14 December 2019

Fitrah dan wahyu

03. Fitrah dan Wahyu Semua manusia berasal daripada diri yang satu iaitu Nabi Adam a.s. Sekalian yang lahir daripada Adam a.s dinamakan bangsa manusia. Tidak ada keturunan Adam a.s yang berbangsa haiwan, tumbuh-tumbuhan atau gali-galian. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi manusia kerana mereka semua memiliki kemanusiaan. Tidak ada manusia yang tidak memiliki kemanusiaan. Benih kemanusiaan yang pertama disemaikan pada kejadian Adam a.s dan kemudian benih tersebut ‘berjalan’ kepada Siti Hawa, ibu yang mulia dan diberkati dengan keturunan yang amat ramai. Ketika Adam a.s dan Ibu Hawa berada di dalam syurga benih kemanusiaan itu hanya aktif pada mereka berdua sahaja., tidak ‘membiak’. Setelah mereka dikeluarkan daripada syurga dan ditempatkan di bumi, di dalam dunia, baharulah benih kemanusiaan itu menampakkan keupayaannya melahirkan generasi manusia. Benih kemanusiaan akan terus bekerja melahirkan manusia hingga ke hari kiamat. Apabila berlaku kiamat baharulah benih kemanusiaan itu berhenti melahirkan manusia. Bermula daripada Adam a.s sampailah kepada manusia terakhir pada hari kiamat, benih kemanusiaan ‘berjalan’ terus, melahirkan keturunan manusia yang berpecah-pecah kepada berbagai-bagai bangsa, suku dan keluarga. Perjalanan benih tersebut sangat sempurna sehingga tidak berlaku kesilapan pada pekerjaannya. Jika benih kemanusiaan melakukan kesilapan nescaya ada ibu-ibu manusia yang melahirkan ikan, beruang, rambutan dan lain-lain. Kesempurnaan benih kemanusiaan menyebabkan manusia akan terus melahirkan manusia sahaja tidak bangsa lain. Keturunan Adam a.s membiak melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan. Walaupun pada zahirnya percantuman benih menjadi proses pembiakan keturunan manusia tetapi bukanlah benih lelaki dan benih perempuan itu yang mengawal kewujudan dan kesinambungan bangsa manusia. Adam a.s diciptakan bukan daripada benih lelaki atau benih perempuan namun, Adam a.s tetap memiliki kemanusiaan. Nabi Isa a.s diciptakan tanpa melalui proses percantuman benih lelaki dengan benih perempuan namun, Isa a.s tetap memiliki kemanusiaan. Setiap manusia tidak terlepas daripada kemanusiaan yang tidak dimengerti hakikatnya. Jika semua manusia bermula dari Adam a.s hinggalah kepada manusia terakhir yang ada pada hari kiamat, dibedah untuk dikaji perihal kemanusiaan itu tentu sekali perbuatan tersebut hanya sia-sia sahaja. Tidak mungkin dijumpai hakikat kemanusiaan pada mana-mana manusia tetapi peranan dan pengaruhnya pada setiap manusia tidak dapat dipertikaikan. Jika mahu memahami tentang hakikat ia harus dilihat dari sumbernya. Sumber segala kejadian ada pada sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t menciptakan makhluk-Nya menurut Iradat-Nya, dengan Kudrat-Nya dan sesuai dengan Ilmu-Nya. Apa juga yang Allah s.w.t berkehendak menciptakan sudah termaktub di dalam Ilmu-Nya. Apa yang pada sisi Allah s.w.t atau pada Ilmu-Nya itu dinamakan hakikat. Sebelum Allah s.w.t menciptakan alam dan benda-benda alam, hakikat alam dan hakikat-hakikat benda alam sudah pun ada pada Ilmu-Nya. Hakikat adalah kewujudan yang memerintah atau mengawal. Segala yang diciptakan Allah s.w.t, yang mengisi ruang alam, dikawal oleh hakikat masing-masing. Hakikat yang berhubung dengan kejadian manusia dinamakan Hakikat Manusia atau Hakikat Insan. Hakikat Insan mengawal kejadian manusia sejak manusia pertama hinggalah kepada manusia yang penghabisan. Apa juga yang dikawal oleh Hakikat Insan akan lahir sebagai manusia. Hakikat Malaikat mengawal kewujudan malaikat. Hakikat Haiwan mengawal kewujudan haiwan dan demikian juga dengan hakikat-hakikat yang lain. Haiwan tidak boleh menjadi manusia dan manusia tidak boleh menjadi malaikat apa lagi menjadi Tuhan. Hakikat masing-masing tidak mengizinkan perkara yang demikian terjadi. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati perubahan bagi “Sunnatullah” itu. (Ayat 62 : Surah al-Ahzaab) Tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah. ( Ayat 64 : Surah Yunus ) Tiada suatupun dari makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud) Hakikat adalah suasana pentadbiran Tuhan. Suasana pentadbiran Tuhan bukan makhluk. Oleh itu ia tidak boleh ditemui pada makhluk tetapi kehadirannya menguasai dan mengawal kewujudan dan kesinambungan kewujudan makhluk boleh dirasai. Akal yang sihat juga boleh mengakui kebenaran ini. Tanpa kawalan daripada alam hakikat nescaya berlaku huru-hara pada kejadian makhluk. Tentu sekali semua haiwan mahu menjadi buraq. Manusia dan jin mahu menjadi malaikat. Semua orang mahu lahir sebagai putera raja. Tetapi semua itu tidak berlaku kerana benteng hakikat sangat teguh, tidak dapat dirobohkan oleh makhluk. Pada Hakikat Insan sudah ada maklumat yang jelas dan muktamad tentang kejadian semua manusia termasuklah giliran masing-masing masuk ke alam dunia ini. Di antara semua hakikat-hakikat, hakikat yang menguasai manusia merupakan hakikat yang paling utama kerana ia mengadakan hubungan yang istimewa di antara insan dengan Tuhannya. (Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam – dari tanah. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad ) Adam a.s ditempa daripada tanah. Bahagian Adam a.s yang ditempa daripada tanah ini dinamakan jasad, tubuh badan atau diri yang zahir. Jasad yang dari tanah itu walaupun sudah sempurna kejadiannya, cukup lengkap dengan sekalian anggota namun, ia tetap kaku, tidak dapat bergerak, tidak merasakan apa-apa dan tidak dapat berkata-kata. Ia sudah mempunyai otak tetapi otaknya tidak dapat berfikir. Ia sudah mempunyai mata tetapi matanya tidak dapat melihat. Ia sudah mempunyai telinga tetapi telinganya tidak dapat mendengar. Ia hanyalah satu lembaga yang kaku. Tetapi sebaik sahaja ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t segala-galanya berubah dengan serta merta. Otaknya mula berfungsi. Mata, telinga dan semua anggotanya juga mula berfungsi. Ia juga boleh merasa. Ia bukan lagi satu lembaga yang kaku tetapi ia sudah menjadi insan yang hidup, boleh berfikir, boleh berkata-kata, boleh bergerak dan boleh merasa. Keajaiban itu berlaku semata-mata kerana tiupan dari Roh Allah s.w.t. Bahagian Adam a.s yang menerima tiupan daripada Roh Allah s.w.t itu dinamakan Diri Batin atau rohani. Roh Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t dan juga bukan nyawa yang menghidupkan Allah s.w.t. Allah s.w.t hidup dengan Zat-Nya, bukan dengan nyawa atau roh dan bukan juga dengan sifat hidup. Sifat hidup bergantung kepada Allah s.w.t tetapi Allah s.w.t tidak bergantung kepada sifat hidup. Roh Allah s.w.t sama halnya seperti Tangan Allah s.w.t, Kalam Allah s.w.t, Pendengaran Allah s.w.t dan lain-lain yang dinisbahkan kepada-Nya. Semuanya bukanlah Allah s.w.t tetapi adalah keadaan atau sifat atau misal atau ibarat yang memperkenalkan Diri-Nya sekadar layak Dia dikenali oleh makhluk-Nya. Hakikat Diri-Nya yang sebenar tidak mampu disifatkan, diibaratkan atau dimisalkan kerana Dia adalah: Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran)-Nya, ( Ayat 11 : Surah asy-Syura ) Sekalipun Dia tidak boleh disifatkan tetapi Dia adalah: Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat ( Ayat 11 : Surah asy-Syura )Allah s.w.t sendiri mengatakan Dia Mendengar dan Melihat. Dia mengadakan penyifatan setelah terlebih dahulu Dia menafikan segala bentuk penyifatan. Dia tidak serupa dengan apa sahaja yang terlintas di dalam fikiran, cita-cita dan khayalan manusia. Dia tidak serupa dengan apa juga yang nyata dan yang ghaib, yang zahir dan yang batin. Bila Dia mengatakan Dia Mendengar dan Melihat maka Mendengar dan Melihat-Nya tidak serupa dengan apa juga keadaan mendengar dan melihat yang diketahui atau tidak diketahui oleh manusia. Bila Dia mengatakan Dia Berkata-kata maka Kalam-Nya tidak serupa dengan apa juga bentuk percakapan baik yang boleh difikirkan oleh manusia mahu pun yang tidak boleh difikirkan oleh manusia. Perkataan Allah s.w.t tidak serupa dengan apa juga bentuk perkataan. Kalam-Nya tidak berhuruf dan tidak bersuara. Apabila Dia tujukan firman-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab, digubah-Nya Kalam-Nya dalam bahasa Arab yang berhuruf dan bersuara dan Dia masih menisbahkan Kalam-Nya yang berhuruf dan bersuara dalam bahasa Arab itu sebagai Kalam-Nya. Oleh kerana Dia sendiri memperakui yang demikian adalah Kalam-Nya sesiapa menafikannya adalah kufur, tetapi sesiapa mengatakan Allah s.w.t bercakap dalam bahasa Arab maka terlebih kufur lagi keadaannya. Konsep nafi dan isbat tidak boleh dipisahkan apabila memperkatakan tentang Allah s.w.t pada aspek yang disifatkan. Apabila Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia maka Dia wujudkan penyifatan yang mampu diterima oleh manusia, sesuai dengan keupayaan mengenal yang ada dengan manusia, tetapi Yang Haq itu melampaui apa yang disifatkan. Aspek Allah s.w.t yang disifatkan merupakan pintu atau perantaraan yang menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t yang tidak mampu disifatkan. Sekalipun Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat yang diketahui oleh manusia tetapi mengadakan lembaga bagi Allah s.w.t adalah sesat yang nyata. Sesiapa yang menjadi jelas kepadanya konsep nafi dan isbat sesungguhnya dia telah memperolehi nikmat yang tidak terhingga nilainya. Tiada Tuhan melainkan Allah Roh Allah s.w.t adalah perantaraan yang kerananya manusia memperolehi kehidupan. Roh Allah s.w.t adalah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mengawal bidang kehidupan. Adam a.s memperolehi sifat hidup kerana tiupan Roh Allah s.w.t atau Hakikat Roh yang ada pada sisi Allah s.w.t. Apabila keturunan Adam a.s berkembang biak kesemua mereka tidak terlepas daripada kawalan Hakikat Roh yang menjadi sumber kepada penghidupan yang bermula dengan penghidupan Adam a.s. Walau berapa ramai sekalipun manusia diciptakan mereka tetap menerima kehidupan daripada sumber yang sama iaitu suasana pentadbiran Allah s.w.t yang diistilahkan sebagai Roh-Nya atau Hakikat Roh. Suasana ketuhanan itu mempunyai bakat dan keupayaan untuk menghidupkan setiap jasad secara berasingan dan bebas daripada jasad-jasad yang lain. Setiap jasad memiliki keupayaan untuk hidup sendiri, walaupun ada jasad yang mengalami kematian namun jasad-jasad lain terus juga hidup. Jasad yang sudah diciptakan boleh juga hidup sekalipun masih banyak lagi jasad yang belum dizahirkan. Adam a.s dan keturunan beliau a.s diciptakan dengan bermatlamat: Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah ) Adam a.s dan keturunan beliau a.s yang dibangsakan sebagai manusia diciptakan Allah s.w.t untuk dijadikan khalifah di bumi. Khalifah boleh diartikan menurut beberapa pengertian. Pada pengertian pertama khalifah bermaksud pengganti kepada makhluk yang telah pupus. Satu ketika dahulu bumi ini pernah didiami oleh satu bangsa makhluk tetapi makhluk tersebut telah dibinasakan oleh Allah s.w.t kerana mereka berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Sejak makhluk bangsa tersebut pupus tidak ada lagi makhluk berakal yang mendiami bumi. Adam a.s diciptakan untuk menggantikan bangsa yang telah pupus itu. Khalifah pada makna yang kedua bermaksud pengganti Rasulullah s.a.w, yang menjadi pemimpin umat Islam setelah baginda s.a.w wafat. Khalifah dalam segi ini ada dua kategori iaitu khalifah rasyidin (yang dipimpin) dan khalifah umum. Saidina-saidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali termasuk dalam golongan khalifah rasyidin yang mendapat pimpinan Allah s.w.t dan dijamin kebenaran mereka. Pimpinan mereka mendapat keredaan Allah s.w.t. Perbuatan dan perkataan khalifah rasyidin boleh dijadikan rujukan dalam pembentukan hukum-hukum agama, selepas al-Quran dan as-Sunah. Khalifah yang selain mereka tidak memiliki darjat yang demikian. Pada makna yang ke tiga pula khalifah bermaksud makhluk atau golongan yang memiliki ciri-ciri khusus mengatasi semua makhluk atau golongan lain. Ia bermaksud bangsa manusia yang memiliki bakat-bakat serta keupayaan melebihi makhluk lain dalam menguruskan hal-ehwal di bumi yang meliputi kehidupan manusia sendiri dan juga makhluk yang lain. Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakankan. ( Ayat 70 : Surah Bani Israil ) Bangsa manusia dibekalkan dengan bakat-bakat dan keupayaan semulajadi yang melebihkan mereka daripada makhluk yang lain sehingga mereka boleh memimpin makhluk lain di bumi atau menjadi khalifah di bumi. Bakat kekhalifahan sudah dibekalkan kepada manusia sejak manusia pertama diciptakan. Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan nama benda-benda dan gunanya, (Ayat 31 : Surah al-Baqarah) Allah s.w.t membekalkan kepada Adam a.s bakat kekhalifahan sesuai dengan tujuan beliau a.s diciptakan. Bakat kekhalifahan yang dibekalkan kepada Adam a.s dan bangsa manusia itu dinamakan fitrah manusia. Makhluk lain juga dibekalkan dengan fitrah masing-masing tetapi fitrah yang dikurniakan kepada bangsa manusia adalah yang paling utama dan paling sempurna. Pada fitrah manusia terkumpul semua fitrah kejadian alam. Lantaran itu manusia berpengetahuan tentang tabii makhluk yang lain seperti malaikat, haiwan, angin, tumbuh-tumbuhan, syaitan dan lain-lain. Fitrah manusia yang bersifat universal itu membuat manusia boleh memakai sifat-sifat anasir alam yang lain. Mereka boleh bersifat seperti malaikat atau syaitan atau haiwan atau pun membeku seperti galian. Fitrah itu juga membuat manusia boleh mengambil manfaat daripada anasir alam. Mereka boleh menciptakan kenderaan udara dan terbang seperti burung dan kenderaan air untuk berenang seperti ikan apa lagi kenderaan darat untuk mereka bergerak seperti kuda. Alat penting yang ada dengan manusia dalam menjalankan tugas kekhalifahan adalah beberapa bakat fitrah insan yang ada dengan mereka. Bakat fitrah yang pertama adalah akal fikiran. Melalui bakat fitrah akal ini manusia mampu membentuk kehidupan yang teratur dan juga mampu mengambil manfaat daripada benda-benda alam yang ada di sekeliling mereka. Daya fikir yang menjadi bakat fitrah ini berkait rapat dengan satu lagi bakat fitrah iaitu ilham. Ilham sebagai bakat fitrah tahap ke dua adalah lebih seni daripada akal fikiran. Ilham menjadi pencetus atau penggerak kepada daya fikir untuk meneroka dan mengembangkan apa yang dicetuskan oleh ilham itu. Bakat fitrah yang ke tiga diceritakan oleh al-Quran: Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannyakan kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu semuanya, jika kamu golongan yang benar”. Malaikat menjawab: “Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah telah Aku katakan kepada kamu bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan”. ( Ayat 31 – 33 : Surah al-Baqarah ) Allah s.w.t mengetahui rahsia semua langit dan bumi. Dia mengetahui yang nyata dan yang disembunyikan. Sebahagian daripada pengetahuan tersebut Allah s.w.t simpankan pada fitrah Adam a.s sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami ajarkan kepada Adam nama-nama sekaliannya”. Maksud nama di sini adalah nama beserta segala maklumat yang terperinci yang berkait dengan yang dinamakan itu. Bakat fitrah yang mengetahui sebahagian daripada yang nyata dan yang disembunyikan mengikut apa yang dibekalkan oleh Allah s.w.t itu dinamakan kasyaf. Pengetahuan Adam a.s melalui kekuatan kasyaf melebihi pengetahuan malaikat. Keistimewaan yang ada pada fitrah insan adalah kerana perkaitannya dengan tiupan Roh Allah s.w.t. .. lalu Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Ayat 72 : Surah Saad) Dan (ingatlah) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam!” ( Ayat 34 : Surah al-Baqarah ) Semua makhluk termasuk malaikat diperintahkan sujud kepada Adam a.s kerana fitrah Adam a.s ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Kadang-kadang istilah ‘Rahsia’ atau ‘Rahsia Allah s.w.t’ digunakan oleh orang sufi bagi menceritakan maksud ‘tiupan Roh Allah s.w.t’ itu. Istilah Rahsia digunakan bagi menerangkan bahawa ‘tiupan Roh Allah s.w.t’ bukanlah sesuatu yang boleh dihuraikan dengan jelas. Ia adalah sebenarnya rahsia kerana jarang manusia yang diberi pengetahuan tentangnya dan kumpulan sedikit yang diberi pengetahuan itu tidak mampu menghuraikannya dengan jelas kepada orang lain. Pemahaman itu ditanamkan sebagai keyakinan bukan huraian akal. Rahsia Allah s.w.t itulah yang membuka medan perhubungan di antara Allah s.w.t dengan hamba-Nya. Rahsia Allah s.w.t itulah yang menanamkankefahaman tentang Allah s.w.t yang “Laisakamislihii Syai’un” Allah Mendengar dan Melihat; Allah Maha Esa dan berbagai-bagai aspek ketuhanan. Orang sufi banyak menggunakan istilah yang maksudnya kurang jelas bagi orang awam sedangkan istilah yang demikian tidak ditemui pada zaman Rasulullah s.a.w. Perlu diketahui bahawa huruf dan perkataan adalah alat untuk menyampaikan maksud. Kadang-kadang huruf dan perkataan gagal menyampaikan maksud yang tersirat. Apabila ia gagal menyampaikan maksud ia menjadi tabir yang menyembunyikan maksud. Ayat yang serupa apabila diucapkan oleh orang yang berlainan boleh membawa pengertian yang berbeza. Jika seorang jejaka asing berkata kepada seorang gadis, ‘Aku cinta padamu,’ ia tidak menyampaikan maksud yang jelas kepada gadis tersebut, tetapi jika kekasihnya yang mengucapkan demikian si gadis itu akan mendapat maksud yang jelas. Walaupun ayat yang serupa digunakan tetapi perbezaan orang yang mengatakannya membawa pengertian yang berbeza-beza. Hanya sebilangan kecil sahaja yang dapat mengeluarkan ucapan yang maksud sebenarnya masuk terus kepada pemahaman si pendengar. Golongan yang paling arif dalam bidang tersebut adalah para nabi dan yang terutama di antara mereka adalah Nabi Muhammad s.a.w. Apabila Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan sesuatu perkara maka maksud yang sebenar terus tertanam dan terpahat dalam hati si pendengar. Apabila baginda s.a.w mengatakan, “Allah Mendengar dan Melihat,” maka maksud Allah Mendengar dan Melihat itu menjadi jelas pada fahaman orang yang menerima pengajaran daripada baginda s.a.w, hinggakan huraian lanjut tidak diperlukan kerana orang berkenaan benar-benar mengerti apa yang baginda s.a.w maksudkan. Kaum Muslimin beriman kepada perkataan Rasulullah s.a.w yang melahirkan kefahaman pada mereka dan mereka tidak perlu bertakwil lagi. Perkataan yang keluar secara langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w berkekuatan menghancurkan hijab, membuka keghaiban dan menyampaikan maksud yang tersirat, melebihi apa juga bentuk amalan menghancurkan hijab atau menyingkap keghaiban yang dilakukan oleh sesiapapun, sama ada ahli ibadat atau ahli suluk. Sebab itu para sahabat baginda s.a.w tidak perlu menjalani latihan khusus seperti berkhalwat atau bersuluk. Apabila Rasulullah s.a.w mengatakan, “Allah lebih hampir kepada kamu dari urat leher kamu sendiri”, maka para sahabat mendapat kefahaman yang jitu tentang kehampiran Allah s.w.t yang baginda s.a.w maksudkan itu. Mereka tidak memerlukan ulasan kerana perkataan yang keluar secara langsung dari mulut Rasulullah s.a.w memberi kefahaman yang lebih jelas daripada apa juga bentuk dan cara penjelasan. Perkataan Rasulullah s.a.w sudah membukakan rahsia dan yang tersembunyi berhubung apa yang baginda s.a.w katakan, maka tidak ada keperluan kepada istilah tambahan, yang rahsia atau yang samar-samar. Semakin jauh zaman meninggalkan Rasulullah s.a.w semakin berkurangan kekuatan perkataan yang diucapkan oleh manusia, walaupun mereka menggunakan bahasa dan perkataan yang pernah baginda s.a.w ucapkan. Ayat al-Quran yang dibaca pada hari ini sama dengan ayat al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w dahulu tetapi tidak ada manusia pada hari ini dapat membacakan al-Quran dengan cara menyampaikan maksud sebenar dan setepat yang dibacakan itu kepada pendengar sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Guru-guru hari ini perlu mencari kekuatan tambahan kepada perkataan mereka dengan memperbanyakkan perkataan yang diperkatakan dalam bentuk terjemahan, huraian, tafsiran, ulasan, perumpamaan dan sebagainya. Apabila sampai kepada perkara-perkara ghaib dan tersembunyi guru perlu mengadakan pintu untuk menahan murid yang belum layak merempuh ke hadapan dan sebagai jalan masuk kepada murid yang sudah layak. Pintu tersebut adalah istilah-istilah yang baharu digunakan, yang tidak digunakan sebelumnya. Ia menjadi sempadan memisahkan yang khusus daripada yang awam. Di antara istilah baharu itu adalah Rahsia Allah s.w.t yang menceritakan tentang perkaitan insan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Istilah tersebut menyekat orang awam daripada mencari-cari maksud yang tersirat dan istilah itu juga menjadi stesen loncatan bagi mereka yang memperolehi kefahaman tentang perkara tersebut. Kefahaman yang diperolehi itu adalah kefahaman yang tidak dapat dihuraikan, tetapi dimengerti halnya dan melaluinya orang khusus maju terus dalam mengenal Allah s.w.t. Allah s.w.t mengurniakan fitrah sejagat kepada manusia kerana mereka memikul amanah serta beban tugas yang suci lagi mulia: (Allah bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Ayat 172 : Surah al-A’raaf) Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat ) Fitrah manusia bukan sekadar berperanan dalam mentadbir penghidupan menurut tabiat semulajadi kemanusiaan malah lebih penting lagi ia adalah persediaan buat manusia melakukan kehambaan (ubudiah) terhadap Allah s.w.t. Manusia yang bergerak dalam sekop fitrahnya mampu memperolehi maklumat melalui akal fikiran, ilham dan kasyaf. Pancaindera dan fikiran bergabung di dalam mendapatkan maklumat mengenai perkara yang zahir. Maklumat yang diperolehi dengan cara ini boleh dikembangkan oleh akal fikiran dengan menggunakan hukum logik dan formula-formula yang dapat disusun oleh akal fikiran. Kebolehan berfikir yang dihasilkan oleh fitrah manusia mampu membawa manusia meneroka segala bidang lahiriah seperti sains, teknologi maklumat, matematik, astronomi, kedoktoran, pentadbiran negara dan lain-lain. Sempadan bagi akal fikiran adalah logik. Ia tidak mampu mengolah sesuatu yang telah keluar daripada daerah logik. Bakat-bakat fitrah merupakan kenyataan kepada firman Tuhan yang bermaksud: “Dan telah diajarkan kepada Adam nama-nama semuanya”. Segala maklumat yang perlu bagi manusia menjalankan tugasnya sebagai khalifah di bumi sudah pun ada pada fitrahnya. Proses pembelajaran, pengalaman, penyelidikan dan sebagainya merupakan cara mencungkil maklumat yang tersimpan di dalam khazanah fitrah, bukan membawa masuk maklumat yang baharu. Pada satu tahap, maklumat di dalam khazanah fitrah dicungkil melalui cara berfikir. Kebolehan berfikir ini dikuasai oleh semua manusia kecuali orang gila. Apa yang Tuhan ajarkan kepada Adam a.s (dan manusia sekaliannya) bukan sekadar penggunaan akal fikiran. Apabila fitrah sampai kepada kemuncak kekuatan berfikir yang dimilikinya iaitu apabila hukum logik gagal memberi huraian maka fitrah beralih kepada bakat keduanya iaitu ilham. Bidang ilham sesuai untuk diterokai oleh mereka yang fitrahnya bebas daripada hukum logik, iaitu tarikan anasir alam, pengaruh kebendaan dan hawa nafsu. Kebanyakan yang termasuk di dalam golongan ini adalah ahli falsafah yang telah membebaskan hati mereka daripada sempadan kebendaan. Bila hati sudah berjaya melepaskan diri daripada kongkongan kebendaan dapatlah ia masuk ke dalam bidang ilham yang berada di sebalik alam kebendaan. Ilham membuka kefahaman tentang unsur ghaib yang mempengaruhi perjalanan kehidupan yang zahir. Ilham boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ilham ahli falsafah dan ilham ahli sufi (ahli kerohanian). Ahli falsafah menggunakan kekuatan dirinya untuk berjuang menentang hawa nafsu dan membebaskannya daripada tarikan anasir-anasir alam. Bila telah berjaya berbuat demikian rohaninya mampu memandang kepada keghaiban yang menyelimuti alam zahir. Dia dapat menyaksikan tenaga ghaib yang membentuk sistem dan mempengaruhi perjalanan segala yang zahir. Di sebalik semua itu dia dapat melihat kesempurnaan: kesempurnaan peraturan dan perjalanan alam maya dan kesempurnaan Pencipta segala kesempurnaan itu. Renungan ahli falsafah berakhir dengan pengakuan tentang wujudnya kekuasaan Mutlak yang mencipta dan mengatur perjalanan alam ini. Kelarutan (kefanaan) di dalam kesempurnaan itu menjadikan ahli falsafah mencintai yang sempurna dan bergerak membentuk kesempurnaan di dalam kehidupan ini. Ahli sufi pula di samping berjuang menentang hawa nafsu dan tuntutan badaniah dia juga membenamkan dirinya ke dalam zikir atau ingatan kepada Allah s.w.t secara terus menerus. Pergantungannya tidak terlepas daripada Tuhan. Apabila dia berjaya di dalam perjalanannya dia berjaya di dalam keadaan ingat dan bergantung kepada Allah s.w.t. Oleh itu ilham yang terbuka kepadanya lebih berkaitan dengan Tuhan daripada makhluk Tuhan. Perhatiannya terhadap makhluk, termasuklah dirinya sendiri, mengecil dan perhatiannya kepada Tuhan membesar. Jika ilham ahli falsafah lebih tertumpu kepada kesempurnaan dan kerapian penciptaan iaitu perbuatan Tuhan, ilham ahli sufi pula tertumpu kepada keelokan dan kesempurnaan sifat Tuhan yang menciptakan segala kesempurnaan dan keelokan itu. Ilham ahli falsafah melahirkan rasa kekaguman terhadap Pencipta sementara ilham ahli sufi pula melahirkan rasa kehampiran dan keasyikan terhadap Pencipta Yang Maha Indah lagi Maha Sempurna. Ilham sufi bukan sekadar melahirkan pengakuan dan keasyikan terhadap Yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur, malah ahli sufi juga memperolehi keyakinan tentang kedudukannya pada taraf kehambaan yang perlu membuktikan kehambaan itu, tetapi ilham sufi tidak mampu membuka rahsia ketuhanan dan tidak berupaya membentuk cara pengabdian kepada Tuhan sebagaimana yang dikehendaki oleh Tuhan. Fitrah tidak mengaku kalah pada tahap ilham. Ia maju lagi meneroka lebih tinggi dengan menggunakan bakatnya yang ke tiga iaitu kasyaf. Kasyaf adalah terbukanya perkara ghaib kepada alam perasaan dan penyaksian mata hati. Apa yang difikirkan dan ditemui melalui ilham dapat dirasakan atau disaksikan melalui kasyaf. Bidang kasyaf membuka perkara yang tersembunyi disebalik yang nyata dan juga membuka bidang alam ghaib yang tidak dapat dipandang dengan mata, tidak dapat difikirkan dan dikhayalkan dan terkeluar dari medan logik. Bidang kasyaf memungkinkan seseorang memperolehi pengetahuan tentang alam rohani seperti Alam Jin, Alam Barzakh, syurga dan neraka. Kasyaf boleh meneroka lebih jauh kepada suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Suasana ketuhanan yang dibukakan kepada ahli kasyaf adalah sebagai perkenalan dari Tuhan kepada hamba. Oleh kerana Tuhan adalah: ” Laisakamislihii Syai’un ” maka suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan atau diibaratkan kepada Tuhan yang dibukakan kepada ahli kasyaf adalah dalam bentuk misal, ibarat atau penyifatan. Suasana misal yang disaksikan itu menanamkan kefahaman tentang Tuhan yang tidak boleh dimisalkan. Pengetahuan yang diperolehi secara fikiran dan ilham dipanggil makrifat (pengenalan) secara ilmu. Pengetahuan yang diperolehi secara kasyaf pula dinamakan makrifat secara zauk atau penyaksian mata hati. Apabila kasyaf sampai kepada kemuncak penyaksiannya maka tiada apa lagi yang dapat disaksikan. Kasyaf pada tahap ini hanya merasakan dengan penuh yakin tanpa menyaksikan tentang Wujud Tuhan yang tanpa misal, tanpa sifat, tanpa ibarat dan tidak boleh dikatakan apa-apa kerana Allah s.w.t adalah : Laisakamislihii Syai’un Medan kasyaf yang sangat luas itu diterokai oleh sufi yang telah membuang segala kepentingan diri sendiri lantaran kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. Melalui kasyaf, yang paling tinggi dapat disaksikan adalah suasana atau keadaan yang dinisbahkan kepada Tuhan tetapi bukanlah Tuhan. Apabila melepasi tahap penyaksian kasyaf sampai kepada batasan terakhir iaitu merasai secara zauk Wujud Tuhan yang tidak dapat disifatkan dan Dia Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Kemuncak kasyaf adalah kejahilan di mana tidak ada lagi bahasa yang mampu bercerita tentang Tuhan. Ahli kasyaf yang masuk kepada tahap ini berada dalam suasana yang dipanggil kehairan-hairanan di mana dia merasakan telah mengenal Tuhan tetapi tidak mampu menyingkap pengenalan tersebut. Dia dikatakan faham tanpa sesuatu kefahaman dan tahu tanpa sesuatu pengetahuan. Kasyaf tidak tahu menyebut Allah s.w.t sebagaimana Dia mahu disebut. Kasyaf tidak tahu menceritakan Allah s.w.t sebagaimana yang Dia mahu diceritakan. Kasyaf tidak berupaya memperkenalkan Allah s.w.t sebagaimana Dia mahu Diri-Nya dikenali. Kasyaf juga tidak tahu bentuk pengabdian yang Allah s.w.t mahukan dari hamba-Nya. Kasyaf tidak dapat mengajar manusia cara menyembah Allah s.w.t. Jadi, fitrah manusia dengan segala bakat-bakatnya tidak dapat membuka Kebenaran Hakiki mengenai Allah s.w.t. Dalam soal ini fitrah sampai kepada keadaan mesti tunduk, patuh dan taat dengan seluruh penyerahan kepada Allah s.w.t dan menyatakan hajat kepada bimbingan yang langsung daripada-Nya serta bermohon agar Dia sendiri membuka Yang Haq itu. Hanya Allah s.w.t boleh menyatakan apa yang Dia kehendaki. Hanya Dia yang berhak menentukan cara pengabdian dan penyembahan kepada-Nya. Hanya Dia yang mampu memperkenalkan Diri-Nya sebagaimana yang Dia mahu. Dalam perkara ini manusia tidak ada pilihan melainkan berhajat kepada WAHYU yang datang dari Allah s.w.t sendiri bagi menghakimkan fikiran, ilham dan kasyaf. Kebenaran yang dikatakan oleh wahyu itulah yang kebenaran sejati, yang paling benar, tidak boleh dicabar oleh fikiran, ilham dan kasyaf. Tugas fikiran, ilham dan kasyaf adalah membuktikan kebenaran wahyu bukan mencari kebenaran yang lain daripada itu. Tanpa bimbingan wahyu manusia membentuk berbagai-bagai kepercayaan dan cara menyembah Tuhan. Golongan yang hanya menggunakan akal hanya berminat dengan perkara kebendaan. Golongan ini kurang berminat tentang Tuhan. Dari kalangan mereka muncul puak ateis yang tidak percaya kepada Tuhan dan perkara ghaib. Dari kalangan ahli falsafah pula muncul ideologi idealisma yang kemudiannya diterima oleh orang ramai sebagai agama. Agama yang muncul melalui cara ini berasaskan fitrah kemanusiaan semata-mata. Golongan ini melihat kesempurnaan yang diletakkan oleh Pencipta kepada kejadian alam tetapi keadaan Pencipta itu sendiri tertutup kepada mereka. Oleh yang demikian perhatian mereka kuat tertuju kepada kejadian alam. Apabila sikap menghormati dan mencintai anasir alam sudah berlebihan ia bertukar menjadi penyembahan. Kesudahannya muncullah agama yang mengadakan anasir alam sebagai sekutu Tuhan. Golongan sufi yang belum matang pula mendapat gambaran yang tidak tepat tentang Tuhan. Di dalam golongan ini bukan sahaja terdapat kaum Muslimin yang memasuki jalan sufi, ia termasuk juga penganut kepercayaan lain yang membuat latihan tarekat menurut kepercayaan mereka. Bila alam ghaib terbuka kepada mereka, biasanya di samping melihat kesempurnaan sifat Tuhan mereka juga melihat kesempurnaan diri sendiri yang ditempa oleh Tuhan. Sebahagian daripada mereka terdorong ke dalam rasa takjub dan taasub terhadap kesempurnaan diri, lalu melihat sifat ketuhanan pada diri. Dari golongan mereka muncullah puak yang mempertuhankan Isa al-Masih, Uzair, Buddha dan lain-lain. Ada pula yang mempertuhankan diri sendiri. Banyak lagi kekeliruan yang muncul dalam akidah manusia apabila mereka tidak bersandar kepada wahyu. Kebenaran yang sejati tentang Tuhan dan cara menyembah-Nya hanya boleh didapati daripada wahyu. Bangsa manusia telah memilih seorang wakil yang paling sempurna dari kalangan mereka, seorang insan yang paling tinggi kecerdasan akalnya, paling luas medan ilhamnya dan paling terang suluhan kasyafnya. Wakil yang sempurna itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum wahyu datang wakil yang sempurna itu telah menjalani latihan khalwat di Gua Hiraa. Melalui proses tersebut kesempurnaan baginda s.a.w menjadi lebih sempurna tetapi kesempurnaan yang paling sempurna itu pun tetap tunduk kepada hukum Allah s.w.t iaitu berhajat kepada jawapan dan bimbingan yang langsung daripada-Nya, tidak mampu diteka oleh akal, tidak mampu dihurai oleh ilham dan tidak mampu disuluh oleh kasyaf walaupun kesemua bakat-bakat tersebut berada di dalam kesempurnaan. Apabila Allah s.w.t mendatangkan jawapan dengan wahyu-Nya baharulah hilang segala kesamaran dan kekusutan dan tersingkaplah hijab yang menutupi Yang Haq! Fikiran, ilham dan kasyaf wajib akur dengan apa yang wahyu kata kerana wahyu itulah Kalam al-Hak. Pada tanggal 17 Ramadan, tahun 41 dari usia Nabi Muhammad s.a.w, wahyu yang pertama menyinari fitrah suci baginda s.a.w. Terbukalah era baharu di dalam kehidupan manusia dan penduduk seluruh alam. Yang samar telah terang. Yang tertutup telah terbuka. Yang terhijab telah tersingkap. Yang tidak boleh diperkatakan sudah boleh diperkatakan. Yang Haq telah nyata tanpa ragu-ragu lagi. Related posts

No comments: