29 February 2012

PETUA-PETUA KESIHATAN

PETUA-PETUA KESIHATAN



Di bulan puasa Ramadhan ini, pastikan anda minum ayer kosong sekurang-kurangnya 7 gelas selepas waktu berbuka puasa. Jika tidak anda mungkin kekurangan air didalam badan kerana cuaca panas terutama yang pekerjaannya terdedah kepada kepanasan melampau.

Walaupun penulis bukanlah terdedah kepada cuaca panas. Tetapi akibat kurang minum air kosong dalam bulan puasa ini, pada malam kelmarin terasa sakit sangat dibahagian tersebut apabila hendak membuang air kecil. Perit sakitnya dan terus google cari cara-cara menghilangkan sakit serta untuk atasi masalah kencing tidak lawas.

Nak ke farmasi sudah jauh malam dan terjumpa petua ini dan terus penulis lakukan. InsyaAllah sejam kemudian. Sakit dan kencing sudah kembali normal. Penulis ucapkan terima kasih pada satu blog (Lihat Sumber dibawah) yang memberitahu petua-petua kesihatan yang baik dan berkesan juga. Jadi penulis copy dan paste untuk sama-sama kita manfaatkan bersama. Ini sebahagian petua kesihatan 1. Nak tahu lagi petua kesihatan 2 dan 3, buka blog tersebut.

01- Masalah kencing tidak lawas
Atasi masalah kencing tidak lawas dengan menggunakan air basuhan beras yang ketiga. Minum air basuhan tersebut segelas setiap hari dan lihatlah perbezaannya.

02- Bibir Merekah
Minum air kelapa muda yang dicampur dengan kuning telur dan sedikit madu lebah. Amalkan meminumnya sekali dalam sehari dan nantikan hasilnya.

03- Segarkan Kulit Muka
Sapukan jus epal hijau kemuka dan biarkan selama 5 hingga 10 minit kemudian cuci muka dengan air bersih.

04- Rawati Kulit Melecur
Tuangkan susu cair atau susu pekat manis keatas bahagian yang terkena air panas. Pastinya ia tidak akan mengelembung dan berparut.

05- Merawat Sakit Tekak
Jika anda menghidap sakit tekak, anda perlu mendapatkan beberapa keping asam keping. Asam keping ini hendaklah dibakar hingga menjadi hangus. Setelah itu ditumbuk dan digaul dengan sedikit air sirih. Setelah itu sapukan pada bahagian tekak anda yang sakit. Insya Allah tekak anda akan sembuh seperti sediakala.

06- Mengurangkan Batuk
Ambil satu ataupun dua sudu nasi panas yang baru saja masak. Kemudian masukkan ke dalam cawan dicampurkan sedikit air. Setelah itu, embunkan nasi tersebut selama semalam. Keesokan harinya, minumlah air tersebut. Ulangi petua ini hingga beberapa hari. Insya Allah, batuk anda akan sembuh dengan segera.

07- Asma/Sesak Nafas
Ambil 4-5 helai daun buah keras laut. Ramaskanlah daun tersebut dengan air bersih. Kemudian saringlah setengah gelas. Embunkan semalaman sebaik-baiknya dilakukan pada waktu pagi. Apabila bangun tidur, ambil air tersebut dan dicampur dengan sedikit madu. Minumlah berulangkali setiap pagi ramuan ini.

08- Menurunkan panas badan
Daun bunga raya amat berguna unutk menurunkan panas badan ketika demam. Ambil beberapa helai daun bunga raya dan ramas di dalam air hingga hancur.Sapukan pada kepala dan seluruh tubuh hingga basah. Biar kering sendiri dan ulang lagi hingga reda panasnya.

09- Manfaat Air Nenas
Kencing batu karang menyakitkan, badan berasa tidak arah dan demam. Setiap kali buang air berasa sakit. Mungkin petua ini dapat membantu anda. Kupas sebiji nenas dan cincang.Campur segelas air serta sedikit garam dan dikisar halus.Minum air nenas segelas setiap hari sehingga penyakit anda nampak pulihnya.

10- Menyegarkan Mata Gatal dan Letih
Ambil beberapa helai daun sireh muda. Kemudian, cuci bersih. Ramas-ramaskan ia dan masukkan ke dalam air suam. Selepas itu, tapis airnya. Selanjutnya rendamkan mata sambil kerdipkan berulang kali. Lakukan selalu dan hasilnya anda akan merasai perubahannya.

11- Penawar Resdung
Petua yang paling mudah dan berkesan ialah dengan mengamalkan menyedut air ke dalam hidung (seperti sebelum kita ber wuduk).Kemudian picit sebelah hidung dan hembuskan sekuat hati. Buatlah berulang-ulang kali sehingga selesai kedua-duanya. Selepas itu basuhlah muka dengan bersih. Lakukan ini setiap kali setelah sampai ke satu-satu destinasi, baik ke pejabat,bersantai, beriadah atau pulang ke rumah malah ke mana saja. Kesannya sungguh menakjubkan.

12- Sembuhkan luka selepas bersalin
Bagi wanita yang baru bersalin dan ingin luka cepat sembuh, anda boleh amalkan petua berikut: Mula-mula ambil beberapa helai daun jambu batu dan dua keping asam keping. Kemudian rebus sehingga mendidih. Biarkan seketika sehingga air tadi menjadi suam. Cuci bahagian luka tadi dengan menggunakanair tersebut.
Insya Allah luka akan cepat sembuh.

13- Legakan Sakit Kepala
Setiap orang mungkin mengalami sakit kepala yang amat sangat akibat tekanan di tempat kerja dan sebagainya.Jadi untuk menghilangkan rasa sakit kepala itu, ambil tiga atau empat keping asam gelugor atau asam keping. Rendamkan dalam air suam semalaman. Minum air tersebut pada keesokkan harinya. Insyaallah sakit kepala anda akan hilang serta merta.

14- Kilatkan rambut dengan biji betik
Ambil biji betik yang sudah masak sebanyak dua genggam, Bersihkan kulit biji yang berair itu, dan jemursampai kering. Bila sudah kering, gorengkannya tanpa minyak sampai hangus. Setelah itu bolehlah ditumbuk atau digiling biji betik itu hingga lumat. Pindahkan pada piring dan bancuh dengan air. Sebelum menggunakannya bersihkan rambut anda terlebih dahulu . Keringkan rambut anda dan sapukan bahan tadi tanpa syampu. Anda akan dapat lihat hasilnya. Rambut anda akan kelihatan hitam dan berkilat.

15- Hilangkan Lemak
Jika anda mengalami masaalah berat badan anda boleh menggunakan air asam jawa sebagai minuman harian.ini kerana, air asam jawa boleh menjadi alternatif bagi mengurangkan lemak dalam badan anda. Caranya; Ambil sebuku asam jawa, Ramas dengan air sebanyak satu gelas. Masukkan air asamjawa tadi kedalam peti sejuk. Minum air tadi selepas makan tengahari atau selepas makan malam. Amalkan meminumnya setiap hari dan anda akan dapati tubuh anda bertambah segar dan langsing.

16- Merawat Ketumbit
Jika ada dikalangan keluarga atau rakan-rakan anda menghadapi masaalah ketumbit di mata, Tak perlulah risau kerana ianya mudah dirawat dengan bawang putih sahaja. Caranya, ambil seulas bawang putih, guris sedikit bahagian hujungnya dengan kuku agar keluar airnya dan sapukan pada kelopak mata yang ber ketumbit tadi 3 kali sehari. Insyaallah ketumbit akan beransur baik dalam masa singkat.

17- Menghilangkan Panau.
Panau adalah sejenis penyakit kulit yang tidak menyakitkan. Namun ianya membuat kulit anda kelihatan tidak menarik. Oleh yang demikian jika anda mengalami masaalah panau, cubalah petua di bawah ini:
Ambil lengkuas atau bawang putih, gosokkan pada panau itu sehingga kulit anda terasa perit dan kemerah-merahan. Ulangi selama seminggu. Insyaallah panau anda akan beransur hilang dan kulit anda akan kelihatan lebih menarik.

18- Melangsingkan badan.
Melangsingkan badan,cara paling mudah dan murah ialah:
1-Dua biji lobak merah dipotong
2-Sebiji mentimun segar,
3-Sebiji limau nipis,
Kemudian ketiga-tiga bahan ini dikisar dan diperah airnya untuk diminum.Amalkan dua kali sehari setiap pagi dan malam. Insyaallah badan yang gedempol akan beransur langsing dan menarik.

19- Awet muda dan menarik.
Wajah anda kelihatan tua kurang menarik dan berminyak.
Amalkan ketiga-tiga cara di bawah.
1-Banyakkan ketenangan, berzikir dan sentiasa mengingati Allah.
2-Minum segelas air suam setiap pagi sebaik bangun tidur.
3-Makan sehelai daun pegaga segar setiap hari selama 40 hari.

20- Khasiat bawang putih.
Mereka yang menghidap lelah dan semput seringkali menghadapi masaalah bila termakan makanan dingin seperti rambutan, mentimun dan betik. Untuk ke klinik kita akan mengambil masa dan kos yang tinggi, Oleh itu cubalah petua di bawah:

Dua ulas bawang putih-ditumbuk,
Tiga sudu minyak masak.
Campurkan kedua bahan tadi dan sapu pada leher, dada dan belakang. Dalam masa sepuluh minit kita akan lihat perubahannya. Ia juga boleh digunakan ketika batuk.


SUMBER: www.familiazam.com

HATI EMAS

HATI EMAS

YBHG USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI


Salam pembaca,

Sila baca posting dari sebuah blog GENTA RASA yang hebat ini. Banyak nasihat dan kisah teladan buat diri kita yang masih kurang. Banyak ilmu kita boleh pelajari dari penulisan beliau. Semuga dimanfaatkan untuk kebaikan bersama. Teruskan membaca, sungguh tersentuh penulisan ini jika anda mempunyai sekeping hati iaitu hati emas. Semuga muhasabahkan diri kita, siapakah diri kita yang sebenarnya di sisi Allah SWT?.

===================================

HATI EMAS



Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya ‘tidak berakal’. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayatNya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran.

Malangnya, sedikit sekali ‘orang yang berakal’ walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.

Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai ‘orang agama’ tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya… hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?

Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak ‘berminyak air’. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.

Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor.

Ramai yang hanya di tahap ‘lepas fardu Ain’… Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’, hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.

Sepanjang kembara dalam usia mencecah 50 tahun, saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.

Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar dalam arena pendidikan.

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah.

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa ‘glamour’ dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .Tegasnya, mereka ini tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk ‘universiti kehidupan’ – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.

Sahabat-sahabat ku (pengunjung gentarasa), kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan. Ya, tiada kata secantik bahasa… untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan!

Untuk mu sahabat-sahabatku, aku tinggalkan sedikit catatan… di nota hati yang ‘bergenta’ beberapa minggu yang lalu. Ini adalah kesah protes hatiku terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu) untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah ‘orang agama’ menjadi fitnah terhadap agama.

Namun, aku tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu kupintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. Ya, akhirnya ku coretkan catatan ini. Cuma kisah sekeping hati..

HATI SEORANG PEMANDU TEKSI

Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumah ku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat Asar – jika kebetulan pulang awal dari kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin.

“Kenapa masih bekerja Pak cik?”

“Kenapa? Pak Cik dah nampak tua?” tanyanya kembali.

Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya.

“Anak-anak masih kecil?” tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat.

“Ah, Pak Cik dah bercucu. Alhamdulillah anak-anak semuanya dah bekerja. Ada juga yang berniaga,” kilas Pak cik itu bersahaja.

“Kenapa Pak cik masih bekerja?” tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra.

“Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen,”jawabnya pendek.

Aku terdiam. Inilah inti pati kuliah ‘Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah’ yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi Pak Cik ini yang menghayati dan mengamalkannya. Ya, kalau kita bekerja kerana ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatnya. Tetapi kalau kita bekerja kerana Allah, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira Pak cik ini telah mendapat bantuan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana Allah.

“Pak Cik gembira dengan kerja ni?”

“Gembira. Pak Cik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian Pak Cik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja Pak cik memberi khidmat kepada manusia lain,” akuinya terus-terang. Hebat, inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz, sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.

“Awal Pak Cik dah keluar? Lepas Subuh terus bekerja?”

“Pagi-pagi ni murah rezeki. Pak Cik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan kerja lain.”

“Malam pun Pak Cik kerja juga?”

“Bukan kerja… Pak cik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja Pak Cik yang dah berumur ni.”

Subhanallah, sekali lagi Pak Cik ini mengamalkan apa yang disebut dalam Al Quran ‘fa iza faraghta fan sab’ – maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain), maksudnya selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah yang lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah ‘around the clock’ – sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga.

“Pak Cik dulu mengaji agama di mana?” aku terus mencungkil.

“Pak cik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang Pak cik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar, kata orang. Kadangkala di masjid, di surau, dalam radio atau melalui perbualan-perbualan biasa.”

“Apa yang Pak Cik cari semasa mengaji secara dengar-dengar tu?”

“Pak Cik pegang satu sahaja, bila dapat kita terus amal. Baru ilmu tu berkat.”

Aku senyum. Memang luar biasa Pak Cik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita Pak Cik ini pernah memulangkan wang berjumlah RM 5 ribu yang tertinggal oleh penumpang dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi.

“Sekarang ni mudah dapat pelanggan?”

“Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka.”

“Kalau pelanggan tidak da bagaimana?”

“Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pak Cik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar Pak Cik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu.”

“Pak Cik sihat? Tak da sakit-sakit?”

“Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat. Tetapi yang berat-berat tu tak adalah. Alhamdulillah.”

“Pak Cik makan makanan tambahan? Food supplement?” jolok aku.

“Tak da. Pak Cik cuma jaga makan dan joging. Tubuh kita ni bukan kita punya… kena jaga baik-baik.”

“Eh, Pak Cik, sepatutnya yang kita punyalah kita kena jaga baik-baik.”

“Tak tahulah Pak Cik. Tapi Pak Cik anggap tubuh kita ini amanah Allah. Bila amanah, kita perlulah jaga baik-baik.”

Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati aku mengagumi orang seperti Pak Cik ini. Orang tua yang ‘simple’, tenang dan punya prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Individu yang dianggap marhaen ini rupanya punya ‘hati emas’. Isi cakap dan sikapnya semuanya Al Quran dan Al Hadis, walaupun dia tidak petah menuturkan ayat Al Quran dan lafaz hadis. Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan Al hadis tetapi praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan Al hadis yang menjadi perhiasan lidahnya!.

Kisah Pak Cik pemandu teksi ini mengingatkan aku kepada budak gembala kambing yang diuji oleh Amirul Mukminin Sayidina Umar Al Khattab di tengah padang pasir. Apabila Sayidina Umar mengatakan bahawa tuan punya kambing tidak akan tahu jika budak gembala itu menjual seekor kambing secara senyap-senyap, budak itu lantas berkata, “kalau begitu di mana Allah?”

Begitu juga dengan kisah seorang gadis yang tidak mahu mencampurkan air ke dalam susu yang dijualnya walaupun disuruh oleh ibunya berbuat demikian.

“Kita tidak boleh mencampurkan susu ini dengan air ibu. Amirul Mukminin Sayidina Umar telah melarang perbuatan ini.”

“Ah, kita di dalam rumah kita. Bukankah ini waktu malam? Umar tidak akan tahu,” balas ibunya.

“Tapi Tuhan Umar tahu! Allah tahu ibu.”

Kata-kata budak gembala kambing, “kalau begitu di mana Allah?” dan gadis penjual susu, “tetapi Tuhan Umar tahu,” sesungguhnya bukan Al Quran dan bukan hadis tetapi rohnya, isinya dan mesejnya sejajar dengan Al Quran dan hadis. Itulah natijah pemikiran dan jiwa yang telah dibentuk oleh iman, lafaz kebenaran boleh jadi diluahkan dalam bahasa pertuturan yang biasa-biasa sahaja tetapi jika dicari dalil dan hujahnya dalam Hadis dan Al Quran, pasti ditemui.

Kembali kepada cerita Pak Cik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat Asar tadi.

“Pak Cik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?”

“Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita mengelak dengan baik.”

“Mengapa begitu Pak Cik?”

Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata, “ itulah ujian yang menentukan kita ikhlas atau tidak… Kalau kita buat kerana Allah, Insya-Allah, kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja..”

Sekali lagi Pak Cik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Sayidina Ali. “Tanda ikhlas itu…, kata Sayidina Ali, “ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadah mu tetap sama.”

Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat Al Quran, surah Fussilat: 34 yang bermaksud, “ tolaklah kejahatan yang ditujukan kepada mu dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Setelah bersalaman, Pak Cik pemandu teksi itu menuju teksinya.

“Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum,” katanya, terus memandu teksinya dengan ceria. Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghitung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan? Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah memakannya? Begitulah perumpamaannya…


"SHARING IS CARING"

Sumber: GENTA RASA

PETUA UNTUK BAGI MATA SENTIASA TERANG

PETUA UNTUK BAGI MATA SENTIASA TERANG



Banyak menggunakan komputer terutama sekali netbook yang bersaiz kecil berjam-jam lamanya atau menonton TV tanpa membuka lampu di waktu malam. Boleh membuat mata anda letih dan penglihatan akan menjadi kabur serta kurang jelas. Jika ini berlarutan bertahun-tahun lamanya. Ia boleh menjejaskan mata anda. Sebagai penjagaan yang baik untuk mata agar sentiasa dapat melihat dengan terang sehingga tua.


Amalkan membaca Surah 4 Qul ketika membasuh muka selepas bangun daripada tidur sambil berniat kepadaNya agar diterangkan mata.


Surah-surah 4 Kul tersebut adalah:
1.Surah Nas.
2.Surah Falaq.
3.Surah Ikhlas.
4.Surah Kafirun.


Insyaallah, mata anda akan sentiasa terang walaupun ketika anda memandu diwaktu malam.


Amalkan juga makanan yang membekalkan vitamin A seperti karot yang mempunyai kandungan "beta-carotene" yang dapat menerangkan mata daripada menjadi kabur. Minumlah selalu jus karot dan ditambah sedikit susu, baik untuk penjagaan mata.


Buah betik baik juga khasiatnya untuk penjagaan mata dan kepada mereka yang susah buang air besar elok amalkan makan betik selalu. Kepada blogger untuk menjaga mata anda daripada menjadi kabur selepas berjam-jam membaca blog. Amalkan surah 4 Qul selalu. Moga-moga beroleh mata yang baik dan terang. InsyaAllah.


Wasallam.

IBLIS MEMPERDAYAKAN SITI HAWA

IBLIS MEMPERDAYAKAN SITI HAWA



Sesesungguhnya Iblis berusaha untuk bersemayam dalam setiap hati manusia, mengikuti gerak-gerinya dengan harapan akan dapat menghancurkan dan memusnahkan kehidupan seseorang.


Dalam sebuah cerita disebutkan bahawa pada suatu hari Nabi Adam as keluar rumah untuk mencari nafkah, maka datanglah Iblis bersama anaknya yang bernama Khannas menemui Hawa. "Aku ingin menumpangkan anak ku di sini, kerana ada satu keperluan yang penting, aku harus pergi sendiri" kata Iblis. Kemudian Hawa menerima anak Iblis tersebut.

Ketika Nabi Adam pulang, dia bertanya: "Anak siapakah ini?” Hawa menjawab; "Iblis menumpangkannya kepada ku" Adam menjadi marah, lalu Khannas dibunuhnya dan dipotong-potongnya. Kemudian setiap potongan badan Khannas disangkutnya di atas dahan-dahan pohon kayu. Setelah itu Adam pergi lagi.

Tidak lama kemudian Iblis datang dan menanyakan tentang anaknya. Hawa menceritakan kepada Iblis tentang apa yang telah terjadi. Lalu Iblis memanggil nama anaknya maka kepingan-kepingan tubuh Khannas bersatu lagi, kemudian menyambut kedatangan ayahnya Iblis.

Pada kesempatan yang lain ketika Iblis ingin pergi kerana keperluannya, ia menumpangkan anaknya lagi kepada Hawa. Hawa menolak untuk menerima anaknya itu. Tapi dasar iblis pandai merayu, sekali lagi Hawa menerima anak Iblis tersebut. Ketika Nabi Adam pulang dari mencari nafkah didapatinya anak Iblis itu masih ada lagi, Adam menjadi marah sebenar-benar marah. Dibunuh anak itu, mayatnya dibakar, abunya dibuang ke sungai-sungai dan ke merata tempat.

Ketika Adam telah pergi Iblis datang lagi menanyakan tentang anaknya. Kemudian ia memanggil nama anaknya, dan seluruh abu tadi bersatu kembali dan anak itu hidup lagi. Kemudian menumpangkan anaknya itu kepada Hawa lagi. “Kali ini pastilah Adam akan membunuh ku” kata Hawa. Namun Iblis yang pandai merayu itu dapat melemahkan hati Hawa sehingga menerima kembali anak tersebut. Kemudian Adam pulang, kemarahannya sudah tidak tertahan, lalu anak Iblis itu disembelihnya dan dimasaknya. Kemudian sebahagian dimakannya dan sebahagian lagi diberikannya kepada Hawa.

Ketika Iblis datang Hawa menceritakan apa yang telah terjadi. "Inilah yang ku inginkan" kata Iblis. “Aku ingin bersemayam di dada Adam, dan kini hasrat itu telah terkabul. Sejak saat itu Iblis selalu berada dalam diri manusia.

Iblis termasuk makhluk yang tabah dalam menggoda manusia. Ia berusaha berbagai upaya untuk memperdayakan manusia, dan bahkan ia bermohon kepada Allah agar hidup sampai hari kiamat untuk melakukan hasratnya itu.

Namun tidak semua orang terpedaya dengan bisikan dan rayuan Iblis ini. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh selalu menjaga dirinya dari mengikut jejak langkah Iblis. Contohnya Nabi Ayub yang merupakan lambang "kesabaran" sebab beliau tetap sabar dalam menerima cubaan.

Wasallam.

IBLIS DENGAN AHLI-AHLI NERAKA

IBLIS DENGAN AHLI-AHLI NERAKA



DALAM sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis itu dengan tali dari api.

Kemudian dikatakan kepada Iblis laknat:

“Wahai Iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka.”


Setelah Iblis menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai para penghuni neraka.” Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu Iblis.

Kata Iblis:

“Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa’ir.”


Berkata Iblis lagi:

“Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat.”

Berkata Iblis lagi:

“Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah SWT sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?”

Akhirnya Iblis berkata:

“Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam.”

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata Iblis itu maka mereka melaknati Iblis itu. Setelah itu Iblis dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniah berkata:

“Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya.”

Janganlah kita menjadi orang yang bodoh apabila kita tahu bahawa Iblis itu hanya menipu kita, Iblis itu adalah musuh ketat kita. Oleh itu janganlah sekali-kali kita ikut menjadi ahli keluarganya, selagi kita bernafas cepatlah kita kembali ke pangkal jalan kalau nafas sudah berhenti maka segala-galanya tidak berguna lagi.

Mereka yang takut kepada Allah SWT adalah orang yang akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, oleh itu sembahlah hanya kepada Allah. Orang yang takut kepada Allah SWT adalah mereka ini disebut orang yang amanah, orang yang bersopan santun, orang yang menganggap semua orang Islam itu sebagai saudaranya.

Mereka yang mencabar kekuasaan Allah SWT dengan berketuakan Iblis dan Syaitan adalah mereka ini dikenali sebagai kaki bohong, kaki pencuri, kaki judi, kaki arak, kaki dadah dan sebagainya. bagi mereka ini setiap yang sama dengan mereka adalah ahli atau kakitangan Iblis. Kerja mereka adalah menjatuhkan maruah mereka sendiri.


Wasallam.

KENALI MUSUH UTAMA ANDA

KENALI MUSUH UTAMA ANDA






Kita menyaksikan sebahagian umat Islam yang berpuasa masih ada yang melakukan maksiat di dalam bulan Ramadan. Bahkan berlaku juga rasukan jin dan syaitan di dalam bulan Ramadan, termasuk yang dirasuk itu di kalangan umat Islam yang berpuasa. Jika begitu keadaannya, apakah maksud hadith Nabi saw yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan Ramadan ? Nabi saw bersabda:

Maksudnya : “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw telah bersabda : “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai/dibelenggu para syaitan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Para ulama berbeza pendapat tentang maksud dibelenggu para syaitan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan Ramadan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.


Al-Syeikh ‘Atiyyah Saqr menyebut beberapa ulama yang mensyarahkan hadith ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu ini ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya, dengan meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw :
Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.”(HR al-Bukhari)
Syaitan merupakan makhluk Allah yang diciptakan dari api. Syaitan adalah musuh utama bagi orang mukmin sebagaimana kerap kali diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran. Antaranya dalam surah Fatir;6:

"Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka".

Kita sedaya upaya hendaklah berusaha menjauhi amalan-amalan yang diwarisi daripada syaitan atau perbuatan yang boleh menyebabkan kita menjadi pengikutnya.


Walaupun kita berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat, hadis-hadis Rasulullah saw banyak mendedahkan hakikat sebenar syaitan dan cara-cara untuk menghindari tipu muslihatnya. Di sini dinyatakan hadis-hadis mengenai perkara ini untuk panduan kita bersama :


1. Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.

Sabda Rasulullah saw:
Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.( Imam Muslim)

Berusahalah sedaya-upaya makan dengan tangan kanan walaupun anda seorang kidal. Sekiranya anda makan dengan menggunakan sudu dan garpu, suaplah ke mulut dengan tangan kanan agar tidak menyerupai syaitan yang makan dengan tangan kiri.


2. Syaitan minum dan makan dalam keadaan berdiri.

Rasulullah saw melihat seorang yang minum sambil berdiri. Baginda menegur: “Jangan begitu!” Orang itu bertanya: “Mengapa?” Rasulullah menjawab: “Adakah kamu suka minum bersama kucing?”

Orang itu menjawab: “Tidak.” Rasulullah saw meneruskan:

Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk darinya, iaitu syaitan.( Riwayat al-Darimiy dengan sanad yang sahih)

Oleh itu elakkan minum sambil berdiri kecuali keadaan tidak mengizinkan seperti sesak dengan orang ramai atau kawasan yang kotor.


3. Syaitan ketawa bila menguap sehingga mengeluarkan bunyi.

Sekiranya anda menguap, ingatlah itu adalah dari syaitan. Sabda Nabi saw

Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa”, maka ketawalah syaitan.( Imam al-Bukhari)

Jika tidak dapat menahan diri dari menguap, maka tutuplah mulut dengan tangan dan berusaha tidak mengeluarkan apa-apa bunyi. Ini berdasarkan hadis:

Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).( Imam Muslim)

4. Syaitan kencing di telinga.

Apabila seseorang itu tidur sehingga pagi hari maka syaitan kencing di kedua telinganya sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari yang bermaksud :

Itu adalah orang yang syaitan telah kencing dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya.

Rasulullah saw berkata demikian bila diceritakan tentang seseorang yang tidur sehingga pagi.

5. Syaitan dapat makan, minum dan tempat bermalam

Imam Muslim merwayatkan hadis yang bermaksud :

Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”

Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam.” Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan, berkatalah (syaitan kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam.”

Menyebut nama Allah ( Bismillah) ini dituntut juga ketika keluar rumah, menutup bekas-bekas makanan dan minuman, ketika menutup pintu dan tingkap agar terselamat dari syaitan.


6. Syaitan memakan sisa-sisa makanan.

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan, baginda menjilat jari-jarinya tiga kali. Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda:
“Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”

Anas melanjutkan:
“(Rasulullah) juga menyuruh kami untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.” Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan.”( Imam Muslim)

Tidak usahlah anda menjadi seorang yang pemurah kepada syaitan dengan membiarkan sisa-sisa makanan. Entah berapa ramai yang tamak ketika makan sehingga menyebabkan makanan berlebihan dibiarkan untuk santapan musuhnya sendiri.


7. Orang yang membazir saudara syaitan.

Siapakah yang telah mempersaudarakan seorang yang membazir dengan syaitan?. Allah sendiri yang mempersaudarakan antara keduanya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’:27 yang bermaksud :
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.

8. Syaitan mengganggu ibadat.

sahabat bernama ‘Utsman bin Abi al-‘Ash mengadu kepada Rasulullah saw“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan al-Qur’anku, dan ia selalu mengelirukan aku.”

Maka Rasulullah menjawab:

Itulah syaitan yang disebut sebagai “Khanzab”, maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah darinya dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali.‘Utsman bin al-‘Ash kemudian berkata: “Aku melakukan itudan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku.”( Imam Muslim)

9. Sikap terburu-buru dari syaitan.


Kadang-kadang kita bersikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kita menghadapi kerugian, kualiti kerja yang merosot dan sebagainya. Sikap gopoh dan terburu-buru ini adalah antara hasutan syaitan. Sabda nabi saw yang bermaksud :


Ketenangan adalah dari Allah manakala tergesa-gesa adalah dari syaitan.( Imam al-Baihaqiy)


10. Sikap cemburu dari syaitan.

Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Sebagaimana hadis Aishah r.a. yang bermaksud :

“Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah? Adakah kamu cemburu?” “Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti anda?” Kemudian Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam melanjutkan: “Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?”

“Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan?” “Ya.” “Dan (apakah syaitan itu ada) pada setiap manusia?” “Ya.” (Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?” “Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya. (Imam Muslim)

11. Perasaan marah dari syaitan.

Bila seseorang itu dalam keadaan marah, syaitan menguasai dirinya sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas kemanusiaan.untuk mengatasi perasaan marah ini kita diajar membaca isti’azah. Sulaiman bin Surd berkata :

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi saw, dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar.

Maka Nabi saw bersabda:
“Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang.( Imam al-Bukhari)

12. Syaitan gemar berkeliaran pada waktu senja.

kita sering dilarang oleh ibubapa kita masih berada di luar rumah pada waktu senja. Pesanan ini berasal dari Rasulullah saw yang bermaksud :

Apabila malam menjelang tiba maka tahanlah anak-anak kalian (dari keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isya’, maka lepaskanlah mereka.( Imam al-Bukhari)

13. Pasar tempat kegemaran syaitan.

Tempat-tempat seperti ini merupakan tempat melepak syaitan. Rasulullah saw bersabda:

Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar adalah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dipacak. ( Imam Muslim)

Pada masa kini pusat membeli belah, pasaraya dan bursa saham juga termasuk dalam hadis di atas.


14. Syaitan boleh membesar seperti rumah.

Imam Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan dari seorang yang dibonceng oleh Nabi S.A.W, ia berkata , "Tunggangan Nabi saw tergelincir, maka aku katakan: 'Celaka syaitan.'Nabi saw bersabda :

Janganlah kalian menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata “Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!” kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat.

Demikian sebahagian himpunan hadis-hadis yang mendedahkan tipu daya musuh nombor satu orang mukmin sebagai persiapan untuk kita menghadapinya. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat pemeliharaan Allah SWT daripada muslihat, godaan dan tipu daya syaitan laknatullah.

Wasallam. Jazakallah Khairan.