17 December 2019

5 Tanda Seseorang Itu Mendapat Keberkatan al-Quran



5 Tanda Seseorang Itu Mendapat Keberkatan al-Quran:

1. Boleh membaca al-Quran

2. Mendalami dan merasai nikmat ketika membaca al-Quran.

3. Mula menghafal al-Quran.

4. Berusaha beramal dengan al-Quran.

5. Mengajar orang lain membaca al-Quran.



RENCANA


Cara mudah menghafaz al-Quran..10 tip ini boleh dijadikan panduan

Cara mudah menghafaz al-Quran...10 tip ini boleh dijadikan panduan

MENGHAFAZ al-Quran memerlukan kesungguhan dan motivasi yang tinggi daripada seseorang.
Justeru, 10 tip mudah di bawah ini, mungkin boleh dijadikan panduan buat mereka yang mahu menghafaz.
Moga dipermudahkan.

• Niat dan bersungguh-sungguh menghafaz 30 juzuk al-Quran.
• Bersabar dengan setiap cabaran yang dihadapi.
• Memberi fokus sepenuhnya ketika menghafal.
• Carilah kaedah menghafal al-Quran yang benar-benar sesuai dengan diri sendiri.
• Sentiasa menjaga disiplin dan masa.
• Jauhi maksiat dan tinggalkan dosa.
• Jaga pemakanan dan amalkan makan makanan sunah seperti kismis, kurma dan badam sebagai rutin harian.
• Tangani stres dengan baik supaya fokus hafalan tidak terganggu.
• Perlu rehat dan tidur yang cukup.
• Sentiasalah riadah supaya cergas ketika beribadah.


RENCANA
Baca al-Quran setiap hari..ini rahsia dua hafiz muda yang berjaya hafal 30 juzuk al-Quran
Untuk bergelar hafiz muda, banyak pengorbanan harus dilakukan, ini kata Khaer Farish (kiri) dan Bilal (kanan).

Baca al-Quran setiap hari...ini rahsia dua hafiz muda yang berjaya hafal 30 juzuk al-Quran

MENGHAFAL al-Quran merupakan satu impian paling mulia.
Al-Quran mengandungi pelbagai cabang ilmu duniawi dan ukhrawi. Ia juga adalah kitab yang mengandungi perintah dan panduan Ilahi kepada manusia sekalian alam.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan digandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan ‘alif lam mim’ itu satu huruf, akan tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Namun, untuk bergelar seorang hafiz, jiwa raga perlu cekal dan ikhlas. Tiada keluhan, tiada rungutan.

Menjelajahi rutin harian dua hafiz muda, sememangnya memberi rumusan yang bukan calang-calang.
Mereka mengakui, perlu menghindarkan diri dari dunia yang penuh lara.

Tiada televisyen dan tiada telefon bimbit. Tiada juga makanan yang ‘karut-marut’. Celik mata pada saat orang lain sedang dibuai mimpi dan paling signifikan bagaimana mencatur disiplin diri.

Perkongsian bermakna hafiz-hafiz ini melalui satu wawancara khas bersama Sinar Islam diharap dapat membuka minda masyarakat terhadap peri pentingnya kehadiran kumpulan hafiz sebagai benteng pertahanan paling ampuh dalam Islam.
Tidak rugi kepada kita mendidik anak kita menjadi celik al-Quran pada usia yang mentah. Pepatah menyebut melentur buluh biar daripada rebungnya.

Hidup tidak lengkap tanpa al-Quran

APABILA melihat kanak-kanak mengalunkan ayat al-Quran, pasti hati kita akan tersentuh. Emosi kita akan berlebihan tatkala anak-anak kecil sudah mampu menghafal ayat-ayat suci. Hebat bukan, sejak kecil sudah bergelar hafiz.
Pada akhir zaman ini, ibu bapa sangat dianjurkan untuk menyuntik kesedaran dan minat anak mereka terhadap kitab suci ini. Ketahuilah, al-Quran adalah penyembuh, sahabat karib dan panduan paling afdal untuk kita mengharungi kehidupan di alam fana ini.
Sifat penulis yang ingin mengetahui bagaimana rutin seorang hafiz mendorong penulis menemui beberapa kanak-kanak hebat yang mengabdikan kehidupan mereka dengan bacaan indah ayat-ayat suci.
Ternyata hasil temu bual, Sinar Islam merumuskan bahawa bukan satu tugas mudah untuk menghafal 30 juzuk al-Quran. Terlalu banyak cabaran dan ranjau perlu diredah.
Apabila sudah bergelar hafiz pula, ada liku lain pula yang terpaksa dihadapi. Ya, untuk mengingat semua ayat yang sudah dihafal! Perlukan istiqamah dan sentiasa mengulang dan konsisten.
Kepada Sinar Islam, pelajar Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) cawangan Shah Alam, Khaer Farish Mohamed Irdzam, 12, menceritakan pola rutin untuk bergelar seorang hafiz.
“Apa yang saya kongsikan, banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk menghafal 30 juzuk al-Quran.
“Seperti saya, saya perlu ke akademi setiap hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 6 petang. Selepas itu, seawal pukul 9.30 malam saya sudah masuk tidur. Hari Ahad adalah hari cuti,” ujarnya.
Pun begitu, sebagai hafiz, Khaer Farish tidak akan sama sekali meninggalkan al-Quran meskipun sehari.

“Saya memang akan ulang dan ulang (hafalan), takut tak ingat. Ustaz saya pernah pesan, kalau kita tinggalkan al-Quran sehari, al-Quran akan tinggalkan kita selama 10 hari. Kalau kita tinggalkan al-Quran 10 hari, al-Quran akan tinggalkan kita 100 hari.

“Sebab itulah saya tak nak tinggalkan al-Quran. Saya tak nak al-Quran tinggalkan saya,” bicaranya dengan nada bersungguh.

KECINTAAN mendekatkan diri dan membaca al-Quran harus dipupuk sejak dari kecil lagi.

Elak TV, telefon

Benarkah pelajar hafiz tidak boleh menonton televisyen? Jawab Khaer Farish berterus-terang:
“Memang tak boleh tengok televisyen dan telefon pintar. Mak saya cukup jaga hal ini. Saya hanya boleh menonton setiap hari Isnin hingga Sabtu iaitu selepas pulang dari akademi pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam. Selepas itu, saya perlu mengaji.”
Bual bicara anak pintar semakin rancak. Kali ini, beliau galak bercerita tentang kisah bagaimana beliau mula masuk ke Akmal.
Ceritanya, hal itu dicadangkan oleh kedua ibu bapanya.
“Sebenarnya, sebelum ini saya pernah menghafal juz amma (juzuk ke-30 dalam al-Quran) ketika bersekolah di Sekolah Rendah Agama Integrasi Shah Alam sebelum ini. Bila masuk sekolah tahfiz, saya rasa sangat teruja hendak menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa setahun,” jelasnya yang memasuki sekolah tahfiz sepenuh masa dan berulang-alik dari rumah ke akademi setiap hari.
Bermula dengan satu muka surat al-Quran bagi hafalan baharu sehari, Khaer Farish mula mendapat ‘rentak’ selepas sebulan di akademi berkenaan.

“Sehari, maksimum, saya boleh hafal enam muka surat sehari bagi hafalan baharu. Akhirnya pada 12 Disember 2018, saya berjaya menghabiskan 30 juzuk al-Quran iaitu selama 261 hari tidak termasuk hari cuti dan cuti sakit,” ujarnya yang kini dalam proses mendapatkan sijil syahadah bagi memantapkan bacaan dan hafalan di akademi itu.

Meskipun kini bergelar hafiz, Khaer Farish memberitahu Sinar Islam, dirinya menyimpan impian untuk bergelar seorang doktor suatu hari nanti.

Rutin padat Bilal

Rutin yang direntas Khaer Farish turut sama dengan apa yang dilalui Syed Muhammad Bilal Syed Helmy atau Bilal.
Bilal merupakan pelajar tingkatan lima Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Shah Alam. Beliau mula bersekolah di situ sejak empat tahun lalu.
Bezanya, Bilal merupakan pelajar tahfiz akademik. Selain belajar tahfiz, Bilal juga perlu menyeimbangkan pengajiannya dengan subjek akademik yang lain seperti Matematik, Sains, Sejarah dan sebagainya.
Ujar Bilal, 18, cabaran paling besar dalam menghafaz al-Quran adalah mengulang hafalan selepas habis 30 juzuk al-Quran.
“Bagi seorang hafiz, ia 1,000 kali lebih susah daripada hafalan yang baharu. Sebab dalam tempoh waktu menghafaz 30 juzuk itu, ada ustaz dan ustazah yang beri bimbingan.
“Bila sudah habis 30 juzuk, saya terpaksa mengulang sendiri. Walaupun masih ada juga bimbingan dari ustaz dan ustazah tetapi mereka akan lebih memfokuskan kepada pelajar yang belum habis hafal,” katanya yang tamat menghafal 30 juzuk al-Quran pada 26 Januari 2018.
Sepanjang dalam tempoh hafalan, Bilal akan bangun seawal pukul 4 pagi.
Anak muda ini terlebih dulu akan mengemas bilik dan bersiap sedia untuk melakukan qiamullail pada pukul 5 pagi.

PELAJAR Akmal cawangan Shah Alam khusyuk menghafaz ayat-ayat suci al-Quran.

“Bagi saya, antara pukul 4 pagi hingga 5 pagi, ia adalah waktu mutiara bagi saya kerana tempoh yang paling mudah hendak hafal ayat-ayat baharu.

“Kelas untuk tasmik akan bermula jam 7 hingga 8.30 pagi, kemudian ulang balik bacaan dari pukul 9.30 hingga 10.30 pagi.
“Selepas itu, kira-kira pukul 11 pagi, saya akan belajar akademik hingga pukul 2 petang. Petang pula ada aktiviti kokurikulum yang berbeza setiap hari,” jelasnya yang akan menyambung hafalan ayat baharu pada pukul 8 malam.

Jaga pemakanan

Bilal meneruskan naratif cerita yang membuatkan penulis teruja untuk mendengar.
Ujar Bilal, antara perkara paling penting dalam hafalan al-Quran ialah pemakanan.
“Antara yang wajib dimakan setiap hari adalah minum madu dan makan vitamin C sebelum tidur. Selain itu, Pak Haji (Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Mohammad Bokhari Shariff) juga ada sediakan kismis dan kurma untuk kami makan.
“Apa yang menjadi pantang larang bagi kami ialah makanan segera, makanan proses seperti burger, organ dalaman dan asam jeruk. Untuk makanan yang lain, kami juga seperti orang lain, makan lauk seperti kebanyakan orang,” ujarnya.
Pada saat remaja seusianya leka dan obses dengan telefon pintar, pendekatan itu dihindari oleh Bilal. Ya, beliau tiada langsung telefon bimbit!

“Memang saya pernah minta daripada mak dan ayah tetapi mak tak bagi sebab hendak menjaga hafalan al-Quran saya. Mak takut saya lalai.

“Tengok televisyen pun ada masa tertentu. Dalam sehari, dari pukul 10 pagi hingga sebelum waktu Zuhur saja saya boleh tonton. Tapi selalunya saya tak menonton sebab bosan,” jelasnya.
Walaupun cuti sekolah, namun aktiviti mengulang bacaan al-Quran dan mengulang kaji pelajaran perlu diteruskan Bilal. Pihak sekolahnya menyediakan sistem Borang Cuti Sekolah yang memerlukan segala aktiviti dilakukan di rumah dicatat dan ditandatangani ibu bapa.
“Mak biasanya akan tanya dulu aktiviti saya buat sebelum turunkan tanda tangan setiap hari. Saya sendiri pun rasa hidup saya tidak lengkap jika tak baca al-Quran sehari.
“Pernah saya tertidur dan tidak mengulang bacaan, saya rasa macam nak marah orang dan hati gundah gulana. Sebab itu saya perlu baca al-Quran setiap hari,” katanya.

Anak hafiz al-Quran bukan penghapus dosa ibu bapa

BIARPUN jadual pelajar tahfiz di sekolah agak ketat dengan rutin harian masing-masing, namun kehidupan mereka sebenarnya masih lagi sama seperti orang lain.
Pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul berkata, tanggungjawab mereka lebih besar lagi kerana perlu menjaga dan memelihara al-Quran.

“Mereka tidak boleh buat apa yang tidak dibolehkan oleh syariat dan orang yang hafal al-Quran ini perlu lebih warak serta menjauhi perkara-perkara syubhah (halal dan haramnya tidak jelas),” katanya kepada Sinar Islam.


Melihat kembali konsep al-Quran, beliau yang juga Musyrif Akademi Al-Quran Amalillah Cawangan Shah Alam berkata, kalam ALLAH itu juga mengajar kita untuk mengejar duniawi, selain ukhrawi (akhirat).
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77).
Berdasarkan ayat itu, Imam Muda Fakhrul berkata, konsep yang ditekankan ALLAH SWT adalah melebihkan akhirat, namun dunia juga jangan dilupakan. “Apa sahaja yang kita buat di dunia ini adalah untuk mendapat bahagian di akhirat,” ujarnya.
Kepada satu soalan, beliau menjawab: “Ada sesetengah orang menganggap anak sebagai penghapus dosa ibu bapa. Sebab dulu ibu bapa tiada pendidikan tahfiz, jadi mereka bawa anak mengaji al-Quran sebagai penghapus dosa. Sebenarnya, menghantar anak ke sekolah tahfiz ini bukan sebagai penghapus dosa ibu bapa tetapi untuk kita membina generasi yang lebih baik.” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas menjelaskan, apabila seseorang itu memilih untuk menjadi hafiz al-Quran, dia sebenarnya telah memilih untuk menguasai dunia dan akhirat.
Bagaimana untuk mewujudkan 1 rumah, 1 hafiz al-Quran? Berkongsi beberapa tip penting, Shadiya menjelaskan, ia bermula daripada niat ibu bapa sejak anak mereka masih dalam kandungan lagi dan kerap berdoa supaya kita bersama anak-anak menjadi ‘Hamlatul Quran’ iaitu pemelihara al-Quran.
http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.923841.1552638152!/image/image.jpg
Selain itu, ujar beliau, pasangan suami isteri perlu bekerjasama dengan menjadikan al-Quran sebagai rutin harian untuk dibaca bersama anak-anak.
“Bukan itu sahaja, kita perlu juga sentiasa memperbaiki bacaan dan berusaha menghafaz surah-surah pendek dari juzuk 30.
“Kita juga perlukan sokongan harta benda. Dr Aidh al-Qarni berkata, ibu ayah yang menghabiskan hartanya untuk anak-anak mendapat pendidikan al-Quran tidak akan rugi kerana di dalam al-Quran memiliki segenap lautan ilmu,” jelasnya.

Bagi menjadikan al-Quran sebagai suatu keseronokan, beliau menitipkan pesanan supaya ibu bapa boleh mengadakan permainan berbentuk silang kata surah dalam kalam ALLAH itu dan kuiz kisah al-Quran.


💙💙💙💙💙💙💙💚💚💚💚💚💚💚❤❤❤❤❤❤💛💛💛💛💛💛💜💜💜💜💜🖤🖤🖤🖤🖤💞💞💞💞💞💞




No comments: