Tuesday, March 6, 2012

Ajaran Pemuda Kahfi

Ajaran Pemuda Kahfi PDF | Print | E-mail

Pengenalan oleh Penyunting

Saudara-saudari, berhati-hati jika anda didekati oleh kumpulan ini yang menyamar mengajak orang ramai memasuki kelas kuliah tafsir al-Quran. Mereka juga mendakwa negara Islam tulen telah wujud tetapi tersembunyi. Mereka mentafsir al-Quran secara semberono dan menggunakan logik akal tanpa merujuk imam-imam yang muktabar sehingga membuat dakwaan-dakwaan palsu terhadap Rasulullah SAW.

Tempat asal ajaran: Indonesia (Pondok Pesantren al-Zaitun, Indramayu, Jawa Barat). Mula menular secara rahsia di Malaysia sejak 10 tahun lepas.

Modus Operandi

A)Pemilihan ahli

Setiap individu yang telah terpilih menyertai organisasi ini hendaklah menyerahkan nama-nama prospek baru yang difikirkan layak ke dalam "database nama" untuk direkrutkan. Sebelum individu pengikut ajaran ini dibenarkan berjumpa dengan sesorang prospek , pemimpin kumpulan atau ulul amri akan meneliti senarai nama tersebut dan mengarahkan untuk menjalankan proses Iqra' -1 . Proses ini adalah proses saringan untuk menjamin survival kumpulan ini di masa hadapan. Berikut adalah ciri -ciri individu yang diperlukan:

1.Tidak terlalu tua atau terlalu muda

2.Berharta

3.Sihat tubuh badan

4.Bukan anggota keselamatan

5.Kelihatan belum dipengaruhi sebarang ideologi lain

6.Tidak bekerja syif

7.Bukan seorang muallaf

Setelah selesai melakukan perincian tersebut dan calon prospek melepasi saringan ciri -ciri yang dikehendaki, ahli tersebut bolehlah membuat proses Iqra' -2 dan membuat temujanji dengan prospek. Kali ini beliau akan ditemani oleh orang lama organisasi ini yang bertindak sebagai penampan bagi mematahkan hujah-hujah prospek. Al -Quran turut dibawa bersama sebagai alat menguatkan hujah mereka. Di penghujung proses Iqra' - 2 prospek akan ditawarkan mengikuti kelas pengajian tafsif Al Quran secara percuma bagi menarik minatnya menyertai organisasi ini.

Berikut adalah sesi yang mesti dilepasi oleh seseorang individu sebelum layak mengikuti sesi hijrah pertama:

1.Sesi Silatulrahim

2.Sesi Akidah

3.Sesi Sunnah

4.Sesi Ibadah

5.Sesi Perlaksanaan

Sekiranya prospek menunjukkan respon positif sepanjang berlangsungnya kesemua sesi ini, mereka akan diuji bagi menilai tahap keyakinan mereka. Jika dilihat seakan-akan menolak ,pentilawah akan mengulangi berpuluh kali ayat yang sama dan melabelkan prospek sebagai orang kafir yang suka tinggal di dalam tong najis sekiranya enggan berhijrah.

Di dalam sesi perlaksanaan, prospek akan diminta membayar RM 1,500.00 dan RM 70 infaq wajib untuk melayakkannya mengikuti kelas 'Sistem Pendidikan Islam' (SPI) selama 6 bulan. Setelah wang diberikan, prospek akan diminta membayar sejumlah lagi 'Wang Taubah'. Jumlahnya tidak ditetapkan tetapi mengambil kira sebanyak mana dosa yang telah dilakukan sejak lahir hingga sekarang.

Ada yang membayar hingga RM 20,000.00 dan jumlah minimum yang ditetapkan adalah sebanyak RM200.00. Mereka juga diingatkan supaya menyimpan wang sebanyak RM 3,600.00 dan paspot antarabangsa untuk melawat ke Negara Islam yang disebut-sebut sebagai negara Islam tulen yang telah wujud tetapi tersembunyi.

Pada program hijrah pertama, prospek diminta menunggu di transit seawal jam 5 pagi. Hal ini bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak tertentu. Prospek akan dijemput oleh seseorang dengan menaiki kereta atau van ke tempat yang ditetapkan. Sebelum perjalanan dimulakan, mata prospek akan ditutup.

Perjalanan ini kononnya perjalanan ke "GUA". Perjalanan ke 'gua' tersebut tidaklah terlalu jauh. Setelah semua yang terdiri daripada lelaki dan perempuan dikumpulkan di 'gua', mereka diberikan taklimat ringkas tentang program yang akan dijalankan pada hari tersebut.

Menjelang jam 9 pagi, sesi hijrah bermula dengan sesi ta'aruf kepada wakil pemimpin 'Negara Islam' (NI) . Setiap orang diminta berdiri untuk membacakan lafaz baiah di hadapan 4 orang pemimpin NI tersebut. Majlis berakhir jam 5 petang.

Kelas SPI bolehlah dibahagikan kepada 7 peringkat:

1.Kelas Sambutan

2.Kelas Persediaan Asas District - PAD

3.Kelas P3D

4.Kelas PDU 1

5.Kelas PDU 2

6.Sejarah Am

7.Sejarah Khusus

B) Method Dakwah

Setiap individu diwajibkan membawa tafsir Al Quran setiap kali program berlangsung. Ahli lelaki dikehendaki berkemeja lengan panjang, bertali leher, berseluar panjang dan berkasut. Mereka mendakwa jubah adalah pakaian Rasulullah sesuai dengan keadaan masyarakat pada waktu hidup baginda. Manakala pakaian umum yang sesuai dengan keadaan sekarang ialah kemeja.

Bagi perempuan pula, cukup dengan berpakaian kemas. Sementara menunggu sesi dimulakan, setiap ahli dikehendaki menyerahkan wang program ( rujuk ayat 58:12) ke dalam sampul yang disediakan. Kemudian sesi diteruskan dengan semakan hafazan setiap individu mengikut peringkat yang ditetapkan. Setelah selesai, pimpinan NI meneruskannya dengan mengarahkan ahli membaca ayat tertentu daripada surah tertentu. Kemudian ahli diminta supaya memberi pendapat mengikut fahaman mereka tentang ayat tersebut.

Setiap ahli juga akan disoal bertalu-talu untuk menilai kefahaman mereka. Kebiasaannya tidak akan ada seorang pun yang menjawab mengikut seperti yang dikehendaki oleh ajaran ini. Sebarang persoalan dibenarkan untuk diajukan. Keadaan ini seolah menunjukkan pimpinan bersikap terbuka tetapi jika ada yang berani bertanya, individu tersebut akan disindir dan diherdik kerana cuba menjadi pengacau di dalam kelas tersebut. Sebelum kelas berakhir, setiap ahli dikehendaki menyampaikan kesan dan pesan daripada program tersebut kemudian ditulis di atas kertas untuk direkodkan. Program berakhir jam 11 malam.

C) Infaq

Infaq merupakan elemen terpenting dalam menentukan tahap keimanan individu yang terlibat dalam organisasi ini. Setiap ahli dikehendaki membayar jumlah infaq yang berbeza mengikut tahap dan peringkat tertentu. Alasan yang diberikan ialah di dalam negara yang batil yang diduduki mereka sekarang ini pun bermacam cukai dan benda yang mesti dibayar. Oleh itu, untuk membina Negara Islam lebih banyak wang diperlukan. Ini kerana Allahlah yang meminta anda berjihad harta dan diri sebelum diangkat darjat olehNYA. Antara infaq yang ditetapkan ialah:

1.Harakah Ramadhan

2.Infaq individu

3.Harakah Korban Aidil Adha

4.Infaq Pendidikan

5.Infaq Projek Mega

6.Infaq Taifah ( pentadbiran pejabat kumpulan)

7.Granite

8.Sedekah Program Khas (Ta'lim Ta'lum)

9.Intisodiah

Bayaran lain pula adalah didakwa untuk menampung kos-kos seperti aktiviti setiap minggu, program kepimpinan, SMS, pengangkutan, kos sewa bangunan ,bil air dan elektrik, barang –barang pejabat dan stationery.

Pembelian wajib juga diadakan oleh ulul amri seperti frozen food, jus minuman, minyak angin ,kuih muih dan sebagainya di mana ianya amatlah membebankan ahli. Jumlah keseluruhan boleh dianggarkan sekitar RM 1,000.00 sebulan yang wajib dijelaskan tanpa memberi sebarang alasan.

Jika beralasan, maka akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi menambahkan keyakinan ahli. Ini tidak termasuk kos persediaan berhijrah ke NI iaitu RM 3,600.00 yang mesti di jelaskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

D) Aqidah dan Manhaj

1. Membahagikan tawhid itu kepada 3 bahagian, iaitu tawhid Rubbubiyah,tawhid Mulkiyyah dan Tawhid Ubudiyyah. Tawhid Rubbubiyah merujuk kepada Rabbi iaitu aturan dan sandaran perlembagaan Negara Islam berdasarkan (Al Quran dan As Sunnah). Tawhid Mulkiyyah merujuk kepada kawasan dan wilayah kekuasaan Negara Islam. Tawhid Ubudiyyah merujuk kepada penganut ,rakyat dan warganegara Islam.

2. Segala aturan,perintah dan arahan dari Negara Islam (NI) adalah sama dengan arahan Allah yang wajib dipatuhi.

3. Semua pekerja NI adalah malaikat di sisi Allah.

4. Kerasulan dan kenabian tidak berakhir dengan alasan setiap orang yang menyampaikan da'wah Islam dianggap juga sebagai Rasul Allah.

5. Al Quran diakui sebagai wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, namun manusia mempunyai kebebasan untuk menta'wil dan mentafsir mengikut logika mereka baik ayat-ayat muhkamat mahupun mutasyabihat.

6. Hari Qiamat adalah hari kebangkitan dan kemenangan mereka untuk isytihar futuh ( pembukaan Mekah) .

7. Solat terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu solat actual dan ritual. Solat yang lebih utama ialah solat actual iaitu segala bentuk aktiviti ,program yang ditetapkan oleh NI. Solat ritual ialah solat lima waktu tidak diwajibkan hingga setelah futuh.

8. Melakukan solat actual adalah bukti laksanakan Negara Islam yang haq dan ibadat paling utama dalam ajaran ini. Antaranya merekrut ahli baru, hafazan ayat Al Quran, mengumpul dana, menjana program dan menjadi umat Islam sepenuhnya dengan berhijrah ke Negara Islam (dengan cara bersyahadah dan berbai'ah kepada pimpinan NI).

9. Menghalalkan apa jua cara bagi melaksanakan matlamatnya termasuk menipu, mencuri barang milik keluarga sendiri,syarikat dan kawan-kawan yang di luar golongan mereka kerana untuk memenangkan agama Allah.

10. Orang yang berada di luar golongan mereka adalah kafir ,munafik dan musyrik tidak kira sama ada mereka itu termasuk ibu bapa, adik beradik, mahupun golongan ulama kerana mereka bukan warganegara Islam tetapi umat demokrasi.

11. Jika berlaku sebarang perlanggaran syariat Islam yang ditetapkan mereka akan dikenakan 'dam' yang harus dibayar dengan wang ringgit.

12. Dosa juga boleh ditebus dengan membayar "wang taubah".

13. Ibadat korban bukanlah dengan menyembelih haiwan ternakan tetapi dengan mengorbankan wang ringgit dan harta benda bagi pembangunan NI.

14. Haram mengahwini pasangan yang di luar golongan mereka kerana ibarat berkahwin dengan orang kafir maka tidak sah perkahwinannya.

15. Negara Malaysia dianggap Mekah dan NI dianggap Madinah. Hanya yang telah berhijrah dan menjadi warganegara NI layak dipanggil umat Islam.

16. Syurga di akhirat hanya layak untuk mereka yang telah Islam iaitu kepada yang telah menjadi warganegara NI. Sebelum mendapat syurga di akhirat hendaklah terlebih dahulu mendapat 'syurga' di dunia .

17. Lailatul Qadar adalah hari diturunkan Al Quran kepada pengikut yang baru dalam sesi hijrah pertama. Ia menunjukkan Allah maha adil kerana Lailatul Qadar yang difahami sekarang hanya pada mereka yang bernasib baik dan berlaku sekali dalam setahun.

18. Isra' dan Mikraj merujuk kepada seseorang 'rasul' (dalam tafsiran no. 4 di atas) bertemu dengan pemimpin tertinggi dalam struktur organisasi NI.

19. Menutup aurat tidak diwajibkan kepada semua pengikutnya dengan alasan mereka adalah golongan kahfi ( ahli gua) .

20. Setiap pengikut diwajibkan berjihad harta dan diri. Membayar infaq yang ditetapkan setiap bulan dan sanggup menjadi kuda orang suruhan ulul amri mereka dengan taat setia

21. Harta milik pengikut mereka adalah milik Allah dan hendaklah diserahkan apabila diminta berbuat demikian.

22. Mengerjakan haji bukanlah satu ibadat kerana tujuan Rasulullah ke Mekah adalah untuk menakluk Mekah dengan berselindung disebalik mengerjakan ibadat haji.

23. Pengagihan wang zakat bukanlah semata-mata kepada asnaf yang ditetapkan tetapi juga boleh digunakan untuk pembangunan prasarana NI.

24. Rasulullah tidak mempunyai apa-apa mukjizat selain Al Quran.

25. Rasulullah bukan 'Ummi' kerana mustahil seorang cucu pembesar Mekah buta huruf. Rasulullah menulis sendiri ayat-ayat Al Quran yang diwahyukan kepadanya.

26. Nama sebenar Nabi Muhammad ialah Ahmad. Muhammad merujuk kepada suatu 'Lembaga Kerasulan Muhammad' yang berperanan sebagai kumpulan dakwah Islam di zaman Nabi Muhammad.

27. Yang menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhamad bukanlah Malaikat Jibrail tetapi kumpulan pemuda "kahfi" di zaman itu.

28. Sunnah bukanlah merujuk pada segala tingkah laku dan amalan Rasulullah dalam beribadat tetapi turun dan naiknya gelombang kejatuhan dan tertegaknya negara Islam dari Adam hinggalah terakhir, kerajaan Turki Othmaniah.

29. Bukti gerakan ini di landasan yang hak adalah merujuk kepada ayat Allah yang menjadikan bumi ini dalam 6 masa. Ia ditafsirkan sebagai fasa (framework) yang mesti dilalui oleh sesebuah Negara Islam dalam 6 peringkat sebagai contoh:

1) Kondisi Mekah

2) Kahfi Pertama

3) Isytihar Negara Islam

4) Kahfi Kedua

5) Futuh atau Pembukaan Mekah

6) Perluasan (penyebaran ke seluruh dunia)

30. Hadis Rasullullah hanyalah satu cerita kosong yang tiada kena-mengena dalam perlaksanaan ibadat dan mendirikan Negara Islam.

31. Hukum menyentuh kitab Al Quran tidak perlu berwuduk, malah ia boleh dilontar, dipijak, dihempas dan diludahi kerana ia adalah buatan manusia. Yang lebih penting ialah melaksanakan isi kandungannya daripada meghormati rupa bentuknya.

32 Rasulullah tidak maksum dan pernah melakukan banyak dosa tetapi tidak diceritakan dalam sejarah. Mustahil Rasullullah dapat berdakwah pada orang seperti Umar Al Khattab jika peribadi baginda berbeza dengannya.

E) Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, Ajaran Pemuda Kahfi ini bukanlah ajaran Islam seperti yang diperjuangkan atau dilaung-laungkannya. Ia adalah satu aliran agama palsu dan baru yang bertopengkan ajaran Islam bagi mengelirukan pengikutnya yang jahil tetapi dahagakan ilmu agama . Ia dikesan menggunakan metod pemikiran golongan Islam Liberal dan Anti Hadis dalam membuat tafsiran ayat-ayat al-Quran.

Kepada sesiapa yang terlibat dan masih aktif, segeralah bertaubat. Kepada yang belum terlibat, berhati-hatilah dengan perangkap mereka.

Nota Hujung Penyunting

Yang melucukan ialah apabila ditanya dimanakah NI yang disebut-sebut telah muncul dengan segala kesempurnaannya itu berada…. Jawapannya di suatu tempat di kawasan yang beriklim 4 musim!!!

No comments:

YouTube

Loading...