30 March 2020

Dinamiknya Kehidupan





 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎

Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ:
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Bayu Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎


الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 


Dinamiknya Kehidupan

Jika kita merenung pantai, ombak yang datang silih berganti, seolah-olah tiada henti. Pasang surut kehidupan, terjelma indah saat kita melihat ombak dan pantai.

Begitu juga putaran alam, terbit dan terbenam matahari, perubahan bentuk bulan daripada anak bukan kepada bulan sabit dan lengkap menjadi bulan purnama, tetap dan akan terus berlaku tanpa henti, hingga  ke hujung usia alam ini. Tiada siapa akan dapat menghentikannya kecuali takdir Allah SWT.

Jika melihat hutan dan tumbuhan, betapa pokok yang tumbuh akan terus membesar dan bercambah sejajar dengan peredaran masa dan zaman. Pernahkan kita memerhati, bagaimana pohon yang bermula dengan biji benih yang kecil, kemudian bertunas menumbuhkan batang muda, mengeluarkan pucuk, menjadi daun, bercambah ranting dan dahan, akhirnya tegak berdiri sebagai pohon yang rendang dan rimbun.

Apakah gambaran semua ini?

Inilah gambaran dinamiknya kehidupan. Hidup adalah suatu yang dinamik, bukan statik. Dari satu detik ke detik yang lain, pasti berlaku perpindahan, perubahan, peningkatan, pertambahan atau pengurangan. Hatta suatu yang kelihatan tidak bergerak seperti batu gunung atau bukit juga tetap berlaku perubahan. Alur air yang mengalir di celahan batu, akan mengukir dan merubah landskap dan bentuk batu tersebut. Tunggul kayu juga akan mati, akhirnya akan mereput dan lerai, dengan perjalanan masa.

Begitu juga dengan insan. Tanpa disedari kita mengalami perubahan sama ada kita sedar atau tidak. Dulu kita lahir sebagai bayi kecil yang tidak mengerti apa-apa. Hendak menyuapkan makanan ke mulut sendiri pun kita tidak tahu. Kemudian fizikal kita berubah secara dinamik. Hari demi hari berlaku tumbesaran dan perkembangan. Kita meningkat daripada seorang bayi menjadi kanak-kanak. Keupayaan otot kita membenarkan kita mengiring, meniarap, merangkak dan berdiri. Apabila kita mula menapak, kita mampu berjalan dan berlari, bahkan boleh memanjat, menunggang, memandu, berkayuh dan sebagainya.

Bukankah ini kehidupan dinamik yang kita lalui?

Begitu juga dengan fizikal yang lain. Ketika bayi, rambut kita mungkin nipis atau sedikit tetapi semakin lebat menghitam menjelang dewasa. Seiring peningkatan usia, warna rambut kita akan berubah dengan hadirnya uban dan rambut putih di kepala.

Apakah ini kebetulan?

Atau gambaran dinamiknya kehidupan?

Kehidupan akan berjalan terus, meskipun kita cuba menolaknya dan melawannya. Menolak kehidupan yang dinamik, seolah-olah menolak takdir Allah SWT ke atas kita. Pada saat takdir menerpa, kita tidak mampu menepisnya. Ketika takdir menjelma, kita tiada daya untuk menolaknya.

Oleh sebab itu, kita harus berjalan seiring dan sejajar dengan kehidupan yang dinamik ini. Semua yang ada di alam ini, setiap hari mengalami perubahan. Jika diri kita ini tidak dinamik, tiada peningkatan dan kekal statik, maka kita yang akan rugi dan hancur dimamah usia.

Saya cukup terkesan dengan sepotong hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Hasan al-Basri, mafhumnya:-

“Sesiapa yang menyamakan dua harinya maka dia adalah orang yang tertipu. Jika hari ini lebih baik daripada semalam, maka beruntunglah tetapi jika semalamnya lebih baik dari hari ini, maka mati adalah lebih utama buatnya.”

Pesan Nabi Muhammad SAW itu supaya jangan ada dua hari yang sama, ertinya tiada peningkatan dan perubahan. Jika semalam kita lalai dan leka, jangan biarkan kelekaan da kelalaian yang sama menipu kita hari ini. Jika hari ini gagal, pastikan esok kita tidak lagi menempuh gagal yang sama. Kelmarin yang penuh luka dan duka, biarkan berlalu, jangan diratapi berterusan ke hari esok. 

Life should go on. Kehidupan perlu diteruskan, tanpa henti!

Dinamiknya kehidupan ini, jika difahami dan dihayati menjadi suntikan azam dan azimat perjuangan hidup yang amat kuat. Kehidupan adalah satu perjuangan yang panjang sejak kita lahir, akil baligh dan ia berterusan sehingga kita berjaya menggapai redha Ilahi.


Perjuangan hidup tidak kenal henti kerana setiap detik dan saat, hakikatnya kita sentiasa bertarung dengan nafsu, syaitan dan musuh kehidupan yang sentiasa ingin melemahkan kita. Sedetik sahaja kita berniat untuk berhenti atau berehat, bererti kita memilih untuk menyamakan dua saat, dua detik, dua hari, maka awas.....kita akan tertipu.

Jika semalam lebih baik dari sekarang, perlulah lebih berhati-hati dan berusaha kerana kita khuatir, takut-takut esok nasib kita lebih buruk dari hari ini. Berterusan dalam kejatuhan seolah-olah menempah bala dan bencana. Maka lebih baik mati ketika dalam kebaikan, daripada bertemu ajal dalam dosa dan durjana.

Dinamiknya kehidupan ini amat sukar dimengerti kecuali dengan inayah dan hidayah Allah SWT. Hakikatnya, Allah SWT ialah penguasa kepada kehidupan kita dan Allah SWT jualah sebaik-baik penentu kehidupan kita. Kehidupan yang dinamik tidak mampu diungkapkan dengan rumus dan sifir kerana ahli matematik memang amat arif betapa persamaan dan rumus sistem yang dinamik, amat sukar untuk diungkapkan dengan simbol dan ayat matematik, berbanding dengan persamaan matematik yang statik.

Jadi, kembalilah kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW agar kita mampu memahami dan menguruskan kehidupan yang dinamik ini, alam terbentang luas ini juga dapat mengajarkan kita erti dinamiknya kehidupan. Ambillah sedikit masa untuk merenung jauh pada ombak dan pantai. Pergilah berkhemah di bukit dan hutan, mendekatkan diri mengkaji dinamiknya kehidupan makhluk lain di sekeliling kita. 

Yakinlah, betapa setiap detik, semua makhluk sedang mengalami perubahan.

Kehidupan kita perlu dinamik. Kita perlu merancang hidup ini, supaya kehidupan akan terus berjalan. Peningkatan usia perlu kita seiringkan dengan peningkatan nilai diri dan kehidupan. Nilai kehidupan kita, perlu kita tingkatkan bersama-sama dengan perubahan di sekeliling kita.

Alam ini adalah sumber inspirasi kita. Allah SWT adalah matlamat kita. Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik kita

Selamat menjalani kehidupan yang dinamik!

Wallahua'lam.

No comments: