04 December 2019

Nassier Wahab meninggal dunia

.. Nassier Wahab meninggal dunia myMetroutama Share Tweet Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my PENYANYI popular era 1980-an, Datuk Nassier Wahab meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, jam 12.45 tengah malam tadi. Berita itu disebarkan oleh penyanyi, Zur Eda menerusi kiriman WhatsApp kepada rakan artis. “Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.45 pagi. “Mohon sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan kita doakan semoga roh arwah akan ditempatkan bersama roh solehin. Al-Fatihah,” tulisnya. Terdahulu, Nassier, 57, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu. Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi. Pembantu peribadinya, Aliff Salim mewakili Nassier berkata, Nassier hanya akan mengambil pil penahan sakit setiap kali diserang penyakit itu. “Apabila makan ubat, sakit itu akan hilang. Kadang-kadang ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang sakitnya. “Apabila terlalu berterusan, doktor memberitahu kaedah ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya dalam satu temubual dengan Harian Metro. Katanya, doktor menasihatkan Nassier menjalani pembedahan tetapi dia kerap menangguhkannya. “Selepas kali ketiga berjumpa doktor, barulah dia setuju untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya. Menurutnya, umum memang nampak Nassier sihat, tetapi sebenarnya dia tidak mampu menahan sakit apabila masalah kesakitan akibat ketumbuhan itu menyerang. “Dia ditahan di wad selama 20 hari sebelum dibenarkan keluar. Sebelum ini dia terpaksa makan menggunakan tiub membuatkan berat badannya agak susut,” katanya. Aliff berkata, Nassier dinasihatkan berehat secukupnya sebelum kembali menyanyi. “Sebelum ini Nassier memang merahsiakan kesakitannya. “Apabila sakit itu datang, saya terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan dengan memberi alasan jadualnya padat,” katanya. Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 2:20 AM Berita Berkaitan Nassier Wahab pulih selepas pembedahan 'Ujian kecil Allah buat saya' 'Bukan sebab susuk tapi sakit gusi puncanya' Belasungkawa Nassier Wahab ...... JENAZAH Allahyarham Datuk Nassier Wahab, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah, di Klang, 11.30 pagi ini. Terdahulu, jenazah penyanyi popular 1980-an itu dimandi dan disembahyangkan di Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Kampung Batu Belah, jam 10.30 pagi tadi. Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan artis dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir. Antara yang hadir Datuk Seri Shah Rezza, Datuk DJ Dave, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M Nasir, Datuk Nash dan ramai lagi. Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah. Fatimah ketika ditemui pemberita berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat kelmarin. Katanya, ketika pemeriksaan awal di klinik, muka suami sudah pucat dan doktor mencadangkan untuk masuk wad bagi pemeriksaan darah. “Kelmarin dan semalam arwah dimasukkan darah, semuanya baik. Namun, malam tadi arwah demam dan jururawat berikannya panadol sebelum dia tidur. “Tidak lama selepas itu, arwah terbangun dan batuk, saya lihat di bantalnya ada darah, kemudian arwah muntah darah lagi yang sangat banyak,” katanya ketika ditemui, hari ini. Fatimah berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 12.45 tengah malam tadi oleh pihak hospital. Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan menguruskan jenazah arwah suaminya. “Ketika menjalani rawatan kemoterapi sebelum ini dia tak sihat dan agak lemah serta tak nak jumpa sesiapa kecuali keluarga terdekat. “Saya bagi pihak keluarga ucapkan terima kasih kepada yang mendoakan dan meminta ampun maaf jika arwah ada melakukan kesilapan sepanjang hidupnya,” katanya. Berita berkaitan • Belasungkawa Nassier Wahab • 'Nassier Wahab meninggal dunia' Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 1:23 PM Belasungkawa Nassier Wahab CUKUP popular pada sekitar 1980-an hingga sekarang, Allahyarham Datuk Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd Nasir Abd Wahab, 57, sememangnya antara penghibur yang cukup disegani. Nassier yang dilahirkan pada 18 April 1962 di Kota Kuala Muda, Kedah adalah anak ke-12 daripada 14 beradik dan cukup dikenali dengan wajahnya yang awet muda. Kelunakan suaranya sentiasa menjadi perbualan dan suatu ketika dulu, beliau pernah berdiri sebaris dengan ramai penyanyi legenda lain. Antaranya Datuk Jamal Abdillah, Razis Ismail, dan Shidee. Allahyarham juga sangat serius dalam memajukan karier nyanyiannya. Beliau memiliki kelulusan dengan memperoleh sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Kolej Joseph Chamberlain, Birmingham, United Kingdom. Generasi sekarang mungkin mengenali arwah menerusi lagu hitnya Memori Cinta Luka selain penyertaan dalam Gegar Vaganza musim kedua (GV2). Namun beliau juga cukup terkenal menerusi lagu Bayangan Wajah Duka, Sebuah Janji Tak Bererti, Sekali Aku Jatuh Cinta, dan Undangan Rindu. Antara pencapaian terindah beliau dalam industri seni tempatan adalah dicalonkan untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 1987 dan 2004. Sepanjang hayatnya, Allahyarham juga tidak pernah patah semangat untuk terus menghiburkan peminat. Bahkan, pengikutnya terus setia menyokong kariernya termasuklah sewaktu beliau menyertai GV2. Tidak ketinggalan, penyertaannya juga dipertikai sesetengah peminat program realiti popular berkenaan. Ia disebabkan Nassier mempunyai profil hebat berada dalam kelas tersendiri. Dalam pertandingan itu, beliau menjadi antara peserta yang cukup popular dan sentiasa dipuji nyanyiannya merdu. Bahkan, Allahyarham berjaya membuktikan dirinya masih berbisa dan meraih tempat keempat. Selain menyanyi, Nassier juga pernah membuat kemunculan di layar perak dan membuktikan bakat lakonannya juga hebat. Beliau membintangi filem Si Jantung bersama AR Badul, Ibrahim Din dan Faridah Fasha. Allahyarham juga turut menjayakan drama Episod Terakhir bergandingan dengan Eman Manan dan Shiela Rusly. Jarang terpalit dengan kontroversi panas, industri bagaimanapun pernah dikejutkan berita beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 2009. Beliau dilaporkan cedera akibat rumahnya di Subang Jaya terbakar disebabkan litar pintas. Pada sekitar Julai lalu, Nassier dilaporkan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri di sebuah pusat perubatan di ibu negara. Ketika itu, keadaan kesihatannya semakin baik, malah sudah boleh makan seperti biasa tanpa bergantung kepada tiub. Pembantu peribadinya, Ariff Salim memberitahu, ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu. Sejak itu, Nassier dilaporkan sering sakit gusi dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, apabila kesakitan itu berulang, penyanyi itu membuat pemeriksaan rapi dan doktor mendapati ada ketumbuhan kecil pada bahagian berkenaan. Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah, 22. Berita berkaitan • 'Nassier Wahab meninggal dunia' Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 11:28

No comments: