21 February 2018

Bukti kerasulan Nabi Muhammad


Setiap kali melangkah masuk ke bulan Rabiulawal, setiap kali itu jugalah kita sering bertanya pada diri, adakah benar rasa kecintaan kita kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.
Apabila mengaku yang kita cinta Rasulullah SAW, pasti kita akan mengikut setiap apa yang disuruh oleh Baginda SAW. Sebelum wujud rasa cinta, kita harus percaya akan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Pertemuan menerusi segmen Ibrah di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membuka segmen itu dengan membacakan ayat Surah Yasin.
Ayat 1 hingga 3 yang bermaksud: "Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari rasul yang telah diutus."
Kita sering mendengar dan melihat pelbagai majlis ilmu yang menyentuh mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Namun, pernahkah kita menilai selama ini, adakah kita mengetahui atau mempercayai. Kalau benar kita mempercayai Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruh Allah SWT, adakah kita benar-benar memahami setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW selama ini.
Jangan biar mulut kata percaya, hati hanya mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW itu Rasul, tetapi tiada usaha untuk mendekati ajaran dan sunah Baginda.
Bukti dipilih jadi Rasul
Untuk kita mempercayai, kita perlu kemukakan bukti. Menurut tafsir Tafhim al-Quran oleh Abu al-A'ala al-Maududi, beliau mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW itu dipilih sebagai Rasul oleh Allah SWT.
Pertamanya, umur 40 tahun sebagai bukti. Orang yang dari awal bercita-cita menjadi Nabi, pasti tidak akan menunggu sehingga umur 40 tahun.
Pada umur 40 tahun itu membuktikan bahawa Rasulullah SAW sendiri tidak mengetahui bahawa Baginda akan menjadi Rasul. Nabi SAW tidak pernah meramalkan Baginda akan menjadi Rasul. Ini membuktikan bahawa kerasulan ini bukanlah pilihan Nabi SAW bahkan ia pilihan Allah SWT dengan hikmah tersendiri.
Bukti yang kedua, pada usia 35 tahun, Baginda Rasulullah SAW dikenali oleh hampir keseluruhan kaum Arab Quraisy dengan gelaran al-Amin. Bahkan, sebut sahaja siapa musuh Baginda seperti Abu Jahal tetap mengenali Baginda dan menggelarnya dengan al-Amin dan orang yang berpekerti bagus.
Kita pasti sedia maklum mengenai peristiwa pertelingkahan yang membabitkan peletakan batu Hajarul Aswad. Apabila keputusan dibuat oleh Baginda Rasulullah SAW mengenai perkara itu, tiada seorang pun yang membantah.
Ketiga, ketika berusia 20 tahun, Baginda berada dalam dunia perniagaan dan ia berkembang maju. Baginda pula berkahwin dengan orang yang sangat bijak dalam dunia perniagaan, iaitu Khadijah.
Pilihan sebagai Rasul ini boleh menyebabkan Baginda akan dibenci. Maka, dapat kita lihat, ini bukanlah satu pilihan popular. Ini membuktikan pilihan Baginda sebagai Rasul ini adalah kerana perintah daripada Allah SWT dan bukanlah kehendak peribadi.
Bukti kerasulan Baginda SAW yang keempat merujuk kepada al-Maududi, ialah Baginda SAW tidak pernah muncul di mana-mana majlis keraian berbentuk hiburan yang dianjurkan oleh Arab Quraisy pada ketika itu.
Menjauhi program hiburan
Bentuk hiburan orang Quraisy pada ketika itu ialah syair. Seseorang yang menyertai keraian ini perlulah pandai mengarang syair dan membacakan syair itu.
Baginda tidak pernah sekali-kali menyertai mana-mana program syair. Tetapi apabila Baginda berdakwah, Baginda dituduh menyampaikan syair. Ini suatu tuduhan yang tidak berasas.
Bukti kelima, mari kita perhatikan setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali berbentuk peribadi.
Apabila Nabi SAW memulakan dakwahnya, maka tiada apa yang dituturkan kecuali hanya bercerita tentang alam dan penciptaannya. Baginda menyeru agar tidak berlaku zalim dan memerdekakan hamba.
Ini bukanlah agenda peribadi dan perkara inilah yang ditunggu oleh semua orang agar sistem kasta yang menzalimi manusia dapat dihapuskan. Nabi SAW tidak menjadi seperti ahli kitab yang sanggup mengubah ayat Allah SWT demi mengekalkan pengaruh dan kepentingan peribadi. Nabi SAW tidak menjadikan penerimaan manusia sebagai kayu ukur.
Yang keenam, bukti Baginda sebagai seorang Rasul ialah apabila seseorang meneliti apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, pasti akan mengatakan ini bukanlah ucapan seorang manusia.
Kepada orang yang benar-benar berfikir, pasti akan tertanya-tanya siapakah yang mengajarkan kepada Muhammad SAW tentang huruf. Inti pati dan isi kandungan penyampaian Nabi SAW juga terlalu tinggi.
Beberapa bukti ini sudah cukup untuk membenarkan kepercayaan kita kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW. Persoalan yang tinggal, adakah perakuan kepercayaan yang kita lakukan dengan lidah dan yakini dengan hati kita, kita dapat buktikan dengan amalan dan perbuatan. Tepuk dada tanya iman.
Penulis adalah Penyampai & Penerbit Rancangan IKIMfm

No comments: