskan pada bahagian dada yang turun naik apabila bernafas. Teruskan bernafas. Rasakan pergerakan itu.
5. Teruskan bernafas. Alihkan fokus pada pergerakan di perut. Turun naik perut. Rasakan.
6. Mungkin fikiran akan melayang. Biarkan. Kembalikan fokus pada rasa udara keluar masuk, gerakan di dada dan diperut.
7. Selepas dua minit, boleh mulakan zikir. Ambil perkataan dua suku kata. Contohnya Allah. Ini akan aktifkan Frontal Lobe.
8. PRAKTIS 5 minit dahulu. Buat untuk 12 hari. Tujuan utama untuk belajar tenteramkan PARIETAL LOBE.
9. Apabila sudah dapat rentak ini, setiap kali sebelum solat, lakukan aktiviti ini. Bernafas dan berzikir.
10. Perlu rancang waktu mahu solat. Beri lebih masa. Perlu ruang bertenang.
11. Selepas zikir dan sebelum mulakan solat bernafas dengan tenang. Berdiri dan bernafas dengan relaks.
12. Semasa solat nafas perlu dijaga. Ritma nafas perlu selari dengan bacaan. Contohnya, tarik nafas dan baca ayat. Berhenti dan tarik nafas untuk ayat berikutnya. Kaedah ini akan tenteramkan parietal lobe.
13. Fokus pada sebutan bacaan. Apabila fikiran melayang, tarik nafas, lepas. Sambung semula apabila dapat fokus kembali.
Perlu PRAKTIS. Tenang tidak bertandang tanpa diundang.
Khusyuk itu rezeki. Salah satu tanda betapa dekatnya kita dengan kiamat ialah Allah tarik nikmat khusyuk ini. Dan kiamat kecil ialah kematian kita.
Apabila tiada juga khusyuk mungkin itu tanda kiamat kecil makin menghampiri kita.
Saya doakan ada manfaat dari kaedah ini apabila kita beramal. Saya doakan khusyuk itu bertandang apabila aktiviti di parietal lobe berkurang.
Sumber/Foto : DrRizal Abu Bakar –

No comments: