16. Kejadian alam dan manusia Apabila menyedari bahawa wujud alam dengan Wujud Tuhan tidak sedikit pun bersamaan, tidaklah mengelirukan jika dikatakan yang wujud alam adalah benar, nyata, stabil, ada kesinambungan kewujudannya dan dapat bertahan hingga ke akhirat. Wujud alam atau makhluk yang Tuhan ciptakan ini menjadi asas kepada kehidupan dunia yang sementara dan kehidupan akhirat yang abadi. Makhluk yang menerima nikmat wujud dan nikmat kesinambungan wujud dibekalkan dengan juga keupayaan untuk menerima bentuk zahir dan menjadi nyata serta memiliki bakat-bakat yang boleh memberi kesan. Jika ada orang mengatakan wujud makhluk hanyalah khayalan lantaran ia tidak berhakikat, maka perkataannya itu juga benar. Wujud makhluk menjadi khayalan jika dibandingkan dengan Wujud Tuhan, tetapi tidak wajar membandingkan wujud makhluk dengan Wujud Tuhan kerana Tuhan tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu. Tuhan melampaui tahap wujud. Istilah Wujud digunakan untuk menceritakan tentang Tuhan kerana tidak ada istilah lain yang lebih sesuai. Kebenaran pada tahap penciptaan tidak sama dengan kebenaran pada tahap Pencipta. Bila dikatakan alam merupakan kewujudan yang benar ia tidak bermakna menyamakan darjah kebenaran wujud alam dengan darjah kebenaran Wujud Tuhan. Alam sangat berbeza dengan Tuhan. Walaupun alam lain daripada Tuhan namun kewujudan alam tidak membatasi Tuhan. Tidak mungkin terjadi pergeseran di antara Wujud Tuhan dengan wujud makhluk. Kewujudan makhluk tidak mungkin mengubah kedudukan Tuhan Yang Maha Esa.
Jika mahu dibuat sedikit gambaran sekadar menggerakkan kefahaman (keadaan yang sebenar tidak serupa dengan gambaran ini), bolehlah diibaratkan perbandingan Wujud Tuhan dengan wujud makhluk seumpama wujud manusia dengan kewujudan ilmu manusia itu. Walaupun manusia mencipta berjuta-juta benda di dalam ilmunya namun, kewujudan jutaan benda di dalam ilmu itu tidak mengubah dan mengganggu kedudukan manusia itu sendiri. Tidak mungkin benda di dalam ilmu berlaga dengan manusia yang mempunyai ilmu itu. Kewujudan manusia dengan kewujudan di dalam ilmu merupakan kewujudan yang berbeza yang tidak mungkin bergandingan, bersaing atau bersekutu.
Sekiranya manusia mengeluarkan kewujudan di dalam ilmunya kepada kenyataan di luar maka benda-benda yang diciptakan oleh manusia akan berada di dalam ruang yang sama dengan manusia. Tuhan menciptakan makhluk tidak dalam keadaan yang demikian. Apa juga yang Tuhan berkehendak menciptakan sudah ada dalam Ilmu-Nya. Penciptaan makhluk dipagari oleh Ilmu Tuhan. Setelah Tuhan menciptakan makhluk menurut suasana Ilmu-Nya, makhluk akan mengambil ruang yang tidak bergandingan, bersaing atau bersekutu dengan Tuhan, tidak seperti keadaan manusia mencipta benda-benda. Kewujudan dan kehadiran makhluk tidak mengganggu keesaan Tuhan. Hanya Tuhan yang berkuasa berbuat yang demikian. Itulah keunikan dan kemutlakan Kuasa Tuhan. Bila diceritakan tentang hubungan Tuhan dengan alam yang boleh dikatakan adalah Tuhan tidak ada di dalam alam, tidak ada diluar alam, tidak bersatu dengan alam dan tidak berpisah dengan alam. Begitulah konsep ketuhanan yang menggabungkan penafian dan pengisbatan.
Pandangan kaum sufi tentang alam berbeza-beza. Ada tiga pendapat yang popular mengenainya. Kumpulan pertama percaya bahawa alam ini wujud dan alam diciptakan oleh Tuhan. Apa juga keupayaan dan bakat yang ada pada alam dan sekalian makhluk adalah juga diciptakan oleh Tuhan. Mereka menganggap diri mereka seumpama kerangka kosong yang tidak memiliki apa-apa, tiada daya dan upaya, semuanya adalah milik Tuhan semata-mata. Kumpulan ini sangat dikuasai oleh suasana ‘ketiadaan' sehingga mereka lupa kepada diri mereka dan alam sekaliannya. Keadaan mereka adalah seumpama orang halimunan yang menanggalkan pakaiannya lalu tidak ada apa-apa lagi yang kelihatan (pada alam perasaan mereka). Mereka serahkan semua pakaian kepada Pemilik pakaian dan tinggallah mereka dalam suasana ‘ketiadaan' atau kefanaan. Kefanaan yang menguasai mereka menyebabkan hubungan mereka dengan ‘pakaian' tidak ada lagi. Sekiranya mereka keluar daripada kefanaan, masuk kepada suasana kesedaran dan baqa dalam Tuhan, mereka akan menyedari bahawa pakaian ada dengan mereka. Mereka akan dapat menerima kehadiran pakaian beserta pengakuan bahawa Tuhan yang memiliki pakaian tersebut. Sufi kumpulan ini yang telah melepasi peringkat fana dan kembali kepada kesedaran semula, akan memiliki pengetahuan yang sebenar. Pada peringkat ini mereka akan bersetuju dengan pendapat Ahli Sunah wal Jamaah tentang alam. Ahli Sunah wal Jamaah memperolehi petunjuk dari al-Quran, as-Sunah dan ijmak ulama. Ahli sufi yang sampai kepada peringkat ini bersamaan dengan fahaman dan pegangan ulama. Jika ulama mencapai kefahaman dan pegangan melalui akal, sufi pula memperolehinya melalui kasyaf dan zauk yang benar. Mereka mengakui bahawa Tuhan tidak menyamai sesuatu. Oleh yang demikian mereka tidak mengadakan perbandingan atau penyatuan dengan Tuhan.
Sufi kumpulan ke dua berpendapat alam adalah bayangan Tuhan, semata-mata bayangan bukan yang sebenar. Alam bergantung wujud kepada Tuhan sebagaimana bayang bergantung kepada diri yang empunya bayang. Sufi kumpulan ke tiga berpegang kepada fahaman yang terkenal sebagai wahdatul wujud. Kumpulan ini percaya yang ada hanya satu wujud. Alam ini dikatakan hanyalah wujud yang tergambar dalam fikiran dan tanggapan, sedangkan sebenarnya alam tidak ada. Hakikat-hakikat tidak pernah menyata kepada kenyataan wujud. Hakikat adalah wujud yang satu pada martabat-martabat penurunan. Tuhan yang memiliki sifat-sifat yang wajib dan harus, serta ada pula peringkat-peringkat penurunan, maka walaupun dipandang sebagai banyak namun, sebenarnya hanyalah satu wujud sahaja. Wujud yang satu itulah yang merasai senang, susah, sakit dan sebagainya. Kewujudan yang lain dan nilai-nilai yang ada pada yang lain hanyalah wujud dan nilai khayali yang dibentuk oleh khayalan dan tanggapan semata-mata. Alam, syurga dan neraka hanyalah muncul dalam sangkaan. Fahaman kumpulan inilah yang paling digemari oleh orang yang menjadi sufi tiruan. Ketika sufi yang sebenar dikuasai oleh jazbah, zauk dan pengalaman kerohanian, hingga mereka tidak dapat membezakan yang benar dengan yang salah, sufi tiruan pula terjerumus ke dalam kekufuran dan kesesatan.
Sufi kumpulan pertamalah yang hampir dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah. Semakin jauh mereka meninggalkan kefanaan dan fenomena bayangan, maka semakin hampirlah mereka dengan kebenaran yang sejati. Apabila mereka kembali kepada kesedaran sepenuhnya, kebenaran dan kesesuaian mereka dengan al-Quran dan as-Sunah adalah jelas. Mereka mencapai kesempurnaan kebatinan kerana mereka mencapai kebenaran al-khafi (kesedaran batin) dan kebenaran al-akhfa (kesedaran batin yang paling dalam) yang bersamaan dengan Kebenaran Hakiki. Mereka mencapai Kebenaran Hakiki melalui pengalaman kerohanian. Sufi golongan ini sudah melepasi peringkat kesedaran yang tersembunyi (as-Sir). Sufi yang berfahaman wahdatul wujud pula, apabila mereka mencapai kefanaan pada peringkat Sir, mereka tidak dapat keluar dari peringkat tersebut dan mereka tidak memisahkan as-Sir daripada Yang Haq, tidak menafikannya. Sebaliknya mereka percaya bahawa as-Sir satu dengan Yang Haq, lalu mereka menyamakan diri mereka dengan Tuhan, mempercayai hanya Tuhan yang wujud, selain Tuhan tidak ada.
Alam yang diistilahkan sebagai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) merupakan medan yang menyatakan ayat-ayat, dalil-dalil atau kenyataan nama-nama dan sifat-sifat Wajibul Wujud (Wujud yang wajib). Tetapi Zat Tuhan Yang Maha Esa, Maha Tinggi dan Maha Mulia tidak ada ayat, dalil, kenyataan atau pembalikan. Tidak ada satu pun dalam alam ini yang membalikkan atau yang ada penglibatan dengan Zat Tuhan. Tuhan Yang Maha Perkasa melampau apa juga penyifatan dan dalil. Tuhan melampau alam secara Mutlak, tidak terjangkau oleh akal fikiran ahli fikir, ilham ahli falsafah dan kasyaf ahli sufi. Nama-nama dan sifat-sifat yang dinisbahkan kepada Tuhan adalah berbeza. Alam memang ada perkaitan dengan nama-nama dan sifat-sifat tersebut, walaupun sebagai ayat-ayat dan dalil-dalil atau hanya pada nama dan bentuk sahaja. Alam tidak mempunyai zat atau hakikat, tidak berkedudukan sebagai ‘berdiri dengan sendiri' atau Mutlak. Alam diciptakan tanpa sesuatu kecuali sebagai bentuk atau bekas yang menerima kesan dan pengaruh sifat-sifat dan nama-nama Tuhan. Zat atau hakikat mumkinul wujud (alam atau makhluk) adalah pembalikan atau kenyataan bagi sifat-sifat dan nama-nama Tuhan tetapi tidak sekali-kali serupa atau bersatu dengan Zat Tuhan Yang Mutlak dan Hakiki. Walaupun alam membalikkan Sifat dan Nama Wajibul Wujud namun alam itu bukanlah Wajibul Wujud dan bukan pula nama atau sifat Wajibul Wujud dalam ertikata yang sebenar. Pembalikan dan yang menyatakan tidak sama dengan yang sebenarnya. Perkaitan Wajibul Wujud dengan alam secara yang demikian dan kemutlakan Zat Wajibul Wujud menyebabkan timbul fenomena bayangan dalam pengalaman sufi dan bayangan tersebut berkekuatan memberi kesan kepada alam perasaan sufi menyebabkan timbul berbagai-bagai fahaman.
Peringkat pengalaman kerohanian, sebelum sampai kepada peringkat ‘bukan Tuhan', hilang daripada pandangan, sufi akan mengalami hal yang memperlihatkan kepadanya alam tidak wujud. Pada masa yang lain pula dia melihat alam wujud. Pada masa yang lain lagi dia melihat alam tidak wujud pula. Ada pula masa lain yang dia mengalami suasana alam wujud. Keadaan yang bergilir-gilir ini berterusan sehingga sufi itu memperolehi fana sepenuhnya. Pada tahap ini sufi akan mengalami sepenuhnya suasana yang selain Tuhan tidak wujud. Pada pandangan sufi alam adalah seumpama satu ruang yang tiada kesudahan atau kekosongan yang berterusan.
Setelah melepasi peringkat fana dan memasuki peringkat baqa (kekal bersama Tuhan) dan kembali kepada dunia, kadang-kadang alam kelihatan dalam pandangannya dan kadang-kadang hilang. Pengalaman yang demikian membuatnya menyangka alam mengalami pembaharuan bentuk secara berterusan. Apabila dia mencapai kesempurnaan baqa dan kembali kepada dunia sepenuhnya, kewujudan alam menetap dalam pandangan dan kesedarannya. Dia dapat menyaksikan bahawa alam adalah wujud yang nyata dan stabil. Sufi yang sampai kepada tahap ini sudah layak membimbing orang lain. Mereka berkedudukan sebagai khalifah kerohanian yang berperanan membantu sufi lain yang masih di dalam perjalanan dan memberi petunjuk kepada orang ramai serta mengarahkan mereka kepada jalan Tuhan yang benar lagi lurus.
Khalifah kerohanian berbeza daripada pemerintah orang ramai. Adalah silap jika seorang yang menganggapnya dirinya sebagai khalifah kerohanian mencuba untuk merampas kuasa daripada pemerintah yang ada. khalifah kerohanian, walaupun arif dalam ilmu ketuhanan, itu tidak bermakna dia juga pakar dalam urusan pentadbiran negara, bidang politik, ekonomi dan lain-lain. Memang ada orang yang berkedudukan sebagai khalifah kerohanian dimasukkan oleh Tuhan kepada bidang pengkhususan yang melibatkan urusan orang ramai. Khalifah kerohanian yang berkenaan akan bergerak dalam bidang pengkhususan masing-masing sebagai wakil Tuhan menguruskan bidang tersebut. Ada yang mengambil bahagian sebagai khalifah dakwah, khalifah politik, khalifah ekonomi, khalifah pendidikan, khalifah sains dan teknologi, khalifah perang dan lain-lain. Khalifah-khalifah tersebut akan membawa kemenangan dan kegemilangan kepada umat Islam dalam bidang yang mereka uruskan. Khalifah perang akan membawa kemenangan kepada umat Islam dalam menentang musuh-musuh Islam. Sebelum tentera Muslim dipimpin oleh khalifah perang yang dilantik sebagai wakil Tuhan, kemenangan lebih berpihak kepada musuh. Sebelum ekonomi umat Islam dipimpin oleh khalifah ekonomi yang dilantik oleh Tuhan, sistem perekonomian akan tetap berkisar di sekitar sistem perekonomian tajaan Yahudi dan lain-lain dan umat Islam tidak mampu mengatasi kaum lain dalam bidang ekonomi. Begitu juga dengan bidang- bidang yang lain. Biasanya, khalifah Muslim yang khusus dalam sesuatu bidang itu dihantar oleh Tuhan tatkala umat Islam hampir-hampir mengalami kehancuran dalam bidang berkenaan. Khalifah yang paling sempurna muncul pada akhir zaman tatkala umat Islam mengalami kehancuran dalam semua bidang. Khalifah yang paling sempurna itu bergelar Imam Mahadi (Ketua Agung kepada khalifah-khalifah Muslim yang bertugas menyelamatkan umat manusia). Beliau akan muncul ketika hari kiamat benar-benar sudah hampir tiba. Oleh kerana khalifah-khalifah tersebut dilantik oleh Tuhan maka tidak ada kuasa makhluk yang mampu menjatuhkan atau mengalahkan mereka. Mereka akan memimpin umat Islam mencapai kemenangan, kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang-bidang yang mereka pimpin.
Sifat-sifat yang dinisbahkan kepada Tuhan, iaitu sifat-sifat Wajibul Wujud atau dipanggil juga sifat-sifat ketuhanan memegang kewujudan alam. Wujud alam pula menjadi bekas bagi menanggung kewujudan manusia. Manusia ada di dalam alam dan menjadi sebahagian daripada alam. Alam menjadi dalil, ayat, pembalikan dan kenyataan bagi nama-nama dan sifat-sifat Tuhan yang memegang kewujudan alam itu.
Bangunan alam maya berlapis-lapis, bertingkat-tingkat dan berperingkat-peringkat. Setiap tahap alam itu dikenali dengan istilah yang berbeza-beza menurut kefahaman yang muncul melalui fikiran, ilham dan kasyaf. Ada yang membahagikan alam kepada Alam Kabir dan Alam Saghir. Alam Kabir adalah alam maya keseluruhannya dan Alam Saghir dimaksudkan kepada kewujudan manusia. Ada pula yang membahagikan alam kepada Alam Malakut Atas, Alam Malakut Bawah, Alam Syahadah dan Alam Insan. Alam Malakut Atas adalah Alam Arwah (roh-roh) dan alam para malaikat. Alam Malakut Bawah adalah Alam Barzakh yang menjadi tempat persinggahan roh-roh yang telah berpisah daripada jasad. Alam Syahadah adalah alam bagi benda-benda, iaitu makhluk yang mempunyai badan, termasuklah makhluk ghaib berbangsa jin. Alam Insan pula adalah manusia. Ada juga orang yang menggunakan istilah Alam Arwah, Alam Misal, Alam Ajsam dan Alam Insan bagi menceritakan bangunan alam maya. Alam Arwah adalah perbendaharaan yang menyimpan segala bakat-bakat yang diperlukan bagi semua penciptaan makhluk dan kesinambungan kewujudan makhluk. Alam Misal adalah suasana kewujudan dalam bentuk rohani, tanpa tubuh atau benda. Alam Ajsam pula adalah suasana kewujudan rohani yang sudah memperolehi badan kebendaan atau tubuh. Alam Insan adalah manusia yang bergabung roh dengan jasad.
Satu peringkat alam menjadi ayat, dalil, pembalikan atau kenyataan bagi satu aspek nama dan sifat Tuhan. Satu-satu benda atau satu-satu perkara pada anasir alam mencerminkan sesuatu tentang nama dan sifat Tuhan. Alam secara keseluruhannya mencerminkan dengan lengkap tentang nama dan sifat Tuhan. Walaupun alam menjadi ayat atau dalil bagi nama dan sifat Tuhan namun itu bukan bermakna nama dan sifat Tuhan ada sempadan sebagaimana alam ada sempadan. Aspek Tuhan yang mengarah kepada alam iaitu nama dan sifat Wajibul Wujud menyata dengan lengkap pada kewujudan alam tetapi aspek Tuhan yang tidak ada hubungan dengan alam tidak ada kenyataan-Nya pada alam. Sebab itulah apabila sufi mencapai zauk Tuhan Yang Maha Tinggi, Maha Esa, sufi mengalami suasana alam tidak wujud, nama tidak wujud dan sifat juga tidak wujud. Dia memasuki suasana yang tidak ada atas atau bawah, tiada hadapan atau belakang, tiada kanan atau kiri, tiada ruang atau zaman, tidak ada nisbah kepada wujud atau tidak wujud. Pengalaman yang demikian membuat sufi memperolehi makrifat tentang Tuhan yang melampaui segala penyifatan, tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya dan tiada sesuatu yang menyertai-Nya. Dia Maha Tinggi lagi Maha Suci daripada apa yang disifatkan dan dinisbahkan kepada-Nya. Dalam keadaan demikian jika keluar ucapan dari mulut sufi berkenaan akan muncullah ungkapan: "Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tiada sesiapa yang menyertai Aku. Tidak ada yang ada melainkan Aku!"
Manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling sempurna kerana pada kejadian manusia terkumpul secara lengkap segala ayat-ayat, dalil-dalil, pembalikan dan kenyataan nama dan sifat Tuhan. Makhluk lain hanya menjadi ayat kepada satu nama atau sifat Tuhan sahaja. Malaikat Izrail membawa kenyataan yang sempurna tentang nama al-Mumit dan sifat Tuhan Yang Berkuasa Mematikan. Izrail tidak membawa kenyataan tentang nama dan sifat Tuhan yang lain. Begitu juga dengan malaikat dan makhluk yang lain. Manusia pula boleh mempamerkan bakat-bakat atau kenyataan kepada nama dan sifat Tuhan Yang Menghidupkan, Mematikan, Memberi, Menolak, Mencipta, Membimbing, Menyesatkan dan sebagainya.
Pada diri manusia ada nilai-nilai kebaikan dan kejahatan dan ada pula keupayaan berkehendak dan membuat pilihan. Sifat berkehendak dan berkuasa membuat pilihan yang ada pada manusia menceritakan bahawa Wajibul Wujud memiliki Sifat-sifat Iradat dan Kudrat. Sifat-sifat mendengar, melihat, berkata-kata dan mengetahui menceritakan bahawa Wajibul Wujud mempunyai sifat-sifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata dan Mengetahui. Pada diri manusia sudah ada nilai-nilai yang berguna buat mereka mengenali sifat-sifat Wajibul Wujud secara misal atau penyifatan. Pengenalan manusia tentang Wajibul Wujud lebih sempurna daripada makhluk yang lain. Al-Quran mengajarkan kepada manusia mengenai sifat-sifat Tuhan melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri, cuma manusia diperingatkan bahawa Tuhan melampaui segala bentuk penyifatan. Pengajaran cara demikian membuat manusia mengetahui Tuhan tanpa sesuatu pengetahuan yang konkrit dan mengenali Tuhan tanpa sesuatu pengenalan yang jelas. Fahaman, pengetahuan dan pengetahuan tentang Tuhan tertanam dalam hati yang paling dalam. Pada kesedaran tahap yang paling dalam itulah manusia memperolehi kefahaman yang hakiki, pengetahuan yang hakiki dan pengenalan yang hakiki. Dalam kefahaman yang hakiki fahaman bersatu dengan tidak faham. Dalam pengetahuan yang hakiki tahu bersatu dengan tidak tahu. Dalam pengenalan yang hakiki kenal bersatu dengan tidak kenal. Apabila dua perkara yang bertentangan telah bersatu akan lahirlah kesejahteraan (keislaman). Pada tahap itu orang arif hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Tuhan, tanpa takwil, tanpa hujah dan tanpa terka.
Nabi Muhammad s.a.w mampu menyampaikan pengajaran kepada para sahabat baginda s.a.w hingga kepada tahap kesedaran yang paling dalam. Sebab itulah pengajaran baginda s.a.w diterima dengan kemas, bulat, jelas dan sempurna. Para sahabat tidak memerlukan cara tambahan seperti bersuluk atau berkhalwat. Bagi umat yang datang kemudian pula, secara umumnya, guru mempunyai kekurangan dan kelemahan dalam menyampaikan dan murid pula lebih lagi lemah dan kurang dalam menerima pengajaran. Hijab yang menutupi kesedaran yang paling dalam itu sangat tebal. Guru tidak berupaya memecahkannya. Oleh yang demikian murid perlu menjalani latihan bagi memudahkan tugas guru menembusi hijab tersebut. Guru berkewajipan membimbing muridnya bagi membuka tutupan ke atas kesedaran dalamnya. Kemudian baharulah pengetahuan tentang kebenaran sejati boleh disampaikan kepada murid tersebut. Tanpa kesedaran dalaman murid akan membentuk khayalan dan sangkaan mengenai apa yang diajarkan oleh guru.
Banyak perguruan tarekat telah dibuka bagi membimbing orang-orang yang berminat dalam bidang kerohanian melatihkan diri, membuka hijab kesedaran dalaman dan seterusnya sampai kepada matlamat dengan selamat. Guru tarekat yang benar tidak memisahkan muridnya dengan syariat dan tidak mengadakan bidaah. Guru yang arif tidak mengajarkan kepada muridnya apa yang tidak layak diterima oleh murid itu. Guru yang demikian tidak menjadikan aliran tarekat sebagai jalan untuk meyakini doktrin wahdatul wujud dan juga bukan ditujukan untuk mendapat fana dan baqa. Jika murid ditarik kepada zauk, jazbah dan fana, guru berkewajipan memandu muridnya agar dapat melepasi peringkat tersebut dan sentiasa mengawasi muridnya agar tidak membuang syariat. Seseorang tidak perlu meyakini fahaman wahdatul wujud untuk mencapai tahap kesedaran dalaman. Kesedaran dalaman boleh muncul pada orang yang menetap pada jalan kehambaan, yang tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Kehambaan yang tidak terlepas daripada kesedaran seseorang membawanya kepada kebenaran yang lebih tinggi daripada yang diperolehi oleh orang yang terbalik pandangan. Tarekat juga tidak boleh dijadikan alat untuk mencari kekeramatan dan kelebihan keduniaan. Latihan kerohanian hendaklah dijuruskan kepada melahirkan ikhlas kerana ikhlas adalah pintu keluar bagi kesedaran dalaman.
Manusia haruslah sedar tentang bakat-bakat dan nilai-nilai yang Tuhan ciptakan sebagai sebahagian daripada kejadian manusia itu sendiri. Pada kejadian manusia sudah ada bakat berkehendak dan membuat pilihan. Usaha dan ikhtiar tidak menyalahi takdir kerana Tuhan telah menentukan sejak azali bahawa manusia memiliki bakat untuk berusaha, berikhtiar dan berkehendak. Tuhan juga mentakdirkan tindakan manusia mempunyai kesan. Pada kejadian manusia itu sudah ada bakat untuk melahirkan perbuatan. Perbuatan manusia termasuk di dalam ciptaan Tuhan tetapi bukanlah Tuhan yang menjadi Pelaku pada perbuatan manusia. Manusia, kehendaknya dan kuasanya melahirkan perbuatan adalah satu pakej yang diciptakan Tuhan yang dinamakan manusia. Fahaman yang mengatakan Tuhan sendiri yang menjadi Pelaku pada segala perbuatan manusia, dikenali sebagai tauhid af'al, hanyalah kenyataan bayangan yang muncul dalam pengalaman kerohanian sufi. Kebenaran bukanlah yang demikian. Ini tidak juga bermakna manusia berkuasa penuh terhadap takdirnya. Keadaan manusia adalah tidak diberi kuasa bulat-bulat dan tidak juga dipaksa sepenuhnya. Manusia bukan diikat dan bukan diberi kebebasan penuh. Kehendak dan kuasa manusia tidak bersifat Mutlak. Oleh itu terdapat halangan dan kekurangan pada kesan yang dihasilkan oleh kehendak dan kuasa manusia. Manusia hidup di dalam medan yang dipenuhi oleh kehendak dan kuasa yang muncul daripada berbagai-bagai makhluk dan kumpulan manusia sendiri. Berlaku pertembungan kesan kehendak dan kuasa seseorang manusia dengan yang muncul daripada manusia dan makhluk lain. Pertembungan tersebut menyebabkan berlaku perlawanan dan yang lebih kuat kesannya akan menang. Jadi, usaha manusia tidak boleh dilihat dalam sekop dirinya sahaja. Usahanya memberi kesan kepada usaha orang lain dan begitu juga sebaliknya. Begitulah yang muncul daripada makhluk yang bersifat tidak Mutlak. Agar tidak berlaku kacau-bilau kepada perjalanan alam akibat perlumbaan kehendak dan kuasa makhluk, pengurusan daripada Kuasa Mutlak adalah sesuatu yang wajib. Tuhan yang memiliki Kuasa Mutlak mentadbir perjalanan alam ini.
Dalam kehidupan manusia juga ada dasar pentadbiran. Manusia umum mengadakan usaha dan manusia tertentu membuat pentadbiran. Akibatnya ada usaha yang berhasil dan ada juga yang gagal. Walaupun konsep pentadbiran wujud dalam kehidupan manusia namun manusia tidak boleh menolak tindakan untuk berusaha. Begitu juga dengan konsep pentadbiran Tuhan. Walaupun Tuhan memiliki Kuasa Mutlak namun dasar usaha makhluk tidak boleh dinafikan. Tuhan mengajarkan manusia supaya beramal, berbuat yang baik, menjauhi yang jahat, tidak sengaja menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan dan lain-lain yang menunjukkan kepada perakuan dasar berusaha dan bertindak. Walaupun begitu manusia diperingatkan bahawa kemutlakan hanyalah hak Tuhan. Oleh yang demikian usaha tidak boleh dipisahkan daripada iman iaitu sabar, syukur, tawakal dan reda.
|
No comments:
Post a Comment