My Redz:
Nama-Nama lain Surah Al-Fatihah
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِاَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Semua kita pasti pernah mendengar ‘Surah Al-Fatihah’ dan sesetengah orang memanggilnya dengan ‘Surah Alhamdulillah’…. Sebenarnya terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada Surah Al-Fatihah ini.
Menurut kitab “Khazinatul Asrar” karangan Al-Ustaz Assayyid Muhammad Haqqin Nazili, Surah Al-Fatihah ini mempunyai 30 nama. Berdasarkan kepada beberapa dalil al-Quran dan sunnah, Surah al-Fatihah juga turut dikenali dengan beberapa tambahan nama yang mungkin lebih daripada jumlah yang dinyatakn itu.
Surah Al-Fatihah adalah merupakan surah yang paling agung dari kebanyakan surah-surah yang ada di dalam Al-Quran. Ia adalah berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud Al-Fatihah merupakan ‘Surah Yang Paling Agung’ di dalam Al-Quran.
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Tafsir al-Quran, Bab wa Summiyat Umm al-Kitab dengan lafaz:
عَنْ أَبِي سَعِيدِ بْنِ الْمُعَلَّى قَالَ لِي لَأُعَلِّمَنَّكَ سُورَةً هِيَ أَعْظَمُ السُّوَرِ فِي الْقُرْآنِ قَبْلَ أَنْ تَخْرُجَ مِنْ الْمَسْجِدِ ثُمَّ أَخَذَ بِيَدِي فَلَمَّا أَرَادَ أَنْ يَخْرُجَ قُلْتُ لَهُ أَلَمْ تَقُلْ لَأُعَلِّمَنَّكَ سُورَةً
هِيَ أَعْظَمُ سُورَةٍ فِي الْقُرْآنِ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Tidak ada tolok banding untuk menentukan kebesaran surah Al-Fatihah ini. Oleh itu amatlah tepat bila diberi nama dengan ‘Surah Agung’.
Berikut adalah di antara nama-nama tersebut:
.
1. Umm al-Quran
Ummul Quran adalah ‘Induk Al-Quran’. Banyak berpendapat yang mempunyai erti Ummul Quran ini. Sesetengahnya mengatakan adalah kerana Al-Fatihah ini isinya dianggap sebagai keringkasan isi seluruh Al-Quran.
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Salah, Bab Wujub al-Qir’ah al-Fatihah fi Kulli Rakaah.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى صَلَاةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَهِيَ خِدَاجٌ ثَلَاثًا غَيْرُ تَمَامٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat namun tidak membaca Umm al-Quran, maka ia kurang, kurang, kurang tidak sempurna.”
‘Umm al-Quran’ di dalam hadis ini adalah merujuk kepada al-Fatihah yang merupakan bacaan wajib di dalam solat.
.
2. Al-Quranul Aziim
‘Bacaan yang teragung’. Dinamakan bacaan agung kerana isi AL-Fatihah ini semuanya mengenai masalah yang amat besar atau agung. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tafsir, Bab Qawluhu Walaqad Ataina……
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمُّ الْقُرْآنِ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: Umm al-Kitab (Surah yang paling utama di dalam al-Quran) ialah Sab’u al-Mathani dan al-Quran al-‘Azim.
.
3. Fatihah al-Kitab atau Fatihatul Kitab
Ia adalah ‘Pembuka KItab’. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab Wujub al-Qir’ah li al-Imam wa al-Ma’mum.
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: Tidak sah solat yang tidak dibacakan di dalamnya dengan Fatihah al-Kitab.
.
4. As Sab‘u al-Mathani
Assab’ul Mathani (Tujuh yang berulang-ulang) adalah merujuk kepada 7 ayat iaitu Surah al-Fatihah yang dibaca berulang-ulang, baik ketika membaca Al-Quran, di dalam solat atau di luar solat..
وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعاً مِنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ
Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan al-Quran yang agung. (Surah al-Hijr: 87)
.
5. Al-Hamdu
‘Surah Pujian’ kerana isinya penug dengan pujian kepada Tuhan. Allah menyebut dalam surah ini pada ayat ke dua sebagai:
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Segala puji selayaknya bagi Allah, tuhan sekalian alam. (Surah al-Fatihah: 2)
.
6. Al-Ruqyah
‘Surah Jampi atau berubat’ kerana dengan surah ini dapat menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Kitab al-Salam, Bab al-Dalil ‘ala Dukhul Tawaif Min al-Muslimin al-Jannah Big
hayr Hisab wa la ‘Azab.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ فَقَالُوا لَهُمْ هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ نَعَمْ فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَبَرَأَ الرَّجُلُ
Sesungguhnya beberapa orang dari kalangan sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berada dalam perjalanan yang jauh dan berhenti untuk istirehat di salah sebuah perkampungan Arab lalu mereka meminta dijamu oleh penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya, “Apakah ada di antara kamu yang boleh menjampi?” Kerana ketua atau penghulu kampung kami terkena sengat. Salah seorang dari para sahabat menjawab, “Ya, ada”. Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah Al-Fatihah. Kemudian ketua kampung itu sembuh.
Oleh kerana al-Fatihah berfungsi sebagai ruqyah (jampi menggunakan al-Quran dan sunnah), maka ia juga turut dikenali sebagai al-Ruqyah.
.
.
Sebahagian Lagi Nama Al-Fatihah
Ringkasan sebahagian daripada nama-nama lain bagi surah al-Fatihah adalah :
.
7. Ummul Kitab
‘Induk Kitab’. Begitu juga nama ini terdapat di dalam banyak hadis. Ummul Kitab diertikan bahawa Al-Fatihah mengandungi semua soalan yang terdapat di dalam Al-Quran iaitu ketuhanan, alam akhirat, ibadah dan sejarah-sejarah ilmu pengetahuan politik, sosial dan masyarakat.
8. Al-Wafiah
‘Mencakupi’. Kerana isinya mencakup seluruh Al-Quran dan meliputi keterangan-keterangan tentang Allah SWT dan keterangan tentang manusia.
9. Al-Waqiah
‘Menjaga’. Orang-orang yang membacanya dari berbagai-bagai bahaya dan penyakit. Dalam hal ni banyak fadilatnya yang disebut di dalam hadis, juga menjadi amalan harian orang-orang yang soleh.
10. Al-Kanzu
‘Perbendaharaan’. Tempat yanq penuh dengna barang-barang yang berharga. Tentu sahaja kerana semua isi dari Al-Fatihah adalah ibarat barang-barang yang sangat mahal harganya.
11. Al-Kafiah
‘Memadai’ kerana Al-Fatihah ini mencakupi semua ayat-ayat dalam Al-Quran dan ayat-ayat ini tidak seperti Al-Fatihah ini.
12. Al-Asas
‘Sendi atau dasar’ kerana dia dianggapnya sebagai asas dari Al-Quran dan ayat BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM di anggap sebagai dasar dari Al-Fatihah.
13. Fatihahtul Quran
‘Pembuka Al-Quran’ kerana letaknya di permulaan Al-Quran atau boleh juga diertikan sebagai pintu masuk ke Al-Quran.
14. Suratan Nur
‘Surah cahaya’ kerana surah ini banyak membawa nur dan penerangan kepada manusia.
15. Suratul Syukri
‘Surah Syukur’ kerana isinya penuh dengan syukur kepada Allah SWT.
16. Suratul Hamdil’ulla
‘Surah pujian pertama dan tertinggi’.
17. Suratul Hamdil Qasywaa
‘Surah pujian terakhir.’
18.Suratus Syifa’
Surah yang mengandungi kesembuhan (Ubat).
19. Suratus Syafiyah
Surah yang menyembuhkan.
20. Suratus Solah
Surah yang dibaca tiap-tiap solat.
21. Suratul Doa
Surah yang berisi doa. Tiap-tiap kali kita baca surah ini bererti kita berdoa terhadap Allah SWT.
22. Suratut Talab
Surah yang berisi tuntutan (permohonan).
23. Suratus Soaal
Surah yang berisi permintaan.
24. Suratul Munajat
Surah yang berisi bisikan terhadap Allah SWT.
25. Suratul Tafwidh
Surah yang berisi penyerahan kepada Allah SWT.
26. Suratul Mukafaah
Surah imbangan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai imbangan terhadap harta benda orang lain “hadis”.
27. Afdalus Suwaril Quran
Surah yang terbaik dalam Al-Quran.
28. Akhirus Suwril Al-Quran
Surah penutup Al-Quran.
29. A’azamu Suwaril Quran
Surah terbsesar dalam Al-Quran.
30. Suratul Minnati
Surah yang mengandungi cita-cita.
31. Suratul Mujziyyah
Surah yang memberi balasan.
32. Suratul Munjiyyah
Surah yang membebaskan manusia dari berbagai-bagai kesulitan.
33. Suratus Saqalan
Surah jin dan manusia.
34. Suratul Majma’il Asma’
Surah yang mengandungi nama-nama Allah SWT.
.
Sumber bacaan:
Rahsia hikmah surah Al-Fatihah (Susunan Ustaz Abdul Raof Dal
ip)
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
Posted by; shafiqolbu
.
Categories: Tahukah Anda?
Tags: Nama Lain Surah al-Fatihah, surah al-Fatihah
No comments:
Post a Comment