22 February 2018

Apakah Kamu Tidak Merindui Rasulullah SAW?




Apakah Kamu Tidak Merindui Rasulullah SAW?

Pic by: laluzdelislam
Satu ketika sedang baginda duduk bersama sahabat, Rasul menyatakan kepada sahabat yang beliau merindui ikhwannya. Lantas para sahabat menjawab bahawa kamilah ikhwanmu wahai Rasulallah, lalu baginda menjawab: “Kalian sahabatku, ikhwanku adalah mereka yang datang sesudah kalian, mereka beriman kepadaku sedang mereka tidak pernah melihatku.”
Sesungguhnya Rasul merindui umatnya, walaupun tidak bertemu mata tapi kerana ikatan iman dan kepercayaan kepada baginda sebagai sang utusan Allah, maka kita beriman dengan kerasulan baginda yang menjadi rahmat buat sekalian alam. Baginda diutuskan membawa mesej besar menyelamatkan umat di dunia dan akhirat, itu satu misi penyelamatan besar yang dibawa dengan penuh amanah.
Tiada makhluk yang tidak akan tertawan jiwa kerana akhlak baginda sehingga makhluk itu akan mencintai serta merindui baginda SAW. Persoalannya, apakah kita merindui Rasulullah SAW?
Kisah Cinta di Sebalik Pohon Kurma
Satu ketika di Madinah, Masjid Nabi mempunyai sebuah mimbar yang diperbuat daripada pohon kurma setelah sekian lama berlalu, ia menjadi usang dan digantikan dengan mimbar yang baru. Saat digantikan terdengar suara esakan tangis dari mimbar lama, ia benar-benar didengari oleh para sahabat yang lain.
Sungguh pohon kurma dari mimbar lama menangis kerana tidak lagi dapat berkhidmat dan bersama dengan Rasulullah SAW. Walaupun ia sekadar pohon ia merindui saat bersama dengan Rasulullah, saat menjadi tempat berdirinya kaki Rasulullah bagi menyampaikan isi khutbah. Rindu pohon pada masa-masa silam yang menjadi khidmat buat makhluk terbaik di muka bumi. Tanya diri kita, apakah kita tidak merindui akan Rasulullah SAW sedang pohon kurma yang tidak diberi taklif sudah pun merindui baginda?
Tiada alasan untuk kita sebagai umatnya tidak merindui baginda. Baginda yang telah menghabiskan keringat tenaga dan seluruh kehidupan baginda memastikan risalah ilahi tersebar di seluruh alam, melalui kata-katanya yang indah lagi memikat para pendengar tentang keesaan dan keagungan Allah serta melalui tauladan yang tiada tandingnya.
Seolah kelihatan Al-Quran yang berjalan, terlihat agama yang murni kerana tauladan dan budi setelah masyarakat hilang contoh-contoh tauladan dalam kehidupan, maka kehadiran baginda dalam masyarakat telah membuatkan tiada hati yang tidak terpaut dengan ketulusan budi pekerti baginda.
Sabda baginda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. Malah ia diakui sendiri oleh ibu bagi sekalian orang beriman, Aishah RA saat ditanya perihal akhlak baginda: “Sesungguhnya akhlak baginda adalah Al-Quran”.
Bagaimana Para Sahabat Mencintai Baginda?
Kerana kecintaan mereka yang tinggi terhadapa Rasulullah SAW, mereka membuktikan kecintaan saat baginda berada di dalam lebaran hidup mereka, mereka mengukir kisah cinta mereka agar ia dicontohi juga oleh generasi selepas itu supaya generasi mendatang turut sama mencintai Rasulullah walaupun baginda sudah wafat.
#1 Kisah Saidina Ali dalam membuktikan cinta
Beliau masih muda usianya dengan penuh keyakinan tidur di tempat baginda sedang beliau tahu pada hari itu pemuda-pemuda dari kaum kafir Mekah sedang merencanakan misi pembunuhan ke atas Rasulullah SAW. Pemuda-pemuda kafir yang memikul misi ini bukan sebarang pemuda tetapi mereka  yang terbaik daripada setiap kabilah dan perlu menghunus pedang sama-sama menikam baginda supaya setiap pedang pastikan ada darah Baginda SAW. Sehingga tiada kabilah yang akan disalahkan atas pembunuhan ini kerana semua kabilah terlibat dalam rencana ini.
Tetapi anak kecil ini, Saidina Ali walaupun beliau tahu perencanaan ini akan berlaku dan menerima arahan daripada baginda untuk tidur di pembaringan Rasulullah dengan penuh keyakinan dan tiada sedikitpun kerisauan. Semua ini tanda kecintaan beliau terhadap baginda SAW.
#2 Kecintaan Saidina Abu Bakar dan Keluarganya terhadap Rasulullah SAW. 
Kerana cinta yang membara-bara terhadap sosok tubuh baginda, Saidina Abu  Bakar memilih menjadi teman permusafiran hijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW bagi mengawasi tiada makar jahat sepanjang perjalanan yang cuba berlaku.
Ketika berada di Gua Tsur, beliau dengan kuat kudrat dan tenaga, tidak berganjak dan tidak pula bergerak sedangkan beliau sedang menahan sakitnya binatang yang menggigit pergelangan kakinya kerana bimbang terjaganya Rasulullah SAW yang sedang tidur di pangkuan Saidina Abu Bakar. Sehingga akhirnya baginda terbangun bukan disebabkan gerakan Saidina Abu Bakar atau jeritannya tetapi kerana titisan air matanya dek menahan sakit telah terkena di pipi baginda SAW.
Begitu juga anak perempuan beliau, Asma’ Binti Abu Bakar, saat keadaan beliau yang sarat mengandung perlu menjaga kerahsian akan keberadaan Rasulullah SAW dan ayahnya semasa hijrah di samping berdisiplin dalam menghantar bekalan makanan melalui padang pasir yang panas serta tingginya Bukit Tsur. Semuanya dibuat dengan penuh amanah atas kecintaan keluarga ini terhadap Rasulullah SAW.
#3 Cinta Thalhah Buat Baginda
Ingatkah kita kisah Thalhah Bin Ubaidillah RA saat perang Uhud, ketika perang sedang berkecamuk dan sudah kelihatan kemenangan buat para kuffar, umat Islam sebahagiannya terpedaya dengan tipu daya perang ketika itu yang mengucarkacirkan barisan pertahanan perang. Kedudukan Rasulullah SAW berada dalam keadaan bahaya.
Tentera musuh berusaha mencari susuk baginda untuk dibunuh, Thalhahlah yang menjadi perisai kepada Rasulullah SAW, tanpa memikirkan nyawa beliau, nyawa baginda lebih penting buat masa depan Risalah Islam. Ketika anak panah terbang meluru ke arah baginda SAW. Badan beliau sebagai penyelamat kepada Rasulullah SAW, entah berapa banyak luka di badan beliau yang menjadi saksi keagungan cinta beliau buat baginda.
Begitulah kisah sebahagian yang mampu dinukilkan di sini bagaimana kecintaan mereka terhadap baginda Rasul junjungan. Mereka berusaha melakarkan sejarah manis bersama, kerana tubuh baginda di hadapan mereka.
Kesimpulan: Rindu Rasulullah SAW
Maka apakah kita mencintai Rasulullah SAW sebagaimana para sahabat RA? Ya kita tahu sememangnya agak sukar kita mencintai satu sosok tubuh yang kita sendiri tidak pernah berjumpa atau melihat dengan mata sendiri.
Tetapi kerana besarnya nilai Islam dan risalah yang dibawa ini, bukan semudah yang disangka, besar pengorbanan junjungan Nabi SAW bagi memastikan semua makhluk mendapat kerahmatan daripada agama murni ini, yang menjunjung tinggi nilai akhlak membuatkan hati kita perlu dan wajib mencintai baginda melebihi daripada diri kita sendiri.
Maka kecintaan ini perlu menghasilkan sebuah kerinduan untuk bertemu dengan baginda sehingga ada dalam kalangan kita dikurniakan Allah SWT bermimpi bertemu baginda kerana Rasulullah SAW sendiri menyatakan: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi sesungguhnya ia benar-benar melihat aku”.
Yang lebih penting dalam kecintaan ini kita mencontohi akhlak baginda dalam kehidupan kita, serta menyebarkan rahmat risalah Islam ini ke seluruh alam. Dengan harapan, baginda yang menjadi pemberi syafaat kepada kita kelak nanti serta memasuki syurga bersama orang yang kita cintai iaitu Rasulullah SAW.
Pertahankanlah sosok baginda dalam jiwa kita saat ada pihak yang menghina baginda itu paling minima sekiranya kita tidak ada kemampuan untuk membalas tududuhan jahat itu. Bagi mereka yang mempunyai keilmuan, saat manusia menghina baginda sedang baginda sendiri tidak pernah menjumpai orang yang menghina baginda, maka anda berperanan untuk mempertahankan Rasulullah SAW dengan ilmu anda. Semoga kelak kita menjadi tentangga Rasulullah SAW.

No comments: