Menjalin persahabatan cara Rasulullah
KITA sering diingatkan supaya
berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan,
sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan.
Mencari kawan yang baik dan mampu
membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa
kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu
kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang
wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat
mencium baunya yang busuk." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW menggariskan
beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya :
• Hendaklah bersahabat dengan
orang yang bertakwa dan beriman
Sabda Baginda
bermaksud:"Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan
jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." (Hadis riwayat
Abu Daud dan at-Tirmizi).
• Hindari daripada berkawan dengan
yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan
perangainya), kamu akan dikenali sepertinya."
Sabda Baginda lagi :
"Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap
seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya." (Hadis riwayat
at-Tirmizi dan Abu Daud).
• Menegur kesilapan kawan di atas
perkara yang benar
Ubadah Ibn As-Samit berkata:
“Rasulullah SAW mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah
dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya
kecuali ada bukti kekufurannya.
Begitu juga, kami hendaklah
berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada
seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah.” (Hadis riwayat
Muslim).
• Membantu kawan ketika kesempitan
Daripada Ibn Umar bahawa
Rasulullah SAW bersabda: "Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah
bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada
menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya
daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan
daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban)
saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." (Hadis
riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
No comments:
Post a Comment