أعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
(الْحَمْدُ لِلَّهِ)Tahmid Dengan Denyutan Nadiku
(لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)Tahlil Degupan Jantungku
(اللَّهُ أَكْبَرُ)Takbir Hela Turun Naik Nafasku
اَلْحَمْدُ ِللهِ syukur kepada اللهَ
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ... ALLAH اللهَ
اَللَّهُمَّ صَلِّىْ عَلَىْ سَيِّدِنَامُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk”.
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ... ALLAH اللهَ
اَللَّهُمَّ صَلِّىْ عَلَىْ سَيِّدِنَامُحَمَّدٍ
Al-Quran Sebagai Acuan Kehidupan
بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
.
Khutbah Jumaat: “Al-Quran Sebagai Acuan Kehidupan”
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari ke-16 bulan Ramadhan yang berkat ini, saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya, dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah “AL-QURAN SEBAGAI ACUAN KEHIDUPAN”.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
.
Tarikh 17 Ramadhan yang akan kita tempuhi esok, merupakan tarikh keramat yang pernah menyaksikan turunnya wahyu pertama, kepada Nabi Muhammad SAW ketika sedang bersendirian, munajat kepada Allah di Gua Hira’. Penurunan wahyu ini, sebagai tanda pengiktirafan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul, yang akan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh alam.
Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW, yang kekal hingga hari qiamat. Ia memperlihatkan kehebatan Nabi Muhammad SAW, yang terkenal sebagai seorang ummi, tidak tahu membaca dan menulis, tetapi mampu mengingati al-Quran dengan baik setiap kali ia diturunkan.
.
Tidak tahu membaca dan menulis yang ada pada Nabi Muhammad SAW, bukanlah untuk melemah atau merendahkan martabat Nabi, sebaliknya suatu bukti jelas, betapa al-Quran bukannya kitab rekaan atau hasil penulisan nabi sendiri sebagaimana yang didakwa oleh penentangnya. Mukjizat Al-Quran adalah lebih terserlah kehebatannya, apabila umat Islam selalu membacanya, dan menjadikannya sebagai rujukan utama dalam kehidupan seharian.
Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa, akan dijanjikan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakana ( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmizi)
.
Sebagai umat Islam, semestinya hubungan kita dengan Al-Quran adalah ibarat isi dengan kuku. Ia cukup erat sehingga tidak boleh terpisah-pisah. Tambahan pula dengan wujudnya kecanggihan teknologi masa kini, sepatutnya tiada lagi alasan untuk umat Islam tidak celik Al-Quran.
Kini naskah al-Quran boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti perisian komputer, aplikasi android, pen bacaan, CD dan boleh dimuat turun dalam telefon bimbit dengan mudah. Teknik-teknik mudah mempelajari Al-Quran juga cukup banyak dan umat Islam mempunyai banyak pilihan untuk mendekati dan menguasai Al-Quran.
.
Dalam konteks membudayakan Al-Quran dalam masyarakat, pihak pemerintah menerajui usaha melahirkan para penghafaz Al-Quran menerusi Darul Quran, mendidik generasi muda melalui kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), menganjurkan Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, menganjurkan pertandingan Hafazan Al-Quran, menerbitkan tafsir al-Quran iaitu Tafsir Pimpinan ar-Rahman dan banyak lagi.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
.
Al-Quran yang merupakan mukjizat teragung dan abadi, berperanan sebagai acuan kehidupan, memandu manusia ke jalan yang benar dan membebaskan manusia dari azab api neraka. Namun persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan Al-Quran sebagai acuan kehidupan?
Secara ringkasnya, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan, Al-Quran sebagai acuan kehidupan berperanan membentuk kehidupan, manusia berdasarkan kepada tiga ciri utama, iaitu aqidah, ibadah dan muamalat, yang dapat disimpulkan seperti berikut:
.
Pertama: berdasarkan kepada Al-Quran bahawa umat manusia diikat dengan aqidah yang satu, bertauhidkan Allah SWT. Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam selain mengarah kepada mengesakan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ ﴿٤﴾
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.”
Kedua: Ibadah dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza sama sekali daripada konsep ibadah di dalam agama dan kepercayaan yang lain. Ia merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Justeru, sebagai seorang Islam kombinasi kehidupan dunia dan akhirat merupakan unsur Ibadah yang menjadikan seorang hamba itu hidup berpahala dan taat kepada perintah Allah SWT.
Dan ketiga: Al-Quran bukan sahaja berfungsi sebagai jalan untuk manusia berinteraksi dengan Allah SWT, bahkan ia turut menyediakan garis panduan dalam aktiviti muamalat sesama manusia. Dalam hal ini, Al-Quran meletakkan panduan prinsip al-adl wal ihsan yang berteraskan kepada akhlak Islam iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat serta menghapuskan penindasan. Justeru, sistem-sistem muamalat seperti kapitalis dan sosialis sememangnya telah jelas menyanggahi prinsip-prinsip Islam.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
.
Kita sedar pada hari ini, pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan pegangan umat Islam dalam menjadikan Al-Quran sebagai acuan kehidupan. Mereka melakukan melalui pencemaran budaya, membangkitkan isu keagamaan, penyebaran fitnah sama ada melalui media massa dan alam siber serta melanggari undang-undang negara.
Mereka juga mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah dan bidangkuasa Raja sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu dan pada akhir-akhir ini, mereka juga mempertikaikan kewujudan dan peranan Institusi keagamaan di negara ini.
Mimbar yang mulia ini, ingin menyatakan bahawa, inilah sebahagian daripada agenda untuk melemahkan pegangan umat Islam, melemahkan acuan kehidupan yang berteraskan kepada Al-Quran, dan yang paling utama ialah agenda untuk melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
.
Justeru, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, cintakan Al-Quran, mimbar menyeru, marilah sama-sama kita bersatupadu, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha mereka untuk menggugat kedudukan agama Islam dan Institusinya di negara ini dapat digagalkan.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT, agar segala usaha untuk melemahkan pegangan umat Islam dapat dihindarkan. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.
Firman Allah dalam Surah Ali- Imran ayat 160:
إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.”
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
.
Bersempena bulan Ramadhan yang mulia dan Sambutan Nuzul AL-Quran pada kali ini, mimbar yang mulia menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengambil langkah-langkah berikut:
.
Pertama: Meletakkan Al-Quran sebagai acuan kehidupan, dengan menjadikannya sebagai kitab rujukan sepanjang hayat, demi kesejahteraan dunia dan akhirat.
Kedua: Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa memahami dan menghayati kandungan dan petunjuk al-Quran itu. Makna tadabbur yang dijelaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Tafsir al-Munir ialah memerhatikan makna-makna ayat al-Quran dan meneliti kandungannya. Apabila melakukannya kita dapat menghayati sepenuhnya kandungan Al-Quran, bahkan menambah tautan cinta dan rindu berinteraksi dengannya.
Ketiga: kita hendaklah menolak segala unsur yang cuba untuk mengugat kesucian agama Islam di negara ini. Dalam hal ini, umat Islam hendaklah bersatu tanpa mengira apa-apa latar belakang fahaman, ideologi dan politik.
Keempat: Sesungguhnya Allah SWT memberikan kemuliaan dan mengangkat maratabat umat ini, dengan mereka mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh dan menjadikannya acuan kehidupan. Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketaqwaan dan mengubah segala kelakuan buruk dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran supaya kehidupan kita diredhai Allah SWT.
.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalm surah al-Qamar ayat 17:
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ ﴿١٧﴾
Maksudnya: “Dan sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?”
.
.
بَارَكَ اَللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اَللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Al-Quran Sebagai Acuan Kehidupan”
(3 Julai 2015/ 16 Ramadhan 1436H)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
Keajaiban Saintifik Al Quran
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Khutbah Jumaat: “Keajaiban Saintifik Al Quran”
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “KEAJAIBAN SAINTIFIK AL- QURAN”.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Setiap tahun pada 17 Ramadhan merupakan satu tarikh diingati oleh umat Islam kerana berlakunya peristiwa yang agong iaitu Nuzul al-Quran. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan kuliah serta media massa tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati peristiwa yang bersejarah ini. Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hira. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:
Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah.”
.
Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, dengan kata lain menjelaskan kepada manusia aturan kehidupan dan membina peradaban agar menjadi umat yang dapat membezakan antara yang halal dan haram, antara kebenaran dan kebatilan. Al-Quran juga sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Al-Quran dimanafaatkan sebagai sumber saintifik denganmengajak manusia untuk berfikir dan mengkaji alam semesta ini termasuk diri sendiri. Kajian demi kajian yang dilakukan oleh manusia zaman moden ini membuktikan bahawa wujudnya pencipta kepada alam ini iaitu Allah SWT.
Antara contoh saintis yang mengkaji al-Quran ini secara terperinci dari perspektif sains moden ialah Dr Maurice Bucaille dari Peranchis. Beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk Quran, Bible dan Sains menyatakan bahawa: “Sesungguhnya al-Quran terbukti keunggulannya dari sudut sains hanya di zaman sekarang setelah sains mencapai satu tahap yang agak tinggi”.
Satu lagi contoh kajian berkenaan kejadian manusia membuatkan ahli embriologi seperti Profesor Keith Moore berasa kagum dengan apa yang diutarakan oleh al-Quran menepati apa yang baru ditemui di abad ini.
Begitu juga dengan para Geologis yang membuat kajian dengan mengatakan jejari bumi ini ialah lebih kurang 3,750 batu dan tanah bahagian kita berpijak ini amat nipis dalam lingkungan 30-35 km. Keberangkalian bumi untuk bergegar dan bergerak-gerak itu amat tinggi. Maka kejadian gunung ganang sebagai pasak dan menetap teguhkan tanah ini dan memberi ia stabiliti. Al-Quran telah menyebut fenomena ini di dalam surah an-Naba ayat 6- 7:
Maksudnya: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?”.
.
Dalam sebuah buku yangbertajuk “EARTH”, salah seorang dari penulisnya iaitu Frank Press yang merupakan seorang Presiden Academy of Science di USA selama 12 tahun. Dalam buku tersebut beliau menunjukkan bagaimana gunung yang kita lihat itu merupakan hanya sebahagian kecil sahaja di bumi. Bahagian bawah gunung ini tertanam di dalam bumi seperti satu pasak. Menurut beliau lagi, gunung-ganang ini memainkan peranan yang amat penting dalam menstabilkan bumi tempat kita berpijak ini.
.
Berdasarkan bukti dan penemuannya menunjukkan bahawa hakikat kajian saintifik ini telah diterangkan dalam al-Quran di dalam surah al-Anbiya ayat 31:
Maksudnya: “Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk”.
.
Justeru, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, agar menjaga alam ini dengan sebaiknya, janganlah terlalu rakus mengejar pembangunan dengan mengenepikan aspek keselamatan alam seperti bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta akan tergugat.
.
Sesungguhnya Maha Tinggi dan Agungnya kuasa Allah SWT yang telah memberi petunjuk dan al-Quran ini sebenar-benarnya dari Allah, tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Mimbar ingin menjelaskan bahawa segala fakta dan kajian sains yang baru ditemui di abad ini telah lama diabadikan dalam al-Quran yang telah diwahyukan lebih dari 1400 tahun yang lepas. Justeru, amat mustahilah Nabi Muhammad SAW boleh mereka-reka isi kandungan al-Quran sebagaimana yang ditohmahkan oleh orang-orang kafir dan sesungguhnya kajian saintifik al-Quran telah memberi kesedaran hakikat kehidupan dan menyakinkan keimanan kita kepada Allah SWT.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Peluang dan ruang untuk menghayati al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada kita yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran:
Maksudnya: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur’an), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus.”
.
Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kufur sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk dari Allah SWT serta mengingkari kepada ayat-ayat Allah. Ingatlah wahai jemaah sekalian bahawa sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber kehidupan. Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama membina kehidupan dengan al-Quran, mendalami ilmu yang terkandung di dalamnya serta mengkaji dan mengambil segala iktibar daripada kisah-kisah sebagai pengajaran.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan Hari Memperingati Nuzul al-Quran yang akan di sambut pada 17 Ramadhan ini, maka mimbar menyeru pada jemaah sekalian marilah sama-sama kita membangunkan minda dengan al-Quran, mendidik, memacu pemikiran dengan meneliti dan mengembangkan rahsia tersembunyi yang terkandung di dalam al-Quran dan di sebalik penciptaan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan kesedaran ini akan melahirkan umat yang bertakwa, memiliki akal yang sempurna, berilmu dan berdaya saing diri.
Mimbar juga menyeru sekali lagi khususnya kepada ibu-bapa, marilah sama-sama kita mendidik anak-anak dengan didikan al-Quran, ajarlah mereka dengan ajaran al-Quran, mudah-mudahan dengan cara ini hidup yang bakal dilalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan al-Quran. mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk ke arah yang lebih diredhai Allah SWT.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalm surah al-Qamar ayat 17:
Maksudnya: “Dan sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?”
.

.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Keajaiban Saintifik Al Quran”
(3 Ogos 2012 / 14 Ramadhan 1433H)
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
Memartabat Kesucian Al-Quran
Posted 13/06/2014 by Shafi-Q in Al-QUR'AN, Khutbah Jumaat. Tagged: aplikasi android, Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, MEMARTABAT KESUCIAN AL-QURAN, software. Leave a Comment
بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Khutbah Jumaat: “Memartabat Kesucian Al-Quran”
.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Bersempena dengan Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke 56 tahun 1435H/2014M yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 16 hingga 21 Jun 2014, maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “MEMARTABAT KESUCIAN AL-QURAN”.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Yakinlah bahawa al-Quran merupakan sumber rujukan utama umat Islam dan ianya tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan seorang muslim. Sejak dari kecil umat Islam diajar dan diasuh untuk membaca al-Quran ini kerana ianya sebahagian ibadah dan diberi pahala yang besar sebagaimana saranan Baginda Rasulullah SAW di dalam Hadithnya:
“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan ( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmizi)
Dan Sabda Rasulullah SAW: “Kamu bacalah al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya.” (Riwayat Muslim)
Bagi memartabat kesucian al-Quran maka sebagai seorang Islam, amatlah wajar al-Quran itu dibaca dan dipelihara dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi al-Quran sebagai mukjizat dari Allah SWT. Justeru, umat Islam disaran agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan.
Rasulullah SAW bersabda: “Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik.” Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, “Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat.”
Kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Ka’ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu yang mengambil berat terhadap pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak dididik untuk senantiasa membaca al-Quran setiap hari. Amalan ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Mimbar yang mulia ini ingin berpesan, sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Selain meyakini bahawa al-Quran merupakan kitab pedoman umat Islam yang perlu diterjemahkan melalui penghayatan dalam diri, dengan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya bagi melahirkan umat cemerlang dan bertaqwa, kita sebagai umat Islam juga dituntut untuk meyakini bahawa al-Quran sebagai penawar segala penyakit samada bersifat dalaman mahupun luaran di samping menjadi tempat rujukan segala masalah yang dihadapi.
Tetapi sayangnya tidak semua yang mahu dan bersedia mengikut ajaran al-Quran atau terdapat segelintir umat Islam yang masih tidak mahu beramal dengan al-Quran, mereka hanya membaca al-Quran tetapi tingkahlaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran al-Quran, mereka mendengar al-Quran tetapi tidak menghayati tuntutannya, mereka memahami isi kandungannya, tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya, mereka mengetahui kebenaran al-Quran, tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah SWT.
Justeru, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam dalam menghayati dan menterjemahkan ajaran al-Quran dalam kehidupan, tanpa di sedari mereka telah menyumbang kekeliruan dan kerosakan kepada masyarakat itu sendiri.
Mimbar ingin menyatakan berdasarkan kepada pengamatan, bahawa kemunduran dan kelemahan umat Islam pada zaman kebelakangan ini ialah akibat daripada kecuaian mereka dalam mengamalkan prinsip hidup maju dan mulia yang dianjurkan dalam al-Quran.
Justeru, Prof. Dr. Mahmoud Hamdi Zaqzuq dari Mesir menyifatkan umat Islam hari ini sebagai umat dilema dalam dunia yang penuh misteri dan beliau melontarkan pertanyaan: “Bagaimana perkara ini boleh terjadi kepada satu umat di mana kitab suci mereka sejak awal-awal lagi menekankan arahan membaca, menggesa mencari ilmu, dan penggunaan wahana ilmu qalam, malah menyentuh tentang manusia pendukung dan penyebar ilmu?”
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Alhamdulillah, di negara kita atas keprihatinan pihak pemerintah terhadap penjagaan al-Quran, maka telah digubal undang-undang berkaitan Akta Percetakan Teks al-Quran. Akta ini bertujuan untuk mengawal percetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran teks al-Quran. Pengawalan ini bertujuan untuk menjaga kesucian al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Begitu juga dengan perkembangan teknologi masa kini, al-Quran dipertingkatkan pengeluarannya dengan reka cipta seperti dalam bentuk software, aplikasi android, pen bacaan, komputer yang dapat dimuat turun dengan cara yang mudah. Dengan ini sebagai umat Islam kita dapat mencapai al-Quran dengan cara yang mudah, namun kita hendaklah berhati-hati kerana dengan perkembangan ini yang memungkinkan al-Quran dicemari dan disalahguna oleh golongan yang menentang dan prejudis terhadap al-Quran.
Justeru, mimbar yang mulia ini menyeru sidang Jumaat dan umat Islam sekalian agar dapat menasihatkan kepada semua pengguna untuk menggunakan al-Quran yang memperolehi kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) bagi menentukan kesahihannya.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang mulia ini, mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke 56 tahun 1435H/2014M yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur pada 16-21 Jun 2014 ini, marilah sama-sama kita menghayati dan mengikuti bacaan yang diperdengarkan oleh para Qari dan Qariah.
Hayatilah ayat-ayat yang dibaca serta memahami pengertiannya. Budayakanlah al-Quran dalam kehidupan, didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.
Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. InsyaAllah dengan cara ini akan menjadikan mereka generasi yang terdidik dengan al-Quran dan menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat 92:
وَأَنْ أَتْلُوَ الْقُرْآنَۖ فَمَنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِۖ وَمَن ضَلَّ فَقُلْ إِنَّمَا أَنَا مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿٩٢
Maksudnya: “Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Qur’an. Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Qur’an dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran”.
.
بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Memartabat Kesucian Al-Quran”
(13 Jun 2014 / 15 Syaaban 1435 H)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
ALLAH اللهَ ALLAH اللهَALLAH اللهَALLAH اللهَ
اَللَّهُمَّ صَلِّىْ عَلَىْ سَيِّدِنَامُحَمَّدٍ
والله أعلم بالـصـواب
Moga Bermanfaat.
Insya ALLAH
.........................................................












No comments:
Post a Comment