25 November 2019

Ilmu sifat 20

?

LIVEJOURNAL

LOGIN

KALAM_INSANI

SUBSCRIBE


Nota Dari Kelas AgamaHidupkan hati yang mati dengan ilmu.

   

May 19th, 2014, 07:07 pm

Sifat Ilmu

19 Rejab 1435 Hijriah

Dalam usaha untuk mengenal ALLAH, ada 2 perkara yang perlu difahami.
1) Diri (Zat) ALLAH.
Diri atau Zat ALLAH tidak boleh difikirkan mahupun dibayangkan. Diri atau Zat ALLAH tidak dari sesuatu yang dapat difahami akal. Jika dipaksa akal memikirkan bagaimanakah Diri atau Zat ALLAh itu 2 perkara akan berlaku iaitu;-
                      * menjadi syirik
                      * menjadi gila

2) Sifat-sifat ALLAH
Sifat-sifat ALLAH tidak terhitung bilangannya. Yang diwajibkan untuk dikenal ada 20 sahaja (sifat 20). Sifat-sfat ALLAH tidak boleh sama dengan sifat-sifat makhluk. Sifat-sfat ALLAH berdiri pada Diri atau Zat ALLAH. Sifat dan Zat ALLAH tidak boleh dipisahkan. Maka itu ALLAH adalah Yang Maha Esa.

Sifat ALLAH - Ilmu

Sifat ilmu termasuk ke dalam 4 jenis sifat ALLAH iaitu:-
                          * sifat wajib
                          * sifat ketuhanan
                          * sifat ma'ani
                          * sifat ta'aluq

1) Sifat Wajib Ilmu

Ilmu ertinya mengetahui. ALLAH bersifat mengetahui. Iktikad yang wajib diisi dalam sifat ilmu ALLAH ialah:-
                          * Diri (Zat) ALLAH yang mengetahui
                          * ALLAH mengetahui keseluruhannya
                          * ALLAH mengetahui segala-galanya serentak dalam satu masa
                          * tiada yang terlepas dari pengetahuan ALLAH
                          * ALLAH mengetahui setiap yang nyata mahupun yang ghaib.
                          * ALLAH mengetahui yang belum ada, yang akan ada, yang sedang ada dan yang sudah tiada
                          * ALLAH mengetahui tanpa ada perantaraan.

Lawan sifat ilmu ialah sifat aljahlu atau jahil (bodoh). ALLAH diiktikadkan sebagai jahil jika:-
                          * ada perkara yang ALLAH tidak tahu
                          * ada perkara yang ALLAH terlupa
                          * ada perkara yang terselindung dari pengetahuan ALLAH
                          * ALLAH mengetahui melalui perantaraan.

ALLAH bersifat ilmu bukan bererti ALLAH ada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan mesti dicari seperti belajar atau diajar. ALLAH tidak perlu belajar atau diajar untuk mengetahui. Jika ALLAH mengetahui kerana diajar atau belajar ertinya ALLAH itu bersifat jahil maka perlu untuk diajar dan belajar. Sifat jahil adalah sifat yang lemah. Lemah adalah sifat makhluk. ALLAH tidak boleh bersifat sama seperti makhluk. Maka ALLAH mustahil bersifat jahil.

Sifat ilmu pada ALLAH bererti ALLAH mengetahui segala perkara tanpa sempadan. Ilmu ALLAH tiada terbatas dan merangkumi segala-galanya yang dapat difikirkan dan yang tidak dapat difikirkan manusia. Ilmu ALLAH tiada awal dan tiada akhirnya.

Dalil Sifat Ilmu
Apakah bukti-bukti ALLAH bersifat mengetahui? Dalil sifat-sifat ALLAH terbagi 2 iaitu:-

1) Dalil Naqli - Dalil al-Qur'an
Dalil dari al-Qur'an wajib diterima tanpa perlu difikirkan akal. Dalil al-Qur'an adalah bukti langsung dari ALLAH swt dan diterima dengan iman. Antara ayat yang menegaskan sifat Maha Mengetahui ALLAH ialah:-

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 29, yang bermaksud; "Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi. Kemudian Dia menuju dengan kehendak-NYA ke arah langit, lalu dijadikannya langit dengan sempurna. Dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 77, yang bermaksud; "Tidakkah mereka mengetahui bahawa ALLAH mengetahui segala yang mereka sembunyikan dan segala yang mereka nyatakan."

Firnan ALLAH dalam surah al-An'am ayat 59, yang bermaksud; "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib; tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja. Dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya. Dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering melainkan semuanya ada tertulis di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang terang nyata."

Dan banyak lagi ayat al-Qur'an yang menerangkan bahawa ALLAH itu bersifat Maha Mengetahui.


2) Dalil Aqli - Dalil akal
Jika ALLAH tidak bersifat mengetahui ertinya ALLAH bersifat tidak mengetahui atau jahil. Jika ALLAH bersifat jahil bagaimanakah ALLAH dapat mecipta alam yang hebat ini?

Alam adalah lambang kehebatan dan kebesaran ALLAH swt. Alam mengandungi berbagai sisitem yang menjadikan alam itu berfungsi dan hidup dengan sempurna. Pusingan antara matahari, bulan dan bumi menghasilkan siang dan malam dan putaran 4 jenis musim. Sistem pengwapan air laut, sungai, tasik dan kolam menghasilkan hujan. Sistem pembiakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan memastikan bekalan makanan untuk manusia. Dan banyak lagi sistem yang berlapis-lapis di alam ini yang tidak disedari atau tidak diambil peduli oleh manusia. Sedangkan dalam tubuh manusia itu sendiri mempunyai berbagai sistem bagi memastikan manusia itu dapat hidup dengan sempurna.

Adakah yang menciptakan semua sistem ini bersifat jahil atau bodoh? Jawapan yang jujur dari akal yang sihat ialah mustahil pencipta alam yang hebat ini berisifat jahil atau bodoh. Sesungguhnya Pencipta alam adalah ALLAH yang bersifat Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. ALLAH berkehendak mencipta alam ini dengan sifat ilmu-NYA yang amat luas tanpa batas. Maka terbuktilah bahawa sesungguhnya ALLAH bersifat ilmu dan mustahil aljahlu.

2) Sifat Ketuhanan Ilmu

Sifat ketuhanan ialah sifat kesempurnaan yang ada pada Tuhan yang layak disembah. Sifat ketuhanan tidak boleh ada pada makhluk kerana makhluk tidak bersifat sempurna. Sifat ketuhanan terbagi 2 iaitu:-
                          * sifat istighna' - sifat terkaya di seluruh alam
                          * sifat iftiqar - sifat yang seluruh alam berhajat kepadanya

Sifat ilmu termasuk dalam sifat ketuhanan iftiqar iaitu seluruh alam berhajat kepada sifat ilmu ALLAH. Sifat ilmu ALLAH sentiasa berada di atas alam. ALLAH sentiada mengetahui setiap perkara yang belum terjadi, yang sudah terjadi, yang sedang terjadi dan yang akan terjadi. Tiada apa yang terkeluar atau tercicir dari pengetahuan ALLAH. Alam berfungsi dengan kehendak ALLAH dan kehendak ALLAH ialah dengan ilmu-NYA jua.

Bagi manusia hendaklah selalu berdoa kepada ALLAH dan jangan berputus asa dalam hidup kerana apa yang terjadi adalah dalam ilmu ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk diri kita. Maka hendaklah  kita sentiasa bermohon (berhajat) hanya kepada-NYA.

3) Sifat Ma'ani Ilmu

Sifat ma'ani ialah sifat ALLAH yang dapat difikirkan akal dan dapat dilihat kesannya dengan mata kepala. ALLAH yang mencipta alam sudah tentu Maha Mengetahui kerana jika ALLAH tidak mengetahui ertinya ALLAH itu jahil (bodoh). Adalah mustahil pada akal pencipta yang jahil dapat mencipta alam yang tersusun dan berfungsi dengan sistem-sistem yang sangat hebat lagi mengkagumkan ini.

Mata dapat melihat bagaimana kejadian malam berganti siang, bagaimana pohon-pohon berbunga lalu berbuah, bagaimana hujan diturunkan dari langit, bagaimana burung terbang dengan sayapnya dan begitulah seterusnya, segala-gala yang terjadi adalah kesan dari sifat ilmu ALLAH. Maka hendaklah kita sentiasa bertasbih memuji kebesaran ALLAH dalam segala ciptaan-NYA yang kita lihat.

4) Sifat Ta'aluq Ilmu

Sifat ALLAH yang berta'aluq ada 6 sahaja. Pengertian ta'aluq ialah berhubung atau bergantung (berkait) dengan yang lain. Sifat ilmu berta'aluq pada 3 perkara iaitu:-
                                    * berta'aluq kepada yang wajib
                                    * berta'aluq kepada yang mustahil
                                    * berta'aluq kepada yang harus

1) Berta'aluq pada yang wajib.
Yang wajib ialah Diri ALLAH. Sifat ilmu berta'luq pada Diri ALLAH. Ertinya ALLAH mengetahui bahawa Diri (Zat)-NYA tidak dari sesuatu. ALLAH mengetahui Diri-NYA Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa. Dan ALLAH mengetahui bahawa Diri-NYA adalah Maha Mengetahui.

2) Berta'aluq pada yang mustahil.
Yang mustahil ialah saingan atau sekutu ALLAH. Sifat ilmu berta'aluq pada yang mustahil ertinya ALLAH mengetahui pada perkara yang tidak mungkin wujudnya.

3) Berta'aluq pada yang harus.
Selain dari ALLAH adalah yang harus. Selain dari ALLAH adalah alam. Maka alam itu adalah yang harus. Sifat ilmu berta'aluq pada alam ertinya ALLAH mengetahui perkara yang belum terjadi, perkara yang sedang terjadi, perkara yang sudah terjadi dan perkara yang akan terjadi.


Like this post?

4

Thank you for reading.

Current Location: Commonwealth Drive, SingaporeCurrent Mood:  working

Tags: sifat 20

Comments have been disabled for this post.

Recent EntriesProfileArchiveTags

An Islamic Journal

Salam Untuk Semua

Sekadar berkongsi sedikit ilmu yang telah dipelajari. Semoga memberi manfaat kepada yang membaca dan kepada diri penulis sendiri. Jika ada salah dan silap harap dapat dimaafkan.

Mudah-mudahan ALLAH memberkati amal yang kecil ini. Amiin Ya Rabbal 'alamin.

Calendar

Mar2018

SMTWTFS



No comments: