18 December 2019

Keharusan Tabarruk di Sisi Islam

Keharusan Tabarruk di Sisi Islam
بسم الله الرحمن الرحيم

وصلى الله على خير خلقه سيد المرسلين سيدنا ومولانا محمد

وعلى آله الطاهرين الطيبين



Risalah:
Dalil-dalil keharusan mengambil 
berkat dari bekas minuman muslimin


Mukaddimah iman
           Moga-moga Allah merahmati saya dan kamu semua, serta mentaufikkan kita dikalangan orang yang diberi pandangan inayahNya, amin.

           Risalah ini membincangkan tentang keharusan mengambil berkat atau bertabarruk dengan bekas minuman muslimin; yang mana merupakan sunnah yang telah thabit dilakukan oleh Rasulullah, dan dikuti oleh imam-imam salaf soleh terkemudian.
           Malangnya, baru-baru ini kita mendapati sesetengah individu mengeksplotasi kedudukan dan populariti mereka untuk menyesatkan orang yang cuba menghidupkan sunnah ini. Malah lebih dari itu, mereka telah menidakkan sunnah ini malah menganggapnya suatu perbuatan bidaah yang sesat.
        
          Tidakkah individu ini menyedari bahawa dia telah menyakiti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dengan kata-katanya, dengan menyeleweng informasi dengan dakwaan perkara sunnah itu bidaah, dan yang bidaah itu sunnah; sedangkan mereka mengaku kononnya hanya memegang sepanduk Al Quran dan Sunnah?

            ‘Dia’ yang dikatakan di atas tiada lain adalah saudara Asri Zainal Abidin, bekas mufti Perlis yang cuba membuat kenyataan ‘pro-tajdid’ yang dijangka menimbulkan gimik, bagi memesongkan pandangan masyarakat dari tuduhan ‘tauliah tidak berlesannya’.
            
              Moga-moga kita dijauhkan dari individu-individu sebegini yang memperlekehkan Sunnah, semata-mata untuk mencari simpati orang lain. Seakan-akan dia mahu dikatakan ‘walaupun saya ditangkap kerana tidak bertauliah-itu tidak mengapa, asalkan saya masih mahu menegakkan ‘tajdid’; iaitu dengan membatalkan Sunnah yang telah lama dipegang erat oleh ulama’ kita. Alangkah hina dan jijiknya perbuatan ini
             Ya Allah jauhkanlah hamba-hambaMu ini dari menjadi orang yang menyakiti Nabi dengan perbuatan dan kata-katanya, ya Rab.
             
                Justeru dalam masa yang singkat ini, saya yang hina akan menerangkan dalil-dalil yang jelas tentang keharusan tabbaruk (mengambil berkat) dalam skop yang lebih kecil iaitu tabarruk dengan bekas minuman orang mukmin.


والله أعلم بالصواب
.....................................
Maksud tabarruk 

              Sebelum pergi lebih jauh, mari bersama-sama saya memahami apakah maksud tabarruk (mengambil berkat).

Berkata al Allamah Dr Umar Abdullah Kamil di dalam Mafahimnya:

Tabarruk secara istilah ialah
  •     Memohon kepada Allah kebaikan pada sesuatu perkara.
  •    Ia boleh juga dimaksudkan sebagai al ta’zim iaitu memulia dan mengagungkan sesuatu perkara.

               Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mencium Hajarul Aswad. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم juga pernah tawaf mengelilingi Kaabah dan menyentuh Hajarul Aswad ini dengan tongkat Baginda, lalu Baginda mengucupnya. Oleh itu, para ulama mengistinbatkan hukum harus mengucup setiap perkara yang layak dimuliakan (dalam Islam) dan perkara yang berkaitan dengannya.

             Dengan erti kata yang mudah, tabarruk adalah salah satu cara memohon kebaikan yang melimpah ruah dari Allah Taala, seperti meminta penyembuhan dari penyakit dengan perantaraan seorang muslim yang soleh (atau Nabi) kerana kedudukannya yang tinggi di sisi Allah. Justeru orang yang bertabarruk dengan benda-benda, para solihin atau barang peninggalan mereka, hakikatnya memohon kebaikan yang banyak dari Allah melalui jalan Nabi atau orang soleh tersebut. Inilah yang dilakukan oleh jemaah para sahabat terhadap barang peninggalan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Lihat Mafahim Tabarruk, halaman 5.

                Pada waktu yang sama ia adalah perbuatan memuliakan (ta’zim) muslim soleh tersebut yang merupakan perkara yang digalakkan di dalam syariat Islam.

                 Salah satu contoh ta’zim ialah seperti mengucup tangan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم

                 Salah satu contoh ta’zim ialah dengan mengambil berkat dengan salah satu anggota Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم seperti rambut Baginda dan barang peninggalannya seperti jubah Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.

                  Tabarruk hakikatnya tiada lain adalah salah satu cabang bertawassul kepada Allah Taala, dengan kemuliaan sesuatu; sama ada peninggalan berbentuk benda, tempat atau individu tertentu. Tawassul ialah: menghadapkan permintaan kepada Allah di dalam doanya dengan perantaraan kedudukan pangkat Nabi atau seseorang hanba yang soleh. Misalnya, dengan berdoa;

Ya Allah dengan kedudukan NabiMu, ampunilah dosaku dan tutupilah aibku!’

(Diambil dari Agamamu Dalam Bahaya karangan Al Allamah Abu Abdullah Alawi al Yamani, hlm165 )


              Bertawassul adalah harus, bahkan disunatkan bertawassul dengan para Nabi, wali dan orang-orang soleh, sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Dalilnya cukup banyak, yang in sya Alah akan dibincangkan pada huraian yang akan datang.


Syarat orang yang bertabarruk dan bertawassul

Berkata al Allamah Syeikh Muhammad Fuad ibn Kamaluddin al Maliki di dalam bukunya Wasilah Para Abid:

              Amalan bertabarruk dan bertawassul ini tidak ditegah di dalam Islam, apatah lagi untuk dihukum sebagai kafir atau syirik, kerana perkataan yang diungkapkan bertujuan untuk meminta syafaat dan memohon doa kepada Allah; sama ada disebut secara jelas atau tidak. Syaratnya, hendaklah orang yang berdoa, merupakan:
- Seorang Muslim yang mentauhidkan Allah.
- Beri’tiqad bahawa yang mendatangkan manfaat dan mudharat hanya Allah.

………..

Apakah dalil yang menunjukkan keharusan mengambil berkat secara umum?

              Maka jawapannya ialah: mengambil berkat dengan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah harus. Allah berfirman ketika menghikayatkan tentang Nabi Yusuf عليه السلام :

               Malah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri telah menggalakkan perbuatan tabarruk ini. Di dalam hadith disebut, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم membahagi-bahagikan rambutnya kepada para sahabat untuk mereka mengambil berkat dengannya.
(Diambil dari: Aqidah Muslimin-Aqidah Yang Diakui Fakulti Usuluddin Universiti al Azhar, hlm 97 )

Iaitu hadith riwayat Anas katanya:

لما رمى رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم الجمرة نحر نسكه ثم ناول الحالق شقه الأيمن فحلقه، فأعطاه أبو طلحة لأمي سليم بأمر من النبي صلى الله عليه وآله وسلم ثم ناوله شقه الأيسر فحلقه، فقال: اقسم بين الناس

Ertinya:
 Ketika Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melontar jamrah, Baginda menyembelih binatang korban. Kemudian (Nabi mengarahkan tukang gunting mencukur rambut Baginda yang mulia) lalu tukang gunting mula mencukur bahagian kanan kepala Rasulullah. Lalu Abu Talhah memberi rambut Baginda صلى الله عليه وآله وسلم kepada Ummu Sulaim dengan perintah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم (lihat perkataan dengan perintah Rasulullah). Kemudian tukang gunting mencukur bahagian kiri kepala Rasulullah yag mulia, lalu bersabda:

Bahagi-bahagikanlah ia (rambut ini) antara orang ramai

(Dikeluarkan oleh Muslim (3142), Abu Daud (1982), al Tirmizi (912), al Humaidi (1220), Ibn Khuzaimah (2928), al Nasaie di dalam al Kubra Tuhfah al Asyraf dan lain-lain. sila rujuk Mausuah Yusufiyah, halaman 157)

Begitu juga hadith soheh yang berbunyi:

عن أنس بن مالك قال:كان رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم إذا صلى الغداة جاء خدم المدينة بآنيتهم فيها الماء،فما يؤتى يإناء إلا غمس يده فيه فربما جاؤه في الغداة الباردة فيغمس يده فيها

Ertinya:
Dari Anas bin Malik, beliau berkata: adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketika waktu pagi akan didatangi oleh penduduk Madinah dengan membawa bekas yang berisi air. Rasulullah akan meletakkan tangannya yang mulia ke dalam bekas, apabila diberikan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Kemungkinan, orang ramai datang kepada Rasulullah pada waktu pagi yang dingin, lalu Baginda meletakkan tangannya ke dalam bekas tersebut.

              Berkata Imam al Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini di dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim, beliau menerangkan bahawa: hadith ini menunjukkan kesabaran Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bagi menyelesaikan kemaslahatan (keperluan) muslimin, dan kesudian Baginda صلى الله عليه وآله وسلم untuk memenuhi kehendak orang yang berhajat.

              Serta hadith ini juga membawa maksud bahawa Baginda صلى الله عليه وآله وسلم memberi berkat kepada muslimin, dengan celupan tangan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia ke dalam bekas berisi air tersebut. Dalam waktu yang sama, hadith menunjukkan kesungguhan para sahabat dalam bertabarruk dengan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Lihat Soheh Muslim Bisyarhi al Nawawi, Jilid 8, hlm 90, Bab Qurb al Nabi Min al Nas.

             Hadith Soheh ini dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam Sohehnya dengan lafaz dan isnad ini, Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibn Humaid di dalam Musnad Anas bin Malik, Ibnu Saad dan al Tabrani di dalam Kitab al Da’awaat, Ibn Abi Dunya di dalam Fadhail al Dua’, al Baihaqi dan Ibn Abi Syaibah di dalam musnadnya serta lain-lain.

               Lihat juga al Arba’un al Buldaniyah karangan al Musnid al Muhaddith Abi al Faidh Muhammad Yasin bin Isa al Fadani رضي الله عنه , halaman 11.

              Jika kita melihat di dalam kitab hadith Sunan Sittah dan kitab-kitab hadith yang masyhur, kita mendapati tidak sedikit hadith sebegini yang menunjukkan keharusan mengambil berkat dari Rasulullah. Malah dalam sesuatu keadaan Baginda sendiri mempromosi dan menggalakkan perbuatan ini seperti hadith yang lepas; yang melayakkan ia dianggap sebuah sunnah. Tetapi sekarang bukanlah masa untuk kita membincangkan masalah tabarruk dengan terperinci, kerana ia memerlukan waktu yang benar-benar mencukupi, in sya Allah pada waktu yang lain.

               Ringkasnya, beberapa hadith yang lepas menunjukkan dalil umum keharusan amalan bertabarruk ini. Sekarang kita akan cuba menumpukan hadith-hadith berkaitan tabarruk dengan sisa minuman muslim sahaja, sesuai dengan tajuk dan masa yang tersedia.

………..

Dalil-dalil keharusan bertabarruk dengan
bekas minuman orang Islam.

1) Hadith pertama
Dikeluarkan oleh Imam al Bukhari di dalam Bab Minuman Dari Bekas Minuman Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :

عن أبي حازم عن سهل بن سعد رضي الله عنه قال : ........... فأقبل رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم يومئذ حتى جلس في سقيفة بني ساعدة هو وأصحابه، ثم قال: 'اسقنا' لسهل. قال: فأخرجت لهم هذا القدح فأسقيتهم فيه. قال أبو حازم: فأخرج لنا سهل ذلك القدح فشربنا فيه. قال: ثم استوهبه، بعد ذلك، عمر بن عبد العزيز فهبه له

Maksudnya:
                  Dari Abi Hazim dari Sahl ibn Saad رضي الله عنه, beliau berkata (hingga katanya):…… Lalu pada suatu hari Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan sahabat-sahabat duduk di bumbung rumah Bani Saedah. Kemudian Baginda bersabda kepada Sahl: ‘berikanlah kami minuman’. Lalu Sahl berkata: aku mengeluarkan sebuah bekas (cawan) ini, lalu aku memberi mereka minum dengan menggunakannya.

               Berkata Abu Hazim (perawi hadith): Lalu Sahl pun mengeluarkan bekas tersebut, maka kami minum air daripada cawan tersebut. Sahl berkata: selepas itu, Umar bin Abdul Aziz meminta agar dihadiahkan cawan ini kepadanya, lalu beliau menghadiahkannya.

Lihat Soheh Muslim Bisyarhi al Nawawi, Juzuk 13, Bab: Kitab al Asyribah, hadith no 2007, cetakan Muassasah Qurtubah.

Lihat juga hadith yang sama maknanya pada Fathul Bari Syarah Soheh al Bukhari, jilid 13 halaman 121, cetakan Dar al kutub al Ilmiyah. Lihat juga hadith yang sama pada Syarah Soheh Muslim oleh Imam al Nawawi, Jilid ke-7, hadith nombor 2007.

Dari hadith ini, kita dapat mengambil beberapa faedah:

1. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat berkongsi menggunakan sebuah cawan untuk minum air bersama-sama. Ini dalil keharusan menggunakan cawan yang mempunyai bekas air liur muslimin.

2. Oleh kerana mengetahui kemuliaan cawan ini, yang mana digunakan oleh Nabi dan sahabat-sahabat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم , Saiduna Umar bin Abdul Aziz meminta dari Saiduna Sahl agar dihadiahkan cawan ini kepadanya; untuk mengambil berkat dari benda yang pernah digunakan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.


2) Hadith kedua

Dikeluarkan di dalam Fathul Bari karangan Imam Ibn Hajar Al Asqalani, Jilid 15, halaman 241, hadith nombor 7342, cetakan Darul Fikr:

عن أبي بردة قال: قدمت المدينة فلقيني عبد الله بن سلام. فقال لي: انطلقْ إلى المنزلِ فأسقيَك في قَدَحٍ شَرِبَ فيه رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم، وتصلي في المسجد صلى فيه النبي صلى الله عليه وآله وسلم، فانطلقت معه فأسقاني سويقا وأطعمني تمرا وصليت في مسجده

.
Maksudnya:
Dari Abi Burdah, beliau berkata: ketika aku tiba di Madinah, aku bertemu dengan Abdullah bin Salam. Lalu beliau berkata padaku: marilah ke rumahku, aku aku memberi engkau minum dengan cawan yang pernah digunakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Serta, aku akan mengizinkan engkau solat di tempat yang pernah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dirikan sembahyang padanya. Lalu aku (Abu Burdah) bersama-sama Abdullah ibn Salam bertolak ke rumahnya, lalu beliau menjamuku dengan meminum sawiq (sejenis minuman berasaskan gandum) dan tamar, serta aku solat di tempat solat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم .

Faedah di dalam hadith ini ialah:

1. Para sahabat juga bertabarruk dengan barang-barang Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, antaranya cawan yang pernah digunakan Baginda.

2. Malah, sahabat telah menjadikan tempat yang pernah didirikan solat oleh Nabi; sebagai tempat yang yang mulia di sisi Allah Taala, kerana ia pernah dugunakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Malah, mereka mengajak teman-teman solat di sana, untuk mengambil berkat Nabawiyah padanya.


3) Hadith ketiga
Dikeluarkan di dalam Riyadh al Solihin karangan Imam Nawawi, halaman 269, hadith bernombor 771:

عن أم ثابت كبشة بنت ثابت أخت حسان بن ثابت رضي الله عنه وعنها قالت:دخل عليّ رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم فشرب من في القربة معلقة قائما فقمت إلى فيها فقطعته
رواه الترميذي وقال حديث حست الصحيح

Maksudnya:
               Dari Ummi Thabit Kabsyah binti Thabit, iaitu saudara kandung Hasan ibn Thabit-moga-moga Allah meredhai kedua-duanya-beliau berkata:

               Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم masuk menemuiku, lalu Baginda minum air dari qirbah (bekas minuman yang diperbuat dari kulit binatang) yang tergantung, dalam keadaan berdiri. Lalu aku pergi mengambil qirbah tersebut dan memotong mulutnya.
                                                                                                      Hadith riwayat Tirmizi, beliau berkata: Hadith ini hasan soheh.

                Berkata Imam al Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini: sesungguhnya beliau (Ummu Thabit) memotong mulut qirbah ini untuk menjaga tempat yang pernah disentuh oleh mulut Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , mengambil keberkatan dengannya dan menjaganya/mengelakkannya dari ibtizal (haus).


4) Hadith keempat

              Hadith Saiduna Ali bin Abi Talib رضي الله عنه , beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah memberikan saya minum air lebihannya dari cawannya, dan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

سؤر المؤمن شفاء

Ertinya: Lebihan makanan/minuman orang mukmin itu adalah ubat yang menyembuhkan.

               Hadith ini, yang dikenali sebagai Musalsal bil Saqaya, adalah hadith yang amat masyhur di kalangan ulama hadith sejak zaman berzaman. Kenapa tidak, jika kita melihat para muhaddith yang meriwayatkannya, mereka adalah ulama’-ulama’ besar di zamannya; antaranya:

              - Al Muhaddith Syeikh Muhammad Saed ibn Muhammad Sunbul.

              - Syeikh Ahmad ibn Muhammad al Qusyasyi, tuan punya wirid.

              - Abu al Khair Syamsuddin Muhammad ibn Imran al Dimasyqi, Qari yang terkenal.

             - Kesemua penghulu-penghulu keturunan Nabi yang mulia dimulai oleh: Saiduna Ali al Ridha,    Saiduna Musa al Kazhim hinggalah Saidina Ali رضي الله عنهم أجمعين


Faedah dari hadith ini:

1. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri yang menggalakkan perbuatan mengambil berkat dari bekas minuman orang mukmin.
2. Perbuatan ini diteruskan sejak zaman berzaman dikalangan ulama khasnya dan orang awam secara am. Buktinya, wujudnya ahli hadith yang meriwayatkan hadith musalsal ini hingga kini.

3. Ulama yang meriwayatkannya adalah ulama yang menjadi sandaran umat Islam pada zamannya; mengharuskan kita mempercayai kebenarannya sebagai suatu hadith yang warid dari Nabi, bukan hadith yang palsu.


5) Hadith kelima.

Berkata Imam Nawawi di dalam kitab yang sama, Bab Adab al Syarab, hadith bernombor 768:

عن سهل بن سعد الساعدي رضي الله عنه: أن رسول الله أُتي بشراب، فشرب منه، وعن يمينه غلام وعن يساره أشياخ فقال للغلام: أتأذن لي أن أُعطي هؤلاء؟ فقال الغلام: لا والله،لا أوثرُ بنصيبي منك أحدا. فتلّه رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم في يده

رواه البخاري

Ertinya:
             Dari Sahl ibn Saad al Sa’idi رضي الله عنه : bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah dihidang dengan segelas minuman. Lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم minum air tersebut, sedangkan di sebelah kanan Baginda terdapat seorang kanak-kanak dan di sebelah kiri Baginda beberapa orang tua. Lalu Baginda bertanya pada kanak-kanak tersebut: adakah engkau mengizinkan aku memberi lebihan minuman ini kepada mereka?

             Maka kanak-kanak itu berkata: aku bersumpah demi Allah, aku tidak akan memberikan bahagianku yang kuterima darimu ini kepada orang lain! Lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم meletakkan cawan tersebut di tangan kanak-kanak tersebut.

             Hadith ini diriwayatkan oleh al Bukhari. Berkata Imam Nawawi: kanak-kanak tersebut ialah Saiduna Abdullah ibn Abbas رضي الله عنهما .

Penutup


           Hadith akhir ini menunjukkan kesungguhan sahabat iaitu Saiduna Abdullah ibn Abbas untuk bertabarruk dengan sisa minuman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Ketahuilah, para sahabat adalah orang yang amat mementingkan ithar, iaitu mementingkan kemaslahatan mukmin yang lain berbanding kehendak peribadi.

             Tetapi di dalam situasi ini, kita mendapati Ibn Abbas menyalahi ithar. Kenapa? Kerana tiada ithar dalam melakukan ketaatan. Para sahabat adalah generasi yang sering berlumba-lumba mengikut sunnah Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . Mereka amat bersemangat untuk bertabarruk dengan Rasulullah, berasa tamak untuk mendapat perkara-perkara yang berkaitan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Beliau mahu hanya beliau seorang sahaja yang dapat menikmati lebihan minuman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tanpa mahu berkongsi dengan sahabat lain.

             Hal ini juga tidak disanggah oleh Baginda صلى الله عليه وآله وسلم malah Baginda menggalakkan perbuatan ini. Lihat semula kata perawi ‘Lalu Baginda صلى الله عليه وآله وسلم meletakkan cawan tersebut di tangan kanak-kanak tersebut.’

              Hakikatnya hadith pada situasi ini mengajar kita erti bersunguh-sungguh untuk mengambil berkat dari peninggalan orang soleh semaksima yang mungkin. Jika tidak kerana kelebihan perbuatan ini, Saiduna Ibnu Abbas adalah orang yang terakhir minum dari cawan tersebut selepas menghidangkannya terlebih dahulu kepada orang-orang tua berdekatan dengannya. Beliau mesti lebih memahami firmanNya:

Moga-moga Allah membuka bagi kita seluas-luas pintu-pintu kebaikan dan keimanan dan menutup segala pintu-pintu kejahatan dan kesesatan.

وصلى الله على سيد المرسلين سيدنا محمد وعلى آله الطاهرين وسلم تسليما كثيرا


Rujukan:

- Fathul Bari Syarah Soheh al Bukhari, oleh Amirul Mukminin fil Hadith: Imam Ibn Hajar al Aqalani, cetakan Dar al kutub al Ilmiyah

- Soheh Muslim Bisyarhi al Nawawi, oleh Muhyiddin al Imam Yahya ibn Syaraf al Nawawi , cetakan Muassasah Qurtubah

- al Arba’un al Buldaniyah, oleh al Musnid al Muhaddith Abi al Faidh Muhammad Yasin bin Isa al Fadani رضي الله عنه

- Wasilah Para Abid, oleh al Allamah Syeikh Muhammad Fuad ibn Kamaluddin al Maliki

- Mafahim Tabarruk, oleh al Allamah Dr Umar Abdullah Kamil.

- Agamamu Dalam Bahaya, oleh Al Allamah Abu Abdullah Alawi al Yamani

- Aqidah Muslimin-Aqidah Yang Diakui Fakulti Usuluddin Universiti al Azhar



-الحمد لله على تمام النعمة-



Ujang1230

13/6/10@726pm

HUKUM TABARRUK

KAJIAN ILMIAH : HUKUM TABARRUK (Mengambil berkat) DAN DALIL-DALILNYA YANG NYATA. – Pengajian Aswaja Pemurnian Nusantara
Tuduhan Wahhabi Salafi :
Tuduhan Pertama:
“Astaghfirullah! Nabi SAW tak suruh kita taksub dengan peninggalan baginda kecuali Al Quran dan As Sunnah sahaja! Sila fahamkan khutbah terakhir Nabi SAW! Tak pernah para sahabat sibukkan diri dengan isu rambut Nabi, serban Nabi, capal Nabi dan sebagainya! Sebaliknya menegakkan SUNNAH Nabi SAW itu yang paling utama bagi mereka!”
Tuduhan Kedua:
“Para Sahabat Nabi tak pernah sibuk dengan fesyen Nabi dan tak pernah sibuk nak minum air rambut Nabi! Astagfirullah! Zaman sekarang ni, macam-macam ahli bid’ah dan ahli syirik buat! Lepas ni apa pulak? Kalau kita sayang Nabi SAW, buktikan dgn taat kepada Allah dan Rasul bukan sekadar percaya dgn kuasa ajaib yg ada pada rambut Nabi atau lainnya! Itu Sunnah Nabi SAW yg utama!”
Tuduhan Ketiga:
“Nabi SAW memang manusia terpilih dan disayangi Allah. Tapi pernahkah Allah atau Nabi SAW sendiri suruh kita sibukkan diri dengan tubuh badan Nabi SAW? Allah suruh ikut Nabi SAW bukan taksub dgn tubuh badan atau peninggalan Nabi!”
Jawapan Ahlul Sunnah Wal Jamaah :
Semoga Allah sembuhkan penyakit otak kaum Wahhabi Salafi. Sesungguhnya amalan mengambil berkat dari Nabi itu merupakan amalan-amalan mulia para Sahabat Nabi SAW. Jika ianya haram dan menyebabkan kufur, sudah tentu Nabi melarangnya! Melalui ucapan-ucapan dan tuduhan-tuduhan kamu sendiri, bermakna kamu baru sahaja mengkafirkan para Sahabat kerana melakukan syirik dan khurafat terhadap peninggalan Nabi!
DALIL-DALIL TABARRUK – sila baca dengan tenang dan berlapang dada.
DALIL PERTAMA:
Disebut dalam Musnad Imam Ahmad, mafhumnya :
“Daripada Abdullah, maula Asma bin Abu Bakar berkata : Asma mengeluarkan (menunjukkan) kepadaku sehelai pakaian yang ada dua lubang yg berjahit.
Lalu Asma berkata : Ini adalah pakaian Rasulullah SAW. Ia dahulu pernah disimpan oleh Aisyah. Ketika Aisyah wafat, aku menyimpannya. Kami akan mencelupkannya ke dlm air untuk menjadi ubat kepada orang sakit di kalangan kami.” 
(Ini pula dianggap syirik, bidaah, khurafat oleh WAHHABI?)
DALIL KEDUA:
Disebutkan dalam hadith : “Rasulullah SAW membahagi-bahagikan rambut Baginda kepada para sahabat supaya mereka bertabarruk (mengambil berkat) dengannya (rambut).” (HR Bukhari & Muslim)
(Takkan Nabi pun si WAHHABI nak tuduh ahli syirik, khurafat, bid’ah dan lain-lain sedangkan Nabi sendiri agih-agihkan rambut mulia baginda?)
DALIL KETIGA:
Hadith daripada Anas r.a : “Ketika Rasulullah SAW melihat Jamrah, Baginda SAW berkorban (sembelih binatang) kemudian Baginda SAW meletakkan pencukur di rambut sebelah kanan lalu mencukurnya, lalu memberikannya (rambut) kepada Abu Talhah. Kemudian Baginda SAW meletakkan pencukur di sebelah kiri lalu mencukurnya, lalu berkata : Bahagi bahagikan kpd org ramai ( Riwayat at Tirmidzi)(KENAPA NABI SURUH BAHAGI-BAHAGIKAN?UNTUK BUAT BENDA KHURAFAT KE?)
DALIL KEEMPAT:
Ubaidah r.a berkata. “Kalaulah aku memiliki sehelai rambut Baginda SAW, maka itu lebih berharga bagiku daripada dunia dan segala isinya.” (Riwayat al Bukhari) (KENAPA BELIAU BEGITU TAKSUB DENGAN RAMBUT NABI? SAHABAT NI AHLI BID’AH KE?)
DALIL KELIMA:
Abu Bakar r.a berkata “Aku melihat Khalid al Walid meminta rambut bahagian depan Rasulullah dan dia menerimanya. Dia biasa meletakkannya di atas matanya dan menciumnya.”
Diketahui bahawa kemudian dia meletakannya di “qalansuwah” (penutup kepala yg dililit serban) miliknya & selalu menang dalam peperangan (Riwayat Al-Waqi dlm Al-Maghazi & Ibn Hajr dlm al Ishabah fi Tamyiz As-Sahabah)
(TAKSUB BETUL KHALID AL-WALID DENGAN RAMBUT NABI SAMPAI BAWAK RAMBUT NABI PERGI BERPERANG BERSAMA-SAMA? KHALID AL-WALID NI AHLI BID’AH KE? WAHHABI SALAFI TAK TAKUT KE KENA BELASAH DENGAN DIA KAT AKHIRAT NANTI SEBAB TUDUH DIA AHLI BID’AH????)
DALIL KEENAM:
Ummu Salamah memiliki beberapa helai rambut Nabi SAW dalam sebuah botol perak dan orang-orang akan pergi & mendapat berkat melalui rambut-rambut itu dan mereka sembuh. (Riwayat Al-Hafiz Al-Aini dalam Umdah Al-Qari)
(SYIRIK KE NI? MANA BOLEH PERCAYA RAMBUT NABI ADA POWER. MANA BOLEH TABARRUK-TABARRUK NI!)
DALIL KETUJUH:
Para sahabat berebut-rebut mengambil wudhu Rasulullah SAW & mengusap usapkannya ke wajah & kedua dua tangan mereka. Bagi mereka yg tidak sempat mendapatkannya, mereka mengusap daripada basahan tubuh sahabat lain yg terkena bekas wudhu Rasulullah SAW, lalu mengusapkan ke wajah dan tangan mereka.” (Riwayat al Bukhari) (TAKSUBNYA SAHABAT DENGAN AIR WUDHUK NABI! INI PERBUATAN BID’AH JUGAK KE?)
DALIL KELAPAN:
Setelah Rasulullah saw wafat, Asma binti Abubakar Asy-syiddiq ra menjadikan baju Rasulullah saw sebagai perubatan. Bila ada yang sakit, maka beliau akan  mencelupkan baju Rasulullah saw ke air lalu air itu diminumkan pada yang sakit (Sahih Muslim : 2069).
(KENAPA BELIAU TAKSUB DENGAN BARANG-BARANG PENINGGALAN RASULULLAH? BUKANKAN MUHAMMAD IBN ABD WAHHAB KATA MENGAMBIL BERAKAH DARI BARANG PENINGGALAN RASULULLAH ITU SYIRK? NAK IKUT SIAPA SEKARANG?)
DALIL KESEMBILAN:
Rasulullah saw sendiri menjadikan air liur orang mukmin sebagai barakah untuk perubatan, sebagaimana sabda beliau : “Dengan Nama Allah atas tanah bumi kami, demi air liur sebahagian dari kami, sembuhlah yang sakit pada kami, dengan izin tuhan kami” (Sahih Bukhari : 5413). Ucapan Rasulullah saw : “Demi air liur sebahagian dari kami” menunjukkan bahawa air liur orang mukmin dapat menyembuhkan penyakit (dengan izin Allah swt setentunya) sebagaimana juga doktor dapat menyembuhkan (dengan izin Allah). Hadith ini menjelaskan bahawa Rasulullah saw bertabarruk dengan air liur mukminin bahkan tanah bumi juga pada hakikatnya membawa keberkahan dari Allah swt.
(WAHHABI KATA ULAMA BUKAN MAKSUM! IKUT AL-QURAN DAN SUNNAH SUDAH CUKUP! BARAKAH BARAKAH DARI ULAMA SEMUNYA SYIRK! SEKARANG, WAHHABI BERANI TUDUH RASULULLAH SYIRK?)
DALIL KESEPULUH
Seorang sahabat meminta Rasulullah saw solat dirumahnya supaya bekas tempat solat itu boleh dijadikan musollah dirumahnya. Maka Rasulullah saw datang ke rumah orang itu dan bertanya : “Di mana tempat yang kau inginkan aku solat?”. Demikian para sahabat bertabarruk dengan bekas tempat solatnya Rasul saw hingga dijadikan musollah. (Sahih Bukhari: 1130). 
(TIDAK BOLEH BEKAS TEMPAT SOLAT ITU DIJADIKAN SEBAGAI MUSOLLAH! SYIRIK! MESTI DIPECAHKAN!)
DALIL KESEBELAS
Allah memuji Rasulullah saw dan Umar bin Khattab ra yg menjadikan Maqam Ibrahim as (sebenarnya tempat itu bukan makamnya, tetapi tempat Nabi Ibrahim as berdiri dan berdoa di depan ka’bah yang kemudian dinamakan Maqam Ibrahim as) sebagai tempat solat (musollah), sebagaimana firman Nya : “Dan mereka menjadikan tempat berdoanya Ibrahim sebagai tempat solat” (Al-Imran:97). Maka jelaslah bahawa Allah swt memuliakan tempat hamba-hamba Nya berdoa, bahkan Rasulullah saw pun bertabarruk dengan tempat berdoanya Ibrahim as, dan Allah memuji perbuatan itu.
(WAHHABI KATA TAK BOLEH BERTABARRUK DI TEMPAT BEKAS BEKAS NABI KERANA ITU PERBUATAN SYIRK? SIAPA YANG SYIRK SEKARANG? UMAR IBN KHATTAB ATAU OTAK KAMU?)
DALIL KEDUA BELAS
Diriwayatkan ketika Rasulullah saw baru sahaja mendapat hadiah sehelai selendang yang bagus dari seorang wanita tua, lalu datang pula orang lain yang segera memintanya selagi pakaian itu dipakai oleh Rasulullah saw. Maka riuhlah para sahabat yang lain menegur si peminta. Maka sahabat yang meminta itu berkata : “Aku memintanya kerana mengharapkan keberkahannya kerana dipakai oleh Nabi saw dan ku inginkannya untuk kafanku nanti” (Sahih Bukharin:5689). Demikian cintanya para sahabat pada Nabinya saw, sampai kain kafanpun mereka ingin yang bekas sentuhan tubuh Nabi Muhammad saw.
(MUHAMMAD IBN ABD WAHHAB, PENGASAS WAHHABI, KATA MENGAMBIL BERAKAH DARI BARANG PENINGGALAN RASULULLAH ITU SYIRK? NAK IKUT SIAPA SEKARANG?)
DALIL KETIGA BELAS
Salim bin Abdullah ra melakukan solat sunnat di tepi sebuah jalan. Apabila ditanya, dia berkata bahawa ayahku solat sunnat ditempat ini. Dan berkata ayahku bahawa Rasulullah saw solat di tempat ini. Dan dikatakan bahawa Ibn Umar ra pun melakukannya. (Sahih Bukhari:469). Demikianlah keadaan para sahabat Rasulullah saw. Bagi mereka, tempat-tempat yang pernah disentuh oleh tubuh Rasulullah saw tetap mulia walaupun telah diinjak ribuan kaki. Mereka mencari keberkahan pula dengan mendirikan solat ditempat tersebut. Demikian pengagungan mereka terhadap Rasulullah saw.
Semoga dengan keterangan ini, golongan Wahhabi Salafi serta pengikutnya insya-Allah akan dibuka hati mereka masing-masing agar tidak mudah menyesatkan, mengkafirkan dan sebagainya kepada saudara muslim kita sendiri. Supaya golongan Wahhabi Salafi juga mengamalkan amalan Salafussoleh seperti mana kita Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengamalkannya. Aameen.
Wallahu a’lam



No comments: