Martabat Tujuh- Muhammad Uthman El Muhammady | | Print | |
بسم الله الرحمن الرحيم نحمده ونصلى على رسوله الكريم MARTABAT TUJUH OLEH: MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY Nota ini, insya' Allah, akan membicarakan dengan ringkas, setakat memadai, tajuk ‘Martabat Tujuh" sebagaimana yang terkenal dalam teks-teks Melayu-Jawi, dan dalam kalangan ahli persuratan dan ulama di Dunia Melayu, dan mengaitkannya pula dengan unsur-unsur yang ada dalam setengah penulisan tasauf yang ada dalam kalangan Ahlis-Sunnah wa'l-Jama'ah, dengen menyebut ciri-ciri dan dasar-dasarnya. Kemudian akan dibicarakan kedudukannya dalam konteks fahaman ilmu atau epistemologi Ahlis-Sunnah, adakah ia mempunyai ‘tempat' yang memang sesuai baginya, yang perlu dibicarakan oleh mereka yang tertentu yang mempunyai persiapan-persiapan tertentu, ataupun, sebaliknya, ia sesuatu yang perlu dilupakan dan ditiadakan dalam wanaca keagamaan Dunia Melayu yang berpegang kepada Ahlis-Sunnah wal-Jama'ah semenjak dahulu sehingga sekarang, walaupun ada usaha untuk ‘menyemak'nya oleh setengah kalangan. Dahulunya tajuk ini dibicarakan oleh kalangan mereka yang dikirakan ‘ahli' sebenarnya; tetapi sekarang isu ini sudah ‘keluar' daripada ‘tempat'nya, dan dibicarakan oleh 'semua' pihak. Oleh itu timbullah keperluan untuk membicarakannya.Penulis ini yang tidak memandang dirinya ahli dalam bidang ini, tetapi yang bergantung kepada para ulama yang muktabar dan hasil-hasil para penyelidik bidangnya, mengharapkan perbincangan ini berlaku dalam keadaan ‘fikiran yang dingin' dan sejahtera, demi untuk mencapai sesuatu yang jernih dan menyelamatkan, tanpa melanggar adab-adab yang dikehendaki terhadap ilmu dan para ulama, Allah memberi rahmat kepada mereka.Amin. "Input-input" yang berguna amat dialu-alukan untuk menyempurnakan perbincangan bersama. Tasauf Di Dunia Melayu Imam al-Ghazali rd dalam kitab Ihya' ‘Ulumi'd-Din yang terkenal itu membahagikan tasauf kepada dua bahagian, iaitu tasawwuf mu'amalah dan tasauf mukasyafah. (1) Yang mu'amalah ialah berkenaan dengan isu-isu seperti bersuci, beribadat, sifat-sifat yang buruk yang perlu dihilangkan daripada diri dan sifat-sifat yang baik yang perlu dijadikan perhiasan diri. Demikian pula di dalamnya termasuk soal-soal kehidupan seperti nikah-kahwin, usaha mencari rezeki yang halal, kehidupan berjiran, dan persoalan-persoalan yang sedemikian. Perkara-perkara yang dimasukkan ke dalam bidang ‘mukasyafah' ialah perkara-perkara yang menyentuh hakikat-hakikat tentang roh dan jiwa, hakikat ketuhanan, hubungan Tuhan dengan alam, hal-ahal alam yang kekal abadi yang selain daripada fardu ‘ain dalam pembicaraan.Maka boleh dikatakan bahawa pembicaraan tentang ‘Martabat Tujuh' ini adalah termasuk ke dalam bahagian atau bidang yang disebut ‘mukasyafah' itul, Dalam hubungan dengan perkembangan Islam di Dunia Melayu, nampaknya dalam beberapa abad awal perkembangan itu situasinya berkebetulan dengan masa perkembangan tasawuf dan tarikat-tarikat dalam erti yang biasa dimengerti. Ini adalah selain daripada hakikat bagaimana amalan-amalan rohaniah itu memang sudah ada pada zaman awal lagi, dan berkembang dengan baiknya, sebagaimana yang disebutkan oleh ibn Khaldun dalam al-Muqaddimahnya dan juga oleh ulama sufi dalam teks-teks mereka yang terkenal seperti Risalah al-Qushairiyyah dan Kashf al-Mahjub antara yang sekian banyaknya itu. Imam al-Ghazali rd menulis kitab berkenaan dengan tasawwuf yang menyentuh soal-soal akhlak dan pembentukan rohani secara ‘moderat' mengikut setengah pihak, bagaimanapun ia menulis pula teks-teks seperti Mishkat al-Anwar misalnya, dan Tahafut al-Falasifah serta juga al-Maqsad al-Asna yang menghuraikan makna-makna yang sangat dalam tentang Nama-Nama tuhan.Beliau meninggal dalam tahun 1111 , dan ibn ‘Arabi rd yang banyak mempengaruhi para sufi kemudian, dengan al-Futuhat al-Makkiyyahnya dan Fusus al-Hikamnya meninggal tahun 1240; manakala Shaikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani rd meninggal dalam 1166, dan Shaikh Abul-Hasan al-Shadhili rd meninggal dalam tahun 1258. Dan Islam yang berkembang di Dunia Melayu nampaknya banyak menunjukkan pengaruh tasauf dan amalannya. Dengan itu nampaknya tasauf merupakan sesuatu unsur yang sangat penting dalam perkembangan Islam di rantau ini. (2) Nampaknya sebutan tentang "Martabat Tujuh" ini dikaitkan dengan nama Hamzah Fansuri dan muridnya Syamsuddin al-Sumatrani atau Syamduddin Pasai, serta juga ‘Abdur-Rauf Singkel yang hidup yang bergiat di Acheh dalam abad ke 16 dan ke 17. (3) Hamzah Fansuri mengeluarkan fahamannya dan pengalamannya melalui tulisan prosa dan puisi, dan ia muncul sebagai ahli puisi sufi yang teragung di rantau ini. Dalam karangan-karangannya ia mengeluarkan kata-kata yang menyatakan tentang ‘keesaan yang wujud' ('wahdiatul-wujud') yang terkait dengan nama ibn ‘Arabi rd yang terkenal itu. Nampaknya ia mengamalkan tarikat Qadiriyyah dan mungkin juga ia ‘khalifah' tarikat yang berkenaan. Pengarang yang terkenal seorang lagi di Acheh ialah Shamsuddin Pasai (men.1630) yang mengarang dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu; beliau tidak muncul sebagai penggubah puisi tetapi tulisannya lebih sistematik, dan memberi huraian tentang ajaran metafisika yang sama dengan gurunya tentang ‘keesaan yang wujud'. Pada van Bruinessen nampaknya beliau pengarang yang pertama dalam Dunia Melayu memberi huraian berkenaan dengan martabat tujuh ini , yang merupakan adaptasi daripada teori ibn ‘Arabi tentang emanasi atau ‘faid' dari Tuhan yang popular di rantau ini. (4) Dalam hubungan dengan ini mungkin beliau mengikuti contoh pengarang Gujerat Muhammad b.Fadl Allah al-Burhanpuri yang menghuraikan doktrin yang sama dalam Tuhfah al-Mursalah ila Ruh al-Nabi , yang siap digubahnya pada 1590, dan kemudian menjadi popular di kalangan Muslimin Dunia melayu. (5) Mungkin beliau mengenali kitab ini di Acheh, atau di Makkah, atau di India. Burhanpuri beramal dengan tarikat Shattariyyah, dan selepas meninggal Shamsul-Din tarikat itu menjadi popular dari kalangan mereka yang pulang daripada menunaikan haji. Mungkin boleh ditambah beberapa maklumat berkenaan dengan teks-teks karangan Syams al-Din Pasai ini.Antaranya ialah: Jawhar al-Haqa'iq (30 halaman dalam Bahasa Arab), karyanya yang paling lengkap, disunting oleh Van Nieuwenhuijze, yang membicarakan martabat tujuh dan jalan mendampingi diri sengan Tuhan; kitab Risalah Tubayyin Mulahazat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dhikr Allah (berbahasa Arab), lapan halaman, diolah oleh Van Nieuwenhuijze, mengandungi huraian tentang perbezaan antara kaum yang berpegang kepada tauhid yang benar dan kaum yang mulhid; kitab Mir'at al-Mu'min (70 halaman) dalam Bahasa Melayu, menjelaskan keimanan kepada Allah, RasulNya, kitab-kitabNya, para malaikatNya, akhirat, qada'Nya, dalam akidah Ahlis-Sunnah wa al-Jama'ah (mengikut Imam Asy'ari dan Maturidi rd). Kitab Sharah Ruba'I Hamzah Fansuri, 24 halaman berbahasa Melayu, menjelaskan pengertian wihdatul-wujud. Kitab Syarah Sya'ir Ikan Tongkol (20 halaman, dalam Bahasa Melayu),ulasan 48 baris syair Hamzah Fansuri yang mengupas nur Muhammad dan cara mencapai fana' fi'Llah. Kitab Nur al-Daqa'iq (dalam 9 halaman, berbahasa Melayu, ditranskripsi oleh A.H. Johns (1953) huraian tentang rahsia ma'rifat , dalam martabat tujuh. Kitab Tariq al-Salikin (18 halaman, berbahasa Melayu), menjelaskan istilah-istilah seperti wujud, ‘adam, haqq, batil, wajib, mumkin, mumtani', dan yang sepertinya. Kitab Mir'at al-Iman atau Bahr al-Nur,12 halaman, berbahasa Melayu, membicarakan ma'rifah, roh, dan martabat tujuh.Kitab al-Harakah , 4 halaman, ada yang berbahasa Arab dan ada yang berbahasa Melayu, membicarakan ma'rifah atau martabat tujuh. (6) Kemudian ulama yang terkenal yang menentang Shamsu'l-Din Pasai dan Hamzah Fansuri ialah Nuru'l-Din al-Raniri rh, dan mungkin akibat penentangannya yang teruk, ia terpaksa meninggalkan bumi Acheh. Shaikh Nurul-Din menuduh ajaran Hamzah Fansuri sebagai ‘panteisme' dan membandingkannya dengan falsafah Vedanta Hindu dan ajaran Buddha Mahayana di Tibet. (7) Seorang ulama basar Acheh ialah ‘Abdul-Ra'uf Singkel rh (1615?-93) .Beliau berada di Mekah dan Madinah selama 19 tahun kemudian kembali ke Dunia Melayu.Nampaknya para penduduk rantau ini sangat ramai menunaikan haji berbanding dengan para penduduk rantau lain walaupun jarak mereka dengan Mekah adalah jauh. Dan dengan adanya masyarakat mereka di sana yang kuat perpaduannya, maka pengaruh ulama Mekah besar di rantau ini. Antara ulama di sana yang berpengaruh di rantaum ini ialah Ahmad al-Qushashi rh, Ibrahim al-Kurani rh, dan anak Ibrahim bernama Muhammad Tahir yang berada di Madinah. Pada pendapat van Bruinessen (8) Qushashi (men.1660) dan Kurani (men.1691) merupakan sintesis tradisi India dan Mesir yang berupa warisan kesarjanaan fikh dan tasawwuf Zakaria al-Ansari rh dan ‘Abd al-Wahhab al-Sha'rani rh di satu pihak dan perlibatan dengan pengambilan bai'ah dalam tarikat-tarikat dari India terutamanya Shattariyyah dan Naqswhabandiah di satu pihak lainnya. Katanya tarikat-tarikat ini diperkenalkan oleh Shaikh Sibghatullah yang menetap di Madinah dalam tahun 1605.Kurani pula , yang ia adalah seorang bangsa Kurdi, mempunyai kemahiran dalam sastera berbahasa Parsi dari India, dan selain daripada kepakarannya dalam hadith beliau mempunyai minat yang mendalam tentang metafisika. Dalam menghadapi kontroversi-kontroversi, maka ulama India berpaling kepadanya untuk mendapat bimbingan. Demikian pula orang-orang Dunia Melayu. Kerana permintaan mereka maka ditulisnya syarah terhadap kitab Tuhfah al-Mursalah mengikut cara fahaman Ahlis-Sunnah wa al-jamaah. (9) Beberapa generasi lamanya orang-orang Dunia Melayu mempelajari ilmu agama di Semenanjung Arab dengan ulama yang datang selepas daripada Kurani, dan mereka menuntut bai'ah dalam tarikat Shattariyyah, kadang-kadang dengan kombinasi tarikat-tarikat lainnya. Maka melalui tarikat Syattariyyahlah idea-idea metafisika sufi dan pembahagian-pembahagian atau klasifikasi berdasarkan ajaran martabat tujuh menjadi sebahagian daripada kepercayaan Orangt-Orang Jawa yang popular. Hampir-hampir seabad kemudian Orang-Orang Dunia Melayu di negeri Arab sangat tertarik kepada Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman rh (men.1775) di Madinah, yang sangat dipercayai mempunyai keberkatan yang sangat besar, bertugas sebagai penjaga makam Nabi salla'llahu ‘alaihi wa sallam dan mengarang beberapa buah kitab tentang metafisika sufi; beliau berpengaruh kerana ia pengasas tarikat Sammaniyyah; banyak kisah-kisah ‘manakib' yang menunjukkan kekeramatannya, yang tersebar di Dunia Melayu. Murid Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman yang terkenal sekali di Dunia Melayu ialah Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani rh yang menulis beberapa buah kitab, antara yang terkenalnya ialah Siyar al-Salikin ‘ila ‘ibadati Rabbil-'Alamin yang berdasarkan kepada isi kandungan Ihya' Imam al-Ghazali rd. Selepas meninggalnya Syaikh Samman rh ia digantikan oleh khalifahnya Siddiq bin ‘Umar Khan. Maka tersebarlah tarikat itu dengan meluasnya. Kitab-kitab yang ada mempunyai huraian-huraian tentang metafisika ini disebutkan oleh Syaikh ‘Abd al-Samad palembang rh dalam teksnya Sayr al-Salikin dalam jilid 3.Antaranya ialah teks-teks karangan ibn ‘Arabi rd seperti Futuhat al-Makkiyyah dan Fusus al-Hikamnya yang disebutkannya sebagai teks untuk orangt-orang muntahi atau yang berada pada tahap penghabisan dalam perjalanan rohani. Al-Manhalu's-Safi[ fi Bayani Rumuzi Ahli's-sufi]: Antara teks-teks tentang metafisika sufi yang boleh disebutkan secara tepat sebagai beraliran ‘martabat tujuh' ialah Kitab al-Manhali's-Safi yang kuat dikatakan ia karangan Syaikh Daud al-Fatani rh.Antara ulama yang mengajar kitab itu kepada mereka yang dikirakan sesuai untuk mendengarnya ialah alm haji ‘Abd al-Rahman di Wakaf Baru, Kelantan. Saya sendiri pernah beberapa kali bercakap dengannya.Allahumma yarhamuh. Beliau mengajar kitab Hikam [yang dinisbahkan kepada To' Pulau Manis] dan juga al-Manhalus-Safi dan beliau menerangkannya mengikut apa yang diterimanya daripada To' Syafi' Kedah rh.Oleh kerana teks ini masih senang didapati sekarang dan ada tersesbar dalam masyarakat maka saya gunakan teks ini untuk perbincangan ini. Yang menarik laginya ialah teks ini ada nota-nota pada tepi beberapa halaman yang menunjukkan bahawa ia telah dijadikan teks untuk pengajian. Isi kandungan maklumat tentang martabat tujuh dalam teks ini ialah seperti berikut (berdasarkan kepada MS yang ada pada saya, kerana yang tercetaknya tidak ada pada aya sekarang).Dalam naskah yang ada pada ayahanda Syaikh Ahmad al-Fatani sebagaimana yang diberitahu oleh rakan kita Wan Mohd Shaghir Abdullah, melalui saudara Zaidi Mohd Hasan, Allah membalas kebaikan kepada mereka, amin, karangan itu ialah memang karangan Syaikh Daud al-Fatani rh.MS yang ada pada saya ini bertarikh 1302 H. tertulis oleh Syihab al-Din bin Ismail syin ya (?), di tulis namanya dengan huruf berasing-asingan tidak disambungnya, di Makkah al-Mukarramah.Ia terdiri daripada 15 folio. Pada folio 1 katakanlah 1B selepas mukadimah dengan basmalah, hamdalah, dan salawat, katanya..."bahawasanya adalah bagi segala kaum penghulu ahli al-saufi itu beberapa istilah mereka itu yang tiada mengetahui akan dia melainkan ahlinya.Maka tiada harus [bagi] yan g bukan ahlinya itu mentelaahkan segala kitab mereka itu kerana yang tiada mengetahui akan kehendaknya diambilnya atas zahir perkataan mereka itu maka membawa' kepada kufur; sebab itulah diharamkan metala'ah segala kitab mereka itu [mereka] yang bukan ahlinya, seperti kata Syaikh Muhyi'l-Din ibn al-'Arabi radiya'Llahu ‘anhu, nahnu qaumun tahrim mutala'ati kutubina ...ertinya bahawasanya adalah kami sduatu kaum yang haram mentala'ahkan segala kitab kami' yakni apabila tiada tahu akan segala istilah mereka itu. Katanya: Maka sayugianya jangan kita memudah-mudahkan segala perkataan mereka itu dengan ilham Tuhan mereka itu.Maka kebanyakan segala kitab mereka itu dengan mutasyabihat tiada dapat bagi segala orang yang ahli al-zahir mengambil dengan zahir katanya [yang pada zahirnya itu] menyalahi syariat dan hakikatnya sekali-kali tiada menyalahi batin syariat ; maka wajib atas murid apabila yang tiada tahu akan kehendak mereka itu ia menyerahkan segala perkataan mereka itu kepadanya, jangan ia meng(ing)karkandia dan jangan menyalahkan dia sepertim kata Syaikh Abul-Hasan al-Syadhili (rd); Maka bermula orangn yang membenarkan pada ilmu kami ini wali kecil Katanya Maka setengah daripada istilah mereka itu ‘huruf aliyat' yang lagi akan datang kenyataannya dua bait syair karangan Syaikh Muhyi al-Din ibn al-'Arabi, dan demikian lagi seperti kata tilmidh (atau murid)nya dan khalifahnya Sadr al-Din [al-Qonyawi] Buni, ‘wa ra'al-haqq mir'ah' yura' yang lagi akan datang kenyataannya beberapa banyak.Maka apabila engkau ketahui akan perkataan segala ahli saufi dengan isyarat jua, maka ta' dapat tiada daripada kita ketahui akian isyaratnya.Maka sekaranglah hamba nyatakan: Ketahui olehmu bahawasanya adalah bagi Hak Subhanahu wa Ta'ala itu beberapa martabat [pada sisi pandangan rohaniah dalam kesedaran para 'arifin, bukan pada falsafah yang ditanggapi dengan lamunan otak atau minda-ujem] pertama Ahadiah, maka (1B) Ahadiah Iaitu martabah ‘la ta'ayyun', iaitu ‘kunhi zat' [iaitu semata-mata Zat Allah ta'ala tiada lainnya], kedua ‘wahdah' [di]namakan dia ‘ta'ayyun awwal' yaitu ibarat daripada ta'luk IlmuNya akan ZatNya dan akan sifatNya dan akan segala yang maujudat atas jalan ijmal, maka dinama akan dia Hakikah al-Muhammadiyyah [bukan nabi Muhammad s.a.w. yang di Mekah dan Medinah secara zahir itu], ; ketiga wahidiyyah dinama akan dia ‘ta'ayyun thani', yaitu ibarat daripada ta'aluk ilmuNya akan ZatNya dan segala SifatNya dan segala maujudat atas jalan tafsil [terperinci satu demi satu, tetapi masih dalam Ilmu Allah yang Kadim dan azali], dan dinamakan dia hakikat insaniah [tidak bersangkut dengan manusia itu lagi, sebab ini beluam ada apa-apa].Maka ketiga[-tiga] martabat ini [martabat Ahadiah, Wahdah dan Wahidiyyah] itu kadim lagi dinamakan martabat keTuhanan. Katanya: Dan adalah [ia, yang dikatakan martabat keTuhanan, belum ada apa-apa yang lain itu] diu[m]pamakan ‘ilman martabat Ahadiyah seperti kertas yang lapang, yang tiada di dalamnya suatu kaid jua [tak ada kaitan dengan apa-apa], demikian rupanya O .Sebab inilah dinamakan ‘martabat itlak' yakni lepas daripada ada sesuatu dan ‘la ta'ayyun'.[Dikatakan demikian] dengan sebab tiada ada nyata sesuatu juapun . Wahdah Katanya: Dan mithal pula akan martabat wahdah itu u[m]pama noktah di dalam da'irah [atau bulatan] yakni titik yang satu demikian rupanya . , maka noktah itu asal bagi segala huruf, yakni menerima lagi mengandung segala huruf yang hendak disuratkan, tetapi ijmal di dalamnya yakni berhimpun di dalamnya tiada ada kenyataan huruf, Wahidiyyah Dan mithal pula akan martabat wahidiyyah itu u[m]pama ‘alif' asatu huruf yang lain yang nyata dalam dairah [atau bulatan] demikian rupanya O [maka dibuat rajah bulatan ditengah-tengahnya ada alif], maka alif itu kesempurnaan noktah yang ijmal lagi ta'ayyun yang nyata sekira-kira tiada menerima paling lagi, sebab itulah dinamakan ta';ayyun thani', kerana noktah itu ta'ayyun awal, dan alif itu ta'ayyun thani , demikianlah mithal bila tashbih, walillahi'l-mathalul-a'la [ayat Qur'an surah al-Nahl ayat 60]. Katanya; Dan demikian lagi [di]mithalkan pula oleh setengah ulama akan ketiga martabat itu supaya me[ng]hampirkan [kepada] faham kita , maka martabat ahadiyah itu seu[m]pama zihin [atau fikiran atau minda] kita tatkala sunyi ia daripada musta'kalkan sesuatu yakni merupakan suatu [dalam fikiran itu minda itu], maka dikatakan ‘la ta'ayyun'.Maka apabila memulai engkau pada musta'kal kan sesuatu maka dinamakan ta'yyun awal' dan apabila [di]lanjutkan (folio 2A) ta'akul itu, lagi berkekalan pula ia dinamakan ta'ayyun thani ; maka adalah dua martabat ini [dalam syuhud orang yang 'arif dalam pandangannya yang tinggi itu] yaitu wahdah dan wahidiyyah ibarat daripada dairah [atau lingkungan] ilmunya yang kadim; maka dari kerana inilah [maka] dinamakan dia ‘a'yan thabitah' ['ain-'ain yang tetap dalam ilmu Allah yang kadim dan azali belum tercipta lagi]; maka ertinya ‘a'yan thabitah' itu barang yang sabit di dalam ta'aluk ma'lum ilmuNya Allah ta'ala pada azalnya, tiada ada di sana itu melainkan ZatNya [semata-mata] dan segala SifatNya yang kadim jua. A'yan Thabitah Tentang a'yan thabitah itu katanya: Maka a'yan thabitah itu [ialah] barang yang tiada mencium bau wujud, yakni belum lagi keluar daripada kalimah ‘kun', maka apabila dikehendaki akan wujudnya, maka dikhitabkan kepada a'yan thabitah dengan [seolah-olahnya-uem] dijadikan kuat pendengaran daripadanya dan dilafaz ‘kun' maka jadilah seumpama yang a'yan thabitah itu dengan Kodrat Allah subahanahu wa ta'ala , maka dinamakan dia kemudian daripada wujud khitab itu a'yan kharijiyyah; maka adalah ia muhdath [baharu], yang baharu, kerana athar [atau bekas, kesan] Kodrat yang kadim.Maka jangan engkau sangkakan a'yan kharijiyyah yaitu daripada a'yan thabitah, kerana a'yan thabitah itu tiada mencium bau wujud sekali-kali lagi kadim, betapa ia menerima keluar , maka betapa jadi hadath [atau hadith, baharu], , maka hanyasanya yang a'yan kharijiyyah itu ‘bayan' bagi a'yan thabitah. Dan adapun a'yan thabitah itu ka'in,[ada], yakni tetap ada iaitu, sabit, berkekalan seperti adaNya jua, kerana ma'lim ilmuNya itu tiada bercerai daripada ZatNya, seperti tiada bercerai segala sifatNya yang kadim.Demikian difahamkan perkataan ini. A'yan Kharijiyyah Tentang a'yan kharijiyyah, katanya: Dan adalah a'yan kharijiyyah itu martabat ‘ubudiyyah, yakni kehambaan, dan adalah martabat ta'ayyun awwal dan ta'ayyun thani makam anbia' dan aktab [para wali kutub], yang dapat mawarinya (?) daripada mereka itu daripada kadarNya dan pada dapat ia pandangkan wahdah di dalam kathrah [pandang yang satu dalam yang banyak dalam pendangan kerohanian] ialah makam [atau darjah kerohanian] orang yang taraqqi [orang yang mendaki] yakni memandang Allah ta'ala di dalamk tiap-tiap sesuatu [bukannya secara erti hulul, seperti Tuhan 'meresap' ke dalam sesuatu, sebab Tuhan bukan benda], seperti kata ahli'Llah, ‘ma ra'aitu shai'an illla wa ra'aitu'Llaha fihi': ertinya tiada aku pandangkan sesuatu merlainkan ku pandang Allah padanya'.Maka tiada menegahkan banyaknya itu [iaitu banyaknya dan pelbagainya makhluk itu] akan memandang keesaan Allah t'ala (folio 2B) Dan dapat pula memandangkan ‘kathrah' di dalam wahdah, yaitu makam orang yang tanazzul, yaitu memandang yang banyak yang ia segala [yang] baharu ini di dalam wahdah , yakni Tuhan yang esa.Maka tiadalah menegahkan bagi segala yang ‘arif yang kamil mukammil [yang sempurna segi rohani dirinya dan boleh menyempurnakan orang] itu daripada menilik keduanya kerana kathrah itu tidak dapat tiada daripada wahdahnya, kerana tiada dapat istiqlal [yakni menjadi merdeka tersendiri] sendirinya sekali-kali, kerana keadaan wahdah itu mempunmyai sifat dan asma' dan af'al yang memnyabitkan athar Kodrat dan Iradah yang menyabitkan kathrah yaitu wujud segala alam. Selepas itu, katanya tentang kata-kata ibn ‘Arabi: Maka apabila engkau faham daripada perkataan ini, engkau ketahui pula akan kata-kata Imam al-'Arifin Saidi Muhyil-Din ibn al-'Arabi di dalam kitab Manazil al-Insaniyyah,demikian bunyinya: [dalam] syair: ‘kunna hurufan ‘aliyat ...(tak terang) ...ertinya: Telah adalah kita sekelian beberapa huruf yang amat tinggi [sebagai ilmu Tuhan yang kadim dan azali sebelum dicipta olehNya ala mini], belum lagi dijadikan akan kita dengan firmanNya ‘kun', dan adalah kita muta'allaq [bergantung bersambung-sambung antara satu dengan lain tidak bercerai-cerai] dengan segala kita, yakni adalah segala makhluk itu adalah ia di dalam inkishaf Ilmu Tuhan kita [yakni kita berada dalam nyata Ilmu Tuhan kita], masing-masing, dan bercerai-cerai mahiyyahnya, dan itu adalah dalam kepala-kepala segala bukit, yakni kemuncak aku-engkau di dalamnya, dan kami dan engkau, dan engkau dan ia, dan sekelian pada ‘huwa' itu Ia jua. Lepas itu katanya; Maka tanyai olehmu orang yang wasil [yang mencapai ma'rifat dan mengenal Tuhan sebenarnya], yakni orang yang sampai, maka dikehendaki oleh syaikh dengan katanya: Telah adalah kita sekelian beberapa huruf yang amat tinggi belum lagi dijadikan akan kita ini, yakni telah adalah kita pada azal beberapa haqa'iq ghaibiyyah [hakikat-hakikat yang ghaib] yang thabit sekelian kita di dalam ilmu hak ta'ala belum lagi kita dijadikan... kerana adalah bagi tiap-tiap yang maujud (folio 3A)... Itu ada dengan ‘mahiyyah' kejadiannya, dan adapun halnya dan martabatnya dan hukumnya dan adalah sekelian itu lagi di dalam ma'lum ilmu [Tuhan] yang kadim, dan dikehendaki dengan katanya ‘dan adalah yang demikian itu di dalam kepala-kepala segala bukit', yakni di dalam ta'ayyun awal, yang dinamakan dia martabat wahdah yang ijmal yang terdahulu sebutnya, Katanya lagi: Dan yang dikehendaki dengan katanya ‘aku engkau di dalamnya dan kami engkau dan engkau ia' itu, yakni daripada pihak ijmalnya belum lagi tafsil, tiada berbeza setengah daripada setenganya.Martabat itu tetapi aku itu aku jua dan engkau itu engkau jua dan ia ia jua, misalkan yang demikian itu dengan tiada tashbih, seperti air digugurkan ke dalam laut, maka tatkala itu adalah kita dapat membezakan dia daripada air laut maka kita kata air itu laut, dan laut itu air, tetapi yang laut itu laut juga dan air itu air jua, tiada dapat bertukar kerana adalah segala hakikat itu tiada dapat bertukar-tukar Katanya lagi: Dan taktkala nyatalah kita ingat akan air yang setitik itu sebab hairan kita daripada memandang laut maka tatkala itu dapat kita kata sekelian itu laut [dan janganlah pula terfikir dengan misalan ini bahawa Allah itu bersambung zatNya dengan zat kita, Allah adalah Allah, Tuhan kita, kita adalah makhluk ciptaanNya. Katanya; Dan dikehendaki dengan katanya:' dan sekeliannya pada ‘huwa' itu ia jua yakni adalah sekelian pada martabat ahadiah daripada pihak tamsi [yakni terhapus dalam penyaksian batin serwaktu dalam pengelaman rohani yang berkenaan] yakni hapus di dalamnya ia jua, kerana nyata tiada menerima di sana lain daripada nama ‘huwa' dan ia nama hadrat ‘la shay' ma'ahu [tiada sesuatu denganNya, merujuk kepada hadith yang bermaksud, telah adalah Allah walhal tiada ada sesuatu berserta denganNya], dan segala hadrat yang dibawahNya [di bawah dari segi darjat hakikinya, 'ontologinya'] di namakan hadrat ‘wa huwa ma'akum ainama kuntum' [Ia bersama dengan kamu di mana kamu berada], dan dikehendaki dengan katanya ‘maka tanya olehmu akan orang yang wasil |
No comments:
Post a Comment