24 February 2012

Mereka yang mendapat hidayah-Nya

Mereka yang mendapat hidayah-Nya


Kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilahirkan oleh ibubapa Melayu yang beragama Islam. Lahir saja kita ke dunia ini sebagai anak orang Islam, telah diasuh dan dididik dengan ajaran-ajaran Islam. Bagaimana pula mereka yang dilahirkan dari ibubapa yang bukan Islam? Dari kecil lagi telah disesatkan dan disemaikan dengan ajaran-ajaran yang menyesatkan oleh ibubapa mereka. Mereka yang mendapat hidayah-Nya sahaja yang terselamat dari api neraka dan azab Allah setelah memeluk Agama Islam.


Kita janganlah menghukum dan membuat berbagai tafsiran sendiri setelah mereka ini memeluk agama Islam kerana itu adalah ketentuan Allah SWT kepada seseorang hamba-Nya. Ada yang memeluk agama Islam kerana ingin berkahwin dengan wanita atau lelaki Islam. Ada setengah paderi agama Nasrani yang mendapat hidayah setelah lama mencari kebenaran pencipta-Nya.

Ada yang mendapat hidayah mungkin disebabkan oleh kejadian yang berlaku seperti kematian, kemalangan, sakit atau perkara-perkara yang kita tidak ketahui. Hanya dengan sedikit keajaiban dari Allah SWT kepada mereka, membuat pintu hati mereka terbuka dan mendapat hidayah sehingga menjadi seorang muslim yang begitu taat berbanding kita yang "Born Muslim".

Lihatlah beberapa orang tokoh agama yang dilahirkan bukan dari perut bukan orang Islam seperti Ustaz Farid Ravi Abdullah, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan beberapa orang lagi pendakwah bebas yang penulis lupa nama mereka. Setelah memeluk Islam, mereka ini mendalami ajaran Islam sehingga kita pula belajar dan mendengar ceramah Islam dari mereka.

Sesetengah daripada orang-orang Islam yang mengaku Islam tapi bergelumang dengan maksiat serta melanggar perintah Allah SWT. Mereka ini tidak mendapat hidayah-Nya. Ini yang kita takutkan kerana jika tidak sempat bertaubat. Apabila mati nanti, zahirnya sahaja Islam, tetapi batinnya kafir. Maka kematiannya seperti orang-orang kafir yang lain. Nau'zubillahi minzalik...

Berbalik kepada perkara tajuk. Apa itu hidayah? Hidayah adalah sebuah kata yang kerap digunakan oleh orang-orang yang merasa dirinya telah kembali atau menemukan jalan kembali menuju ke Tuhannya

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Dengan mengingati mati cukuplah bagi seseorang untuk tidak menyukai dunia, dan menyukai akhirat.”

At-Tabari pula meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; “cukuplah kematian itu sebagai nasihat untukmu.” Justeru itulah, maka Rasulullah SAW menyuruh kita supaya memperbanyak mengingat kepada hancurnya semua kenikmatan dunia, iaitu mati, sebagaimana baginda menyuruh kita untuk memperbanyak menziarahi kubur. Hanya kerana dengan demikian akan mengingatkan kita kepada akhirat dan sesungguhnya dengan menyaksikan kematian itu juga telah ramai orang yang bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar.

Adapun saudara baru kita ini bernama Khalid Markin yang sebelum Islamnya bernama Williem Michael Machillin, dia masuk Islam disebabkan menyaksikan kematian. Kematianlah yang mendorong ia untuk berfikir tentang perkara-perkara sesudah kematian itu dan hikmah dari kehidupan ini. Kemudian kematian pula yang mendorongnya berfikir tentang yang menghidupkan dan yang mematikan, lalu ia menemukan bahawa sesungguhnya Bonda Perawan (Maryam) dan Al-Masih keduanya, mati seperti kematian manusia lainnya.

Orang-orang yang mendapat HIDAYAH-NYA akan sentiasa:-

1. Merasakan kemudahan dalam beramal soleh.
Orang yang telah mendapatkan hidayah akan merasa mudah atau ringan dalam melaksanakan amal soleh, rajin dan tekun dalam beribadah, serta sangat takut berbuat kedurhakaan. Sementara orang yang tidak mendapatkan hidayah-Nya akan merasa malas dalam beramal soleh dan tidak merasa bersalah kalau berbuat maksiat.
Allah SWT. berfirman, “Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk mendapat petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” (QS Al-Anam 6: 125)
2. Merasakan kerinduan kepada Allah SWT.
Orang yang mendapatkan hidayah, setiap relung hatinya terisi dengan kerinduan kepada Allah swt. Jika nama Allah swt. disebut, akan bergetar hatinya, Kalau dibacakan firman-Nya, akan bertambah imannya; ia bertawakal, mendirikan shalat, dan mengeluarkan zakat sebagai ekspresi syukur atas nikmat yang diterimanya.
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki yang mulia.” (QS Al-Anfal 8: 2-4)
3. Konsisten atau Istiqamah.
Orang yang mendapatkan hidayah akan istiqamah atau konsisten dalam menjalankan perintah-perintah-Nya. Ia akan merasa nikmat saat beribadah kepada-Nya. Hal ini dijelaskan dalam ayat berikut,
Firman Allah SWT bermaksud, “Barangsiapa yang berpegang teguh kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” (QS Ali-Imran 3: 101).
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah suka apabila seorang hamba mengerjakan suatu pekerjaan dan dia konsisten melakukannya.” (H.R. Baihaqi)
Ketaatan mereka dalam memegang ajaran agama diumpamakan dalam ayat berikut.
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik (la Ilaha Illallah) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (QS. Ibrahim 14: 24-25)
4. Bersemangat dalam mempelajari ajaran agama.
Orang yang mendapatkan hidayah akan memiliki semangat untuk selalu menelaah ajaran-ajaran Allah. Islam itu agama yang harus difahami, bukan sekadar diyakini.

Rasulullah saw bersabda,
”Apabila Allah akan memberikan kebaikan pada seseorang, Dia faqihkan orang tersebut dalam agama.”
Yang dimaksud dengan Dia faqihkan orang tersebut dalam agama yaitu orang tersebut bersemangat untuk menelaah ajaran-ajaran Islam.

5. Sabar menghadapi berbagai ujian.
Allah swt. memberikan kehidupan kepada manusia sebagai ujian. Siapakah di antara hamba-Nya yang paling baik amalnya. Kehidupan dunia merupakan ladang amal.
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (QS. Al Mulk 67: 2)
Orang-orang yang mendapatkan hidayah akan tahan menghadapi berbagai ujian kehidupan, sebagaimana dijelaskan dalam ayat berikut.
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”(QS Al-Baqarah 2:155-157)
Pada akhir ayat di atas tertulis dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. Ini merupakan pengunci ayat yang menegaskan bahawa orang-orang yang bersabar adalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk atau hidayah-Nya.

Orang-orang yang DITUTUP hijabnya:-

Hijab Pertama.

Jahil.
Disebabkan keperluan Ilmu untuk mencapai hidayah, maka Ahli Sunnah mewajibkan menuntut ilmu di atas setiap muslimin dan muslimat.

Hijab Kedua.

Bid’ah
Amal soleh yang kita kerjakan mesti selari dengan dengan 2 syarat :
1.Demi wajah Allah SWT dan suci daripada Syirik
2.Mengikut Sunnah Rasulullah SAW.

Oleh yang demikian, semua amalan yang tidak pernah Rasululah SAW lakukan pasti Allah SWT menolaknya tanpa diragui.

Hijab Ketiga.

Orang yang memilki sifat-sifat rohani yang keji atau sifat-sifat mazmumah seperti Takabbur,hasad, ujub, bangga dengan diri. sendiri, bakhil, melakukan perkara sia-sia serta perbuatan berzina, minum arak, mencuri dan sebagainya daripada kategori sifat-sifat mazmumah, maka pemilik kepada sifat-sifat tersebut sebenarnya adalah manusia yang terhalang daripada mendapat Hidayah Allah SWT, walaupun pada zahirnya dia seorang yang berpakaian Islam setiap hari.

Hijab Keempat.

Orang yang berusaha kearah mencuri sesuatu secara bijak seperti melalui akaun dan projek-projek kerajaan, pengusaha yang mencari arak dan lain-lain usaha kearah mendapat dosa-dosa besar. Semuanya pasti terhalang daripada mendapat hidayah Allah SWT, walaupun disertai dengan taubat. Selagi pakaian dan segala kemudahan hidupnya berhasil daripada perkata haram pasti dia bukan dari golongan yang mendapat hidayah Allah SWT, begitu juga daging tubuhnya yang sebesar zarah yang terhasil daripada makan haram tidak dibenar daripada tubuhnya, pasti Allah SWT menolak Taubat Nasuhanya, Haji dan Umrah yang Ikhlas, solat dan Puasa yang sempurna, sedangkan tubuh yang berada di atas sejadah adalah Tubuh dan Tulang yang
bercampur dengan perkara-perkara haram pasti Allah SWT menolak amalan dan doa mereka.

Hijab Kelima.

Dosa-dosa kecil yang telah sebati dengan kehidupan harian, kerana orang-orang mukmin tidak akan merosakkan amalan atau perbuatan soleh kepada Allah SWT dengan dosa-dosa kecil, kenapa kita harus merosakkan nasi yang kita makan dengan najis seperti tahi ayam .

Hjiab Keenam.

Syirik kepada Allah SWTyang kita tidak sedar.
Zaman moden begini syaitan telah menggunakan segala kecanggihan IT dan Teknologi untuk merosakkan pandangan mata dengan nikmat berzina melalui mata, mulut berzina melalui perbualan-perbualan lucah dan lain-lain kecanggihan yang telah merosak kehidupan manusia segala-galanya syaitan baluti dan hiasan dengan seni ukiran syaitan. Sebenarnya IT dan Teknologi adalah digunakan menyembah Allah SWT .
Dan (ingatlah), hari yang di waktu itu Kami menghimpun mereka semuanya kemudian Kami berkata kepada orang-orang musyrik: “Di manakah sembahan-sembahan kamu yang dulu kamu katakan (sekutu-sekutu) Kami?”.Semua makhluk Allah yang mukallaf.Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan:
Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah”. Yang dimaksud dengan fitnah di sini ialah jawapan yang berupa kedustaan. Lihatlah bagaimana mereka telah berdusta kepada diri mereka sendiri dan hilanglah daripada mereka sembahan-sembahan yang dahulu mereka ada-adakan.

Hijab Ketujuh.

Perut yang dipenuhi dengan bahan-bahan haram. Pasti segala tenaga dan kudrat tubuh yang bersumberkan perkara haram tidak akan dapat memancarkan Cahaya dan Tenaga Allah SWT yang suci murni.

Hijab Kelapan.

Hidup yang dipenuhi dengan kelalian. Lihatlah setiap hari aktiviti tidak menuju ke Rumah Allah SWT, Setiap hari kita tidak rindu kepada wajah Allah SWT, kita penuhi perbuatan sia-sia sehingga kita menipu diri kita dengan dikir barat Islam ,piala bola dunia Islam, nyanyian dan nasyid Islam, Al-Quran dibaca berserta muzik secara Islam, sukan berbentuk Islam dan sebagainya kita cuma namakan segala ciptaan kita dengan Islam , lalu kita berdoa kepada Allah SWT agar amalan yang kita ciptakan mendapat pahala disisi Allah SWT.

Hijab Kesembilan.

Menjadikan budaya dan adat kita sebagai ibadat kepada Allah SWT, kita sanggup katakan permainan gasing , wau, dikir barat dan sebagainya adalah satu ibadat. Sesungguhnya kita tidak segan dan silu memaksa Allah SWT menerima permainan budaya kita sebagai ibadat, sedangkan budaya dan adat Rasulullah SAW telah Allah SWT Nobatkan sebagai Ibadat dan Allah SWT telah janjikan budaya dan adat Rasulullah SAW akan tetap diberkati sehingga Hari Kiamat.

Hijab Kesepuluh.

Golongan yang cintakan:
1.Kepentingan peribadi.
2.Syaitan.
3.Dunia
4.Hawa Nafsu

Telah membudayakan manusia agar segala kemudahan nikmat dunia dan pancaindera yang Allah SWT kurniakan benar-benar tidak digunakan untuk Allah SWT, malah dengan tidak segan dan silu maka manusia zaman ini telah melakukannya dengan penuh ketaatan kepada syaitan, segala nikmat dan pancaindera telah dikerahkan kepada program-program berbentuk maksiat setiap saat.

Waallahu alam.

TIDAK TERTANGGUHNYA WALAU SEDETIK PUN KEMATIAN ITU

TIDAK TERTANGGUHNYA WALAU SEDETIK PUN KEMATIAN ITU.


Semalam ada seorang guru lelaki yang masih muda baru berusia 41 tahun meninggal dunia pada malam jumaat. Mengajar di Sekolah Menengah Khir Johari, Bagan Datoh. Allahyarham Chegu Amir baru dikebumikan sebelum solat jumaat tadi. Arwah seorang yang baik dan peramah dan mati pulak pada hari jumaat, itulah tanda-tanda kematian yang mulia. Kita bagaimana pulak agaknya? Semuga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Diriwayatkan dari Imam at-Turmuzi dalam himpunan hadis dari Abdullah Bin A'mru telah berkata: Bersabda Nabi Sallahu Alaihi Wasallam:
"Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur." (Berkata al-Albani dalam Ahkam Janaiz, hadis yang dihimpunkan dari pelbagai toriq adalah hasan atau sohih).
Jelaslah hadis ini menunjukkan kelebihan bagi sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan baiknya pengakhiran seseorang itu (Husnul Khotimah).

Mudahan-mudahan kita juga terpilih untuk mengakhiri nafas ini dengan pengakhiran yang terbaik.

Setiap detik pasti ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru.

Kita di dunia umpama seorang musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian kita akan meneruskan perjalanan ke alam kubur atau alam barzakh yang menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda.

Berdasarkan (iktikad) Ahli Sunnah wa al-Jama’ah, setiap manusia akan berada dalam satu alam dinamakan alam barzakh, terletak antara alam dunia dan alam akhirat.

Hal ini bersesuaian firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – supaya aku mengerjakan amalan salih dalam perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata dia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).” (Surah Al-Mukminun, ayat 99-100).
Seseorang yang sudah mati dan berada di alam barzakh dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak.

Perkara ini disebut dalam riwayat Imam al-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat).”
Dr A’idh Abdullah al-Qarni menulis dalam sebuah bukunya yang cukup terkenal bertajuk Malam Pertama di Alam Kubur, seorang penyair Arab pernah mendendangkan syairnya: “Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam itu .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba.”

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i berkata: “Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: Dulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa sahabatnya dalam satu majlis: “Wahai fulan! Engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir mengenai kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.”

Pada suatu ketika pula, Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang bersurai kecuali beliau dan beberapa sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur itu.

Tidak lama kemudian sahabatnya bertanya: “Wahai Amirul Mukminin, kau adalah wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang. Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Amirul Mukminin.

Kubur ini memanggilku dan berkata: Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.

Kubur berkata: Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.

Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata: Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati.

Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.”

Antara syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Tetapi ramai kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman berbahaya ini.

Jika pun kita mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.

Jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki, tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati keras dan beku, rawatilah dengan penjelasan dahsyatnya kubur supaya ia hidup kembali.

Untuk merawat hati yang keras, memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir; sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah; menghadiri majlis ilmu; mengingati mati dan menziarahi kubur.

Jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya adalah satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

Wassalam

Kawal nafsu dengan akal dan hati

Kawal nafsu dengan akal dan hati





Setiap makhluk yang hidup di muka bumi Allah SWT ini mempunyai nafsu yang berbeza-beza. Bezanya manusia dan binatang adalah kerana manusia dikurniakan akal fikiran. Tapi nafsu manusia kadang-kadang lebih teruk dan hina dari binatang. Tanpa pertimbangan yang waras dan kurangnya iman seseorang itu akan bertindak mengikut nafsu tanpa berfikir. Tapi akhirnya akan menjerumus ia ke lembah yang hina dan dibenci oleh Yang Maha Pencipta. Kerana nafsu, manusia sanggup lakukan apa saja kesalahan dan dosa besar yang dilarang oleh Allah SWT.

Kawallah nafsu dalam semua perkara untuk kehidupan yang singkat ini supaya dirahmatiNya. Jangan nafsu mengawal fikiran kita dan bertindak mengakibatkan seseorang itu dicela oleh masyarakat sekeliling semasa hidup dan matinya pulak tidak terlepas dari azab seksaNya.

Nafsu buas dan nafsu binatang adalah sebahagian ungkapan yang kerap digunakan bagi menggambarkan betapa nafsu itu apabila gagal dikawal dengan iman maka ia pasti akan memburukkan keadaan.

Ungkapan terbabit juga mempunyai kaitan rapat dengan perilaku seks. Benar, terlalu banyak kes seperti suami yang 'makan luar', isteri gemarkan 'pucuk muda', guru menodai pelajar, pensyarah paksa pelajar buat oral seks dan remaja belasan tahun ditangkap ketika asyik memadu kasih.

Amat luar biasa perkembangan itu kerana kegilaan nafsu seks semakin hebat melanda kebanyakan orang di sekeliling kita.

Demikianlah nafsu jahat, apabila berada di tahap tinggi, ia tidak lagi mengenal sesiapa di hadapannya. Apa yang pasti dia dapat melunaskan hajat jahatnya.

Nafsu yang gagal dikawal sentiasa mendesak untuk melakukan perkara yang luar biasa. Bahan lucah pula sekarang berlambak-lambak dan amat mudah didapati. Masalah suka melihat gambar dan video lucah juga antara penyumbang terbesar kepada gejolak nafsu sehingga berlakunya zina di sana sini. Pernahkah kita terfikir kenapa ramai kanak-kanak perempuan dirogol? Ini kerana golongan berkenaan amat mudah diperdaya selain membuktikan perogol berada pada tahap tidak mampu lagi melawan nafsu sehingga tergamak menodai kanak-kanak sebaya dengan adik atau anak mereka sendiri. Jelas membuktikan tahap bahaya zina sekarang sangat meruncing sehingga virus itu mampu membunuh iman. Zina, seperti perkara lain yang boleh membangkitkan syahwat seksual adalah sama dengan dadah atau kegilaan orang ramai mengejar harta benda. Ia boleh membawa seseorang menjadi lupa segala-galanya.

Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sekiranya anak Adam itu mempunyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)". Riwayat al-Bukhari).

Dorongan ingin hidup berpasangan sememangnya naluri semula jadi yang dianugerahkan Allah SWT kepada seluruh manusia. Namun, cara dan tindak tanduk yang tidak diiringi dengan akal dan iman boleh melunturkan pegangan apabila berdepan dengan ujian terbabit. Individu lain pula tidak boleh mendabik dada jika mereka tidak pernah diuji sedemikian rupa. Jadi berhati-hatilah dengan percakapan serta tindak tanduk kita kerana tidak mustahil Allah SWT akan memberikan pula dugaan itu kepada kita pada bila-bila masa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang yang melampaui batas. (Surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7).

Ada sesetengah mereka menerima hubungan seksual sebelum kahwin itu sebagai satu perkara biasa dalam kehidupan. Maka amat beruntung dan bertuah sekali buat remaja yang tidak pernah terjebak atau jauh sekali mendekati zina. Semua tahu berzina adalah satu dosa besar yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan kelak. Mereka yang kini menjadi tunangan orang sekalipun bukan tiket bagi memadu kasih kerana syaitan sentiasa akan "menyerang" mereka sehingga tertewas. Kejahatan yang pernah dilakukan walaupun dengan 'ringan-ringan' ketika bercinta akan memberi kesan buruk selepas mereka mendirikan rumah tangga serta kepada zuriat yang bakal mereka lahirkan.

Tidak hairanlah ia berpotensi melahirkan suami curang, isteri berzina dengan lelaki di tempat kerja dan anak yang berzina.

Persoalan mengenai remaja yang berdepan dengan dilema selepas terjebak dengan kegiatan hina ini menjadi antara topik utama yang sering diterima menerusi ruangan soal jawab agama di sisipan ini. Bahana itu menjadi tamparan hebat buat semua, tetapi fokus kepada pendidikan perlu dibuat daripada awal. Memang benar syaitan cukup bergembira dapat menewaskan manusia. Tiada jaminan khas meskipun orang itu bergelar ustaz, sudah beristeri, belajar dalam bidang agama sekalipun jika mereka gagal tewas dengan godaan yang satu itu.

Bagi mencapai taubat yang sebenar, setiap individu perlu mempunyai kesedaran yang bukannya didesak dari luar kerana keinsafan itu terbit daripada ilmu dan iman. Seseorang perlu bertaubat nasuha supaya tidak mati dalam keadaan yang sangat hina dan keji. Malah pada zaman Rasulullah SAW, datang seorang lelaki dan berbicara dengan baginda mengenai perihal keinginannya untuk berzina.

Sahabat lain ingin membunuhnya kerana sangat marah lantaran sikap kurang ajar yang dipamerkan lelaki berkenaan kepada baginda. Namun, Rasulullah SAW tetap tenang dan bertanya kepada pemuda itu: "Sukakah kamu jika orang berzina dengan ibumu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan adikmu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan isterimu? Sukakah kamu jika orang berzina dengan anakmu? Pemuda itu marah dan menjawab tidak suka sama sekali.

Rasulullah SAW berkata yang bermaksud:

"Begitu jugalah orang yang kamu ingin berzina itu, dia adalah seorang anak, seorang ibu, seorang adik, seorang isteri lalu Nabi SAW letakkan tangannya yang mulia di dada lalu berdoa untuk hamba Allah SWT berkenaan. Pemuda itu sangat terharu dengan nasihat yang diberikan Rasulullah SAW. Sebelum itu dia sangat mahu berzina, tetapi sekarang tiada yang lebih yang dibencinya selain daripada perkara terkutuk itu. Cerita zina yang berlaku pada akhir zaman ini dianggap biasa bagi mereka yang hilang pedoman. Umat Islam sama ada lelaki atau wanita memang sedang dilanda lemah kawalan nafsu syahwat.

Dengan menyedari setiap dosa yang dilakukan nescaya hati pasti terdetik mahu bertaubat. Allah SWT pasti membantu mereka yang membulatkan tekadnya untuk berubah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilannya yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya ( Surah an-Nisa ayat 17).

Kita perlu sentiasa benar-benar berharap Allah SWT akan pasti mengampunkan dosa yang pernah dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya.
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah az-Zumar ayat 53).

Dengan kata lain, setiap pasangan yang masih segar dalam percintaan perlu menghindarkan diri daripada apa saja keadaan yang boleh membawa kepada zina. Segera lenyapkan apa juga cara yang boleh membangkitkan perasaan berahi termasuk ingin dibelai manja, berjalan berpimpin tangan serta berpelukan. Nafsu perlu diurus tadbir dengan sempurna dalam memenuhi keperluan serta kehendak manusia.

"Hawa nafsu hadir dalam dua bentuk iaitu sederhana dan memuncak. Jika ia dalam keadaan memuncak, ia tidak lagi berpaksi kepada kawalan akal, hati dan roh sebenar.

"Sebab itu, manusia tidak boleh sesekali memandang remeh terhadap pelaksanaan ibadat. Ia perlu dilakukan dengan sempurna supaya dapat menghalang daripada melakukan maksiat," katanya.

Mengulas mengenai keadaan orang melakukan ibadat namun masih melakukan maksiat, ibadat yang mereka lakukan itu tidak ubah seperti lakonan kerana ia dilakukan dengan sambil lewa.

"Solat bertujuan mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar, jika mereka masih 'tegar' melakukan maksiat bermakna ibadat itu tidak dihayati sepenuhnya.

"Orang yang beramal dengan sempurna sudah pasti mendapat keberkatan dan terhindar daripada melakukan maksiat. Solat itu barangkali dilakukan hanya buat tatapan orang ramai saja," katanya.

Beliau berkata, Allah SWT memberi jaminan jika manusia mengawal selia kualiti solat dengan baik ia akan memberi kekuatan dalaman. "Jadi, setiap manusia yang pernah tersilap langkah mereka perlu kembali bertaubat dan berazam tidak mengulangi kesilapan lalu," katanya.

Manusia perlu menunjukkan tahap kesabaran tinggi jika diuji hebat untuk melakukan maksiat. "Penting kepada kita untuk menjaga kehormatan diri kerana dosa silam tidak akan padam dan sentiasa berlegar-legar di ruang minda kita.

"Tiada gunanya mengecapi 'kemanisan' maksiat kerana ia hanya bersifat sementara, tetapi kesan dosa membuatkan seluruh hidup manusia dibelenggu perasaan bersalah walaupun sudah taubat," katanya.

Wassalam

Masalah keruntuhan moral remaja sekarang.

Masalah keruntuhan moral remaja sekarang.


Apa dah jadi dengan masyarakat kita kini? Semakin dikutuk perbuatan membuang bayi, semakin menjadi pula perlakuannya. Hari ini dilancarkan kempen kesedaran untuk menyelamatkan bayi yang dikandung atas rasa ihsan dan perikemanusiaan, namun keesokannya lain pula cerita dipaparkan di dada akhbar. Semalam di Kulim, seorang remaja perempuan berumur 12 tahun ditangkap sedang bersetubuh dengan seorang lelaki yang berumur 31 tahun di sebuah taman. Di bulan puasa pun mereka tergamak melakukan maksiat zina. Sementara seorang lelaki lain turut berada di rumah itu ketika kejadian ditangkap bersama. MasyaAllah!!

Pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi gejala negatif ini. Namun, apa yang berlaku seolah-olah bukan menjadi kesalahan kepada mereka yang membuang bayi dikandung sendiri. Bayi yang terhasil daripada hubungan haram itu suci dan tidak berdosa. Yang berdosanya mereka yang terjebak dengan gejala tidak bermoral itu.

Moral amat berkait rapat dengan akhlak dan sahsiah seseorang yang melambangkan tahap peradaban. Moral sering dinilai dari sudut agama tanpa mengira masa dan zaman. Apabila manusia melakukan perbuatan tidak bermoral, bermakna mereka menghancurkan tamadun yang dibina.

Seorang penyair Mesir yang terkenal, Shauki Bik pernah berkata: "Suatu bangsa ditentukan kualiti akhlaknya, jika akhlak rosak maka hancurlah bangsa itu". Moral manusia boleh roboh dan runtuh apabila mereka tidak menjaga keturunan, seperti berlakunya penzinaan secara berleluasa, pergaulan bebas dan hal-hal yang kebiasaannya membabitkan golongan remaja, hubungan songsang, perlakuan lucah dan sumbang, meminum arak sebagai lambang kemegahan dan macam-macam perlakuan yang bertentangan dengan tata moral manusia yang beragama.

Gejala buang anak yang berlaku hari ini adalah bukti paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda masalah keruntuhan moral serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan masyarakat kita sedang sakit jiwa dan rohaninya amat parah.

Mental mereka kehilangan radar berfikir untuk bertindak secara rasional. Hukum agama yang menjadi disiplin kehidupan manusia tidak dipedulikan lagi demi kebebasan seperti dipromosikan dunia barat. Hari ini perzinaan berlaku di depan mata dalam keadaan yang mengaibkan, namun dirasakan bangga oleh pelakunya. Ada pula perawan menceritakan kepada orang lain akan kehilangan mahkotanya dengan penuh rasa bangga. Jauh sekali rasa berdosa dan malu.

Memang betul bahawa moral itu sering dicabar oleh faktor perubahan masa dan persekitaran. Namun nilai moral mesti dipertahankan. Jangan sekali-kali digadaikan seperti menjual barang murahan di pasaran terbuka. Kita bukan berkiblatkan Barat dan semua pembawaan perilaku dan moral mereka mesti dipertimbangkan demi memelihara moral kita.

Pastikan ikatan moral tidak berubah walaupun masyarakat mengalami evolusi mental. Caranya dengan mengamalkan tuntutan agama. Maknanya, agama adalah pengikat kepada kebebasan moral dan tingkah laku manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Menurut Muhammad Al-Qutb dalam bukunya Jahiliah Abad ke-20, konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, sebaliknya disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup yang cukup sempurna.

Perbuatan berjudi, minum arak, berzina dan membunuh anak sendiri adalah perbuatan tidak bermoral yang boleh meruntuhkan ketamadunan bangsa. Sebagai contoh, dengan meminum arak seseorang akan rasa bangga. Mereka anggap sebagai suatu nilai kepuasan sama seperti bangsa Arab zaman jahiliah yang menjadikan arak sebagai minuman terhormat.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi membunuh anak perempuan semata-mata kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang diperlukan untuk persiapan perang. Dunia mereka adalah peperangan dan memerlukan tenaga lelaki untuk kemenangan, sedangkan perempuan itu dianggap lemah yang menyumbang kekalahan.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah SWT bermaksud:

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Wassalam

Sekadar mengingatkan sesama insan.

Sekadar mengingatkan sesama insan.



Tajuk kali ini hanya sekadar mengingatkan kepada pembaca. Sekiranya mendapat manfaat lakukan dan hindarkan perkara jika ia boleh mendatangkan keburukan.

Mengingatkan sesama insan yang lain dan membetulkan serta memperbaiki diri sendiri supaya menjadi hamba Allah SWT yang baik disisinya. Kadang-kadang kita melakukan berbagai kesilapan yang berulang-ulang kali kerana tiada siapa yang menegur atau menasihatkan kita.

Hari ini kita sebagai anak dan esok nanti akan menjadi ibu kepada anak-anak. Renung-renunglah bila membacanya nanti.

Ibu Kita dan Kita Sebagai Ibu

1. Lapangnya masa kita ada kaitan dengan keberkatan hidup kita. Kita adalah di bawah seksa Allah SWT bila masa untuk buat benda yang tidak tapi tak ada masa nak buat yang baik.
2. Setitik air mata ibu jatuh, 10 kebajikan anak hilang, jadi ibu-ibu jangan titiskan air mata ya! Dan anak jangan bagi ibu menitiskan air mata. Menangis kerana anak berjaya dan bukan sedih kerana angkara anak derhaka.

3. Sekiranya balik tengah malam, buka lampu tengok dan tataplah wajah ibu, sebab wajah orang tidur akan menampakkan segalanya. Samada ibu gembira atau derita.
4. Ada tiga mata yang tak akan dijilat oleh api neraka.
a. Melihat kaabah sehingga menitiskan air mata.
b. Membaca Al-Quran sehingga menitiskan air mata.
c. Memandang wajah ibu yang sedang tidur sehingga berlinang air
mata.
5. Tiga orang yang kita kena pandang wajah mereka dalam hidup semasa mereka tidur!
a. Anak.
b. Ibu.
c. Suami.

6. Sekiranya jika kita ada perselisihan faham dengan suami kita sampai nak bercerai berai, pandanglah mukanya bila dia tidur, Jika masih terbit perasan kasih sayang, cinta, rindu atau simpati, janganlah bercerai tapi jika tiada rasa apa-apa perasaan tu. Maksudnya jodoh
dah memang tak ada, boleh teruskan niat anda.
7. Orang yang selalu menatap and memandang ibunya takkan menangis di hari kematian ibunya. Kira tak menangis teruklah. Bagi siapa yang masih ada ibu, pandanglah selalu wajah ibu.


8. Adalah menjadi satu dosa jika kita menggunakan jari telunjuk untuk menunjukkan sesuatu pada ibu kita.
9. Kalau ada niat yang baik teruskan. Allah SWT akan bersama, jangan takut, Jika tak mampu lakukan sesuatu, pasang niat pun sudah mencukupi, niat nak tolong tapi tak mampu, niat nak tolong pun sudah memadai.
10. Barang siapa yang tidak mendoakan ibunya selepas sembahyang untuk ibu yang sudah meninggal dunia maka dikira dia adalah anak derhaka walaupun pada waktu ibunya hidupn dia tak pernah menderhaka. Maksudnya jika ibu masih hidup atau telah tiada, selepas setiap solat kita mesti doakannya!


11. Jika kita tak mampu meletakkan diri kita di tempat yang terbaik, Allah SWT akan meletakkan kita di tempat yang terbaik, sekiranya kita meletakkanan ibu kita di tempat yang terbaik.


12. Ada kaedah yang mana kita boleh memohon kepada Allah SWT, “ungkit” kebaikan yang menimpa dengan tujuan untuk makbulkan doa kita. Kaedah tu dipanggil “wasilah amal”.
a. “Ya Allah semalam aku sudah bersedekah kepada fakir miskin sebanyak RM10, kalau itu satu kebaikan jadikanlah ia penyebab makbulnya doaku ini”


b. Paling banyak buat baik dengan ibu kita, lagi mustajab. Maknanya wasilah amal ni sangat berkesan kalau yang dituntut tadi adalah hal-hal yang berkaitan kebaikan yang dibuat kepada ibu kita.
Antara lain yang boleh dituntut adalah apabila kita ditimpa sakit atau musibah.

1. Jika ditimpa kesakitan, baca lah "Innalillahiwainnaillaihirojjiun," baru bercakap dengan Allah SWT.

a. “Ya Allah, berilah pahala besar untuk sakit yang aku tanggung ini”

b. “Ya Allah, bagilah aku keampunan dosa atas sakit ku ini”

Walaupun suapkan makanan kepada anak pun kita boleh menuntutnya, apatah lagi sedekah kepada ibu dan orang yang memerlukan.

2. Doa orang yang masih hidup makbul untuk orang yang hidup dan mati. Jadi doakan ibu kita telah tiada!

a. Doa orang yang mati makbul untuk orang yang masih hidup.

Contohnya kita menzirah pusara ibu dan bercakap “Mak, esok anak saya nak kahwin, kalau mak ada tentu mak bahagia tengok cucu mak kahwinkan..kan” atau “Ayah, esok saya nak kawin, kalau ayah ada, pasti ayah akan gembira tengok sayakan..kan.” Ibu/bapa yang telah tiada tapi mereka mendengar dan mendoakan kita dari sana.

3. Bila lalu disebelahan kubur, perlahankan kenderaan dan beri salam! Mereka akan doakan kita “berkatilah si A ini” dan jika tak bagi salam, mereka akan kata “celakahlah orang ini” Jadi, jangan lupa bagi salam lain kali. Kubur yang anda tahu dikampung anda tinggal. Atau kubur-kubur yang jelas dihadapan.

5. Tanda tanda seksa Allah SWT atas muka bumi ini antara lain menyimpankan harta sampai mati dan tak pernah mengeluarkan zakat dan bersedeqah.


6. Sesiapa yang bersedekah selalu, tak akan miskin orang itu selamanya

7. Bila nak berbelanja atau “shopping” selalu “spare” duit untuk sedekah kerana dalam dompet duit kita itu ada hak orang lain yang susah. Jadi bila orang buta datang masa makan, sedekahlah sebab kita nak cari orang susah untuk sedekah dah amat susah masa sekarang. Jadi Allah SWT hantarkan orang-orang susah ini untuk kita dapatkan pahala amal jariah.

8. Jika ibu kita sudah meninggal dunia dan semasa hayatnya kita ada peruntukkan wang untuk dia, bila ibu kita sudah tiada lagi. Teruskan memberi peruntukkan tu sebagai sedekah untuknya. Jangan kurangkan peruntukkan!! “Ya Allah, aku sedekahkan bagi pihak ibuku, semuga pahala sedekah ni sampai kepada ibuku”. Itu yang membuat ibu kita bahagia di sana.

9. Jika kita susah nak bersedekah, bayangkan wajah ibu kita baru kita ringan tangan nak bersedekah.

10. Allah SWT panjangkan usia ibu dan bapa kita supaya mereka sakit dan nyanyuk untuk memberi syurga pada anak-anaknya. Jagalah mereka dengan sebaik mungkin, insyallah syurga balasannya. Jadi jika tahu ibubapa sakit, berebutlah menjaga ibubapa kita. Besar sangat pahalanya.

11. Allah SWT jika boleh tak nak kita masuk neraka jadi Allah SWT tak akan matikan seseorang dalam keadaan kotor dan berdosa jadi dia kifaratkan bagi kita sakit,malu,miskin untuk membersihkan diri kita sebelum sakaratul maut mengambil nyawa kita.

Selalu Bergaduh Dengan Ibu

1. Jika ada antara kita yang selalu bergaduh dengan ibu, ada kemungkinan kita diganggu oleh saka.

a. Antara gangguan saka ialah selalu mimpi bayi/budak. Dukung bayi, susu bayi atau selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi, selalu sakit tulang belakang,tulang belakang bengkok dan rasa mengantuk selepas asar

b. Saka dipindahkan melalui kasih sayang, Harta pusaka walaupun sebiji pinggan, amalan dan sentuhan.

Tanda-tanda terkena saka

a. Tak boleh tidor lena tapi bila dekat dengan azan subuh, senang lena.

b. Bila dah peringkat teruk, di usia tua kita, tengah malam selalu rasa lapar nak makan.

c. Susah nak mendapatkan anak, senang gugur.

d. Ada rasa kelibat orang lalu.

e. Yang lagi parah, saka bersetubuh dengan kita, mengandung tapi anak hilang dalam kandungan jadi bila nak berjimak dengan suami, bercakap lah sedikit dengan suami kerana saka boleh menyerupai suami kita dan dia datang dalam keadaan diam. Selalu saka jenis Hantu Raya.

1. Cara hilangkan saka.

Lakukan Zikir “Laillahaillalah” 700,000 sampai habis, insyallah saka akan cair dan keluar dari badan. (Yang termampu).

2. Jika ada penyakit was-was.

bacalah surah al-ikhlas. Surah Al-ikhlas” 1000x sehari.

3. Anak Lari Dari Rumah.

Jika anak lari dari rumah, gantungkan bajunya dihanger dan anginkan dan hadiahkan surah Al-Ikhlas setiap hari. Masa laungan azan yang pertama, panggilah nama anak kita, insyallah akan sampai panggilan kita kepadanya.

4. Anak Degil.

Bila anak dah tidur, duduk di hujung kepala pangil ROH ANAK.

”Wahai roh anakku "nama anak", jadilah kamu roh yang baik, roh yang bertimbang rasa pada ibu dan bapa, roh yang taat pada Allah SWT, roh yang sayang sesama manusia”.

Usaha anda akan berjaya hanya kerana izin Allah SWT sahaja. Iktiqod kepada Yang Maha Berkuasa keatas segalanya.

Jazakallah khairan.