DIALOG IBLIS DENGAN RASULULLAH S.A.W
Allah SWT telah memerintahkan
seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa dengan Rasulullah saw untuk
memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya.
Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai peringatan
dan perisai kepada umat manusia.
Maka Malaikat itu pun berjumpa
Iblis dan berkata,
“Hai Iblis! Bahawa Allah Yang
Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw.
Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah
hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau
satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu,
uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras.”
Demi mendengar sahaja kata
Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia
menghadap Rasulullah saw dengan
menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan
berjanggut putih 10 helai;
panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali
tidak juga dijawab oleh
Rasulullah saw. Maka sembah Iblis (alaihi laknat),
“Ya Rasulullah! Mengapa tuan
hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?”
Maka jawab Nabi dengan marah,
“Hai Aduwullah seteru Allah!
Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku
sebagaimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga, Habil mati
teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup
dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara
beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman
meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu
juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan
engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu
sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak
hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah
Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak
engkau datang berjumpa aku?”
Sembah Iblis,
“Ya Nabi Allah! Janganlah tuan
hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan
hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya
hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi
Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan
sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan.”
Maka Iblis pun bersumpah
menyebut nama Allah dan berkata,
“Ya Rasulullah! Sekiranya hamba
berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu.”
Apabila mendengar sumpah Iblis
itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku
untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang
ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi (1):
“Hai Iblis! Siapakah
sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?”
Jawab Iblis: “Ya Nabi Allah!
Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi
ini.”
Maka Nabi pun memandang muka
Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,
“Ya Khatamul Anbiya! Ada pun hamba
dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain
hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang
tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri
tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam
supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya
mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik
mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam
dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal
di dalamnya bersama hamba.”
Soalan Nabi (2):
“Hai Iblis! Betapa perbuatanmu
kepada makhluk Allah?”
Jawab Iblis:
“Adalah satu kemajuan bagi
perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya,
setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia
supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba
lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya,
tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan ke jalan haram. Demikian juga
ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan
sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah
akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah
beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan
zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang
hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah
mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya
mereka menangguhkannya. Bertambah keras
hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda
hatinya, datanglah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya.
Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat.
Demikianlah hamba goda mereka setiap saat.”
Soalan Nabi (3):
“Hai Iblis! Mengapa engkau
bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah
bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang
paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang
melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi
pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?”
Jawab Iblis:
“Sekelian itu adalah anugerah
daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan
hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu
tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan
dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia
ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman
Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun
membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat
memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka
kepada hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar
menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati.
Kemudian Allah menjadikan Adam
raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah
sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti
Hawa yang menyuruh Adam memakan buah -(buah ini tiada bernama), lalu keduanya
dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian
dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang
anak.
Kemudian kami hasut anak
lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak
puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat.
Sebelum tuan lahir ke dunia,
hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri
segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan
pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu
manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai
tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi
apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah
untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga
di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka
Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah
banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya
terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk
menjalankan tugas hasutan.”
Soalan Nabi (4):
“Hai Iblis! Apakah yang pertama
engkau tipu akan manusia?”
Jawab Iblis:
“Pertama sekali hamba palingkan
iktikadnya, imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan,
perkataan, kelakuan atau hatinya.
Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara
mengurangkan pahala.
Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba”
Soalan Nabi (5):
“Hai Iblis! Jika umatku
sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis:
“Sebesar-besar kesusahan kepada
hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba
kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota
badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas
sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia
yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya -
matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang
bercakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah
Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa
sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak
cepat habis sembahyang, itu semua membawa kepada kurang pahala. Jika para Iblis
itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka
dengan seberat-berat hukuman.”
Soalan Nabi (6):
“Jika umatku membaca Al-Quran
kerana Allah, apalah rasa engkau?”
Jawab Iblis:
“Jika mereka membaca Al-Quran
kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba
lalu hamba lari daripadanya.”
Soalan Nabi (7):
“Jika umatku mengerjakan haji
kerana Allah, bagaimana rasa engkau?”
Jawab Iblis:
“Binasalah diri hamba, gugurlah
daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya.”
Soalan Nabi (8):
“Jika umatku berpuasa kerana
Allah, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis:
“Ya Rasulullah! Inilah bencana
yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan,
maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut
dengan kesukaan.
Bagi orang yang berpuasa, Allah
akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat
besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa.
Yang menhancurkan hati hamba
ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan
ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa.
Satu lagi kemuliaan orang
berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua
pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta
dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut
ke dalam syurga.
Pada hari umat tuan mula
berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap
hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan
besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana
pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami.”
“Setelah habis umat tuan berpuasa
barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat
tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan
bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa.”
Soalan Nabi (9):
“Hai Iblis! Bagaimana sekelian
sahabatku kepada engkau?”
Jawab Iblis:
“Sekelian sahabat tuan hamba juga
adalah sebesar - besar seteru hamba. Tiada upaya hamba
melawannya dan tiada satu tipu
daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah
berkata yang,
“Sekelian sahabatku adalah
seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat
petunjuk.”
Saidina Abu Bakar al-Siddiq
sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya,
inikan pula setelah berdamping
dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia
menjadi wazirul a’zam. Bahkan
tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini
dengan amal kebajikan Abu Bakar,
maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan
pula dia telah menjadi mertua
tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang
juga banyak menghafaz Hadis tuan.
Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang
akan wajahnya kerana dia sangat
keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika
hamba pandang wajahnya, maka
gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini
kerana imannya sangat kuat
apalagi tuan telah mengatakan,
“JIKALAU adanya Nabi sesudah
aku maka Umar boleh menggantikan aku”,
kerana dia adalah orang harapan
tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga
digelar ‘Al-Faruq’. Saidina Usman
Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa
bergerak membaca Al-Quran. Dia
penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi
menantu tuan sebanyak dua kali.
Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi
hormat kepadanya kerana Malaikat
itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,
“Barang siapa menulis
Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah,
nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid.”
Saidina Ali Abi Talib pun itu
hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan
perang, tetapi sangat bersopan,
alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka
terbakarlah kedua mata mereka
kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak
pertama memeluk agama Islam dan
tidak pernah menundukkan kepalanya kepada sebarang
berhala. Digelar ‘Ali Karamullahu
Wajhahu’ - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga ‘Harimau
Allah’ dan tuan sendiri berkata, “Akulah
negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya.”
Tambahan pula dia menjadi
menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.”
Soalan Nabi (10):
“Bagaimana tipu daya engkau
kepada umatku?”
Jawab Iblis:
“Umat tuan itu ada tiga macam.
Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala
tumbuhan iaitu ulama yang memberi
nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah
serta meninggalkan laranganNya seperti
kata Jibrail a.s,
“Ulama itu adalah pelita dunia
dan pelita akhirat.”
Yang kedua umat tuan seperti
tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat
amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun;
terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba
pun sukacita lalu masuk ke dalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan
derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia
sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa
beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba
godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka
dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana
mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia
sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia
harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan
hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur.”
Soalan Nabi (11):
“Siapa yang serupa dengan
engkau?”
Jawab Iblis: “Orang yang
meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam.”
Soalan Nabi (12):
“Siapa yang mencahayakan muka
engkau?”
Jawab Iblis: “Orang yang
berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji.”
Soalan Nabi (13):
“Apakah rahsia engkau kepada
umatku?”
Jawab Iblis:
“Jika seorang Islam pergi buang
air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan
najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari.”
Soalan Nabi (14):
“Jika umatku bersatu dengan
isterinya, bagaimana hal engkau?”
Jawab Iblis:
“Jika umat tuan hendak
bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah
hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya,
dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka
anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini
semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa
membaca Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan,
tiadalah rasa kenyang.”
Soalan Nabi (15):
“Dengan jalan apa boleh menolak
tipu daya engkau?”
Jawab Iblis:
“Jika dia berbuat dosa, maka
dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila
marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya.”
Soalan Nabi (16):
“Siapakah orang yang paling
engkau lebih suka?”
Jawab Iblis:
“Lelaki dan perempuan yang
tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari (bulu kemaluan)
selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung,
berbuai seperti pijat pada bulu itu.”
Soalan Nabi (17):
“Hai Iblis! Siapakah saudara
engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang tidur meniarap,
orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu
hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar,
maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat.”
Soalan Nabi (18):
“Apakah jalan yang membinasakan
diri engkau?”
Jawab Iblis: “Orang yang banyak
menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat,
banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam.”
Soalan Nabi (19):
“Hai Iblis! Apakah yang
memecahkan mata engkau?”
Jawab Iblis: “Orang yang duduk
di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya”
Soalan Nabi (20):
“Apa lagi yang memecahkan mata
engkau?”
Jawab Iblis:
“Orang yang taat kepada kedua
ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan pakai mereka selama mereka
hidup, kerana tuan telah bersabda,
“Syurga itu di bawah tapak kaki
ibu “
[Luqman Hakim’s HomePage] [Kisah-Kisah Tauladan] [Luqman Hakim
Islamic Page]
[Islamic Resoruces]
--- main ---
No comments:
Post a Comment