20 February 2018

Kisah Sebelum Saidina Umar Al-Khattab Memeluk Islam








sumber : wikipediaKisah Sebelum Saidina Umar Al-Khattab Memeluk Islam

Hati kecilnya tidak sanggup lagi melihat abangnya terus-menerus menjadi seteru Allah. Sejak Islam bersinar di bumi yang kontang itu,entah sudah berapa nyawa yang rebah hasil perbuatannya. Dia menyedari tiada kekuatan yang ampuh untuk menghalang segala kedurjanaan abangnya. Kerana abangnya terkenal dengan sikap bengis,keras kepala dan tidak mahu tunduk kepada sesiapa pun. Lantaran keperibadiannya itu membuatkan kaumnya takut,tunduk dan terpaksa hormat kepadanya. Masa terus berlalu,kedurjanaan itu semakin meresahkan hati Fatimah. Dikala itu hanya Tuhan saja yang tahu isi hatinya.

Sikap abangnya yang terlalu menghina dan memusuhi Islam sangat menghiris hatinya. Segala peristiwa itu membuatkan Fatimah rasa malu pada Rasulullah s.a.w dan para sahabat,lebih-lebih lagi pada Allah s.w.t Itu semua membuatkan ia bangun ditengah malam untuk menceritakan segalanya pada Tuhan. Tuhan Yang Maha Baik tentu tidak akan melupakan hambanya. Fatimah pernah mendengar Rasulullah berdoa,demikian bunyinya: “Wahai Allah s.w.t ,muliakan Islam dengan salah seorang dari dua Umar,Umar bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab.” Fatimah berharap sangat agar Tuhan memilih abangnya,Umar bin Al Khattab untuk menguatkan Islam.

Walaupun sifat abangnya terlalu garang,keras kepala,tegas dalam mempertahankan pendiriannya,dan menyeksa hambanya yang memeluk Islam hingga ada yang mati. Menurut sejarah,11 orang pernah diseksa oleh Umar hingga ada yang mati dan tercedera. Fatimah rasa bertanggungjawab untuk membetulkan dan mengislamkan abangnya. Tapi apalah dayanya,sedangkan keIslamannya sendiri masih disembunyikan dari pengetahuan abangnya. Kalau Umar tahu dia telah Islam,tentu buruk padahnya. Tentu berbagai penderitaan dan seksaan akan menimpanya. Sebab itulah Fatimah hanya mampu berdoa dan merintih kepada Allah siang dan malam. Semoga Allah selesaikan masalahnya segera. Bukankah Allah pernah berfirman dengan maksudnya: 

“Pintalah kepada-Ku,nescaya Aku akan kabulkan permintaanmu.”

Fatimah Al-Khattab yakin sungguh-sungguh bahawa Tuhan tentu tidak memungkirkan janji-Nya. Kiranya dia benar-benar menyerah diri kepada Allah dengan penuh yakin bahawa Allah sahaja yang boleh menyelesaikannya. Tuhan yang Maha Penyayang,Maha Pengasih,Maha Mengetahui, Maha Mendengar lagi Maha Agung tentu mendengar rayuannya setiap hari dan pasti akan menunaikan permintaannya. Pada suatu malam,Fatimah dan suaminya Said bin Zaid membuka kembali lembaran - lembaran kalam Allah yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Fatimah melagukan ayat-ayat itu dengan alunan irama yang indah,air matanya melimpah keluar ketika menghayati maksud dari ayat-ayat tersebut. Suaminya yang memerhati dan menyemak segala bacaannya turut terharu. Ayat-ayat yang dibaca oleh Fatimah menusuk kedalam jantungnya ,tenggelam dalam hatinya dan terus bertebaran ke dalam urat sarafnya.

Sedang masing - masing khusyuk menghayati maksud ayat Al-Quran itu,tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang mengintip dan memasang telinga mendengar ayat yang dibaca. Mata itu memandang dengan pandangan sinis tanpa berkelip - kelip,merah menyala menahan marah. Walaupun kalimah yang dibaca itu agak kurang jelas namun dia yakin bahawa kedua suami isteri itu kini telah Islam sebagaimana kata seorang pemuda yang ditemuinya sebentar tadi. Dengan suara lantang,Umar menjerkah mereka. Fatimah tersentak lalu cepat-cepat dia menyimpan lembaran itu.

“Kalimah apa yang aku dengar tadi??” Mereka berpura-pura menggeleng-gelengkan kepala menandakan tidak tahu.

“Aku mendengar kamu berdua telah mengikut agama Muhammad?Benarkah begitu?” jeritnya bagaikan halilintar. “Apa pendapatmu sekiranya agama selain agamamu itu adalah benar?” jawab adik iparnya Said. Mendengar itu Umar melompat ke arah iparnya itu,terjadilah pergelutan. Umar menarik janggut Said. Said terlentang,lalu diduduki oleh Umar di atas dadanya,sehingga tidak bergerak.Melihat kejadian itu Fatimah menolak badan Umar untuk membela suaminya. Spontan Umar berdiri lalu menempeleng muka adiknya. Fatimah terjatuh,dan darah merah mengalir keluar dari hidung dan mulutnya.

Fatimah bangkit dari tempat jatuhnya,tiba-tiba seakan-akan ada satu seruan yang menggesanya supaya mengatakan sesuatu kerana masa itulah saat yang paling sesuai untuk diterangkan mengenai Islam. Tanpa menghiraukan darah yang berhamburan itu Fatimah berkata dengan penuh keyakinan: “Wahai musuh Allah,engkau pukul kami kerana kami mengEsa kan Allah. Engkau boleh buat sesuka hatimu. Sekalipun engkau bunuh kami,kami tetap mengaku bahawa tidak ada Tuhan selain Allah,dan bahawa Muhammad s.a.w itu adalah Rasul Allah,yang akan membersihkan dunia ini dari sebarang kezaliman dan penindasan.

”Darah yang mengalir keluar dari hidung dan mulut Fatimah serta jawapannya yang begitu berani,membawa kesan yang mendalam pada jiwa Umar. Dengan tiba-tiba dia rasa menyesal dan sedih atas tindakannya yang melulu itu. Dia merasa bersalah kerana memukul adik kandungnya sendiri.

Dengan suara merendah,Umar berkata: “Berikan aku apa yang kamu baca tadi.”

Fatimah agak keberatan memberi kan lembaran itu tetapi melihatkan kesungguhan abangnya yang ingin mengetahui akhirnya Fatimah mengeluarkan lembaran ayat Al-Quran itu dan diberikan kepada Umar. Ayat tersebut berbunyi: “Kami tidak menurunkan Al-Quran itu kepadamu agar kamu mendapat kesusahan,tetapi sebagai peringatan bagi orang-orang yang takut (kepada Allah). Diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi (iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemayam di atas arasy.” [Surah Thaha: 1-5]

Berkata Sayidina Umar Al-Khattab: "Aku mengamati semua sahabat,dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua jenis pakaian,tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada taqwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik,namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki,tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar. Umar berpaling pada Fatimah seraya berkata “Alangkah baik dan indahnya kalimah-kalimah ini.” 

Mendengar jawapan tersebut keluar dari bibir Umar,Fatimah terasa seakan - akan bermimpi tapi bila sedar kembali itulah sebenarnya kenyataan. Fatimah berkata sambil menyebut kata-kata Rasulullah: “Ya Allah,kuatkanlah Islam dengan Umar bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab.Maka Allah telah memilih Umar,saudaraku sendiri.” Tiga kali Fatimah menyebut nama Allah kerana terlalu berterima kasih pada Tuhan yang telah memperkenankan doa Rasulullah s.a.w dan rintihan hatinya selama ini. Jiwa Umar kini telah berubah,jiwanya kini telah disinari dengan cahaya iman dan hidayah.

Umar berkata kepada Fatimah: “Tunjukkan kepadaku dimana Muhammad berada,aku akan datang padanya demi Islam.” Setelah memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w berada dirumah Arqam bin Abi Arqam,Umar bergegas meninggalkan mereka untuk mendapatkan Rasulullah s.a.w Kalau sebelum ini tujuannya adalah untuk memerangi Rasulullah tapi kini untuk berdamai dan menyatakan keislamannya.

Fatimah memandang suaminya,Said tersenyum,Fatimah turut tersenyum gembira. Setelah membersihkan darah yang keluar dari hidung dan mulutnya,Fatimah lantas sujud syukur kepada Allah. Bersyukur kerana telah menyelesaikan masalahnya. Bersyukur kerana Allah telah menyelamatkan saudara kandungnya dari terus kufur. Begitulah seorang wanita yang terpimpin hatinya. Wanita yang kaya jiwanya dengan segala sifat kesabaran,redha,dan tawakal pada Allah s.w.t. tenang berada dalam penderitaan,hatinya mengenagi Allah dengan rasa takut dan harap kepada-Nya. Hatinya sentiasa merasa kehebatan,keagungan,kemurahan dan kasih sayang Allah s.w.t Setiap masa yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk berfikir, mencari dan mengenali Allah s.w.t .

Matanya digunakan untuk membaca ayat-ayat Allah sebanyak- banyaknya. Telinganya digunakan untuk mendengar tentang Allah. Kaki dan tangannya digunakan untuk berbakti kepada Allah. Kesimpulannya seluruh anggotanya digunakan untuk mencari keredhaan Allah. Maka di dunia lagi Allah beri kemenangan kepadanya. Sejuklah hati Fatimah melihat abangnya kini bukan lagi seperti abangnya dulu.

Telah berubah menjadi manusia yang sempurna lahir dan batin. Hasil dari kesungguhan Umar bermujahadah,Allah muliakan darjatnya sebaris dengan para sahabat yang lain seperti Sayidina Abu Bakar yang dijamin syurga. Sebelum tidur,dia mengenang kembali perbuatannya sepanjang hari. Kalau dia terbuat sesuatu yang tidak disukai Allah s.w.t ,Umar akan merotan badannya sendiri hingga bengkak - bengkak. Didermakan separuh dari hartanya untuk membantu memperjuangkan agama Islam.

Doa Sayidina Umar yang paling terkenal: “Ya Allah, sibukkanlah aku dalam urusan agama-Mu.”

Saidina Umar Al - Khattab paling kuat mempertahankan hukum Allah. Pada masa ia menjadi khalifah,satu ketika anaknya sendiri terlajak membuat maksiat,Anak itu dihukum sesuai dengan hukum syariat Islam,dan akhimya anak itu mati ketika menjalani hukuman tersebut. Ketegasan Umar membezakan perkara yang hak dan yang batil membuatkan beliau digelar ‘Al Farouq’.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya ada nabi selepasku nescaya Umarlah orangnya.”

Begitulah kehebatan Saidina Umar Al-Khattab. Namun,tentunya kita tidak melupakan adiknya, Fatimah kerana di rumah Fatimahlah,menjadi tempat terbukanya jiwa Umar menerima cahaya llahi.Maka atas dasar itulah sesuai sekali Fatimah digolong dalam kelompok wanita solehah ,wanita mukmin sejati yang begitu berani mempertahankan keyakinan dan imanannya.

Selain dari itu kehebatan Sayidina Umar ialah ia seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga,baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui darimana ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu. Tanpa berlengah,

Umar bertanya kepada lelaki itu: “Dari manakah kamu dapat susu ini?”

Kemudian lelaki itu menjawab: “Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan dipadang pasir. Unta-untanya itu meragut rumput di situ.” Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.Umar berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.

"Siapa yang banyak cakap,banyaklah salahnya,bila banyak salahnya, banyaklah dosanya,bila banyak dosanya,maka neraka adalah yang utama baginya" - [SAYIDINA UMAR AL-KHATTAB]

Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati,dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain. Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.

“Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini,” kata Umar. Mendengar berita itu,isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isteri Umar. Umar tidak berkata apa-apa.Sejenak kemudian,beliau bersuara: “Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?” Tidak ada orang yang menjawab. 

Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya. Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: “Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?” Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang. Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata:

“Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita.” Oleh kerana itu,Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.


No comments: