20 February 2018

Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah



Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah

Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31) Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah atau kesan akan adanya perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4) Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri. Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) dan para Malaikat sentiasa memuji baginda sebagaimana yang dimaksudkan didalam ayat al-Quran yang berbunyi, "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat sentiasa bersalawat keatas Nabi" (33:56). Seterusnya ayat ini disambung dengan perintah Tuhan,"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu keatasnya". Ayat ini sahaja menjadi bukti bahawa kualiti iman seseorang itu bergantung kepada dan dizahirkan melalui selawat kepada Nabi (s.a.w). Ya Allah! Limpahkanlah selawat serta salam kepada Nabi, ahli keluarga baginda dan para sahabat.

2-2 Rasulullah (s.a.w) menekankan bahawa hari Isnin sebagai hari Kelahiran Baginda
Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul." Daripada Mutawalli Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti malam-malam manusia lain dilahirkan". Peristiwa yang termaktub didalam hadith termasuklah gegaran yang dirasakan di istana 'Chosroes' dan padamnya api yang telah menyala selama 1000 tahun di Parsi dan beberapa peristiwa-peristiwa lain yang ditulis didalam karangan Ibnu Kathir, al-Bidaya, Jilid 2, mukasurat 265-268. Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1, ms. 261) "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan salam. Apabila baginda ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda bersabda,"Hari itu adalah hari kelahiranku". Oleh kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan' kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah (s.a.w) dan baginda bersabda,"Aku merupakan penghulu bagi anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan …dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim. Dan Muslim menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith. Ini bermakna, Rasulullah (s.a.w) telah melahirkan dan menzahirkan perasaan gembira baginda dengan berpuasa pada hari tersebut - salah satu daripada bentuk ibadah khusus. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w) sendiri mengutamakan hari tersebut, jadi sebagai mencontohi baginda, sambutan atau ibadah yang selaras dengan shari'ah adalah dibolehkan - walaupun mungkin kaedah menyambutnya mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan tempat tetapi dzat/intipati sambutan itu tetap sama. Dan kerana itu, berpuasa, memberi makanan kepada orang fakir miskin, bersama-sama berselawat kepada Nabi (s.a.w), ataupun bersama-sama mengingati dan merenung akan akhlaq baginda yang terpuji lagi mulia - semuanya merupakan kaedah ataupun cara yang boleh dilakukan untuk mengutamakan dan menyambut hari tersebut. (Sila lihat hadith," Meninggal pada hari Isnin" dibawah)



2-3 Firman Allah: Bergembiralah dengan Nabi (s.a.w)
KETIGA: Untuk menyatakan kegembiraan kita untuk baginda Rasulullah (s.a.w) kerana Allah telah mengutuskan baginda kepada kita seperti firman Allah didalam al-Quran, " diatas nikmat dan rahmat daripada Allah, biarlah mereka bergembira" (Yunus:58).

Perintah ini datang kerana kegembiraan menjadikan hati rasa bersyukur diatas rahmat Allah. Rahmat apakah lagi yang lebih besar selain Rasulullah (s.a.w) sendiri, dan Allah berfirman,' Kami tidak menurunkan kamu melainkan sebagai rahmat kepada seluruh manusia.' (Al-Anbiya':107)

Kerana Rasulullah (s.a.w) diutus sebagai rahmat untuk semua manusia, kegembiraan menyambut kelahiran baginda tidak tertakluk pada yang Muslim sahaja, bahkan seluruh manusia, sepatutnya melahirkan rasa kegembiraan tersebut. Malangnya, pada masa sekarang ramai Muslim yang beriya-iya menentang perintah Allah untuk bergembira dan menyambut hari NabiNYA.

2-4 Nabi (s.a.w) menyambut Hari-hari Bersejarah
KEEMPAT: Nabi (s.a.w), biasanya menghubungkaitkan ibadah dan sejarah dan kebiasaannya apabila tiba hari yang bersejarah tersebut, baginda mengingatkan kepada para sahabat akan hari tersebut dan supaya mereka menyambutnya walaupun peristiwa itu telah berlaku beribu-ribu tahun yang lampau. Dalil mengenai perkara ini dapat dilihat didalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan perawi-perawi yang lain ini, "Apabila Rasulullah (s.a.w) tiba di Madinah beliau melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Ashura. Baginda pun bertanya kepada mereka mengenai hari tersebut dan mereka pun berkata, pada hari tersebut, Allah telah mnyelamatkan Nabi mereka, Sayyidina Musa dan menenggelamkan musuhnya dan kerana peristiwa itu mereka berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah diatas anugerah tersebut." Rasulullah setelah itu terus bersabda yang mana hadith ini merupakan hadith yang cukup terkenal," Kami lebih berhak keatas Musa daripada kamu," dan baginda berpuasa pada hari tersebut ('Ashura) dan hari sebelumnya.


2-5 Allah Berfiman," Berselawatlah Kamu Kepada Nabi"
KELIMA: Memperingati kelahiran Rasulullah (s.a.w) akan membuatkan hati kita tergerak untuk berselawat keatas Nabi (s.a.w) dan memuji baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh Allah di dalam ayat,

"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yang beriman ! berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya" (Al-Ahzab:56). Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi (s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta berselawat dan memuji-muji baginda. Siapakah yang berhak untuk menghalang apa yang telah Allah perintahkan di dalam Al-Quran? Pahala dan manfaat serta cahaya yang Allah berikan kepada hati kita kerana mematuhi perintahnya, tidak dapat diukur. Suruhan itu pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam kaedah nahu bahasa Arab (sila rujuk ayat al-Quran) : Allah dan MalaikatNya berselawat dan memuji Nabi - didalam satu perkumpulan yang ramai. Adalah tidak benar sama sekali untuk menyatakan bahawa selawat keatas Nabi (s.a.w) hanya boleh/perlu dilakukan secara bersendirian.



2-6 Kesan Memperingati Maulid untuk Orang Kafir
KEENAM: Apabila seseorang yang tidak beriman, bersama-sama menyatakan kegembiraan dan menyambut Maulidurrasul (s.a.w), atas rahmat dan kemurahan Allah, orang itu akan dapat manfaatnya. Perkara ini ada dinyatakan didalam sahih Bukhari. Bukhari meriwayatkan bahawa setiap Isnin, Abu Lahab akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w).

Hadith ini terkandung didalam kitab Nikah oleh Bukhari dan Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi telah menulis didalam kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi : "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya" "hancur tangan-tangannya"; (surat 111) diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? - [tentu lebih lagi ganjarannya - penterjemah]



2-7 Kewajiban Mengetahui Sirah dan Mencontohi Asas-asas Akhlaq Yang Baik
KETUJUH: Kita disuruh untuk mengenali Nabi kita, tahu akan kehidupan baginda, mengenai mukjizat baginda, kelahirannya , akhlaqnya, keimanan baginda, tanda-tanda kenabian beliau (ayat wa dala'il), khalwat yang baginda lalui, ibadah baginda lagipun bukankah perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh setiap Muslim? Apakah cara yang lebih baik lagi selain daripada meraikan hari kelahiran baginda, iaitu hari permulaan kehidupan baginda, dan seterunya supaya kita terdorong untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam lagi. Memperingati hari kelahiran baginda akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.

No comments: