Kebijaksanaan kepemimpinan Rasulullah SAW
Dalam konteks ini, umat Islam berada di pertengahan antara golongan mendewakan Nabi dan Rasul sehingga meletakkan mereka sebagai Tuhan yang disembah atau sebagai anak Tuhan atau mendustakan ajaran Nabi dan Rasul sehingga membawa penyelewengan akidah dan ajaran sesat.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Janganlah berlebihan memujiku seperti kaum Nasrani memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, katakanlah (mengenaiku) Hamba Allah dan Rasul-Nya." (Riwayat Bukhari, Tirmizi, Ahmad & Abu Daud).
Penyempurnaan akhlak mulia adalah antara tujuan Rasulullah SAW diutuskan. Sunnah memaparkan Baginda dengan kualiti akhlak mahmudah sebagai role model dalam kehidupan. Sejarah merakamkan kehadiran sekumpulan manusia yang mampu untuk maju sekalipun pada awalnya terkebelakang, tidak dikenali, mundur, berpecah dan tidak mempunyai hala tuju kehidupan.
Kumpulan ini kemudiannya berubah sikap dan pendirian apabila menerima kerasulan seorang pemuda ummi sebagai pembawa risalah kenabian dan teladan dalam setiap aspek kehidupan. Setelah beriman dan menjadikan Baginda SAW sebagai pemimpin, mereka muncul sebagai bangsa disegani dan dihormati kawan serta lawan, berbeza berbanding sebelumnya. Mereka ialah masyarakat Arab Jahiliah.
Sunnah rasul mesti difahami, dihayati, diamal
Allah SWT berfirman bermaksud: "Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf (al-ummiyyin) seorang Rasul (Muhammad) di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata." (Surah al- Araf : 157).
Lantas, sunnah yang ditunjukkan Baginda mestilah difahami, dihayati dan diamalkan sebagai nilai kehidupan. Sunnah merakamkan antaranya nilai yang baik dalam kehidupan. Dalam Sahih al-Bukhari, meriwayatkan Abu Sufian dipanggil menghadap Raja Heraklius yang bertanya apakah ajaran dibawa Baginda SAW. Walaupun ketika itu Abu Sufian belum memeluk Islam, beliau menjelaskan ajaran Baginda adalah perintah mengerjakan solat, jujur, menjaga kehormatan diri, menepati janji dan menunaikan amanah. Di akhir hadis, Heraklius memperakui nilai yang disebut Abu Sufian adalah sifat seorang Nabi yang hakiki.
Kedua, revolusi pembudayaan ilmu pengetahuan. Bermula turunnya wahyu pertama Surah al-Alaq ayat 1-5. Rasulullah membina masyarakat berilmu. Tradisi keilmuan pascanubuwwah diwarisi Khulafa al-Rasyidin sehingga pemerintahan Bani Umayyah dan Abasiyyah. Umat Islam berada di kemuncak ilmu pengetahuan, seterusnya mencipta sejarah ketamadunan tinggi melalui penguasaan ke atas Andalusia dan kecemerlangan saintis Islam di Ti-mur berpusat di Baghdad.
Ia berterusan sehingga zaman pemerintahan Islam berakhir dengan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada 1924M. Kegemilangan tamadun Islam membantu mewujudkan tamadun Barat yang dianggap tamadun paling maju hari ini. Hakikatnya, berlaku proses pemindahan ilmu dan teknologi dari tamadun Islam ke tamadun Barat.
Ketika itu, masyarakat Eropah dalam era kegelapan, mundur dan berada pada tahap paling rendah dari sudut ilmu dan pengetahuan. Pemerintahan Barat dikuasai golongan 'barbarian' yang biadab dan tidak bertamadun, malah dalam keadaan jahiliah. Ketiga, perpaduan sebagai dasar negara. Negara Madinah memberi perlindungan tanpa mengira agama, bangsa mahupun warna kulit. Keharmonian kaum dan toleransi dipraktikkan dengan sempurna, diteruskan pada zaman Khulafa al-Rasyidin.
Dasar ini diteruskan pada zaman penguasaan Islam dalam wilayah-wilayah Sham seperti Baitulmaqdis berdasarkan jaminan Saidina Umar al-Khattab kepada penduduk Islam dan bukan Islam ketika itu, begitu juga ketika menguasai wilayah di Barat seperti Andalusia di mana kebebasan diberikan kepada semua kaum, Islam mahupun Yahudi oleh pemerintah Islam ketika itu.
Keempat, nilai kerohanian Islam membentuk kekuatan peribadi. Rasulullah SAW menjalani manhaj tarbiah rohani yang membentuk kekuatan peribadi dinyatakan Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 8 iaitu solat malam (qiamullail) walaupun hanya sedikit di samping membaca al-Quran dengan tertib dan berzikir.
Hari ini, dunia Barat turut menamakan Rasulullah SAW sebagai tokoh ulung di muka bumi ini, antaranya:
Michael H Hart dalam The 100: A Ranking of The Most Influential Persons In History menamakan Baginda sebagai tokoh menduduki tempat pertama dalam senarai manusia paling berpengaruh di dunia.
GW Choudhury dalam The Prophet Muhammad: His Life and Eternal Message menyatakan Nabi Muhammad SAW bukan hanya pemimpin spiritual yang berjaya, bahkan negarawan dan pentadbir yang berjaya.
WM Watt dalam Muhammad: Prophet and Statesman menyatakan Baginda SAW dalam konteks pembawa perubahan (reformer) yang menghasilkan revolusi signifikan dalam cara hidup dan pemikiran masyarakat Arab.
Mampu lihat jauh ke masa hadapan, bijaksana
Beliau turut menyenaraikan tiga kualiti kehebatan Baginda SAW menyebabkan Islam tersebar ke seluruh dunia, iaitu mampu melihat jauh ke masa hadapan, kebijaksanaan sebagai negarawan dan kemahiran sebagai pentadbir serta kebijaksanaan memilih pemimpin pelapis untuk mendelegasi kerja tadbir.
Rasulullah SAW karakter unggul seorang Rasul. Pemimpin keluarga, masyarakat dan negarawan. Baginda memaparkan agama Islam yang tidak rigid, ekstrem, ketat, militan, keterlaluan dan bukan ekstrem liberal. Agama memainkan peranan membentuk tamadun dari sudut dalaman mahupun luaran berbanding tamadun berbentuk material tanpa campur tangan agama. Inilah nilai ummatan wasata. Salam Maulidur Rasul 1439H.
Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri
No comments:
Post a Comment