Thursday, December 1, 2011

Tanda-tanda Hampir Mati


SIAKAB
Salam

Adakah artikel dibawah soheh dan boleh dipercayai??

Tanda 100 hari sebelum hari mati.
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda
ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula

***************
JAWAPAN
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab persoalan sdr 'Abdullah dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Kematian ini merupakan salah satu dari perkara yang dirahsiakan oleh Allah swt kepada hambanya, dan alamat atau tanda kematian seperti yang tertera dan tersebar dilaman-laman web memang tidak terdapat hadith-hadith yang sahih yang menyokong pendapatnya. Pattern atau corak penomboran seperti 100, 40,7,3 dan 1 ini merupakan perkara yang sinonim didalam upacara-upacara kematian, seperti kenduri arwah didalam alam Nusantara ini. Kemua ini tidak ada nas akan kebenarannya. Ternyata sekali bahawa saat kematian itu adalah rahsia Allah swt kepada hambanya.


Hadith al-Bukhaari (no:4627) dibawah ini menceritakan bahawa "kematian seseorang itu" adalah Rahsia Allah swt :

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( مفاتح الغيب خمس : ( إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِى الأرْحَامِ وَمَا تَدْرِى نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَداً وَمَا تَدْرِى نَفْسٌ بِأَىّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلَيمٌ خَبِيرٌ )


Dari Abdullah ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda :"Kunci lima yang ghaib/rahsia adalah : Sesungguhnya Allah mempunyai pengetahun mengenai waktu Kiamat, dia yang menghantarkan hujan, dia mengetahui apa yang didalam rahim [wanita], tiada siapa tahu apakan nasibnya esok, dan tiada siapa tahu dibumi mana ia akan mati" -

Tarikh kematian seseorang itu dirahsiakan oleh Allah swt adalah sebagaimana Allah merahsiakan HARI atau WAKTU (al-saa'ah) berlakunya kiamat. Sheikh Al-Alusi (Tafsirr al-Manaar) didalam komentarnya terhadap waktu Kiamat dan juga kematian, katanya :

وإنما أخفي سبحانه أمر الساعة لاقتضاء الحكمة التشريعية ذلك ؛ فإنه أدعى إلى الطاعة ، وأزجر عن المعصية ، كما أن إخفاء الأجل الخاص للإنسان كذلك . . . وتدل الآيات على أنه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لم يعلم وقت قيامها ، نعم علم صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قربها على الإجمال ، وأخبر صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ به


"Allah telah merahsiakan Al-Saa'ah (hari Kiamat) kerana hikmah shar'i dan sebab kenapa ia begitu, kerana ia lebih berkesan didalam menyeru orang mentaatinya dan menjauhkan mereka dari melakukan maksiat, sebagaimana dia merahsiakam ajal seseorang itu... dan petikan kenyataan ini menunjukkan bahawa Nabi saw tidak mengetahui bila Al-Saa'ah bermula. BENAR, baginda mengetahui ia agak dekat didalam ertikata yang umum, dan baginda saw memberitahu kita yang itu"

Dari Imam Muslim (hadith no:2947), Nabi saw bersabda :

أ بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ سِتًّا : طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا ، أَوْ الدُّخَانَ ، أَوْ الدَّجَّالَ ، أَوْ الدَّابَّةَ ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ ، أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ .



"Bersegera melakukan amal sebelum enam perkara : Matahari naik sebelah barat, atau keluar asap, atau keluar Dajjaal, atau keluar Binatang (Ad-Daabbah), atau perkara yang khas untuk seseorang atau perintah yang melibatkan semua"

Ulama mentafsirkan "perkara yang khas untuk seseorang" sebagai kematian seseorang. Hadith ini menunjukkan seseorang itu harus memastikan dirinya bersegera melakukan perkara kebaikkan sebelum berlakunya akhir zaman atau pun akhir zaman pada dirinya, iaitu MAUT.

--------------------
Terdapat beberapa hikmah yang tersirat mengenai dirahsiakan tarikh dan saat kematian, diantaranya yang boleh kami sebut ialah :-

1. Umat Islam diseru sentiasa melakukan taubat kepada Allah swt dari segala dosa yang mereka lakukan, baik kecil ataupun besar.
2. Adalah menjadi satu sunnah Nabi saw menyeru Umatnya agar sentiasa mengingati mati.
3. Umat Islam perlu ingat bahawa mati itu akan datang bila-bila masa sahaja, dan mereka sentiasa bersedia menghadapinya. Mereka sentiasa mempertingkatkan amalan masing-masing.
4. Ingat akan mati boleh memecahkan benteng nafsu yang rakus dan juga sikap ego seseorang.
5. Hati yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa takut kepada Allah swt, dan akan menimbulkan kekhusyukkan didalam amal ibadatnya, lantas meningkatkan quailiti ibadat seseorang.
6. Dengan dirahsiakan tarikh kematian, manusia akan sentiasa melakukan amalan soleh dan mengingati Allah swt selalu.
7. Umat Islam disunnatkan menziarahi orang yang mati, lantaran ia menimbulkan keinsafan didalam hati manusia, terutamanya bila Imam menghadapi zaman menurunnya.

Kita boleh bayangkan kalau setiap orang diberi alamat dan tanda kematian, sudah pasti mereka akan hanya melakukan taubat dan amal soleh bila sudah kelihatan alamat-alamat kematian sahaja. Berlakulah keadaan yang kucar kacir kerana orang-orang yang melakukan maksiat boleh meneruskan kefasadan mereka kerana mereka mengandaikan suatu masa nanti mereka akan bertaubat apabila timbul alamat-alamat kematian tersebut. Disana ada perkara-perkara lain yang boleh diketahui berkenaan dengan kematian yang terdapat didalam hadith-hadith sahih, contohnya tanda-tanda kematian yang baik! Wallahu 'alam.

-wassalam-

Rujukan :-

1. Al-Harf. Tafsir Al-Manaar.

2. Al-Harf. Shahih Bukhari dan Muslim.

No comments:

News Today

Loading...

YouTube

Loading...