Rasulullah pembawa
cahaya kebenaran
MUHAMMAD bin Abdullah diputerakan pada Isnin, 12 Rabiul Awal
Tahun Gajah, ketika peristiwa Abrahah al-Asyram bersama tentera bergajahnya
menyerang Kota Makkah dan mahu meruntuhkan Kaabah.
Peristiwa bersejarah terhadap Kaabah itu dirakamkan dalam
al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-Fil, bermaksud: “Adakah kamu tidak
memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah?
“Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk
menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? Dia mengirimkan kepada mereka burung
berbondong-bondong yang melempar mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang
terbakar, lalu menjadikan mereka seperti daun-daun dimakan (ulat).”
Walaupun dilahirkan di tengah masyarakat Quraisy jahiliyah,
Muhammad langsung tidak terpengaruh dengan amalan kaum itu, jauh sekali untuk
bersengkokol melakukan perbuatan yang dimurkai Tuhan.
Sesuai dengan latar belakangnya daripada keturunan mulia dan
disegani, bersambung dengan Nabi Ibrahim melalui puteranya Nabi Ismail, sejak
kecil Muhammad terpelihara daripada perkara dan perbuatan menyalahi agama.
Ketika kanak-kanak, baginda dikunjungi Jibril dan dibelah
dadanya bagi mengeluarkan segumpal darah lalu membersihkannya dengan air zam
zam dan meletakkannya kembali ke dalam dadanya.
Pada usia remaja, pendapat baginda diterima masyarakat dalam
menyelesaikan masalah. Pendek kata, dalam segala urusan yang mengakibatkan
pertikaian, Muhammad dipanggil sebagai pendamai dan ‘hakim’.
Muhammad diangkat Allah sebagai rasul pada usia 40 tahun,
ketika berkhalwa di Gua Hira’. Kerasulannya bukan terbatas pada kaum Quraisy
yang hidup dalam kegelapan ketika itu, malah melangkaui sempadan dan bangsa.
Firman Allah bermaksud: “Kami telah mengutus engkau Muhammad
kepada manusia sebagai Rasul. Cukuplah Allah menjadi saksi. Sesiapa mentaati
Rasul, maka sesungguhnya dia mentaati Allah...(an-Nisa: 79-80)
Selepas kerasulannya, Muhammad tidak lagi dipandang tinggi
oleh sebilangan besar masyarakat Quraisy, malah ada yang mengejek dan
melemparkan pelbagai tohmahan, termasuk mengatakannya gila.
Baginda juga mahu diperdayakan bangsawan Quraisy dengan
pelbagai tawaran, termasuk wanita cantik dan harta. Namun, semua itu ditolak
oleh Muhammad.
Lebih dahsyat, dalam usahanya menyampaikan kebenaran dakwah
Islam, sekali gus menolak kehidupan jahiliyah yang diamalkan kaumnya selama
ini, nyawa baginda turut terancam.
Walaupun orang Quraisy berusaha sedaya-upaya membunuh
Muhammad dan melenyapkan ajaran Islam, kuasa Allah mengatasi segalanya, kerana
nyawa baginda tetap selamat dan agama lurus itu tetap terpelihara.
Malah, ekoran hasrat jahat Quraisy itu membawa kepada
peristiwa penghijrahan Muhammad bersama sahabatnya ke Madinah, yang akhirnya
menyaksikan perkembangan pesat agama Islam.
Usaha dan kegigihan Muhammad menyampaikan ajaran Allah
akhirnya mendapat kejayaan, malah kesinambungan dakwah itu diteruskan sahabat
dan tabiin, sehingga ke seluruh benua Asia dan
sebahagian Eropah.
Kini, penganut Islam berbilion dan hidup di merata-rata tempat,
termasuk di negara komunis dan sosialis. Kenyataannya, umat Islam semakin
bertambah, kerana berkat usaha Muhammad satu ketika dulu.
Pengutusan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul terakhir kepada
umat manusia adalah rahmat, yang membolehkan kita hari ini membezakan perkara
baik dan buruk, dosa dan pahala, Tuhan dan hamba, dunia dan akhirat.
Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: Kami tidak
mengutuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali menjadi rahmat bagi semesta alam.
(al-Anbiya: 107)
Muhammad adalah penyelamat umat daripada kesesatan akidah,
kedangkalan siasah syariah dan muamalat serta kejumudan pemikiran. Baginda
memang patut disanjungi dan dijulang kerana jasanya cukup besar.
Kini tiba lagi ulang tahun hari keputeraannya dan ia pasti
disambut seluruh umat Islam. Walaupun rumpun penganut Islam berbilang bangsa
dan warna kulit, sambutannya tidak lari daripada mengungkapkan kalimah pujian
dan selawat ke atas Muhammad.
Mengenai sambutan hari keputeraan junjungan besar Muhammad
ini ada hadis memperkatakannya: “Sesiapa yang membesarkan hari kelahiranku,
nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan sesiapa membelanjakan
satu dirham untuk maulidku (keputeraan), seolah-olah dia membelanjakan emas
sebesar gunung untuk agama Allah.”
Imam Syafie berkata: “Barang siapa mengumpulkan orang Islam
untuk menyambut Maulid Nabi Muhammad saw dengan membaca maulid dan mengadakan
syarahan berkenaannya serta menyediakan makanan bagi mereka dan membuat
kebajikan, nescaya Allah akan membangkitkan mereka pada hari akhirat bersama
para wali, orang syahid dan soleh. Dia berada dalam syurga yang penuh
kenikmatan.”
Justeru, pada kesempatan ini marilah kita menyambut ulang
tahun keputeraan Muhammad dengan memberikan selawat sebanyak-banyaknya sebagai
tanda kebanggaan dan kesyukuran menjadi umatnya.
Sempena hari mulia itu, tidak salah jika kita menjadikannya
sebagai titik tolak dan pembakar semangat untuk menjadi insan lebih baik, dari
segi iktikad, amalan, tutur kata dan budi pekerti.
Dalam agama pun, kita sangat dituntut mencontohi sikap dan
sifat Muhammad, lebih-lebih lagi terhadap ajaran yang disampaikannya yang perlu
dipatuhi dan dipraktikkan supaya kita tidak terkeluar daripada golongan umat
Muhammad.
Memang dalam kehidupan akhir zaman yang serba-serbi pantas
berlaku dan berlalu, sesetengah umat Islam sibuk dengan urusan duniawi,
seolah-olah mahu hidup di dunia buat selama-lamanya dan langsung tidak
menghiraukan kehidupan akhirat.
Keasyikan itu kadangkala mengakibatkan asas tuntutan Allah
dan Rasul, seperti solat diabaikan. Bagi golongan ini, alangkah sukarnya
memperaktikkan tuntutan Allah seperti yang dianjurkan Muhammad.
Mereka yang liat dengan tuntutan itu kadangkala tidak sedar
mereka sebenarnya lupa maksud sebenar pengertian ‘ikut’ dan ‘patuh’ kepada
Allah dan Rasul-Nya, Muhammad seperti yang disebut dalam al-Quran.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman ikutlah
Allah dan RasulNya...(Muhammad:33)
Perkataan “ikut” itu tidak terhenti setakat perakuan lidah
dan hati terhadap keesaan Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya, malah perlu
ditonjolkan dengan amal ibadah serta menghiasi kehidupan dengan adab dan
tingkah laku mulia.
Tidak dinafikan, memang sukar untuk mempraktikkan segala
yang disampaikan Rasulullah, terutama bagi mereka yang tipis iman dan sering
terjebak dalam dosa dan noda.
Apa pun, selagi kita mengaku umat Muhammad, jangan sampai
tingkah laku kita membawa kepada unsur penentangan terhadap ajaran yang
disampaikannya, kerana musibahnya cukup besar.
Firman Allah dalam surah al-Nisa, ayat 115, bermaksud:
“Sesiapa menentang Rasul selepas nyata petunjuk baginya dan mengikut bukan
jalan orang-orang mukmin, nescaya kami angkat dia menjadi pemimpin apa yang
dipimpinnya dan kami masukkan dia ke dalam neraka jahanam. Itulah sejahat-jahat
tempat kembali.”