Umat Islam dianjurkan supaya selalu berdo'a dan
berzikir dalam apa jua keadaan demi mendapatkan rahmat dan keberkatan hidup
daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Ia juga dihasratkan untuk mengelakkan
daripada terjadinya gangguan-gangguan makhluk-makhluk seperti jin dan syaitan,
sama ada ketika senang ataupun susah, ketika berdiri, duduk, berjalan, bekerja
dan begitu juga waktu bangun dan tidur.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menganjurkan
agar kita selalu berzikir, sehingga dalam perkara tidur juga kita diberikan
garispanduan dengan menganjurkan do'a dan zikir-zikir tertentu. Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai model terunggul bagi umat Islam telah
menggariskan adab kesopanan, peraturan dan panduan ketika tidur untuk diamalkan
sebagaimana Baginda sendiri mengamalkannya.
Dalam sebuah hadis diterangkan:
Maksudnya: "Al-Barra' bin Azib Radhiallahu
'Anhu berkata: "Adalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam jika akan
tidur, miring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca:
Maksudnya : " Ya Allah aku serahkan diriku
kepadaMu dan menghadapkan mukaku kepadaMu dan menyerahkan semua urusanku
kepadaMu, dan menyandarkan punggungku kepadaMu kerana mengharap dan takut
kepadaMu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksaMu kecuali
kembali kepadaMu. Aku percaya kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang
telah Engkau utus".
(Hadis riwayat Bukhari)
Menurut sebuah hadis lagi riwayat Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: "Jika kamu akan tidur maka berwudhu'lah
bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan
bacalah do'a ini (seperti do'a yang tersebut di atas) dan jadikanlah bacaan
do'a itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)".
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga pernah
tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana
maksud hadis :
"Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa
saudaranya, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidur terlentang
di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain."
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Tidur adalah dianggap sebagai ibadat seorang hamba
kepada Penciptanya, iaitu sekiranya seseorang itu tidur dengan melakukan
saranan-saranan dan mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Dalam sebuah hadis daripada Huzaifah katanya: "Nabi
Sallallahu 'Alaihi Wassalam apabila Baginda berbaring di tempat tidurnya,
Baginda berdo'a (Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan aku
hidup) dan apabila bangun Banginda membaca:
(Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku
kembali setelah mematikan aku dan kepadaNyalah tempat kembali)."
Dalam riwayatnya yang lain menerangkan: "Daripada
'Aisyah Radhiallahu 'Anha katanya: "Nabi Sallalahu 'Alaihi Wasallam
apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam Baginda mengangkat kedua
tangannya (seperti berdo'a), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah
al-Falaq, surah an-Nas, kemudian Baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh
badan yang dapat disapunya mulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan
daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.
(Diriwayatkan oleh at-Tirmizi)
Selain itu sebelum tidur Baginda menunaikan sembahyang
Witir sebagaimana hadis yang menyebutkan: "Nabi Sallallahu 'Alaihi
Wasallam juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu
manusia ketika tidur. Oleh itu umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan
sembahyang witir setiap kali sebelum tidur.
(Hadis riwayat Bukhari)
Ketika Baginda terbangun daripada tidur di tengah
malam pula, Baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum Baginda
tidur semula.
Dalam sebuah hadis yang lain pula Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam
bersabda: "Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur
dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang
di antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan
yang pertama. Apabila dia berwudhu' maka akan terbukalah ikatan yang kedua.
Apabila dia sembahyang maka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan
merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas
dan kekusutan hati"
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Demikian antara cara tidur Rasullullah Sallallahu
'Alaihi Wasallam untuk menjadi amalan kita.
No comments:
Post a Comment