|
Nabi Muhammad SAW telah menganjurkan setiap Muslim untuk berzikir dan berdoa sebelum dan selepas mereka tidur. Dalam sebuah Hadis Rasulullah yang bermaksud:
"Al-Barra bin Azib RA berkata; Adalah Rasulullah S.A.W jika akan tidur, baginda mengiring ke sebelah kanan kemudian membaca: (Maksudnya); "Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan mengadapkan wajah ku pada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan punggungku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku percaya kepada Kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utuskan."
Menurut sebuah Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud:
"Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah bagaikan kamu hendak Solat, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti maksud doa yang tersebut diatas) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu sebelum tidur)."
Rasulullah juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki diatas kaki yang lain sebagaimana yang tersebut dalam maksud Hadis:
"Daripada Abbad bi Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah SAW tidur terlentang di Masjid sambil meletakkan satu kaki diatas yang lain." (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah Hadis lain pula bermaksud:
"Daripada Huzaifah katanya: Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya lalu baginda berdoa: (Maksudnya); "Dengan nama-Mu Ya Allah, aku hidup dan aku mati."
Dalam riwayat Hadis yang lain ada menerangkan yang bermaksud:
"Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falak dan Surah An-Naas, kemudian baginda menyapukan tangannya ke seluruh badan yang dapat disapunya dari kepala dan mukanya dan bahagian depan daripada tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi).
Dalam pada itu, Rasulullah (Nabi Muhammad SAW) sebelum hendak tidur juga pernah membaca doa yang bermaksud:
"Ya Allah, Tuhan langit dan bumi. Tuhan Arasy Yang Maha Agung, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Yang membelah biji dan benih, Yang menurunkan (Kitab) Taurat, Injil dan Al-Furqan (Al-Quran). Aku berlindung kepada Mu daripada kejahatan setiap yang memiliki kejahatan, dimana Engkaulah yang memegang setiap yang memiliki kejahatan, dimana Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya. Engkaulah yang pertama, maka tidak ada sesuatu pun sebelum Mu. Dan Engkaulah yang terakhir, tidak ada sesuatu pun sesudahMu. Engkaulah yang zahir, maka tidak ada sesuatu pun diatas Mu. Engkaulah yang batin, tidak ada sesuatu pun dibawah Mu. Tunaikanlah hutang kami dan jauhilah kami dari kemiskinan." (Hadis Riwayat Imam Muslim).
Nabi Muhammad juga menyarankan umat Muslim utuk menunaikan Solat Sunat Witir sebelum tidur, sebagaimana yang tercatat dalam Hadis berikut yang bermaksud:
"Rasulullah SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering menganggu manusia ketika tidur. Oleh itu, umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan Solat Witir setiap kali sebelum tidur". (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Terdapat juga suatu Hadis lain dimana Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
"Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang diantara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila ia berwuduk maka akan terbuka ikatan kedua. Apabila ia Solat , maka akan terlepaslah semua ikatannya. Ia akan merasa sesuatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak ia akan merasa malas dan kekusutan hati". (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Jika Rasulullah terjaga dari tidur di tengah malam, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangannya, sebelum baginda tidur semula.
Dan setiap kali Rasulullah bangun selepas selesai waktu tidurnya, baginda akan mengucap syukur dengan membaca:
"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami kembali setelah mematikan kami dan kepadaNya lah tempat kembali".