05 February 2020

Siapa itu jin?




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sesungguhnya Aku berniat kerana Allah:
Tugasan gerak tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota tubuhku buat Allah.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya kepada Mu Ya Allah..

Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah سبحان الله
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah الحمد لله
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH لا إله إلا الله
Hembusan Nafasku berzikir Allāhu akbar  الله أكبر

 الحمد لله syukur kepada الله

Siapa itu jin?



APA YANG KITA PERLU TAHU TENTANG JIN SEBELUM BERDEPAN DENGANNYA


Berikut beberapa perihal tentang JIN. Betulkan la yer jika ada yang aku tersalah tulis…
  1. Allah menciptakan jin dari nyalaan api. (Ar Rahman: 15)
  2. Azazil adalah bangsa jin yang telah dilaknat kerana enggan sujud pada Nabi adam dan diberi nama Iblis.
  3. Dulu Azazil ketua malaikat, tapi sombong nak mampus. Ada dalam hadis bagitahu: Tidak masuk syurga orang yang ada sifat sombong.
  4. Ehsan Allah SWT kepada  Iblis yang pernah patuh kepada perintah-Nya dahulu, maka Allah memberi tangguh akan ajalnya si Iblis, supaya Iblis dapat hidup hingga ke hari kiamat. (rujuk Surah Al-Kahfi)
  5. Iblis bersumpah akan sesatkan anak cucu Nabi adam, maka kewujudan iblis adalah ujian kepada manusia.
  6. Dalam al quran, ciptaan Allah ada pasangan, seperti malam dan siang, langit dan bumi, manakala dari segi ciptaan untuk beribadat dan diuji, adalah jin dan manusia.
  7. Taraf Jin di bawah manusia sebab manusia sebaik baik kejadian dan dilantik sebagai khalifah atas muka bumi.
  8. Jin ada pelbagai bangsa dan pelbagai kepercayaan, seperti manusia juga. Jika manusia ada yang muslim dan ada yang kafir. Jin pun ada yang muslim dan ada yang kafir. firman Allah:“sesungguhnya golongan jin ada yang beriman dan beramal soleh dan menempuh jalan yang berbeza beza” (Surah Al-Jin: 11 )
  9. Kata Buznama, jika manusia 4 bilion, jin ada 36 bilon, jin duduk dibumi, air, dan udara. Ada macam macam bentuk. Ada yang bersayap, ada yang berbentuk seperti ular dan anjing, dan ada yang boleh bertukar bentuk dari satu bentuk ke bentuk yang lain.
  10. Nabi sulaiman diberi kuasa memerintah Jin, (Al Quran, Surah Saba’: 12 )-hanya Nabi Sulaiman boleh bela jin, kita tak boleh ikut cara Sulaiman. Bomoh salah sebab ambik kerja nabi sulaiman,
  11. Syaitan pula adalah anak cucu iblis, kerjanya menhasut manusia dan jin, syaitan boleh masuk ikut saluran darah. Firman Allah SWT: Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (Surah Al-Baqarah: 169)
  12. Selain menghasut, syaitan juga Memberi Janji dan Angan-angan Kosong. (Surah An-Nisa: 120)
  13. Syaitan juga adalah label. Syaitan boleh jadi jin, boleh jadi juga manusia. Yang mana jika ada jin atau manusia yang menyuruh melakukan kejahatan maka itu adalah syaitan yang nyata. (Surah Al-Baqarah: 208)
  14. Manusia pun ada yang Syaitan Juga: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan manusia dan jin, (Surah Al-Anam: 112)
  15. Jin tidak boleh melihat malaikat tapi boleh melihat manusia.
  16. Manusia tidak boleh melihat jin dan syaitan.
  17. Syaitan dan Jin tidak boleh menyamar menjadi Nabi.
  18. Allah s.w.t. menjadikan manusia dan jin untuk menyembahnya demi kebaikan manusia dan jin di dunia dan di akhirat.“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembahku.”
  19. Qarin sejenis jin jahat atau syaitan yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Semua manusia mempunyal qarin sama ada nabi atau orang yang alim. Gangguan hanyalah dalam bentuk bisikan jahat.
  20. Iblis mengusai qarin, dan qarin serta nafsu menggoda manusia.
  21. Kerana itulah sebaik anak lahir,terus di azankan kerana azan adalah dakwah sempurna yang ditakuti qarin.
  22. Ifrit pula ialah nama bagi segolongan jin yang di antara mereka diberi kekuatan dan kepintaran dan pernah bekerja dengan Nabi Sulaiman.
  23. Nabi Muhamamd SAW pernah menangkap Ifrit yang cuba menggangu nabi bersolat, dan melepaskannya semula, bermakna menangkap jin dan simpan dalam botol adalah bukan Sunnah.
  24. Menjadi kesalahan dalam dunia jin jika menjelma dan ganggu manusia.
  25. Boleh bunuh jin yang menyamar menjadi Ular atau lain-lain makhluk setelah di beri peringatan atau azan tapi tidak melarikan diri.
  26. Jin yang merasuk manusia, apabila disakiti manusia itu akan turut merasa sakit.
  27. Jin tidak suka meresap dalam badan manusia, sebab terpaksa menaggung risiko, boleh merasai sakit, dan boleh di bunuh, jin merasuk kerana ada campur tangan manusia. “sesungguhnya ada segolongan lelaki manusia yang meminta pertolongan dengan segolongan jin, makan jin menambahkan kesesatan dan dosa”
  28. Jin juga akan masuk neraka macam manusia jika tidak mahu berfikir: “Dan sesungguhnya Kami telah sediakan bagi jahanam itu beberapa banyak daripada golongan jin dan manusia. Mereka ada hati tetapi mereka tidak mahu berfikir dengannya. Mereka mempunyai mata tetapi mereka tidak mahu memerhatikan dengannya. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya. Mereka semua seperti binatang-binatang ternakan bahkan mereka itu lebih sesat, mereka itulah orang yang lalai.”
  29. Bagi yang nak halau jin merasuk, sila buat dengan niat ikram, dan khidmat, jangan harap upah.
  30. Jika pesakit sedar, Suruh pesakit baca al quran atau zikir.
  31. Sewaktu baca quran, Bila badan pesakit begegar, tanda jin tidak selsa, maka terus dakwah jin pada iman. Dakwah juga tentang perjanjian dengan nabi sulaiman.
  32. Jika jin kafir islamkan, jika jin islam, Taskil jin dakwah kaumnya dan suruh jin berjanji tak resap badan manusia lagi.
  33. Dakwah macam nabi musa dakwah firaun, dakwah lemah lembut dan hikmah. Dakwah jin pada kebesaran Allah, pada iman, dan suruh jin berdakwah pada kaumnya.
  34. Dakwah dalam masa 1 jam. Gosok ibu jari kaki kiri, azan di teliga pesakit, dan iqamat di telinga satu lagi. Jika degil, mandikan dengan air sejuk, sambil mengaji.
  35. Jika belum sembuh, buat lagi dan lagi. Pesan pesakit suruh Jaga solat Jemaah, jaga zikir 300 pagi petang, mimun air yasin, mandi sambil baca ayat kursi.
  36. Jika mampu, Pesakit baca 70 kali ayat kursi, habis baca ambil sebuku garam ,letak di lidah dan masuk dalam air, minum air itu, ulang sampai sembuh.
  37. Solat hajat 12 rakaat minta Allah sembuhkan pesakit, pesakit kena buat jika sedar.
  38. Ayat al-Kursi dan ayat di akhir surah al-Baqarah (Aamanarrasul) boleh guna sebagai pendiding dari gangguan jin jahat.
  39. Dalam al-Quran cerita jin kafir masuk islam dengar Nabi mengaji, maka orang yang dirasuk perlu didengarkan ayat Al quran.( rujuk Surah al-Jinn ayat 13 dan Surah al-Ahqaaf ayat 29)
  40. Ingatkan jin yang merasuk dengan penjanjian nabi sulaiman:“aku peringatkan kamu dan golongan kamu dengan sumpah dan janji kamu dengan Nabi sulaiman a.s itu kamu tidak boleh menzahirkan diri dan menyakitkan seseorang.
  41. Perjanjian dengan Nabi sulaiman boleh mebatalkan segala perjanjinan jin dengan bonoh, mereka boleh kembali ke alam mereka dengan aman.
  42. Jika ingkar, mengikut terma, mereka boleh dibunuh, dan dicampak ke dalam laut.
  43. Dialog yang biasa: Kamu ni nama apa? Islam ke? Cuba mengucap? Tahu janji nabi sulaiman? Keluar dari jasad ini, dan pergi belajar dakwah dengan maulana mustaqim di Nidzamudeen  india.
  44. Kita bantu jin keluar bukan nak seksa mereka, bila keluar mereka tak ganggu lagi sebab teringat perjanjian dengan nabi sulaiman.
  45. Bersyukur bila sembuh dan bersabar jika tak sembuh.
  46. Pesan ustaz, Lepas jin keluar, elok pesakit hantar ke hospital, jumpa pakar saraf dan pakar jiwa. 
    1. Allahu’alam… semoga bermanfaat.

Asal-usul Kejadian Jin, Iblis Dan Syaitan

Mungkin ada di antara kita masih lagi keliru dengan perbezaan di antara iblis, syaitan dan jin. Walhal para ulama’ sendiri berbincang panjang tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin.

Jin

Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain. Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggunjawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia.

Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Jin

Justeru, jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya.

Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.”

Iblis

Manakala iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah daripada jenis jin.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.

Syaitan

Manakala syaitan pula adalah golongan yang engkar dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu".

Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’.

Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara dan tipu daya.

Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia.

Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’ yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain.

Syaitan berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud pada nabi Adam.

Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; “Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Menurut Ibn Qayyim maksud “jalan yang lurus” di dalam ayat di atas ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.

Ibn Qayyim menyatakan lagi: “Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya“.

Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia.

Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya.
Wallahu a'lam.

Ketika Iblis Dihumban Ke Dalam Neraka

Kisah ini menceritakan tentang jin dan manusia di hari Kiamat nanti. Mereka bercampur aduk dengan yang lainnya menjadi satu.

Iblis
Gambar hiasan.

Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari Muhammad ibnu Humaid, dari Ya'qub al-Qummi, dari Harun ibnu Antrah, dari seorang guru dari kalangan Bani Fazzarah berhubungan dengan makna firman-Nya;

"Kami biarkan mereka di hari itu bercampur aduk antara satu dengan lainnya." [Al-Kahfi - 99]

Bahawa apabila jin dan manusia bercampur menjadi satu, Iblis berkata, "Aku akan mencari berita mengenai perkara ini buat kalian."

Maka Iblis pergi ke arah timur, dia mendapati para malaikat telah menghalangnya. Kemudian Iblis pergi ke arah barat, Iblis menemui para malaikat yang telah menjaga bumi kawasan itu.

Iblis berkata, "Tidak ada jalan."

Lalu dia pergi ke arah kanan dan kiri sampai ke hujung dunia, maka dia menemui para malaikat yang menjaganya, hingga Iblis berkata, "Tidak ada jalan bagiku."

Ketika Iblis dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba di tengah jalan muncul sesuatu seperti jaring, maka jaring itu menangkap Iblis dan keturunannya.

Ketika Iblis dan keturunannya telah masuk ke dalam perangkap itu, tiba-tiba neraka bergejolak. Dari dalamnya Allah SWT mengeluarkan salah seorang malaikat penjaganya.

Malaikat itu berkata, "Hai Iblis, bukahkah dahulu kamu mempunyai kedudukan di sisi Tuhanmu, bukankah kamu dahulu tinggal di dalam syurga?"

Iblis menjawab, "Hari ini bukanlah hari celaan, seandainya Allah memfardhukan kepada diriku suatu kewajipan, nescaya aku akan menyembah-Nya dalam menunaikan kewajipan itu dengan amal ibadah yang belum pernah dilakukan oleh sesiapa pun sepertinya dari kalangan makhlukNya."

Malaikat penjaga neraka itu berkata, "Sesungguhnya Allah telah memfardhukan kepadamu satu kewajipan."

Iblis bertanya, "Kewajipan apakah itu?"

Malaikat menjawab, "Allah memerintahkan kepadamu agar masuk neraka."

Maka malaikat itu mengibaskan sayapnya kepada Iblis dan keturunannya, sehingga Iblis dan keturunannya terlempar ke dalam neraka.

Ketika itu neraka bergemuruh menggelegak dengan suara yang dahsyat. Tiada seorang malaikat terdekat, dan tiada seorang nabi yang diutus pun melainkan terduduk di atas lututnya (kerana ketakutan).

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim melalui hadits Ya'qub al-Qummi dengan sanad yang sama.

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Kahfi : ayat 99]
Wallahu a'lam.

Ketika Iblis Dihumban Ke Dalam Neraka








'Aku Adalah Iblis'

Seorang pemuda bangun awal pagi untuk pergi mengerjakan solar Subuh. Selepas siap berpakaian, dia mengambil wuduk dan berjalan menuju ke masjid. Dipertengahan jalan menuju ke masjid, pemuda tersebut tersadung akar kayu lalu terjatuh. Pakaiannya kotor.

Tugas Iblis

Perlahan-lahan dia bangkit sambil berfikir dalam hati, takkanlah dia ingin ke masjid menghadap Allah SWT dengan pakaian yang kotor ini. Pemuda itu mengambil keputusan untuk pulang ke rumah menukar pakaian.

Sampai dirumah, dia memilih sehelai pakaian bersih menggantikan pakaiannya yang telah kotor. Setelah wuduk dia pun berjalan semula menuju ke masjid.

Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba sekali lagi dia terjatuh ditempat yang sama. Pakaiannya kotor sekali lagi.

Dia lantas bangkit dalam kehairanan. Sekali lagi dia berpatah balik ke rumah untuk membersihkan diri dan menukar pakaian lain. Selesai mengambil wuduk, dia melangkahkan kaki sekali lagi menuju ke masjid.

Dipertengahan jalan, dia terserempak dengan seorang lelaki yang memegang lampu. Pemuda itu bertanya siapakah gerangan lelaki tersebut namun tidak dijawab pertanyaannya.

Sebaliknya, lelaki itu hanya berkata, "Aku sudah melihat engkau jatuh dua kali dalam perjalanan ke masjid tadi jadi, aku bawakan lampu untuk menerangi jalan yang engkau lalui."

Pemuda itu tersenyum sambil mengucapkan terima kasih dan mereka berdua jalan beriringan menuju ke masjid.

Apabila sampai diperkarangan masjid, pemuda tersebut mempelawa lelaki yang membawa lampu itu untuk sama-sama masuk dan solat Subuh bersamanya.

Namun, lelaki itu menolak walaupun pemuda itu mengajak lagi berkali-kali dan jawapannya tetap sama.

Pemuda itu kemudiannya bertanya kenapa dia menolak untuk solat bersamanya.

Lalu lelaki itu menjawab; "Aku adalah IBLIS."

Pemuda tersebut amat terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Iblis berkata lagi, "Aku melihat engkau berjalan ke masjid dan akulah yang membuatkan engkau terjatuh.

"Ketika engkau pulang ke rumah membersihkan diri dan kembali ke masjid, Allah mengampunkan semua dosa-dosamu.

"Ketika aku membuatkan engkau jatuh buat kali kedua dan engkau tetap memutuskan untuk kembali ke masjid, Allah telah memaafkan dosa-dosa seluruh ahli keluargamu.

"Oleh itu aku khuatir jika aku membuatkan engkau jatuh untuk kali ketiga dan engkau tetap ke masjid, mungkin Allah akan mengampunkan dosa seluruh penduduk di kampung ini.

"Kerana itu, kali ini aku harus memastikan bahawa engkau selamat sampai ke masjid."

Wallahu a'lam.

Iblis Merasai Kesakitan Setiap Makhluk Saat Kematiannya

Abu Laits Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Afnah bin Qays berkata: Saya pergi ke Madinah ingin bertemu dengan Omar bin Al Khattab RA, tiba-tiba saya bertemu dengan Ka’bul Ahbaar yang menceritakan dalam suatu majlis, “Ketika Adam AS sedang menghadapi saat kewafatan, baginda berkata: “Ya Rabbi, musuhku pasti akan mengejek padaku jika ia melihat aku telah mati, padahal ia diberi hingga hari kiamat”.

Gambar hiasan.

Maka di jawab Allah SWT: “Hai Adam, kamu akan menuju ke syurga, sedang si celaka (iblis) ditunda hingga hari kiamat supaya merasakan sakit maut, sebanyak makhluk yang pertama hingga yang terakhir”.

Lalu nabi Adam AS pun bertanya kepada malaikat Izrail: “Sebutkan kepadaku bagaimana rasa pedihnya maut”. Sesudah diterangkan oleh malaikat Izrail, nabi Adam AS pun berkata: “Tuhanku, cukup!! cukup!!”

Maka gemuruhlah suara para hadirin berkata: “Hai Abul Ishaq, ceritakan pada kami, bagaimanakah ia merasakan maut, pada mulanya Ka’abul Ahbaar menolak, tetapi kerana didesak, maka ia berkata: “Jika dunia sudah akhir dan hampir ditiup sangkakala, sedang orang ramai di pasar sedang sibuk bertengkar dan berdagang, tiba-tiba terdengarlah suara yang sangat keras di langit, sehingga separuh penduduk bumi pengsan kerananya selama tiga hari.

Bagi mereka yang tidak pengsan bingung bagaikan kambing ketakutan. Dalam keadaan hirik pikuk sedemikian, maka terdengarlah lagi satu suara gemuruh bagaikan suara halilintar yang sangat keras bunyinya, maka tidak seorangpun melainkan mati kerananya dan kesemua manusia, jin, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain makhluk mati, maka tiba giliran iblis laknatullah pula untuk merasainya.

Maka Allah SWT pun memerintahkan malaikat Izrail: “Aku telah menjadikan padamu pembantu sebanyak orang yang pertama hingga yang terakhir dan Aku telah memberikan kekuatan penduduk langit dan bumi dan kini Aku pakaikan kepadamu pakaian murka dan kemarahan, maka turunlah dengan membawa murka dan kemarahanKu kepada si celaka dan terkutuk iblis. Maka rasakan kepadanyakepedihan maut yang telah dirasakan oleh orang yang terdahulu hingga terakhir dari jin dan manusia, berlipat-lipat ganda, dan hendaknya kamu membawa tujuh puluh ribu malaikat yang kesemuanya penuh rasa murka dan kecemasan, dan tiap malaikat Zabaniyah membawa rantai dari neraka Ladha, dan cabutlah dengan tujuh puluh ribu bantolan dari neraka Ladha, dan beritakan pada malaikat Malik supaya membuka pintu-pintu neraka”.

Maka turunlah malaikat Izrail dengan bentuk yang sangat mengerikan, sehingga andai kata seluruh penduduk langit dan bumi dapat melihat bentuk yang mengerikan itu niscaya akan cair kesemuanya kerana tersangat ngeri akan keadaan bentuknya.

Maka apabila sampai kepada iblis laknatullah dan dibentaknya sekali sahaja, langsung ia pengsan dan berdengkur dan andaikan dengkur itu dapat didengari oleh penduduk timur hingga barat, niscaya pengsanlah kesemuanya.

Setelah sedar iblis laknatullah, lalu malaikat Izrail pun membentak iblis laknatullah sekali lagi: “Berhentilah hai penjahat!!!, kini aku rasakan padamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh banyaknya hitungan orang yang telah engkau sesatkan dalam beberapa abad yang engkau hidup, dan hari inilah hari yang ditentukan oleh Tuhan bagimu, maka ke manakah engkau akan lari!!”

Maka larilah iblis laknatullah dalam ketakutan ke hujung timur, tiba-tiba malaikat Izrail muncul di hadapannya. Lalu iblis laknatullah pun menyelam ke dalam laut, namun malaikat Izrail tetap muncul di hadapannya, lantas ia dilemparkan oleh laut, maka ia berlari keliling bumi, namun tetap tidak ada tempat untuknya berlindung.

Kemudian iblis laknatullah berdiri di tengah dunia di kubur nabi Adam AS sambil berkata: “Keranamu aku telah menjadi celaka, duhai sekiranya aku tidak dijadikan”.

Lalu ia bertanya pada malaikat Izrail: “Minuman apakah yang akan kau berikan padaku dan dengan siksa apakah yang akan kau timpakan kepadaku?”

Malaikat Izrail pun menjawab: “Dengan minuman dari neraka Ladha dan serupa dengan siksa ahli neraka dan berlipat-lipat ganda”, maka bergulingan iblis laknatullah di tanah sambil menjerit sekeras suaranya, kemudian berlari ketakutan dari barat ke timur dan patah balik dari timur ke barat dan sampai ke tempat mula-mula ia diturunkan ke muka bumi ini.

Maka malaikat Zabaniyah AS pun menghadang iblis laknatullah dengan bantolan-bantolan dari neraka Ladha. Bumi ini bagaikan bara api, sedang iblis laknatullah dikerumuni oleh malaikat Zabaniyah dan menikamnya dengan bantolan-bantolan dari neraka itu.

Tatkala iblis laknatullah mula merasai sakratul maut maka dipanggil nabi Adam AS dan Siti Hawa untuk melihat keadaan iblis laknatullah itu, maka bangkitlah keduanya untuk menyaksikannya.

Sesudah melihat, maka keduanya berdoa: “Ya Tuhan kami, sungguh engkau telah menyempurnakan nikmatMu pada kami”.

Kenapa Allah Mencipta Iblis Dan Syaitan?

Kita pastinya asyik terfikir, Iblis itu jahat dan menghasut manusia agar membuat kejahatan sedangkan Allah inginkan kita menjadi baik. Jadi kenapa Allah ciptakan juga Iblis?

Kenapa Allah Mencipta Iblis Dan Syaitan?
Gambar hiasan.

Iblis ialah sejahat-jahat kejadian yang diciptakan oleh Allah SWT dan ramai orang secara tidak sedar beranggapan bahawa Allah tidak sepatutnya mencipta Iblis.

Bukankah lebih baik jika Iblis tidak wujud? Maka semua manusia akan lebih cenderung untuk beriman dan taat kepada Allah.

Sebenarnya, mereka mempersoal dan mempertikaikan penciptaan Iblis ini lantaran kejahilan mereka terhadap hikmah kejadian Iblis.

Keadaan ini samalah juga dengan malaikat yang berasa hairan dengan penciptaan manusia pada awal-awal dahulu.

Lalu mereka bertanya kepada Allah tentang rasional manusia yang gemar melakukan kerosakan dan menumpahkan darah itu dicipta sebagai khalifah di muka bumi.

Namun, persoalan malaikat itu bukanlah untuk mempertikaikan perbuatan Allah. Para malaikat itu suci daripada segala bentuk kemaksiatan.

Sebenarnya persoalan mereka itu menunjukkan bahawa malaikat tidak tahu hikmah Allah menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Tiga Asas Kefahaman

Sebelum perbincangan lanjut tentang hikmah penciptaan Iblis, kita perlu ingat tiga asas berikut:

1. Segala perbuatan Allah sama ada baik atau buruk pada penilaian manusia tidak boleh dipersoalkan kerana Allah mempunyai hak mutlak untuk menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, “Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang dilakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” (Surah al- Anbiya ’ : 23)

2. Allah menciptakan manusia di muka bumi adalah bertujuan untuk menguji siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al- Mulk ayat 2.

Justeru, penciptaan Iblis adalah sebahagian daripada ujian Allah bagi menilai umat manusia.

3. Allah telah memberi amaran berulang- ulang kali dalam al-Quran dan sunnah Rasul-Nya bahawa Iblis dan syaitan itu musuh manusia yang paling nyata.

Maka kita tiada alasan untuk mengatakan mereka tidak mengetahui musuhnya.

Berikut adalah antara hikmah penciptaan Iblis:

Hikmah 1: Membuktikan Allah Pencipta Mutlak

Berbalik kepada hikmah penciptaan Iblis, antaranya adalah bagi menunjukkan kekuasaan Allah dalam menciptakan segala yang wujud secara berpasang-pasangan dan berlawanan antara satu dengan lain.

Hal ini samalah seumpama Allah menciptakan lelaki dan wanita, jantan dan betina, malam dan siang, baik dan buruk, cantik dan hodoh, Muslim dan kafir, termasuk juga malaikat dan Iblis.

Sebagaimana Allah mampu menciptakan satu makhluk yang tidak pernah ingkar kepada-Nya dan hanya beribadah kepada-Nya semata-mata pada setiap waktu, begitulah juga Allah mampu menciptakan satu makhluk yang paling kuat mengingkari perintah-Nya seperti Iblis.

Semua ini sekali gus menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah dalam penciptaan sehingga manusia tidak boleh mengatakan bahawa Allah hanya mampu menciptakan benda-benda yang baik sahaja.

Sebaliknya, benda-benda yang jahat seperti Iblis dan syaitan itu berkuasa menciptakan dirinya sendiri bagi menandingi Allah.

Hikmah 2: Membuktikan Kekuasaan Allah

Penciptaan Iblis juga akan menzahirkan dan membuktikan beberapa nama dan sifat Allah seperti al- Qahhar (Maha Gagah Perkasa), al-Muntaqim (Maha Pembalasan), al- ’Adl (Maha Adil), al-Dhar (Maha Memberi Mudarat), Syadid al-'Iqab (Maha Pemberi Azab Pedih), Sari ’ al-Hisab (Maha Pemberi Pembalasan Segera), alKhafidh (Maha Merendahkan), al- Mu ‘iz ( Maha Memuliakan), al- Muzill (Maha Menghinakan), al-Rafi' (Maha Meninggikan) dan lain-lain.

Nama-nama dan sifat-sifat Allah ini tidak akan terzahir dan terbukti sekiranya semua makhluk yang wujud ini bersifat seperti malaikat.

Sebaliknya ia terzahir disebabkan kewujudan makhluk yang menzahirkan penentangan terhadap titah dan perintah Allah.

Hal ini dijelaskan lagi dengan peristiwa-peristiwa Allah memberi pertolongan kepada wali-wali-Nya dan menghancurkan musuh-musuhnya.

Hikmah 3: Menzahirkan Kasih Sayang Allah

Selain itu, kewujudan Iblis juga akan menzahirkan sifat Allah yang Maha Pengampun, Maha Pemaaf, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan sebagainya.

Hal ini benar -benar tidak dapat disangkal lagi apabila Allah memasukkan hamba- hamba-Nya yang berdosa ke dalam syurga tanpa mengambil kira secara terperinci segala dosa dan maksiat yang telah dilakukan akibat godaan dan hasutan Iblis.

Jika tiada manusia yang berdosa dan melakukan maksiat, maka tiadalah keperluan untuk Allah menzahirkan sifat - sifat ihsan dan belas kasihan ini.

Hikmah 4: Menyempurnakan Kehambaan Manusia

Al-Imam Ibn Qayyim alJauziyyah menyebut bahawa antara hikmah penciptaan Iblis adalah untuk menyempurnakan tahap-tahap kehambaan kepada Allah sepertimana yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul serta pengikut mereka.

Ini kerana tahap perhambaan ini tidak sempurna kecuali dengan menguji mereka dengan musuh-musuh.

Musuh-musuh Allah akan mengganggu dan memerangi mereka yang berusaha untuk istiqamah dalam agama.

Sekiranya mereka bersabar dan berjihad melawan musuh-musuh Allah dan mengutamakan pahala, maka dengan kesabaran dan kesungguhan itu akan sempurnalah tahap kehambaan mereka kepada Allah.

Selanjutnya Ibn Qayyim mengatakan bahawa banyak perkara yang kita tidak nampak kebaikan dan keutamaannya melainkan apabila dinampakkan lawannya.

Maka proses untuk menampakkan keburukan berlaku menerusi penciptaan Iblis dan syaitan.

Wallahu a‘lam



















Lihat juga...
Afrit itu siapa
Iblis itu macam mana.
Siapa keturunan jin
Bagaimana jin bolih cinta dgn manusia?
Siapa karin ?
Jin pendamping?
Bagaimana jin boleh singgah dalam badan?
Apa itu bunian, makhluk halus dan spesisnya?
Siapa pula malaikat?

Apa beza malaikat dan jin??
Beza saka dan pusaka
Bomoh pawang
Khadam jin.
Bab alam ghaib ini payah dan panjang bahasnya.
Kenapa dirasuk??
Kenapa bila solat ade gangguan??


Share this:

🕋🇲🇾🇲🇾💚💜💜💜💎🖤💌💝💞❣💞💗💟💗💙🌏🕌

No comments: