40. Umat Yang Diasuh Oleh nabi Muhammad s.a.w Para sahabat Rasulullah s.a.w boleh dibahagikan kepada tiga golongan. Pertama adalah mereka yang memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Kedua adalah mereka yang memeluk Islam selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Ke tiga adalah mereka yang memeluk Islam sesudah pembebasan Makkah. Al-Quran telah meletakkan ketentuan bahawa golongan pertamalah yang paling mulia, diikuti oleh golongan ke dua dan seterusnya golongan ke tiga. Berdasarkan kenyataan al-Quran itulah Abu Bakar as-Siddik berhujah dengan kaum Ansar berhubung dengan isu perlantikan pengganti Rasulullah s.a.w. Kaum Ansar memperakui memang demikianlah kenyataan al-Quran. Oleh yang demikian golongan pertamalah yang berhak memegang jawatan amir dan golongan kedua jawatan wazir. Di antara yang paling mulia dalam golongan pertama, maka Abu Bakar as-Siddik adalah yang paling mulia. Neraca keadilan Umar al-Khattab telah menunjukkan keutamaan Abu Bakar as-Siddik. Sekalian kaum Muslimin membenarkan pertimbangan Umar dan Abu Bakar as-Siddik dilantik menjadi khalifah umat Islam yang pertama.
Golongan pertama telah melalui jalan yang tidak dilalui oleh golongan-golongan yang lain. Mereka adalah yang pertama beriman kepada Rasulullah s.a.w. Mereka terpaksa membayar harga yang mahal demi agama mereka dan iman mereka. Hak asasi mereka dirampas oleh kaum Quraisy. Ketahanan iman mereka benar-benar diuji. Setelah mereka lulus ujian iman baharulah Allah s.w.t mengeluarkan mereka daripada Makkah untuk melakukan satu laku pekerjaan yang sangat mulia, yang tidak dilakukan oleh golongan yang lain. Mereka memperolehi fadilat hijrah.
Setelah hijrah golongan pertama ini menjadi seumpama air meresap ke dalam golongan kedua untuk memberi kehidupan kepada mereka. Golongan kedua yang telah bersatu dengan golongan pertama telah menjadi kuat, dan kedua-duanya menjadi tentera Allah, para mujahidin. Hasil daripada perjuangan mereka itulah muncul golongan ke tiga dan seterusnya berkembang hingga ke hari ini dan sampai ke hari kiamat.
Di dalam golongan ke tiga terdapat orang-orang yang satu ketika dahulu sangat-sangat memusuhi Rasulullah s.a.w, kaum Muslimin dan agama Islam. Dari kalangan mereka ada orang yang pernah menyiksa kaum Muslimin, malah ada yang pernah membunuh orang Islam. Perjuangan golongan pertama dan ke dua bukanlah untuk membalas dendam atau untuk mencari keuntungan diri. Mereka adalah tentera Allah yang berkewajipan membawa agama Allah kepada umat manusia. Mereka adalah golongan manusia yang dipilih khusus untuk memimpin umat manusia agar selamat daripada neraka.
Ada sebahagian cendikiawan yang datang kemudian tidak bersetuju dengan beberapa tindakan para Mujahidin itu. Mereka perlu memahami daya nilai kemanusiaan dan daya nilai Muslim. Manusia umum menggunakan bakat fitrah kemanusiaan dalam membuat penilaian. Fitrah kemanusiaan hanya berupaya menggunakan kekuatan akal fikiran sebagai sumber yang paling kuat. Fitrah Muslim pula tunduk menyerah kepada wahyu. Penyerahan kepada wahyu Tuhan dilakukan dengan iman, bukan dengan hujah dan takwil. Kaum Muslimin berkewajipan menundukkan fitrah asas kepada fitrah Muslim yang menyerah kepada berita yang datang dari Tuhan. Kaum Muslimin hendaklah tidak membuang perkataan Tuhan kerana melihat kepada hukum logik fitrah asas.
Golongan pertama dan kedua menerima dengan baik orang-orang yang telah memusuhi mereka, menindas mereka, berperang dengan mereka dan membunuh saudara-saudara mereka. Keadaan demikian boleh terjadi kerana sifat pemaaf yang kuat tertanam dalam jiwa kaum Muslimin yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w.
Umat yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w berpusat kepada dua perkara penting iaitu al-Quran dan masjid. Mereka menjadi umat yang belajar al-Quran, mengamalkan al-Quran dan menyebarkan al-Quran. Islam dan al-Quran bergandingan. Tidak dinamakan Islam tanpa al-Quran. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan mempelajari al-Quran secara membaca, menghafal dan mengamalkan. Mereka juga berkewajipan menyebarkan apa yang mereka pelajari dan amalkan. Sesiapa yang menerima agama Islam daripada Nabi Muhammad s.a.w melalui proses yang demikian. Setiap orang dibawa tunduk kepada perkataan Tuhan, bukan kepada fikiran, ilham atau kasyaf orang tertentu. Orang yang memiliki fikiran, ilham atau kasyaf berkewajipan mengharmonikan apa yang ada dengan mereka itu dengan perkataan Tuhan. Apa sahaja yang bercanggah dengan perkataan Tuhan mesti ditolak.
Masjid adalah tempat yang paling mulia bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w banyak menghabiskan waktu baginda s.a.w di dalam masjid. Baginda s.a.w bersembahyang di dalam masjid. Baginda s.a.w menerima tetamu di dalam masjid. Baginda s.a.w menyusun strategi peperangan di dalam masjid. Peraturan yang baginda s.a.w lakukan di salam masjid menjadi asas kepada perlantikan Abu Bakar sebagai pengganti baginda s.a.w, kerana Abu Bakar dipilih oleh baginda s.a.w menjadi imam sembahyang semasa ketiadaan baginda s.a.w. Orang yang menjadi ketua kaum Muslimin adalah imam bagi saf yang berjemaah di dalam masjid. Begitulah pentingnya institusi masjid yang kepada umat yang dididik oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Quran dan masjid menjadi dasar yang kukuh kepada umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi golongan yang mencintai jihad. Mereka adalah golongan yang telah menjualkan harta dan nyawa mereka kepada Tuhan. Kecintaan mereka adalah kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya. Tidak ada yang mereka cintai melebihi yang tiga itu.
Semangat jihad pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang tidak ada tolok bandingnya dapat dilihat pada peristiwa Perang Uhud. Dalam peperangan tersebut 70 orang tentera Muslimin gugur syahid. Setelah para syuhada tersebut dikebumikan Nabi Muhammad s.a.w membawa mereka yang masih hidup pulang ke Madinah. Kebanyakan daripada mengalami kecederaan yang serius. Abdul Rahman bin Auf mendapat luka 20 liang. Hanya satu malam sahaja mereka berkesempatan berehat dan merawat luka mereka. Keesokan paginya para petugas telah menyeru semua tentera Muslimin yang menghadiri Perang Uhud kelmarin keluar untuk mengejar tentera musyrikin yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Hanya mereka yang menyertai peperangan kelmarin sahaja yang dibenarkan ikut serta. Betapa iman mereka diuji begitu hebat sekali oleh Tuhan. Mereka menyahut seruan tersebut tanpa ragu-ragu dan membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang yang benar-benar menjualkan diri dan harta mereka kepada Allah s.w.t. Mereka keluar semula daripada Madinah mengejar musuh yang telah mengalahkan mereka kelmarin. Mereka sanggup berbuat demikian kerana iman. Mereka percaya kepada janji Allah s.w.t bahawa para syuhada sebenarnya tidak mati. Mereka terus memperolehi nikmat dan kurniaan Tuhan sekalipun mereka tinggal di dalam alam yang berbeza.
Selepas Perang Uhud, Jabir bin Abdullah duduk termenung mengenangkan ayahnya yang telah syahid, di antara 70 syuhada Uhud itu. Rasulullah s.a.w bertanyakan keadaannya dan dia menceritakan punca kesugulannya. Rasulullah s.a.w bersabda: "Kalau Tuhan hendak berbicara dengan seseorang hanyalah dari sebalik hijab tetapi ayahmu dihidupkan dan Tuhan bercakap dengannya berhadapan. Lalu Tuhan berfirman, ‘Wahai hamba-Ku! Sebutlah apa yang engkau ingini nescaya Aku beri'. Dia menjawab, ‘Pintaku hanya satu wahai Tuhanku. Hidupkan aku sekali lagi supaya aku mati terbunuh kali ke dua pada jalan-Mu'. Tuhan menjawab, ‘Telah tertulis bahawa orang yang mati tidak akan kembali lagi'. Maka berkata pula hamba yang memohon tadi, ‘Wahai Tuhanku! Jika demikian sampaikanlah kepada makhluk-Mu yang telah aku tinggalkan bahawa betapa bahagianya daku sekarang'". Rasulullah s.a.w bersabda: "Kawan-kawanmu yang syahid di Uhud itu, arwah mereka disimpan oleh Tuhan di dalam rongga burung hijau, terbang dan hinggap di sekitar sungai-sungai syurga, makan buah-buahannya dan hinggap pada kidil-kindil emas yang tergantung di bawah naungan Arasy. Setelah mereka merasai kelazatan makanan dan minuman dan sambutan yang amat baik atas mereka, berkatalah mereka, ‘Alangkah baiknya kalau kawan-kawan kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa yang diperbuat oleh Tuhan untuk menyambut kita ini. Siapakah agaknya yang kan menyampaikan kepada mereka di dunia bahawa kita ini hidup di dalam syurga dan tetap diberi rezeki, supaya mereka jangan enggan berjihad dan jangan takut berperang'. Tuhan menjawab, ‘Aku sendiri akan menyampaikannya'".
Para mujahidin bergerak ke medan perang dengan ucapan: "Cukuplah Allah bagi kami dan Dia jualah sebaik-baik Penjaga". Tekad mereka bulat. Keyakinan mereka penuh kepada kempimpinan Rasul Allah. Penyerahan mereka hanyalah kepada Allah s.w.t. Tugas mereka adalah menyebarkan apa yang Allah s.w.t sampaikan kepada Rasul-Nya. Mereka bekerja untuk menyelamatkan diri mereka, ahli mereka dan umat manusia umumnya daripada azab api neraka.
Pengikut Nabi Muhammad s.a.w hidup bersama-sama tiga perkara pokok iaitu al-Quran, masjid dan jihad. Jihad bukan sahaja mengangkat senjata. Dalam keadaan aman jihad mereka adalah memperkuatkan umat Islam secara rohani dan jasmani. Ahli ilmu memberi tumpuan kepada urusan mempelajari ilmu dan menyampaikannya kepada orang ramai. Dalam keadaan aman juga mereka berjihad merombak apa juga adat, kebudayaan dan peraturan yang tidak bersesuaian dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Apabila datang hukum Tuhan mengharamkan arak, maka dengan senang hati mereka melepaskan keinginan dan tabiat meminum arak. Begitu juga dengan lain-lain peraturan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Mereka menerima perintah Tuhan dengan penuh kerelaan, tidak berdolak-dalih atau berhujah dengan kekuatan akal mereka bagi tujuan mengabaikan perintah Tuhan.
Nabi Muhammad s.a.w mengajar umat baginda s.a.w supaya memelihara ketulinan, keaslian dan kemurnian Islam. Baginda s.a.w mahu umat baginda s.a.w membawa identiti sendiri yang mudah dikenal dan dibezakan daripada kaum lain. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan memelihara ibadat mereka, upacara keagamaan mereka, adat dalam masyarakat, kebudayaan dan sebagainya agar semua itu benar-benar bersih daripada pengaruh agama lain.
Kaum Muslimin diberi kesedaran bahawa kemasukan pengaruh agama atau adat lain walaupun dipandang kecil, akan membuka jalan kepada kemasukan pengaruh yang lebih besar. Mempertahankan ketulenan Islam merupakan jihad juga. Umat Islam seharusnya boleh berkata dan menunjukkan dengan pasti bahawa yang ini Islam dan yang itu bukan Islam. Seharusnya ada sempadan yang jelas di antara Islam dengan bukan Islam. Misalnya, bagi upacara perkahwinan, seharusnya dikenalpasti sempadan Islam, yang dibolehkan oleh Islam dan yang dilarang oleh Islam. Begitu juga bagi bidang-bidang perekonomian, politik pendidikan dan lain-lain. Apa juga yang datang dari luar yang boleh diterima oleh peraturan Islam hendaklah ‘diIslamkan' terlebih dahulu, seumpama kulit binatang halal yang hendak digunakan disamakkan terlebih dahulu. Pekerjaan ‘menyamakkan' segala ilmu, sistem, adat, kebudayaan, hukum dan lain-lain menjadi medan jihad yang sangat luas bagi cendikiawan Muslim. Setiap Muslim yang diberi kepakaran dalam sesuatu bidang sebenarnya diberi amanah oleh Tuhan supaya memelihara bidang yang menjadi kepakarannya itu agar berada dalam keadaan Islam. Kepentingan ekonomi, politik, kuasa atau sesuatu tidak seharusnya melunturkan warna Islam. Jihad cendikiawan Muslim dalam medan ini tidak akan habis sampai ke hari kiamat.
|
No comments:
Post a Comment