Kembali Menyaksikan Kewujudan Diri Sendiri | | Print | |
36. Kembali Menyaksikan Kewujudan Diri Sendiri Hakikat Insan dan Hakikat Muhammadiah adalah pengalaman kerohanian di dalam kefanaan, iaitu ketika hilang perhatian dan kesedaran terhadap diri sendiri. Dalam suasana tersebut si hamba tidak tahu siapakah dirinya. Dia hanyalah yang menyaksikan. Si hamba menyaksikan bahawa Insan Kamil adalah pertemuan di antara ketuhanan dan kehambaan. Pada Insan Kamil berkumpul pengetahuan tentang Tuhan dan pengetahuan tentang makhluk Tuhan. Insan Kamil mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih. Insan Kamil memperolehi maklumat Hakikat Muhammadiah secara lengkap dan sempurna. Insan Kamil yang memiliki ilmu dan makrifat yang sempurna. Insan Kamil yang mempunyai pengenalan yang sempurna tentang Tuhan. Insan Kamil juga mempunyai pengetahuan yang sempurna tentang apa yang Tuhan sampaikan kepada hamba-hamba-Nya. Insan Kamil juga mempunyai maklumat Hakikat Insan secara sempurna. Oleh kerana Hakikat Insan mengumpulkan maklumat yang lengkap tentang manusia dan alam makhluk sekaliannya, maka Insan Kamil mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang manusia dan alam makhluk sekaliannya. Seluruh alam semesta ‘terkandung' dalam Insan Kamil. Hati si hamba yang terbuka kepada suasana Hakikat Insan Kamil menyaksikan seluruh alam semesta berada dalam hatinya. Si hamba menyaksikan pengetahuan ketuhanan datang secara langsung kepada hatinya. Pembukaan kepada Hakikat Insan Kamil membuat hati si hamba menyaksikan alam semesta disempadani oleh dirinya dan pada masa yang sama dia menyaksikan ‘Allah' bersemayam dalam hatinya. Inilah peringkat yang paling tinggi bahayanya dalam semua peringkat pengalaman kerohanian. Ketuhanan dan kehambaan muncul pada hati yang sama, pada perasaan yang sama dan pada masa yang sama. Hanya kehambaan yang sentiasa membayanginya meneguhkan tapak kakinya berpijak pada jalan yang benar. Kehambaan pada peringkat ini sangat rapuh, mudah sahaja menjadi hancur lebur. Jika hal yang demikian terjadi hati si hamba tidak lagi melihat perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, dirinya dengan Tuhan. Keadaan seperti ini tidak muncul sewaktu menyaksikan Hakikat-hakikat yang lain termasuklah Hakikat Muhammadiah kerana pada ketika itu makhluk dan dirinya tidak ada dalam perhatian dan kesedarannya. Pada tahap mengalami suasana Hakikat Insan Kamil ini kesedaran dan perhatian kepada diri dan makhluk baharu sahaja muncul kembali, belum begitu kuat dan berpengaruh. Kesedaran dan perhatian tersebut baharu pada tahap seumpama bayang-bayang yang belum melekat benar pada hati. Hakikat Insan Kamil adalah umpama stesen bebas bagi hati. Ia boleh menjadi Tuhan dan hamba pada masa yang sama. Ia juga boleh menjadi nabi dan wali. Ia juga boleh menjadi malaikat. Jika seseorang yang baharu sahaja kembali sedikit kesedarannya terhadap kewujudan dirinya larut dalam Hakikat Insan Kamil, hatinya akan mengalami apa yang biasa disebut oleh orang sufi sebagai bersatu dengan Tuhan. Rasa bersatu dengan Tuhan berbeza daripada mengalami suasana keesaan yang berlaku pada stesen kedua belas dahulu. Pada ketika itu keesaan dialami dalam suasana tiada kesedaran terhadap diri sendiri. Si hamba hanya menyaksikan Allah s.w.t semata-mata, tidak pada dirinya dan makhluk lainnya. Dia hanya menyaksikan satu wujud iaitu wujud Allah s.w.t, wujud yang lain tidak ada dalam perhatiannya. Oleh yang demikian tidak timbul isu bersatu dengan Tuhan pada peringkat itu. Pada peringkat Hakikat Insan Kamil pula wujud Allah s.w.t dan wujud dirinya menyata dalam kesedarannya dan mungkin dia tidak dapat membezakan yang satu dengan yang lain. Dalam keadaan demikian dia mungkin menyaksikan Allah s.w.t sebagai Haq (Yang Hakiki) dan juga khalq (makhluk sebagai bayangan Yang Hakiki). Dia mungkin merasakan dirinya sebagai Tuhan dan hamba Tuhan, yang sama dalam aspek yang berbeza. Dia mungkin melihat sifat-sifat yang ada pada dirinya sebagai sifat Tuhan dan dia menjadi penzahir sifat Tuhan secara sempurna. Dia mungkin merasakan pada wujudnya yang satu bertemu Wujud Tuhan dengan wujud alam semesta. Dia mungkin menyaksikan seluruh alam semesta seumpama bola kecil terkandung di dalam hatinya. Dia mungkin melihat badannya sebagai Arasy, rohnya sebagai Roh Muhammad dan zatnya sebagai Zat Tuhan. Dia mungkin juga melihat ilmunya sebagai Ilmu Tuhan dan bakat dirinya sebagai malaikat. Bila dikuasai oleh rasa kelarutan dalam Hakikat Insan Kamil dia mungkin melihat dirinya berada pada satu falak di atas daripada falak yang ada makhluk yang lain. Malaikat, jin dan yang lain-lain mungkin dilihatnya berada di bawah daripada falak dirinya. Dia mungkin melihat bakat dirinya bergerak melalui makhluk yang lain. Jika dia berada dalam satu kumpulan pekerja dia mungkin melihat bakat dan daya upayanya berada pada setiap pekerja tersebut. Suasana hati yang bertembung dengan Hakikat Insan Kamil mungkin membuat seseorang melaungkan "Ana al-Haq!". Ucapan "Ana al-Haq" pada peringkat ini berbeza daripada ucapan Ana al-Haq pada peringkat stesen ke sebelas. Pada stesen ke sebelas dahulu si hamba semata-mata menjadi alat dan Tuhan Pengguna alat. Si hamba tidak melihat ucapan tersebut sebagai ucapannya. Dia menyaksikan Kalam Tuhan yang keluar daripadanya. Pada peringkat Hakikat Insan Kamil pula ucapan "Ana al-Haq" dilafazkan dalam keadaan ada kesedaran diri. Kesedaran tersebut membuatnya melihat ucapan itu sebagai ucapan Tuhan dan juga ucapan dirinya yang bersatu dengan Tuhan. Apa yang dia ucapkan itulah yang Tuhan ucapkan, dan apa yang Tuhan ucapkan itulah yang dia ucapkan. Beginilah keadaan yang berlaku kepada orang yang larut dalam Insan Kamil. Ramai orang menyangkakan Insan Kamil adalah penghabisan jalan. Mereka jadikan Insan Kamil sebagai makam mereka. Semua keturunan Adam a.s dinamakan manusia. Dalam bangsa manusia itu ada golongan yang sempurna dinamakan manusia yang sempurna. Dalam golongan manusia yang sempurna itu ada kumpulan yang menjadi Nabi dan Rasul. Bangsa manusia secara keseluruhannya dikuasai oleh Hakikat Insan. Golongan manusia yang sempurna itu pula dikuasai oleh Hakikat Insan Kamil. Dalam golongan manusia yang sempurna itu, yang menjadi nabi dan rasul dikuasai pula oleh Hakikat Muhammadiah. Hakikat-hakikat, termasuklah Insan Kamil, bukanlah makhluk yang ada dalam alam. Hakikat adalah urusan Tuhan. Insan Kamil adalah urusan Tuhan yang menguasai satu kumpulan manusia yang sempurna kehambaannya kepada Allah s.w.t. Insan Kamil yang asli, yang ada pada sisi Tuhan tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak menempati ruang dan zaman dan juga tidak bernama. Manusia-manusia sempurna yang muncul di atas muka bumi bolehlah dikatakan salinan lengkap kepada Insan Kamil yang asli. Manusia yang paling sempurna, menjadi salinan Insan Kamil yang paling sempurna menerima penguasaan sepenuhnya daripada Hakikat Muhammadiah dan beliau adalah Nabi Muhammad s.a.w. Manusia-manusia sempurna yang lain, walaupun sempurna tetapi kesempurnaan mereka tidak mencapai tahap kesempurnaan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tidak menerima penguasaan Hakikat Muhammadiah secara lengkap, selengkap Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu hanya Nabi Muhammad s.a.w sahaja yang bernama Muhammad, yang lain bernama Ibrahim, Musa, Isa, Nuh dan lain-lain. Manusia sempurna yang lain tidak mengaku diri mereka sebagai Muhammad walaupun mereka juga menerima maklumat daripada Hakikat Muhammadiah. Sejak Nabi Adam a.s sampailah kepada Nabi Isa a.s tidak ada seorang Nabi pun yang mengaku menjadi Muhammad. Kumpulan manusia yang sah kesempurnaan mereka tidak mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad. Jika ada orang yang mengaku menjadi Muhammad atau bersekutu dengan Muhammad, baik secara zahir atau secara batin, maka nyatalah mereka telah keliru dalam memahami hakikat. Salinan Insan Kamil yang paling sempurna dalam kumpulan Nabi-nabi adalah Nabi Muhammad s.a.w, penutup Kenabian. Salinan Insan Kamil yang sempurna dalam kumpulan wali-wali adalah Muhammad Imam Mahadi, penutup kewalian. Muhammad Imam Mahadi tinggal di dalam dunia dan menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Allah s.w.t. Bila tugas tersebut selesai beliau kembali ke rahmatullah. Pada ketika itu salinan Insan Kamil tidak akan muncul lagi ke dunia. Bila salinan Insan Kamil tidak ada lagi di dalam dunia maka tertutuplah ilmu ketuhanan. Tidak ada lagi manusia yang mengenal Allah s.w.t. Pada ketika itu berlakulah kiamat besar. Ada beberapa perkara lagi perlu diketahui berhubung dengan daerah Insan Kamil yang selalu diperkatakan apabila bercakap mengenainya. Insan Kamil dikatakan bersemayam di dalam Kaabatullah. Kaabatullah selalu disebut dalam memperkatakan tentang hakikat. Ada orang mengatakan dia bersembahyang menghadap Kaabatullah. Ada pula yang mengatakan dia bersembahyang di dalam Kaabatullah. Yang lain pula mengatakan dia sembahyang dengan ketiadaan Kaabatullah. Ada juga orang mengatakan dia menemui Rasulullah s.a.w di dalam Kaabatullah. Berbagai-bagai lagi keadaan Kaabatullah yang diceritakan orang dalam menggambarkan suasana hakikat. Kaabatullah yang dikatakan seperti cerita di atas merupakan suasana simbolik bagi menggambarkan keadaan hubungan hati dengan Allah s.w.t. Umat Islam bersembahyang menghadap Kaabatullah bukan bermakna mereka menyembah Kaabatullah dan bukan juga Allah s.w.t berada dalam Kaabatullah. Allah s.w.t memilih Kaabatullah sebagai tempat yang boleh dirasakan kehadiran-Nya dengan kuat. Jadi, Kaabatullah dihubungkan dengan Hadrat Ilahi. Berhadap ke Kaabatullah bermakna menghadap kepada Hadrat-Nya. Di dalam suasana hakikat, Kaabatullah menjadi misal bagi suasana ketuhanan. Bila dikatakan Insan Kami bersemayam di dalam Kaabatullah ia bermaksud Insan Kamil adalah suasana ketuhanan, berada dalam Ilmu Tuhan. Orang yang bersembahyang di dalam kesedaran melihat Kaabatullah berada di hadapannya. Orang yang di dalam zauk merasakan berada di dalam Kaabatullah. Orang yang baqa dengan Allah s.w.t tidak melihat kepada Kaabatullah. Orang yang ‘memasuki' Ilmu Allah, mengenali suasana Hakikat Muhammadiah dan mengambil ilmu daripada sumber tersebut, menggambarkannya sebagai berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di dalam Kaabatullah dan menerima pengajaran daripada baginda s.a.w. Pengalaman-pengalaman yang disebut di atas merupakan pengalaman dalam ‘misal kepada hakikat'. Penyaksian terhadap rupa, bentuk, cahaya dan warna adalah penyaksian kepada misal bagi hakikat-hakikat. Apa yang disaksikan itu menjadi cermin yang membalikkan kefahaman tentang hakikat yang tidak boleh disaksikan. Rasulullah s.a.w melihat pada malam Israk dan Mikraj, bentuk misal kesenangan dan kemewahan dunia sebagai perempuan cantik dan umur dunia yang sudah lanjut sebagai perempuan tua. Kedua-duanya menceritakan tentang hakikat dunia tetapi berlainan rupa bagi menceritakan maksud yang berbeza. Hakikat boleh diibaratkan sebagai cahaya dan cermin sebagai Alam Misal. Jika benda nyata diletakkan di hadapan cermin dan cahaya dipancarkan kepadanya, akan kelihatanlah gambaran benda nyata itu di dalam cermin. Gambaran yang kelihatan di dalam cermin itu menyatakan bahawa pada benda nyata itu ada pancaran cahaya. Cahaya disaksikan dalam bentuk benda-benda nyata. Bentuk benda-benda nyata itu menjadi misal kepada cahaya, menceritakan bahawa di sana ada kehadiran cahaya. Tetapi benda nyata dan gambaran benda nyata yang kelihatan atau bentuk misal itu bukanlah cahaya. Cahaya tetap dalam keadaan aslinya yang tidak ada rupa dan warna. Ada orang yang tidak membezakan bentuk misal dengan cahaya yang asli. Orang yang tidak membezakan bentuk misal dengan hakikat kepada yang dimisalkan itu memahamkan hakikat ketuhanan mempunyai wajah-wajah tertentu. Hakikat Insan Kamil adalah umpama cahaya yang hening. Hati insan umpama cermin yang jernih. Orang yang memandang ke dalam cermin hatinya bersuluhkan cahaya Hakikat Insan Kamil akan menyaksikan wajahnya sendiri di dalam cermin itu, lalu dia menyangkakan bahawa itulah wajah Insan Kamil yang asli, dan itu jugalah wajah Tuhan yang tidak dibezakan dengan Insan Kamil. Jika orang Hindu menyembah tuhan dalam rupa monyet orang tadi menyembah Tuhan dalam rupa dirinya sendiri. Lama-lama orang Hindu menyembah monyet, tidak lagi menyembah Tuhan. Lama-lama orang tadi menyembah dirinya, tidak lagi menyembah Tuhan. Inilah yang selalu terjadi kepada orang yang berjalan kepada hakikat tanpa membawa syariat. Orang yang berjalan pada jalan kerohanian perlu melepasi bentuk-bentuk misal. Lepaskan apa juga yang sampai kepada penyaksian. Nafikan dengan kalimah "La ilaha illa Llah". Orang yang berjaya melepasi bentuk-bentuk misal tersebut akan sampai kepada Penyaksian Hakiki, iaitu menyaksikan tanpa rupa, bentuk, cahaya, warna dan wajah. Pada Penyaksian Hakiki juga tidak ada suara, tidak ada huruf. Penyaksian berlaku kepada mata keyakinan. Si hamba yang menyaksikan dengan mata keyakinan mengucapkan: "Sesungguhnya hatiku tidak berasa syak lagi bahawa Engkau yang daku pandang tanpa rupa, tanpa bentuk, tanpa cahaya, tanpa warna, tanpa suara dan tanpa huruf". Itulah keadaan memandang dengan tiada sesuatu yang dipandang, tahu tanpa sesuatu pengetahuan dan kenal tanpa sesuatu pengenalan. Penyaksian akal dinamakan ilmul yaqin. Penyaksian mata hati dinamakan ainul yaqin. Penyaksian mata keyakinan dinamakan haqqul yaqin. Haqqul yaqin meruntuhkan segala pengetahuan dan penyaksian kerana sesungguhnya Tuhan adalah: Tiada sesuatu yang serupa dengan-NyaKeyakinan terhadap Allah s.w.t adalah: Dan Dia Mendengar dan Melihat Jika seseorang mahu cepat sampai ke matlamat hendaklah bersegera melepaskan bentuk-bentuk misal yang sampai kepada penyaksiannya. Berpindahlah kepada Penyaksian Hakiki. Tanda seseorang sudah memiliki Penyaksian Hakiki adalah dia dapat melihat hakikat ketuhanan pada dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang. Nama, rupa, bentuk, cahaya dan warna tidak menghijab pandangannya untuk menyaksikan hakikat atau Rububiah. Makrifat tentang nama-nama Tuhan penting bagi memperolehi Penyaksian Hakiki. Jika Yang Menghidupkan tidak menghijab Yang Mematikan, Yang Menaikkan tidak menghijab Yang Menjatuhkan, Yang Memberi tidak menghijab Yang Menahan, Yang Awal tidak menghijab Yang Akhir, Yang Zahir tidak menghijab Yang Batin, maka yang disaksikan pada setiap masa dan dalam semua suasana adalah Yang Maha Esa. Apabila mata ilmu dan mata hati tidak menutup mata keyakinan maka yang disaksikan adalah Yang Haq! Tidak semua orang yang memasuki daerah Hakikat Insan Kamil akan terdorong kepada suasana bersatu dengan Tuhan. Si hamba yang telah mengalami suasana kehadiran kenabian dan mengalami pula suasana keesaan Tuhan akan sentiasa dibayangi oleh rasa kehambaan kepada Tuhan. Pertembungan dengan Hakikat Insan Kamil tidak menyebabkan berlakunya perlarutan. Suasana Hakikat Insan Kamil dialaminya sebagaimana mengalami suasana Hadrat kenabian dan Hadrat ketuhanan. Si hamba tidak mengalami suasana menjadi Insan Kamil atau menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Insan Kamil merupakan salah satu Hadrat yang dialaminya dan melalui pengalaman tersebut dia mengerti maksud Insan Kamil. Orang yang berjalan pada jalan kehambaan akan menetap sebagai hamba, tidak berubah menjadi Adam atau Muhammad atau Insan Kamil atau Tuhan. Sepanjang perjalanan dia berada dalam suasana dia yang menyaksikan dan melalui penyaksian tersebut dia memperolehi pengetahuan dan pengenalan (ilmu dan makrifat) tanpa melepaskan pandangan kepada "Allah Yang Maha Esa" dan "Tiada sesuatu serupa dengan-Nya". Melalui jalan kehambaan kehadiran kenabian, kehadiran Hakikat-hakikat Insan, Muhammadiah dan Insan Kamil dan juga kehadiran Tuhan berperanan sebagai Pembimbing. ‘Pertemuan' dengan Hadrat-Hadrat tersebut memperkuatkan Petunjuk Ghaib dalam dirinya. Juru-bicara dalam dirinya sentiasa memberi peringatan. Dia diperingatkan agar berjalan terus, jangan berhenti walaupun dilambai oleh syurga atau dihalang oleh neraka, walaupun dibukakan suasana Hakikat-hakikat. Semua itu untuk diketahui dan untuk dikenal, bukan tempat untuk bermakam. Dalam suasana Hakikat Insan Kamil, seseorang biasa berjumpa dengan hakikat maut iaitu mengalami suasana Izrail. Boleh juga dikatakan jika seseorang itu tidak mengalami suasana Izrail dia tidak memasuki daerah Insan Kamil dengan sepenuhnya. Dia mungkin berjalan di bawah bayangan daerah itu sahaja. Manusia biasa naik ke langit melalui jalan biasa yang dilalui oleh semua orang, iaitu jalan mati. Orang yang memasuki daerah Hakikat Insan Kamil juga mengalami kematian, tetapi bukan kematian tubuh badan. Kematian yang berlaku di sana adalah kematian secara kebatinan, iaitu merasai kehadiran Maut. Dia mungkin merasai suasana kematian beberapa kali pada alam kebatinannya. Pengalaman yang demikian membuka tutupan pada hati. Pada stesen kerohanian yang ke lapan si hamba telah menghadapkan dirinya kepada maut. Pada ketika itu dia menuju kepada pengecilan kesedaran terhadap diri sendiri. Ia menjadi lonjakan untuk mencapai stesen yang berikutnya. Tetapi pengalaman tersebut tidak banyak memberi pengertian kepada dirinya. Dalam daerah Hakikat Insan Kamil pula si hamba sedang menuju ke arah pembesaran kesedaran terhadap diri sendiri. Oleh itu setiap pengalaman menarik perhatiannya. kehadiran Maut pada daerah Insan Kamil memperjelaskan pengalaman pada stesen ke lapan dahulu. Dalam daerah Insan Kamil ini si hamba merasakan sangat hampir dengan Maut. Biasa terjadi pada peringkat ini dia mendapat firasat mengenai kematian orang-orang tertentu dan kemudiannya ternyata firasat tersebut adalah benar. Keadaan ini bersifat sementara sahaja. Apabila dia meninggalkan daerah Insan Kamil dia keluar juga daripada Hadrat Maut itu dan firasat tentang kematian tidak ada lagi. Apabila Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil bertemu pada satu daerah, pada satu hati, suasana kehambaan akan menetap dan terhindarlah suasana ketuhanan. Hadrat Maut memperlihatkan kedaifan, kehinaan dan kejahilan si hamba. Hadrat Insan Kamil memperlihatkan kekuasaan, kemuliaan dan kebijaksanaan Tuhan. Orang yang benar-benar menyaksikan keagungan Tuhan adalah orang yang sedang menghadapi sakratul maut. Keadaan ini samalah seperti keadaan orang yang menerima wang satu juta dan pada masa yang sama dia mengetahui bahawa dia menghidapi penyakit kanser yang akan membawanya kepada maut. Begitulah umpamanya keadaan hati yang merasai Hadrat Maut dan Hadrat Insan Kamil pada satu masa. Dia diperlihatkan kekerdilan dirinya sebagai hamba Tuhan dan keagungan Allah s.w.t sebagai Tuhan. Bertambah kuatlah rasa kehambaan pada dirinya. Jadi, Hadrat Insan Kamil yang menyebabkan sebahagian orang mengalami suasana bersatu dengan Tuhan boleh juga menambahkan rasa kehambaan. Si hamba yang bertambah rasa kekerdilan diri dan kehambaannya kepada Tuhan bermunajat kepada Tuhan dengan penuh tawaduk: "Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada sesuatu bersekutu dengan-Mu. Daku hanyalah hamba-Mu yang lemah, hina dan jahil. Di hadapan Wajah-Mu Yang Maha Mulia dan Maha Suci daku menyaksikan betapa lemah, hina dan jahilnya diriku. Engkau perlihatkan pakaian keindahan-Mu. Bukan Engkau memerlukan pakaian dan bukan juga Engkau menghijab Diri-Mu, tetapi jika tidak kerana pakaian keindahan-Mu nescaya hancur leburlah segala kewujudan yang menghadap kepada keagungan-Mu. Pakaian keindahan itu bukan menutupi Diri-Mu, kerana Engkau Maha Esa, mana mungkin ditutupi oleh sesuatu. Wujud kami jua yang Engkau selimuti dengan kelembutan pakaian keindahan-Mu, agar kami dapat bertetangga dengan kebesaran, kemuliaan, keperkasaan dan keagungan-Mu. Engkau berbuat demikian demi rahmat dan kasihan belas-Mu kepada kami. Engkau memiliki satu pakaian yang Engkau pakai bila menyamar. Di dalam penyamaran-Mu berdatanganlah penyanggahan, kerana Engkau tidak dikenal dalam penyamaran-Mu. Kekasih akan menunjukkan kebencian. Sahabat akan menunjukkan permusuhan. Seteru akan mempergiatkan fitnah. Besarlah huru-hara terjadi apabila Engkau menyamar. Ilahi! Daku bermohon kepada-Mu. Selamatkanlah daku daripada pengingkaran tatkala menerima kedatangan-Mu dalam penyamaran. Jadikan daku sentiasa mengenali-Mu ketika menyamar dan ketika menyata. Engkau Maha Cinta. Engkau mencintai agar Diri-Mu dikenali. Lalu Engkau perkenalkan Diri-Mu melalui nama-nama-Mu. Nama dan zat nama sendiri tidak berupaya mendatangkan kesan. Hanya Engkau, Zat yang memiliki segala kekuasaan dan kekuatan. Semuanya menumpang kekuasaan dan kekuatan Zat Diri-Mu Yang Maha Esa, Maha Tinggi. Sekaliannya menyaksikan bahawa: ‘Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala sesuatu' ". Kesedaran si hamba kepada kewujudan dirinya dan makhluk lainnya semakin bertambah. Banyak perkara telah disaksikannya, diketahui dan dikenalinya namun kesedaran yang kembali kepadanya belum cukup kuat buat dia mengenali dirinya. Si hamba berhadap kepada Hadrat Tuhannya dan bermunajat: "Ilahi Rabbi! Engkau perlihatkan kepadaku jalan kenabian, jalan asma' dan jalan Insan Kamil. Daku melihat sekaliannya namun daku tidak melihat diriku di atas mana-mana jalan. Ilahi Rabbi! Siapakah pula aku ini?" Juru-bicara dari dalam dirinya menyampaikan perutusan: "Tuhan berkehendak engkau berdiri di hadapan-Nya bukan untuk bertutur-kata, bukan untuk mendengar pertuturan-Nya, bukan untuk mengajukan pertanyaan, bukan juga untuk meminta pengetahuan, tetapi hanyalah berdiri tegak semata-mata demi untuk-Nya. Baharulah engkau benar-benar mengenali Keagungan-Nya. Jangan engkau mendahului-Nya. Bila Dia berkehendak mengucapkan tutur kata Dia akan mengucapkan tutur kata-Nya. Bila Dia berkehendak memberikan kefahaman akan ditanamkan kefahaman ke dalam hatimu. Sebelum itu berdiri tegak di dalam makammu yang rendah itu!" Si hamba berdiri tegak. Maksud berdiri tegak adalah hati menghadap kepada Allah s.w.t secara keseluruhannya, tidak condong ke kanan atau ke kiri. Ingatan dan penghayatan hanya kepada Allah s.w.t. Suasana demikian biasa dipanggil makam alif tanpa baris. Alif yang tidak berbaris tidak bergerak dan tidak bersuara. Makam alif berdiri tegak biasa diperkatakan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai ahli hakikat. Mereka meletakkan baris-baris pada alif, maka jadilah alif baris di atas, alif baris di bawah dan alif baris di hadapan. Bila sudah diletakkan baris alif sudah boleh bersuara. Suara alif adalah ‘a', ‘i' dan ‘u'. Bagi mereka a, i dan u merupakan tahap makrifat yang sangat tinggi. Berbagai-bagai ilmu dibentuk berdasarkan a, i dan u itu. Oleh kerana mereka berpegang kepada alif yang berbaris, maka mereka hanya boleh mengeluarkan bunyi, tidak boleh mengeluarkan perbuatan. Golongan ini hanya bercakap tentang iman dan tauhid tetapi tidak melakukan amalan Islam. Bagi mereka puncak makrifat yang mereka temui itu tidak memerlukan mereka beramal. Inilah golongan yang sesat dalam istilah. Apa yang berlaku dalam perjalanan kerohanian berbeza daripada jalan yang meletakkan baris kepada alif. Makam alif berdiri tegak adalah penjelasan kepada stesen kerohanian yang ke sebelas. Pada makam ini si hamba berdiri dengan penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t, tidak ada kehendak, tidak ada permintaan dan tidak ada apa-apa melainkan menyerah kepada Allah s.w.t semata-mata. Penyerahan pada peringkat ini lebih sukar daripada penyerahan pada stesen ke sebelas dahulu. Ketika itu kesedaran dan perhatian terhadap diri sendiri tidak ada, lalu penyerahan berlaku secara spontan. Pada peringkat alif berdiri tegak, kesedaran dan perhatian kepada diri sendiri sudah mula tumbuh. Sebelum kesedaran dan perhatian terhadap diri sendiri itu menawan hati, si hamba diperintahkan supaya berdiri tegak seumpama alif, menundukkan kesedaran dan perhatiannya secara menyeluruh di bawah kekuasaan dan pengawasan penyerahan kepada Allah s.w.t. Berbuat demikian di dalam kesedaran sangatlah sukar. Pada ketika itulah si hamba teringatkan Insan Kamil dan berharap Insan Kamil membantunya. Bila timbul sahaja ingatan dan perhatian kepada Insan Kamil terhijablah ingatan, perhatian dan pandangannya daripada Tuhannya. Juru-bicara dari dalam dirinya dengan segera menegurnya: "Tuhan berkata: ‘Bagaimana engkau mahu masuk ke dalam majlis-Ku sedangkan engkau masih menggantungkan harapan kepada selain-Ku dan engkau masih inginkan yang selain-Ku!" Teguran tersebut sangat memeranjatkan si hamba. Tuhan tidak mahu ada di antara-Nya dengan hamba-Nya sesuatu yang lain, walaupun sesuatu yang lain itu adalah Insan Kamil atau Qutubul Aqtab atau Wali Qutub atau apa sahaja. Si hamba dengan penuh tawadhuk menyeru Tuhannya: "Wahai Pelindung diriku. Tunjukkan daku jalan yang lurus. Arahkan diriku dengan Diri-Mu untuk menatap Wajah-Mu". Si hamba kembali berdiri tegak dengan Allah s.w.t dan untuk Allah s.w.t. Alif berdiri tegak di hadapan Hadrat Allah s.w.t. Allah s.w.t hadapkan Nur-Nya kepada alif. Alif hancur lebur seperti hancurnya Gunung Thursina. Alif yang hancur tidak akan wujud lagi, tidak akan ada alif yang berbaris. Alif hilang, yang ada hanyalah Nur. Nur di mana-mana, tidak ada alif, tidak ada baris dan tidak ada sesiapa pun. Pada tahap ini ‘aku' si hamba itu juga tidak ada. Hanya Dia yang ada dan hanya Dia yang mengenali Diri-Nya, tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya. Suasana pada tahap ini menjadi penjelasan kepada suasana kerohanian pada stesen ke dua belas. Nur menghadap kepada Zat Yang Maha Agung. Lemah longlai nur di hadapan kemaha-agungan Zat. Nur berhadapan dengan Wahdaniatik Zat yang Qiamuhu Binafsih. Zat Berdiri Dengan Sendiri, cukup lengkap sendiri-Nya, tidak memerlukan nur untuk menerangi Diri-Nya. Fanalah nur, maka nyatalah Ghaibul Ghuyub Zat. Zat menerangi Zat oleh Zat dengan Zat. Zat dalam keesaan-Nya serba cukup. Zat Melihat sendiri-Nya, Mendengar sendiri-Nya, Berpengetahuan sendiri-Nya, Berkata-kata sendiri-Nya, Hidup sendiri-Nya, Berkehendak sendiri-Nya dan Berkuasa sendiri-Nya. Zat tidak memerlukan sifat tambahan untuk muslihat Diri-Nya. Sifat yang boleh diletakkan pada Zat adalah "Melampaui segala penyifatan" dan "Tiada sesuatu serupa dengan-Nya". Bagi-Nya Wajah tanpa rupa, Mata tanpa kelopak, Ucap tanpa suara, Ilmu tanpa halaman, Dekat tanpa mana dan Jauh tanpa hingga. Semua ini memperjelaskan stesen kerohanian yang ke tiga belas. Zat Maha Mencintai Diri-Nya. Dia Menyaksikan Diri-Nya bersama kesempurnaan sifat Diri-Nya. Dia memperakukan bahawa: Sesungguhnya Aku adalah Allah!Dia sendiri menamakan Diri-Nya ALLAH. Demi Cinta-Nya kepada Diri-Nya Dia menetapkan: Tiada Tuhan melainkan Aku!Dia telah menentukan bahawa Dia adalah Tuhan dan tidak akan ada Tuhan yang selain-Nya. Selanjutnya Dia mengadakan ketentuan Siratalmustaqim (Jalan yang lurus), yang pada jalan hakikat dinamakan Khutbah Makrifat. Khutbah Makrifat yang pertama adalah: Muhammad Rasul Allah! Bagi mengwujudkan Muhammad Rasul Allah, Dia mengadakan urusan-Nya yang dikenali sebagai Hakikat Muhammadiah iaitu pemangkin atau hijab ketuhanan yang membolehkan Muhammad diciptakan. Berasaskan kepada penciptaan Muhammad itulah sekalian makhluk diciptakan. Dia tidak akan menciptakan makhluk jika Dia tidak berkehendak menciptakan kekasih-Nya, Muhammad. Pada urusan-Nya yang dipanggil Hakikat Muhammadiah itu diletakkan-Nya maklumat atau penyaksian yang melengkapkan Khutbah Makrifat: Tiada Tuhan melainkan Allah! Sejak Allah s.w.t mengadakan urusan-Nya yang bernama Hakikat Muhammadiah, Dia telah menetapkan bahawa "Muhammad Rasul Allah" sebelum lagi makhluk diciptakan, sebelum alam diciptakan. Oleh itu setelah Dia menciptakan makhluk, maka sekalian makhluk wajib memperakui bahawa "Muhammad Rasul Allah" walaupun Muhammad yang bertubuh badan belum diciptakan. Nabi-nabi dan rasul-rasul sejak Nabi Adam a.s bersaksikan bahawa "Muhammad Rasul Allah" walaupun mereka datang ke dunia lebih dahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w, kerana mereka menerima maklumat daripada Hakikat Muhammadiah yang padanya ada kenyataan "Muhammad Rasul Allah". Tujuan Allah s.w.t mengadakan Urusan-Nya (Hakikat Muhammadiah) itu adalah untuk menyatakan bahawa "Tiada Tuhan melainkan Allah." Apabila Allah s.w.t ‘menanamkan benih' "Tiada Tuhan melainkan Allah" pada Hakikat Muhammadiah, maka kemunculan makhluk yang ‘bersumberkan' Hakikat Muhammadiah itu tidak mempunyai kekuatan untuk melahirkan Tuhan yang lain daripada-Nya. Sekali-kali tidak mungkin akan ada Tuhan yang selain Allah s.w.t. Termetrailah kedudukan-Nya sebagai Zat al-Haq, Yang Mutlak dan Ghaibul Ghuyub, terpelihara keagungan-Nya daripada dijangkau oleh sesuatu yang lain daripada Diri-Nya. Semua kewujudan dibina di atas tapak tauhid. Hakikat Muhammadiah menerima amanah tauhid dan berkewajipan menanggung dan menyebarkannya sebagai Rasul Allah yang menjadi rahmat ke seluruh alam. Hakikat Muhammadiah sebagai Urusan Allah s.w.t dipanggil Nur Allah. Pada Hakikat Muhammadiah dibekalkan maklumat yang lengkap tentang makhluk yang akan Allah s.w.t ciptakan. Dalam aspek ini Hakikat Muhammadiah dipanggil Hakikat Insan atau Hakikat Alam. Ia dipanggil juga Nur Muhammad. Sebab itu biasa dikatakan sekalian makhluk diciptakan daripada Nur Muhammad. Ia membawa maksud segala kejadian diciptakan menurut apa yang ada pada ketentuan Allah s.w.t, pada suasana hakikat yang dipanggil Nur Muhammad atau Hakikat Insan. Wajah atau aspek Hakikat Muhammadiah yang menghala kepada Allah s.w.t, yang menjadi hijab ketuhanan, dinamakan Nur Allah. Wajah atau aspek Hakikat Muhammadiah yang menghala kepada penciptaan makhluk, termasuklah penciptaan Nabi Muhammad s.a.w, dinamakan Nur Muhammad. Pada Hakikat Muhammadiah dibekalkan pengetahuan dan pengenalan yang lengkap tentang Tuhan. Pada Hakikat Muhammadiah juga dibekalkan maklumat yang lengkap tentang pengabdian kepada Tuhan. Dalam wajah atau aspek ini Hakikat Muhammadiah dikenali sebagai Insan Kamil. Insan Kamil yang mengenali Tuhan dengan sempurna dan mengetahui cara mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sempurna. Apabila Insan Kamil menghala kepada manusia-manusia yang sempurna yang ada di bumi, yang mengetahui dan mengenal Tuhan dengan sempurna dan juga mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sempurna, Insan Kamil dikenali sebagai Hakikat Abdul Rab (hakikat hamba Tuhan). Kesempurnaan ilmu, makrifat dan pengabdian kepada Tuhan yang paling tinggi dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, kekasih-Nya dan hamba-Nya. Setingkat di bawah kedudukan Rasulullah s.a.w adalah golongan nabi-nabi. Di bawah daripada golongan Nabi-nabi adalah golongan wali-wali, siddiqin dan orang-orang salih. Mereka adalah kumpulan manusia yang berhakikatkan Hakikat Abdul Rab. Ketua agung bagi sekalian Abdul Rab adalah Nabi Muhammad s.a.w dan baginda s.a.w dikenali sebagai Abdul Allah (Hamba Allah). Manusia sempurna yang lain berhakikatkan Nama-nama Tuhan yang selain Nama Allah. Mereka berkedudukan sebagai Abdul Malik, Abdul Rahman, Abdul Latif, Abdul Karim dan sebagainya. Setiap Abdul Rab akan mempamerkan hakikat ketuhanan yang menguasainya. Pada Hakikat Abdul Rab (hakikat hamba Tuhan) diletakkan penyaksian Khutbah Makrifat: Tiada Tuhan melainkan Allah. Muhammad Rasul Allah. Hakikat kehambaan ditemui dalam Hakikat Muhammadiah. Apabila si hamba menemui hakikat kehambaan yang menguasainya, maka terbentuklah perakuan, perhatian dan kesedaran yang teguh tentang kewujudan yang Tuhan kurniakan kepadanya. Kesedaran pada peringkat ini adalah kesedaran dalam Ilmu. Si hamba menyaksikan hakikat dirinya dalam Ilmu Allah s.w.t. Dalam Ilmu Allah, si hamba melihat hakikat dirinya sebagai Abdul Rab yang dipersiapkan untuk menjadi hamba-Nya. Dalam suasana Ilmu Allah s.w.t itulah si hamba menyaksikan Kudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama', Bashar dan Kalam Tuhan. Perhatian kepada sifat-sifat Tuhan menyedarkan si hamba tentang pergantungannya kepada sifat-sifat tersebut. Dia menumpang sifat-sifat Tuhan dan kerana itu dia kembali menyedari sifat-sifat atau bakat-bakat yang ada dengan dirinya, iaitu berkuasa, berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar, melihat dan berkata-kata. Si hamba menyaksikan semua bakat-bakat tersebut sebagai medan kehambaannya kepada Tuhan. Orang yang telah meletakkan baris pada alif hanya melihat bakat berkata-kata, lantaran itu mereka hanya bercakap tentang iman, tauhid dan makrifat tanpa beramal. Si hamba yang menemui kembali bakat dirinya setelah memperolehi kesedaran Abdul Rab, bukan hanya bercakap tetapi juga melaksanakan amal yang menunjukkan kehambaan kepada Tuhan. Inilah perbezaan besar di antara jalan yang menetap dalam kehambaan dengan jalan yang membuang kehambaan. HAKIKAT ABDUL RAB Jalan Hakikat Abdul Rab (hamba Tuhan) jarang ditemui kerana kebanyakan manusia mencari Insan Kamil. Mereka menyangkakan menjadi Insan Kamil merupakan kemuncak pencapaian. Mereka tidak tahu bahawa menjadi Hamba Tuhan itulah kesempurnaan jalan. Orang yang benar dengan Allah s.w.t ‘menemui' Insan Kamil untuk dibawa kepada jalan Hamba Tuhan. Insan Kamil berperanan membuka jalan kehambaan kerana Insan Kamil mempunyai ilmu yang sempurna tentang Allah s.w.t dan pengabdian kepada-Nya. Salinan Insan Kamil yang paling sempurna, Nabi Muhammad s.a.w, membawa sahabat-sahabat baginda s.a.w ke jalan menghambakan diri kepada Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Mereka tidak mengejar makam-makam dan martabat dan tidak juga mengejar kekeramatan. Makam yang mereka tuntut ialah makam hamba Tuhan. Martabat yang mereka cari adalah ketakwaan kepada Tuhan. Kekeramatan yang mereka kejar adalah berjihad pada jalan Tuhan. Si hamba bergerak jauh daripada daerah Insan Kamil. Pengetahuan dan pengenalan yang diperolehinya daripada ‘pertemuan' dengan Insan Kamil itu sangat berguna bagi memperkuatkan kehambaannya. Berbekalkan pengetahuan dan pengenalan tersebut dia meneruskan perjalanannya bagi mencari kedudukannya sebagai seorang hamba Tuhan. Pada tahap ini kesedaran kemanusiaannya belum kembali sepenuhnya. Dia masih lagi dikuasai oleh kesedaran dalam Ilmu. Kemudian si hamba mendengar Juru-bicara dari dalam dirinya membacakan: Masuklah engkau (Abdul Rab) ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah engkau ke dalam syurga-Ku. ( Ayat 30 : Surah al-Fajr ) Ketika menaik, pada stesen ke sembilan, si hamba mendengar bacaan di atas sebagai ujian. Pada peringkat kesedaran di dalam Ilmu ini pula ayat tersebut merupakan perintah. Dia diperintahkan keluar daripada kesedaran Ilmu dan masuk sepenuhnya ke dalam kesedaran kemanusiaan. Syurga adalah barzakh atau sempadan atau pun suasana peralihan di antara kesedaran Ilmu dengan kesedaran kemanusiaan, kesedaran hakikat dengan kesedaran insan, suasana Pemerintah dengan suasana yang diperintah. Jasad Adam a.s diciptakan di dalam syurga dan di dalam syurga juga ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t. Di dalam syurga wujud yang diperintah menerima bakat dan keupayaan daripada wujud yang memerintah. Anasir jasad dicantumkan dengan anasir rohani di dalam syurga kerana satu tujuan: Sesungguhnya Aku hendak ciptakan khalifah di bumi. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah ) Roh yang membawa bakat kekhalifahan berjumpa dengan jasad yang menyatakan bakat kekhalifahan itu. Pertemuan itu berlaku di dalam syurga. Pada peringkat ini si hamba yang di dalam kesedaran Ilmu itu menyaksikan jalan penurunan ke Alam Arwah, daripada kesedaran Ilmu kepada kesedaran rohani. Sebelum keluar daripada kesedaran Ilmu si hamba diberi kekuatan untuk menghadapi dunia yang akan menjadi tempat menetapnya nanti sehingga ke akhir hayatnya. Si hamba tidak perlu takut kepada kehuru-haraan dunia kerana dengan izin Allah s.w.t kekuasaan dunia telah dicabut daripadanya sewaktu dia melalui proses menaik dahulu melalui suasana: Matilah kamu sebelum kamu mati. ( Maksud Hadis ) Kesedaran terhadap hakikat ketuhanan iaitu Hakikat Abdul Rab, yang menguasainya memberinya kekuatan untuk menghadapi apa yang selain Tuhan. Hamba yang kembali ‘bersama' Hakikat Abdul Rab merasakan dirinya yang lama sudah ‘kiamat' dan diri yang baharu bergerak menurut kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Tuhan menceritakan suasana sesudah kiamat: Pada hari yang akan digantikan bumi ini dengan bumi lain dan semua langit juga. Dan akan tampil mereka ke hadapan Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa. ( Ayat 48 : Surah Ibrahim ) Hamba yang menyaksikan penguasaan ketuhanan terhadap dirinya kembali kepada kesedaran rohani dalam keadaan seolah-olah telah berlaku kiamat dan segala sesuatu diheret ke hadapan Allah, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Tidak akan ada sesuatu yang keluar daripada kekuasaan dan keperkasaan Tuhan. Ketika di dalam kesedaran rohani itu si hamba mendapat pengetahuan yang jelas bahawa kesempurnaan jalan bagi kehidupan di bumi adalah gabungan jalan kenabian dan jalan asma'. Jalan kenabian adalah syariat, iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat ) Jalan Asma' adalah menyaksikan Rububiah atau hakikat ketuhanan atau pun urusan Tuhan, pada setiap masa dan dalam semua suasana. Apa sahaja yang melata ubun-ubunnya adalah dalam genggaman Tuhannya. Dan Tuhanku berada di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud ) Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melimpar ketika kamu melimpar tetapi Allah yang melimpar, kerana Dia mahu memberi kemenangan kepada orang-orang yang beriman dari (jihad) itu satu nikmat yang baik. Sesungguhnya Allah Mendengar, Melihat. ( Ayat 17 : Surah al-Anfal ) Kesempurnaan jalan yang menggabungkan kedua-dua jalan tersebut, iaitu bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah s.w.t dan tidak lalai daripada mengingati serta memperhatikan sesuatu tentang-Nya pada setiap waktu dan semua suasana. Dalam kesedaran rohani si hamba menyaksikan: Ya Allah! Engkau adalah Tuhan dan daku adalah hamba-Mu. Ketika di dalam kesedaran rohani itu juga si hamba memperakui kewujudannya yang berjasad. Gabungan rohani dan jasad si hamba menyaksikan: Aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Muhammad adalah Rasul Allah.Itulah penyaksian seorang insan yang menanggung amanah: 1: Rukun Islam. 2: Rukun Iman. 3: Rukun Ihsan Kepada para insan yang berpegang teguh dengan amanah tersebut dibacakan ayat penetapan: Ingatlah! Bahawa sesungguhnya aulia Allah itu tidak mereka takut dan tidak mereka berdukacita. Mereka adalah beriman dan mereka sebenarnya bertakwa. Mereka mendapat berita gembira di kehidupan dunia dan di hari akhirat; tiada lagi perubahan pada ketentuan Allah, itulah keuntungan yang besar. ( Ayat 62 - 64 : Surah Yunus )Si hamba memasuki daerah kesedaran rohani dengan munajat: "Ilahi! Daku bukan seorang abid, maka daku tidak kuat beribadat. Daku bukan seorang alim, maka daku tidak tahu menyeru. Daku hanyalah seorang penyerah, maka terimalah daku. Lakukan apa yang Engkau mahu dengan diriku. Daku jualkan diriku kepada-Mu. Harganya adalah sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Engkau ambillah diriku dan kurniakan kepadaku sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Izinkan daku memakai pakaian sebagai hamba-Mu". Kemudian si hamba membacakan: Katakanlah: "Wahai Tuhanku! Masukkan daku dengan kemasukan yang baik dan keluarkan daku dengan keluaran yang baik. Dan jadikanlah untukku pertolongan yang langsung dari-Mu sebagai kekuatan yang menolong". ( Ayat 80 : Surah Bani Israil ) "Engkau jualah Pelindung diriku, yang memfitrahkan daku untuk berdiri di antara kedua Tangan-Mu, Jalal dan Jamal-Mu, dan menetapkan daku dalam makam Hadrat-Mu. Nur-Mu yang menjadi perisai melindungi daku dalam melaksanakan perintah dan peraturan-Mu". Maha Suci Engkau, Tuhanku, Tuhan Yang Maha Perkasa dari apa yang mereka sifatkan. Dan salam sejahtera atas sekalian yang diutus. Dan segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kemudian si hamba mengalami suasana kebatinan yang digambarkan sebagai "dinding Kaabatullah terbuka dan terbentanglah bumi baharu yang rata dan sangat luas, dilengkungi oleh Rahmaniat Tuhan". Si hamba diterangi oleh cahaya Hakikat Ahmadiah. |
No comments:
Post a Comment