أعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
(الْحَمْدُ لِلَّهِ)Tahmid Dengan Denyutan Nadiku
(لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)Tahlil Degupan Jantungku
(اللَّهُ أَكْبَرُ)Takbir Hela Turun Naik Nafasku
اَلْحَمْدُ ِللهِ syukur kepada اللهَ
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ... ALLAH اللهَ
اَللَّهُمَّ صَلِّىْ عَلَىْ سَيِّدِنَامُحَمَّدٍ
Peringatan Buat Para Pemimpin
Menjadi pemimpin bukan mudah. Tapi zaman sekarang semua
orang kemaruk untuk jadi pemimpin. Hayatilah kisah ini untuk menilai layakkah
kita untuk meminta-minta jawatan pemimpin.
Dari hal keadilan, ketakwaan dan kemuliaan budi baginda Umar
bin Abdul Aziz, tidaklah perlu lagi diterangkan panjang lebar. Kisahnya panjang
lebar telah dikarang oleh ulama-ulama.
Sesungguhpun dia telah mencapai kedudukan yang semulia itu,
belumlah dia kenyang dari petunjuk ulama dan pimpinan seorang yang arif.
Pada suatu hari berkirim suratlah baginda kepada ulama
Tabi’in yang masyhur, Hasan Basri, bertanya kepada beliau dari hal sifat-sifat
Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan Basri demikian bunyinya:
“Ketahuilah hai Amirul Mukminin, bahawasanya Allah Subhanahu
Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil laksana tongkat tua yang teguh
condong yang akan menauri, lemah yang akan membila. Dia menjadi tujuan dari
segala orang yang ragu, memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang
lemah, tempat mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari
tiap-tiap yang sengsara.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang
pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya; dibawanya ke padang
yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah yang curam, dijaganya dan
dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas, dipeliharanya jangan ditimpa
dahaga dan kepanasan.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah
yang cinta akan anak-anaknya, diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya
setelah anak itu besar, dituntunnya di dalam mencari penghidupan,
dikumpulkannya harta bersusah payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang
pengasih, dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya
setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun, dia
termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan
digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram jika si
anak sakit.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang
yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya, didengarnya Maha Tuhan dengan
tenang, setelah itu diterangkannya bagaimana wajah-Nya kepada mereka.
Dibimbingnya tangan umat supaya sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan
kurnia-Nya.”
“Oleh sebab itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai
budak yang dipercayakan oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan
memelihara kaum kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya
harta benda itu dan disia-siakannya petaruh.”
“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa
yang akan kejadian sesudah mati. Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya
sedikit, orang yang akan menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi
mati, dan untuk menghadapi zaman sesudah mati.”
“Ketahuilah pula ya Amirul Mukminin, bahawa paduka akan
tinggal dalam sebuah rumah yang tidak serupa dengan rumah yang paduka diami
sekarang. Lama sekali paduka akan mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga
yang akan menemuinya, hanya tinggal seorang diri dalam kesunyian."
"Oleh sebab itu berkemaslah dari sekarang dan
bersiaplah. Kerana perkemasan dan persiapan yang disediakan lebih dahulu,
itulah hanya yang akan menolong di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya
manusia daripada saudaranya dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada
anaknya sekalipun.”
“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati,
akan suatu masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala
isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis dalam
kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.”
“Maka sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama,
sebelum ajal sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti:
Jangan paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan,
jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang
takbur menjadi pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab mereka menjatuhkan
perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan
menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu, dikumpulkan
dengan dosa paduka sendiri.
Janganlah paduka terpedaya oleh tipuan orang-orang yang
menelah nikmat kesusahan paduka. Mereka makan segala yang enak-enak di dunia,
supaya paduka menelan segala kesusahan di akhirat.
Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada
diri ini, tetapi fikirkanlah kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada
waktu mana seluruh badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di
hadapan Allah, dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul.
Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang
Kekal!”
“Adapun patik sendiri ya Amiru Mukminin, meskipun nasihat
patik ini tidak sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada
patik pada zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas.
Oleh sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan oleh
seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya pahit,
moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan afiat.”
Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka
Posted by Hassan Adli B. Haji Othman at 1:53 PM
ALLAH اللهَ ALLAH اللهَALLAH اللهَALLAH اللهَ
Peringatan Buat Para Pemimpin
اَللَّهُمَّ صَلِّىْ عَلَىْ سَيِّدِنَامُحَمَّدٍ
والله أعلم بالـصـواب
Moga Bermanfaat.
Insya ALLAH
.........................................................



No comments:
Post a Comment