Friday, December 16, 2011

8 PEGANGAN MUSLIM

1. UNTUK BADAN
Menjaga Kesihatan Setiap ahli usrah hendaklah melakukan pemeriksaan umum kesihatan dari semasa ke semasa. Jika kita berpenyakit, segeralah berubat. Selain itu, ambil berat tentang punca-punca kekuatan badan dan pemeliharaan kekuatan itu dari segi kesihatan. Jauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan badan.
Menjaga Kebersihan Jagalah kebersihan dalam semua hal: dalam rumah tangga, pakaian, makan minum, tubuh badan, dan tempat bekerja. Agama Islam itu diasaskan di atas dasar "kebersihan".
Minuman dan Rokok Janganlah minum kopi, teh dan minuman penyegar lain secara berlebih-lebihan. Seboleh-bolehnya jangan sama sekali menghisap rokok.
(Ulasan penyunting: Saya yakin merokok amat berbahaya kepada tubuh badan dan kesihatan kita. Alhamdulillah, saya berhenti merokok sejak tujuh tahun yang lalu setelah "berhenti-henti" selama seminggu, sebulan dan enam bulan. Namun demikian, saya berhenti merokok bukanlah atas sebab-sebab kesihatan. Saya berhenti merokok atas sebab-sebab agama [setelah membaca tiga buah buku yang berkaitan dengan keharamannya] dan sebab-sebab sosial. Nyatakan pendapat anda di forum GU. Diharap ada respons.)
Riadah Amalkan apa-apa riadah badan walaupun sekadar berjalan-jalan kaki sahaja. Jadilah ahli mana-mana pasukan pengembara jika umur anda munasabah dengannya.
Minuman Keras Hindari diri daripada arak, sebarang minuman yang memabukkan, dan minuman yang boleh melemahkan kesihatan badan atau apa-apa jua minuman yang berbahaya.
2. UNTUK AKAL
Amalan Membaca Pastikan diri kita mampu membaca dan menulis dengan baik. Hendaklah kita sentiasa membaca bahan bacaan Islam, akhbar* dan majalah bermutu. Jika anda golongan iktisas dalam sesuatu bidang pengetahuan, usahakan sebuah perpustakaan khas peribadi, walaupun kecil, agar saudara berpeluang mendalamkan ilmu pengetahuan. Timbalah pengalaman dalam urusan agama Islam sekira-kira membolehkan anda menggambarkan hakikat dan menimbang sama ada cocok atau tidak satu-satu perkara itu dengan tujuan dakwah kita. *Antaranya sudah pasti Harakah.
Mendalami Pengetahuan Islam Hendaklah saudara dapat membaca Al-Qur'an dengan betul; dan juga hendaklah saudara dapat mendengar serta memikirkan ertinya. Juga saudara dikehendaki mempelajari sirah atau perjalanan Rasulullah s.a.w. dan sejarah angkatan salafus soleh atau yang sangat mustahak tentang asas-asas akidah, asas-asas bagaimana hukum-hukum itu bercabang, dan juga rahsia-rahsia syariat Allah s.w.t.
3. UNTUK BUDI PEKERTI
Berketerampilan Hendaklah saudara sentiasa dalam keadaan segar mekar dan cergas, berperasaan halus, mudah berkesan sama ada terhadap sesuatu yang baik mahupun terhadap sesuatu yang baru; sama ada terhadap perkataan-perkataan mahupun terhadap perbuatan.
Berkata Benar Hendaklah saudara sentiasa bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta; hendaklah saudara kuat kemahuan dan janganlah teragak-agak dalam sesuatu perkara, yang benar dan hendaklah saudara sanggup menyimpan rahsia; berani mengaku kesilapan sendiri, sanggup menyedari dan mengawasi diri sendiri ketika marah.
Berani Hendaklah saudara bersikap berani; sanggup memikul bebanan; dan semulia-mulia keberanian itu ialah berani berterus terang dengan perkara yang benar dan hendaklah saudara menyimpan rahsia; berani mengaku kesilapan sendiri, sanggup menyedari dan mengawal diri sendiri ketika marah.
Serius Hendaklah saudara bersikap gagah dengan cara sentiasa bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kegagahan sikap seperti itu tidaklah pula sampai menghalang saudara daripada bergurau dengan yang benar dan ketawa dengan senyum dan dengan tidak mengada-ngada.
Hindari Kejahatan Hendaklah saudara menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang jahat dan daripada kawan-kawan yang rosak seperti mana saudara juga hendaklah menjauhkan diri daripada tempat maksiat dan dosa.
4. UNTUK SAKU
Bekerja Walaupun Sudah Kaya Hendaklah saudara membuat apa jua kerja yang halal yang boleh mendatangkan rezeki sekalipun kalau saudara sudah kara-raya; dan juga hendaklah saudara memilih kerja yang bersungguh-sungguh dan mencubanya sedaya upaya walaupun kerja itu sukar; bahkan hendaklah saudara bertekun sehingga berjaya dalam satu-satu kerja.
Teruskan Kerja Janganlah saudara terlalu sibuk mencari kerja di pejabat-pejabat kerajaan, tetapi janganlah pula menolaknya jika ada peluang. Janganlah lepaskan kerja yang ada kecuali kerja itu benar-benar berlawanan dengan tugas-tugas gerakan dakwah kita.
Jujur Hendaklah saudara sentiasa berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas saudara dengan cukup amanah tentang kelicinan dan ketertiban pekerjaan itu; jangan sekali-kali menipu; bahkan hendaklah saudara menunaikan kewajipan itu dengan tepat pada waktunya dan tepat pada masa janjinya.
Jangan Berjudi Hendaklah saudara menjauhkan diri daripada permainan judi walaupun apa jua coraknya, dan walau apa pun jua tujuan yang ada di sebaliknya. Hendaklah juga saudara menjauhkan diri daripada cara-cara penghasilan haram walaupun di sebaliknya itu terdapat keuntungan yang segera.
Hindari Riba Jauhilah diri kita daripada riba dalam semua muamalah jual beli--bersihkan diri anda daripada sebarang bentuk riba.
Menyimpan dan Berjimat Hendaklah saudara menyimpan sebahagian daripada wang saudara untuk masa kecemasan walaupun simpanan itu sedikit sahaja, dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus ke dalam perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak mustahak.
Hindari Maksiat Hendaklah saudara memerangi tempat-tempat permainan kotor; jangan menghampirinya, dan hendaklah saudara menjauhkan diri daripada cara hidup bermewah-mewah, berlebih-lebihan dan membazir.
Berhemat Hendaklah saudara menggunakan harta umum umat Islam itu kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan pembangunan ekonomi Islam. Hendaklah saudara berjaga-jaga supaya jangan sampai keciciran wang itu walau sekupang sekalipun ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hendaklah saudara jangan memakai melainkan barang-barang buatan tanah air saudara sendiri.
5. UNTUK ORANG LAIN
Adil Hendaklah saudara berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum walau apa pun jua perkaranya. Janganlah saudara lupakan kebaikan orang lain sebab saudara marah; dan sebaliknya pula, janganlah saudara memejam mata daripada kejahatan-kejahatan mereka itu kerana saudara menyayanginya. Budi baik orang lain hendaklah dikenang walaupun ketika dalam keadaan bermusuhan. Hendaklah saudara bercakap benar walaupun terhadap diri sendiri atau terhadap orang yang paling hampir dengan saudara sekali pun percakapan yang benar itu pahit dan maung akibatnya.
Komited Hendaklah saudara cergas dan terlatih dalam membuat perkara-perkara kebajikan am. Kecerdasan ini dapat diukur dengan perasaan gembira saudara ketika saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain untuk mencapai maksud ini hendaklah saudara menziarahi orang-orang sakit, menolong orang-orang yang berhajat, menanggung bebanan orang-orang yang lemah dan melapangkan dada orang-orang yang ditimpa kemalangan atau bencana walaupun hanya sekadar dengan cakap-cakap yang melegakan hati. Tegasnya, hendaklah saudara segera melakukan kebajikan walau apa jua pun coraknya.
Belas Kasihan Hendaklah saudara bersifat belas kasihan dan bertolak ansur. Dalam hal ini hendaklah saudara memaafkan dan mengampun kesilapan-kesilapan orang lain. Belas kasihan ini bukan sahaja terhadap sesama manusia akan tetapi juga terhadap makhluk haiwan. Hendaklah saudara bermuamalah dengan orang lain secara yang baik; sentiasalah berkelakuan baik terhadap orang ramai dan hendaklah saudara memelihara sopan santun secara Islam dalam pergaulan sehari-hari--iaitu dengan cara menaruh perasaan belas kasihan kepada yang kecil dan menghormati yang tua, melapangkan tempat ketika di dalam mana-mana majlis perhimpunan ramai. Janganlah saudara mengintai atau mengumpat; jangan menceroboh bahkan hendaklah saudara terlebih dahulu meminta izin ketika hendak masuk ke sesuatu tempat dan begitu juga ketika hendak keluar daripada sesuatu tempat.
Hak Hendaklah saudara meminta hak saudara dengan cara yang baik dan hendaklah menunai hak orang lain dengan sepenuhnya dengan tidak payah dituntut dan dengan tidak lengah-lengah lagi.

No comments:

YouTube

Loading...