24 December 2019

Konsep Bid'ah



 



Konsep Bid'ah dalam perspektif syari'at Islam
Irsyad Hukum
26/01/2016



Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda

BID'AH merupakan satu isu yang bukan sahaja menjadi perbincangan besar dalam kalangan para ulama, bahkan ia juga turut menjadi topik hangat perbualan serta perbahasan segelintir golongan awam. Apabila disebut sahaja perkataan bid'ah, seringkali ia akan mendatangkan tanggapan negatif pada sebilangan orang. Ini kerana menurut mereka, bid'ah itu sinonim dengan kesesatan berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada al-'Irbadh bin Sariyah Radhiallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Dan jauhilah oleh kamu perkara-perkara yang baru diadakan, kerana tiap-tiap perkara yang baru diadakan itu adalah bid'ah, dan tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat.''

(Hadits riwayat Imam Abu Daud dan Imam at-Tirmizi).

Akan tetapi betulkah tanggapan tersebut? Adakah benar hadits tersebut membawa maksud sepertimana yang difahami golongan berkenaan?

Definisi Bid'ah

Bid'ah menurut bahasa bererti sesuatu yang baru direka atau baru diadakan, tanpa ada contoh atau asal yang seumpamanya sebelum itu dan tiada kebiasaan sepertinya. Tidak kira sama ada dalam urusan ugama ataupun urusan lainnya.

Adapun menurut istilah syara' pula, para ulama berbeza pendapat:

i) Imam asy-Syafi'e, Imam 'Izzuddin Abdul 'Aziz bin Abdussalam, Imam an-Nawawi dan lainnya berpendapat bahawa bid'ah adalah sesuatu yang baru, yang tidak ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah, atau belum wujud serta belum berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Tidak kira sama ada ia adalah sesuatu yang tercela dan dikeji ataupun sebaliknya.

Menurut pendapat ini, bid'ah itu menurut istilah syara' ada yang baik dan terpuji serta ada pula bid'ah yang buruk dan tercela.

ii) Pendapat kedua pula menyatakan bahawa bid'ah menurut istilah syara' adalah tiap sesuatu yang baru, yang berlawanan dengan sunnah. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam Ibnu Rajab dan lain-lain.

Menurut pendapat ini, sesuatu yang baru itu, jika ia tidak bertentangan dengan sunnah, maka ia dinamakan bid'ah dari segi bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah suatu yang baru direka atau baru diadakan. Manakala jika ia bertentangan dengan sunnah pula, maka ia adalah bid'ah menurut istilah syara'.

Konsep Bid'ah Menurut Ulama Ahli As-Sunnah Wal-Jama'ah

Secara asasnya, terdapat dua pendapat mengenai konsep bid'ah menurut ulama mazhab Ahli As-Sunnah Wal-Jama'ah. Penjelasannya seperti berikut :

Pendapat Pertama :

Menurut Imam asy-Syafi'e, Imam an-Nawawi, Imam 'Izzuddin Abdul 'Aziz bin Abdussalam dan lainnya, bid'ah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

i) Bid'ah hasanah (yang baik atau bagus) atau bid'ah mahmudah (yang terpuji).
Bid'ah hasanah atau bid'ah mahmudah adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, di mana perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda, akan tetapi perkara tersebut masih termasuk di bawah dalil khas atau dalil am dari Al-Quran atau hadits Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam atau atsar para sahabat atau ijma' ulama Islam.

ii) Bid'ah sayyi'ah (yang buruk) atau bid'ah dhalalah (yang sesat).

Bid'ah sayyi'ah atau bid'ah dhalalah pula adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, di mana perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda, dan perkara itu menyalahi dalil dari Al-Quran, atau menyalahi dalil dari hadits Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, atau menyalahi atsar para sahabat atau menyalahi ijma' ulama Islam. Dalam erti kata lain, ia menyalahi akan hukum-hukum syara' dan menyalahi akan dalil syara' yang khas mahupun dalil syara' yang am.

Adapun pengukur atau cara untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara itu termasuk dalam kategori bid'ah hasanah ataupun bid'ah sayyi'ah adalah melalui mizan (timbangan) syara'. Apabila perkara yang baru itu termasuk dalam perkara yang dinilai baik oleh syara', maka dengan sendirinya ia adalah bid'ah hasanah. Sebaliknya apabila perkara yang baru itu termasuk dalam perkara yang dinilai buruk oleh syara', maka ia adalah bid'ah sayyi'ah.

Imam asy-Syafi'e Rahimahullah berkata: ''Perkara-perkara yang baru diadakan itu terbahagi kepada dua bahagian :

Pertama : Perkara baru yang bercanggah dengan Al-Quran, atau As-Sunnah, atau atsar para sahabat atau al-ijma'. Maka perkara seumpama ini adalah bid'ah yang sesat.''

Kedua : Perkara baru yang baik yang tidak bercanggah dengan satupun daripada Al-Quran, atau As-Sunnah, atau atsar para sahabat atau al-ijma'. Ini adalah perkara-perkara baru yang tidak tercela.''

Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullah berkata dalam kitabnya an-Nihayah Fi Gharib al-Hadits Wa al-Atsar : ''Bid'ah ada dua : Bid'ah hidayah, dan bid'ah sesat. Maka segala apa yang bercanggah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta Rasul-Nya Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah dalam kategori (bid'ah) yang tercela dan ditegah, dan segala apa yang termasuk di bawah umum perkara yang dianjurkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta Rasul-Nya Sallallahu 'Alaihi Wasallam pula adalah termasuk dalam kategori (bid'ah) yang terpuji.

Dan segala apa yang belum ada contoh seumpamanya (sebelum itu) seperti semua jenis perbuatan yang berupa kebajikan dan kemurahan hati serta semua jenis perbuatan yang makruf, adalah tergolong dalam kategori perbuatan yang terpuji.

Segala perbuatan (yang berupa kebajikan, kemurahan hati serta segala jenis perbuatan yang makruf) ini tidak mungkin tersenarai dalam perbuatan yang bertentangan dengan kehendak syara' (sungguhpun ia tidak berlaku di zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam) kerana Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menjanjikan baginya (segala perbuatan yang baik itu) ganjaran pahala. Sabda Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam :

Maksudnya : ''Barangsiapa yang merintis suatu sunnah hasanah dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkannya selepasnya.''

(Hadits riwayat Imam Muslim).

Imam Ibnu al-'Arabi Rahimahullah berkata dalam kitabnya 'Aridhah al-Ahwazi Bi Syarhi Jame' at-Tirmizi bahawa bid'ah atau muhdats (sesuatu yang baru diadakan) itu tidak dikira tercela hanya kerana secara lafaznya ia digelar dengan perkataan bid'ah atau muhdats. Katanya : ''Adapun sesungguhnya dicela daripada perkara bid'ah itu ialah apa-apa yang menyalahi sunnah, dan dicela daripada perkara muhdats itu ialah apa-apa yang mengajak kepada kesesatan.''

Pendapat Kedua :

Menurut pendapat sebilangan ulama lain pula, penisbahan bid'ah terhadap perkara-perkara baru yang ada dasarnya dalam hukum syara' itu adalah dari sudut bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah sesuatu yang baru yang tidak ada contoh, tidak ada asal serta tidak ada kebiasaan yang sepertinya sebelum itu. Manakala perkara-perkara baru yang tidak ada dasarnya dalam hukum syara' atau bercanggah dengan hukum syara' pula adalah bid'ah dari sudut istilah syara'.

Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani Rahimahullah, katanya : ''Manakala segala apa yang ada baginya asal atau dasar menurut dalil syara', maka ia bukanlah bid'ah (dalam istilah syara'). Adapun bid'ah yang dimaksudkan dalam istilah syara' itu adalah semua bid'ah yang tercela, manakala (bid'ah) dari segi bahasa pula adalah sebaliknya (tidak semuanya tercela) kerana sesungguhnya (dari segi bahasa), setiap sesuatu yang baru yang tidak ada contoh yang seumpamanya sebelum itu (semuanya) dinamakan bid'ah, tidak kira sama ada ia adalah (bid'ah) yang terpuji ataupun (bid'ah) yang tercela.''

Kata-kata seumpama ini juga ada diriwayatkan daripada beberapa ulama lain, antaranya Imam Ibnu Rajab Rahimahullah, yang berkata dalam kitabnya Jame' al-'Ulum Wa al-Hikam : ''Adapun yang dimaksudkan dengan bid'ah adalah segala apa yang baru diadakan, yang tidak ada asal dalam hukum syara' yang dapat menjadi dalil baginya (dalam syari'at). Manakala segala apa yang ada asal dalam hukum syara' yang dapat menjadi dalil baginya (dalam syari'at), maka ia bukan bid'ah dari segi syara', bahkan ia adalah bid'ah dari segi bahasa (semata-mata).''

Pendapat para ulama yang dinukilkan di atas, sungguhpun pada zahirnya terdapat perbezaan pendapat antara mereka dari segi takrif atau definisi, ia tetap menjurus kepada satu natijah yang sama, iaitu tidak semua perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah buruk dan tercela sepertimana yang didakwa sesetengah pihak, bahkan pada hakikatnya ada sesetengah 'bid'ah' itu adalah perkara-perkara yang terpuji dan berkebajikan.

Ini berdasarkan dalil-dalil yang sabit dan sahih, antaranya sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada 'Aisyah Radhiallahu 'anha, bahawasanya Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda :

Maksudnya : ''Barangsiapa yang mengada-adakan (sesuatu yang baru) pada urusan kami ini (syari'at), padahal ia bukan sesuatu daripadanya, maka ia adalah tertolak.''

(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim).

Mafhum hadits ini ialah sesiapa sahaja yang membuat atau mengada-adakan sesuatu perkara dalam Islam dengan sesuka hatinya, dengan mendakwa bahawa perkara itu ada dalam agama Islam, padahal perkara itu tidak ada dalam agama Islam, maka ia adalah tertolak dan jadi sia-sia, bahkan sebaliknya dia akan mendapat dosa dan masuk Neraka.

Dapat juga difahami daripada hadits ini, serta daripada pendapat-pendapat ulama yang telah disebutkan tadi, bahawa setiap sesuatu yang baru itu akan menjadi tertolak dan tercela hanya apabila ia menyalahi dan bertentangan dengan hukum syara'. Maka selagi mana sesuatu itu tidak bertentangan dengan hukum syara' dan tidak warid nas yang menegah atau mencelanya, walaupun ia tidak ada dan tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, maka ia tidak semestinya termasuk dalam perkara yang tertolak dan tercela sepertimana yang disebutkan dalam hadits sahih di atas.

Hukum Suatu Bid'ah Tertakluk Kepada Hukum Syara'

Telah dijelaskan sebelum ini bahawa segala perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam itu tidak semuanya buruk dan tercela, dan tidak pula semuanya baik dan terpuji. Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani Rahimahullah berkata : ''Dan semua yang belum ada pada zaman Baginda itu dinamakan bid'ah (dari segi bahasa). Akan tetapi antaranya ada yang baik, dan antaranya pula ada yang sebaliknya (yang buruk).''

Adapun hukum segala perkara baru yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tertakluk kepada kedudukannya dalam hukum syara'. Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin : ''Maka tidak semua perkara yang baru dibuat itu tertegah. Adapun yang tertegah itu adalah bid'ah yang bercanggah dengan sunnah yang sabit ... Bahkan membuat sesuatu perkara baru itu adakalanya menjadi wajib dalam sebahagian keadaan ...''

Ini turut disokong dan diperjelaskan lagi oleh Imam 'Izzuddin Abdul 'Aziz bin Abdussalam Rahimahullah seorang ulama mazhab asy-Syafie. Beliau ada menyatakan dalam kitabnya Qawa'id al-Ahkam Fi Islah al-Anam bahawa setiap perkara bid'ah itu termasuk di bawah salah satu daripada hukum syara' yang lima, iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan mubah. Penjelasannya adalah seperti berikut :

i) Bid'ah Wajibah

Bid'ah wajibah bermaksud bid'ah yang wajib. Contohnya, mempelajari kaedah nahu Bahasa Arab untuk memahami isi-isi Kalamullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bagi menjaga syari'at Islam. Ini kerana ayat-ayat Al-Quran serta matan (lafaz) hadits Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam tercatat dalam Bahasa Arab.

Ia termasuk dalam bid'ah wajibah kerana menjaga syari'at agama Islam itu hukumnya wajib. Tanpa penguasaan Bahasa Arab yang sempurna, tuntutan ini tidak mungkin akan dapat dilaksanakan kerana penguasaan Bahasa Arab merupakan salah satu ilmu asas yang wajib dan utama untuk memahami isi-isi Al-Quran dan hadits-hadits Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Ini sepertimana kaedah yang masyhur, iaitu ''sesuatu yang wajib, tetapi ia tidak sempurna kecuali dengan sesuatu yang lain, maka hukum sesuatu yang lain itu juga menjadi wajib.''

Jadi walaupun perkara seumpama ini dinamakan 'bid'ah' kerana ia sesuatu yang baru yang tidak ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah, atau belum wujud serta belum berlaku pada zaman Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam, hukum mengadakannya adalah wajib kerana ia merupakan keperluan untuk melaksanakan perkara yang wajib, iaitu menjaga syari'at agama Islam.

Termasuk juga dalam perkara bid'ah wajibah ini perkara-perkara wajib yang lain seperti mempelajari ilmu Tafsir, ilmu Hadits, ilmu Tauhid, ilmu Feqh, ilmu Usul Feqh dan lain-lain yang seumpamanya bagi memahami ugama Islam serta memelihara kesuciannya dan memperteguhkan syi'arnya.

ii) Bid'ah Muharramah

Bid'ah muharramah adalah segala perbuatan yang menyimpang, bertentangan dan menyalahi ajaran serta hukum syara' seperti ajaran golongan Mujassimah yang menjadikan tuhan mereka sebagai berhala dan lain-lain golongan yang menyalahi ajaran Ahli As-Sunnah Wal-Jama'ah seperti mazhab dan ajaran golongan Qadariyyah, Murji'ah, Mu'tazilah dan Khawarij.

Begitu juga amalan-amalan karut lagi khurafat yang tidak ada sandaran serta dasarnya dalam nas-nas syara' seperti Sembahyang Sunat Nisfu Sya'ban, mengumpul kerak nasi di Arafah, tawafkan duit keliling Kaabah, bercelak mata
pada Hari 'Asyura, Sembahyang Sunat 'Asyura dan bid'ah-bid'ah tertegah yang lainnya.

iii) Bid'ah Mandubah

Bid'ah mandubah adalah segala perkara yang baik dan berkebajikan, akan tetapi belum pernah dibuat dan belum ada di zaman Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seperti membangun sekolah, membina rumah-rumah tumpangan dan sebagainya bagi memenuhi hajat dan keperluan hidup di suatu tempat atau negeri, menulis kitab-kitab ilmu, mendirikan Sembahyang Sunat Tarawih di masjid secara berjemaah, mengadakan acara memperingati Maulid Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam, mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmu, dan yang seumpamanya.

iv) Bid'ah Makruhah

Bid'ah makruhah adalah segala perkara baru yang terdapat dalil syara' yang menerangkan bahawa perkara tersebut tidak disukai oleh syara'. Sebagai contoh, perbuatan menghias dan mengukir masjid, bermain catur tanpa pertaruhan dan tanpa melalaikan daripada sembahyang, serta menghias mushaf Al-Quran dengan yang lain daripada emas. Adapun menghias mushaf Al-Quran dengan emas pula hukumnya adalah haram.

v) Bid'ah Mubahah

Bid'ah mubahah adalah segala perkara baru yang harus dibuat. Sebagai contoh, perbuatan bersalam-salaman selepas mengerjakan sembahyang berjemaah, bersenang-senang dengan makanan yang pelbagai dan enak-enak, memakai pakaian yang indah-indah dan cantik-cantik, memiliki atau menggunakan kenderaan dan sebagainya.

Pembahagian ini menyokong dan memperkukuhkan lagi pegangan kita sebagai Ahli As-Sunnah Wal-Jama'ah bahawa bid'ah atau suatu yang baru itu bukanlah seluruhnya tertegah dan bukan pula seluruhnya secara mutlak dibenarkan, bahkan ia tertakluk kepada kedudukan perkara tersebut dalam kaedah hukum syara'.

Jika ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang wajib dalam hukum syara', maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid'ah wajibah. Jika ia termasuk dalam kategori perkara-perkara yang diharamkan dalam hukum syara', maka dengan sendirinya ia adalah dalam kategori bid'ah muharramah dan begitulah seterusnya.

Credit to Brunei Government

Copy & Paste from Government of Brunei Darussalam. All Right Reserved.

No comments: