Bulan
Rabiulawal sekali lagi menjemput seluruh umat Islam untuk memperingati
bulan kelahiran Nabi Muhammad saw. Kecintaan terhadap susuk seorang
Rasul dan Nabi yang tidak pernah dilihat oleh mata sepatutnya
menyuburkan kerinduan dan menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia,
namun sebaliknya membakar api sengketa antara umat Islam tatkala
membahaskan hukum menyambut kelahiran Rasulullah saw. Jelasnya masih
terdapat kekeliruan antara mengingati dan menyambut hari kelahiran
Rasulullah saw.
Allah
swt sentiasa mendorong hamba-hambaNya agar mengingati Rasulullah saw
dengan berselawat ke atas Baginda saw. Ertinya, bila rindu pada
Rasulullah saw maka berselawatlah atasnya. Dalam erti kata lain, selami
kehidupannya dan ikutilah jejaknya dalam kehidupan anda. Pastinya,
seluruh umat Islam mengingati Nabi Muhammad saw dalam setiap detik dan
hembus nafas. Ternyata, bulan Rabiulawal menyaksikan kemuncak kecintaan
terhadap Rasulullah saw yang diterjemahkan melalui pelbagai acara dan
program seperti berselawat, ceramah, tazkirah, nasyid, forum dan
sebagainya.
Islam
tidak melarang kita mengingati sesuatu yang baik dan memotivasikan diri
untuk maju dan cemerlang dalam kehidupan. Justeru, tidak ada insan yang
selayaknya untuk diingati dan diteladani berbanding peribadi Nabi
Muhammad saw yang menjadi inspirasi bagi setiap insan yang inginkan
kemuliaan. Bulan Rabiulawal adalah bulan yang sesuai untuk mengisi
ingatan kita terhadap Baginda saw dengan mendengar sirah kehidupannya
yang dibincangkan dalam pelbagai program dan acara. Tegasnya,
berdasarkan amalan masyarakat Islam di Malaysia, program dan acara yang
dianjurkan sempena bulan kelahiran lebih kepada usaha menyuburkan rasa
kecintaan terhadap Rasulullah saw melalui perbincangan pelbagai topik
kehidupan Baginda saw secara menyeluruh. Saat di mana kita berkongsi
kegembiraan dengan kelahirannya dan bangga menjadi umatnya serta ingin
sekali melihat wajahnya.
Mengingati
seseorang adalah fitrah, pengisian fitrah ini lebih bermakna dan mulia
apabila kita mengingati insan yang memberikan cahaya buat dunia yang
pernah gelap suatu ketika dahulu. Beginilah cara kami mengingati Nabi
Muhammad saw di Malaysia; Rabiulawal dan selama-lamanya. Ya Allah, izinkan kami menatap wajahnya di syurga nanti setelah kami tidak melihatnya di dunia ini.
Teks : Nazrul Hassan
No comments:
Post a Comment