08 February 2020

Pemutusan PERJANJIAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

BismillahHirahmanirRahim

BismillahHirahmanirRahim

BismillahHirahmanirRahim


Alhamdulillah syukur kepada ALLAH



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Ramadhan, saya Hj Muhammad Bentara Tujuh. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, ingin saya berkongsi sedikit mengenai PEMUTUSAN PERJANJIAN. Kita sering diingatkan bahawa Ramadhan ialah bulan ibadah, tetapi harus kita tanamkan juga bahawa Ramadhan ialah bulan PERJUANGAN. Berjuang dalam ertikata melawan hawa nafsu, tamak haloba, hasad dengki, berjuang melawan ego, berjuang untuk menunaikan ibadah khusus mahupun ibadah am, dan paling tidak, berjuang menahan lapar dan dahaga. Berjuang untuk BERSABAR dan menjaga adab serta pertuturan kita, baik secara lisan mahupun tulisan... bulan ini juga bulan penyucian. Penyucian HATI, JASAD dan MINDA. Peperangan besar pertama di dalam Islam juga telah berlaku ketika bulan Ramadhan. Dan harus difahamkan bahawa membebaskan diri dan keturunan daripada dampingan Jin-jin juga adalah satu PERJUANGAN.

Saban hari kami menerima kes daripada pesakit yang mengadu bahawa beliau dan ahli keluarga diganggu SAKA. Mereka telah berubat merata, di sana sini, namum masalah Saka tadi masih berulang. Ada yang telah bertahun menghadapi masalah ini. Di sini, perkataan saka berasal daripada “pusaka”, iaitu barang yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Di dalam konteks Alam Ghaib, Saka merujuk kepada kumpulan-kumpulan Jin yang pernah diambil sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja, dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan yang mengambil mereka, dengan tujuan-tujuan tertentu. Tujuan ini termasuklah untuk perlindungan, kekuatan, menjaga tanaman, menjaga tanah, ketangkasan bertempur, kecantikan, pelaris dan sebagainya.

Harus difahamkan di sini bahawa mengambil Saka merupakan perbuatan yang dilarang Islam dan ianya boleh membawa kepada syirik apabila individu yang mengambil Saka tersebut bergantung harap kepada Jin yang mendampinginya dan secara langsung atau tidak, telah mengenepikan Allah Subhanahu Wata’ala. Di manakah diletakkan Allah pada ketika itu? Di manakah diletakkan Para Malaikat? Allah berfirman di dalam surah Al Jinn ayat 6, mafhumnya,

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Seterusnya Allah berfirman di dalam surah Yaa Sin ayat 74 dan 75, mafhumnya,

“Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan lain selain Allah, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu). Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada Hari Kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.”

Di sini jelas sekali bahawa perbuatan mengambil pendamping atau Saka adalah salah dan bertentangan dengan ajaran Islam dan ijtihad Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bertentangan dengan Rukun Iman yang 6. Namun begitu ada pihak yang mendakwa, “Aku tidak mengambil Saka” atau, “Aku tidak bersetuju untuk menerima Saka tu”, tetapi tetapnya terdapat kehadiran Jin-jin Saka ini di dalam keturunan mereka. Ini adalah kerana pernah wujud perjanjian di antara pihak manusia yang mengambil pendamping ini (biasanya melalui perantaraan bomoh atau perawat yang berdamping dengan makhluk ghaib) dengan kumpulan-kumpulan Jin yang diambilnya. Jin-jin Saka tidak akan meninggalkan keturunan individu yang mengambilnya selagi perjanjian tersebut tidak diputuskan. Bak kata orang lama, “Tukang gunting tidak dapat menggunting rambutnya sendiri.” Begitulah perumpamaan bagaimana individu tertentu tidak boleh memutuskan perjanjian Sakanya sendiri.
Kaum Jin sememangnya diketahui amat taat kepada perjanjian. Mereka akan mematuhi perjanjian tersebut selagi ianya tidak diputuskan. Maka dengan itu juga, mereka tetap akan kembali kepada pewaris walaupun telah “diputuskan” oleh perawat atau bomoh. Tetapi hakikatnya, kaedah pemutusan perjanjian oleh perawat atau bomoh tersebut tidak diterimapakai.

PEMUTUSAN PERJANJIAN sebenarnya adalah satu proses yang amat rumit kerana ia melibatkan kesemua individu di dalam kumpulan-kumpulan Jin tersebut, dan ini mungkin mencecah bilangan ratusan ribu atau jutaan ekor Jin. Bukan seekor dua seperti yang sering kita dengar. Untuk memutuskan perjanjian ini, pertama sekali perawat tersebut perlu mengetahui nama asal ketua kumpulan Jin tersebut. Beliau juga perlu tahu sifat, sikap, pemakanan dan jenis penempatan spesies Jin tersebut. Selain itu, kaedah bagaimana mereka diambil dahulu, barang apa yang digunakan sebagai syarat pengambilan, apakah perjanjian mereka… Alam Ghaib terdiri daripada ribuan Alam… Puteri Nur akan melihat terus Alam mana yang sesuai untuk Kaum yang mana. Puteri Nur akan berdakwah kepada Kaum Jin ini bagaimana mereka harus memulakan penghidupan yang baru… banyak aspek yang perawat tersebut perlu tahu untuk membolehkan pemutusan perjanjian yang berkesan dilaksanakan.

Proses pemutusan ini melibatkan rundingcara dan diplomasi. Kumpulan-kumpulan yang diputuskan perjanjian ibarat pelarian yang diusir keluar daripada tempat kediaman mereka. Seharusnya mereka diberikan penempatan baru yang bersesuaian dengan sifat dan sikap serta keperluan mereka. Penduduk-penduduk ghaib yang lain yang berada di dalam kawasan tersebut juga perlu diambilkira. Sebagai contoh, kumpulan Jin-jin Kera tidak boleh ditempatkan di kawasan yang mempunya populasi Jin Harimau. Dan bukan semua hutan, gunung, paya atau lautan sesuai untuk menempatkan kumpulan-kumpulan Jin yang dibebaskan ini.

Jika perpindahan ini melibatkan perjalanan merentasi daerah atau jajahan takluk sesuatu kerajaan Jin lain, kebenaran dan persetujuan daripada Raja atau ketua di daerah itu perlu diperolehi terlebih dahulu supaya kumpulan Jin-jin ini dapat bergerak merentasi daerah mereka. Begitu juga dengan penempatan baru yang berada di dalam daerah atau jajahan takluk sesuatu Kerajaan Jin tertentu. Keizinan dan kebenaran daripada Raja atau ketua Jin yang memerintah kawasan tersebut perlu diperolehi untuk menempatkan semula Jin-jin Saka ini. Keadaannya adalah mirip kepada situasi manusia di Alam Nyata ini. Kita memerlukan passport dan visa untuk memasuki serta menginap di dalam sesuatu negara asing. Begitu juga halnya dengan kaum Jin.

Oleh sebab itu, Pusat Terapi Ilhamiah merakam setiap sesi rawatan dan catatan dibuat agar dapat dirujuk semula untuk sesi yang berikutnya. Kami menyimpan fail-fail pesakit seperti di klinik atau hospital dan kerana itu juga, temujanji sesi perawatan perlu diaturkan terlebih dahulu. Pengurusan setiap kumpulan Jin ini mengambil masa dan oleh kerana itu, Puteri Nur hanya akan mengambil kes yang telah ditetapkan. Puteri Nur mampu melakukan PEMUTUSAN PERJANJIAN kerana beliau melihat ke mana arah tujuan Jin-jin tersebut setelah mereka keluar daripada jasad pesakit. Arah mana, rumah siapa, bentuk rupa rumah tersebut, nama ahli keturunan pewaris yang didampingi, juga bentuk dan sifat serta watak Kaum-kaum Jin yang terlibat.

Proses rundingcara ini perlu dilakukan dengan teliti dan sempurna. Puteri Nur amat detail dan berhati-hati. Beliau harus mengkaji watak setiap makhluk yang diuruskan. Watikah Pemutusan juga disediakan di akhir proses perawatan sebagai satu syarat menandakan bahawa sesebuah keluarga dan keturunan tersebut telah bebas daripada segala Jin yang mendampingi mereka. Puteri Nur mampu melakukan proses PEMUTUSAN PERJANJIAN ini dengan sempurna, kerana itu adalah anugerah dan perjuangan beliau yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Dan kami akan berusaha sedaya mampu untuk mengambil setiap kes. Harap terus hubungi saya melalui pm sekiranya kami terlepas pandang. Kerana itu borang-borang harus diisi untuk pihak kami menyusunatur jadual kes dan team yg perlu hadir sama.

Sekian dahulu buat kali ini, saya tangguhkan dengan ucapan selamat menjalankan ibadah puasa, semoga kita semua mendapat keberkatan dariNya. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalam.

#puterinur #bentaratujuh #bunian #rajabunian #psychic #paranormal #ramadhan #berjuang #puasa #mistik #alamghaib #jin #saka #sihir #santau #pusaka #puaka #utusanonline #mediaprima #tv3malaysia #tv9malaysia #mastika #xmastika #seekers #paranormalunderground #legasiparanormal #paranormallangkawi

































No comments: