20 February 2018

Rasulullah pembawa cahaya kebenaran



Rasulullah pembawa cahaya kebenaran


MUHAMMAD bin Abdullah diputerakan pada Isnin, 12 Rabiul Awal Tahun Gajah, ketika peristiwa Abrahah al-Asyram bersama tentera bergajahnya menyerang Kota Makkah dan mahu meruntuhkan Kaabah.

Peristiwa bersejarah terhadap Kaabah itu dirakamkan dalam al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-Fil, bermaksud: “Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?

“Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? Dia mengirimkan kepada mereka burung berbondong-bondong yang melempar mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, lalu menjadikan mereka seperti daun-daun dimakan (ulat).”

Walaupun dilahirkan di tengah masyarakat Quraisy jahiliyah, Muhammad langsung tidak terpengaruh dengan amalan kaum itu, jauh sekali untuk bersengkokol melakukan perbuatan yang dimurkai Tuhan.

Sesuai dengan latar belakangnya daripada keturunan mulia dan disegani, bersambung dengan Nabi Ibrahim melalui puteranya Nabi Ismail, sejak kecil Muhammad terpelihara daripada perkara dan perbuatan menyalahi agama.

Ketika kanak-kanak, baginda dikunjungi Jibril dan dibelah dadanya bagi mengeluarkan segumpal darah lalu membersihkannya dengan air zam zam dan meletakkannya kembali ke dalam dadanya.

Pada usia remaja, pendapat baginda diterima masyarakat dalam menyelesaikan masalah. Pendek kata, dalam segala urusan yang mengakibatkan pertikaian, Muhammad dipanggil sebagai pendamai dan ‘hakim’.

Muhammad diangkat Allah sebagai rasul pada usia 40 tahun, ketika berkhalwa di Gua Hira’. Kerasulannya bukan terbatas pada kaum Quraisy yang hidup dalam kegelapan ketika itu, malah melangkaui sempadan dan bangsa.

Firman Allah bermaksud: “Kami telah mengutus engkau Muhammad kepada manusia sebagai Rasul. Cukuplah Allah menjadi saksi. Sesiapa mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia mentaati Allah...(an-Nisa: 79-80)

Selepas kerasulannya, Muhammad tidak lagi dipandang tinggi oleh sebilangan besar masyarakat Quraisy, malah ada yang mengejek dan melemparkan pelbagai tohmahan, termasuk mengatakannya gila.

Baginda juga mahu diperdayakan bangsawan Quraisy dengan pelbagai tawaran, termasuk wanita cantik dan harta. Namun, semua itu ditolak oleh Muhammad.

Lebih dahsyat, dalam usahanya menyampaikan kebenaran dakwah Islam, sekali gus menolak kehidupan jahiliyah yang diamalkan kaumnya selama ini, nyawa baginda turut terancam.

Walaupun orang Quraisy berusaha sedaya-upaya membunuh Muhammad dan melenyapkan ajaran Islam, kuasa Allah mengatasi segalanya, kerana nyawa baginda tetap selamat dan agama lurus itu tetap terpelihara.

Malah, ekoran hasrat jahat Quraisy itu membawa kepada peristiwa penghijrahan Muhammad bersama sahabatnya ke Madinah, yang akhirnya menyaksikan perkembangan pesat agama Islam.

Usaha dan kegigihan Muhammad menyampaikan ajaran Allah akhirnya mendapat kejayaan, malah kesinambungan dakwah itu diteruskan sahabat dan tabiin, sehingga ke seluruh benua Asia dan sebahagian Eropah.

Kini, penganut Islam berbilion dan hidup di merata-rata tempat, termasuk di negara komunis dan sosialis. Kenyataannya, umat Islam semakin bertambah, kerana berkat usaha Muhammad satu ketika dulu.

Pengutusan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul terakhir kepada umat manusia adalah rahmat, yang membolehkan kita hari ini membezakan perkara baik dan buruk, dosa dan pahala, Tuhan dan hamba, dunia dan akhirat.

Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali menjadi rahmat bagi semesta alam. (al-Anbiya: 107)

Muhammad adalah penyelamat umat daripada kesesatan akidah, kedangkalan siasah syariah dan muamalat serta kejumudan pemikiran. Baginda memang patut disanjungi dan dijulang kerana jasanya cukup besar.

Kini tiba lagi ulang tahun hari keputeraannya dan ia pasti disambut seluruh umat Islam. Walaupun rumpun penganut Islam berbilang bangsa dan warna kulit, sambutannya tidak lari daripada mengungkapkan kalimah pujian dan selawat ke atas Muhammad.

Mengenai sambutan hari keputeraan junjungan besar Muhammad ini ada hadis memperkatakannya: “Sesiapa yang membesarkan hari kelahiranku, nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan sesiapa membelanjakan satu dirham untuk maulidku (keputeraan), seolah-olah dia membelanjakan emas sebesar gunung untuk agama Allah.”

Imam Syafie berkata: “Barang siapa mengumpulkan orang Islam untuk menyambut Maulid Nabi Muhammad saw dengan membaca maulid dan mengadakan syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat kebajikan, nescaya Allah akan membangkitkan mereka pada hari akhirat bersama para wali, orang syahid dan soleh. Dia berada dalam syurga yang penuh kenikmatan.”

Justeru, pada kesempatan ini marilah kita menyambut ulang tahun keputeraan Muhammad dengan memberikan selawat sebanyak-banyaknya sebagai tanda kebanggaan dan kesyukuran menjadi umatnya.

Sempena hari mulia itu, tidak salah jika kita menjadikannya sebagai titik tolak dan pembakar semangat untuk menjadi insan lebih baik, dari segi iktikad, amalan, tutur kata dan budi pekerti.

Dalam agama pun, kita sangat dituntut mencontohi sikap dan sifat Muhammad, lebih-lebih lagi terhadap ajaran yang disampaikannya yang perlu dipatuhi dan dipraktikkan supaya kita tidak terkeluar daripada golongan umat Muhammad.

Memang dalam kehidupan akhir zaman yang serba-serbi pantas berlaku dan berlalu, sesetengah umat Islam sibuk dengan urusan duniawi, seolah-olah mahu hidup di dunia buat selama-lamanya dan langsung tidak menghiraukan kehidupan akhirat.

Keasyikan itu kadangkala mengakibatkan asas tuntutan Allah dan Rasul, seperti solat diabaikan. Bagi golongan ini, alangkah sukarnya memperaktikkan tuntutan Allah seperti yang dianjurkan Muhammad.

Mereka yang liat dengan tuntutan itu kadangkala tidak sedar mereka sebenarnya lupa maksud sebenar pengertian ‘ikut’ dan ‘patuh’ kepada Allah dan Rasul-Nya, Muhammad seperti yang disebut dalam al-Quran.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman ikutlah Allah dan RasulNya...(Muhammad:33)

Perkataan “ikut” itu tidak terhenti setakat perakuan lidah dan hati terhadap keesaan Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya, malah perlu ditonjolkan dengan amal ibadah serta menghiasi kehidupan dengan adab dan tingkah laku mulia.

Tidak dinafikan, memang sukar untuk mempraktikkan segala yang disampaikan Rasulullah, terutama bagi mereka yang tipis iman dan sering terjebak dalam dosa dan noda.

Apa pun, selagi kita mengaku umat Muhammad, jangan sampai tingkah laku kita membawa kepada unsur penentangan terhadap ajaran yang disampaikannya, kerana musibahnya cukup besar.

Firman Allah dalam surah al-Nisa, ayat 115, bermaksud: “Sesiapa menentang Rasul selepas nyata petunjuk baginya dan mengikut bukan jalan orang-orang mukmin, nescaya kami angkat dia menjadi pemimpin apa yang dipimpinnya dan kami masukkan dia ke dalam neraka jahanam. Itulah sejahat-jahat tempat kembali.”

No comments: